Perlu latihan?

Perlu latihan?

Wednesday, August 22, 2018

Tindakan-tindakan ahli keluarga membantu keluarga menghadapi kemelut ekonomi

Kemelut ekonomi yang melanda negara telah menjejaskan kualiti kehidupan masyarakat. Semua pihak memikul tugas memastikan kehidupan keluarga mereka bertambah baik.
Nyatakan tindakan-tindakan ahli keluarga untuk membantu keluarga mereka.

Kemelut ekonomi yang melanda negara merujuk situasi ekonomi Malaysia yang tidak stabil lalu menimbulkan pelbagai masalah. Cabaran ekonomi yang berlaku ialah pekerja boleh dipecat dan tangga gaji akan dikurangkan oleh majikan sebagai usaha menangani kemelut ekonomi itu. Pihak media massa terutamanya akhbar selalu menyiarkan berita mengenai pengangguran dan kesukaran hidup rakyat apabila kemelut ekonomi berlaku lalu masyarakat memahami keperluan untuk berkorban serta berusaha mengharungi cabaran ini. Akibatnya, setiap ahli keluarga di negara ini harus memainkan peranan yang tersendiri untuk membantu keluarga mereka menghadapi keadaan ekonomi yang tidak baik itu.

Langkah proaktif untuk mengatasi masalah ekonomi ini ialah ketua keluarga perlu merancang perbelanjaan isi rumah mereka dengan bijak. Satu senarai barang yang diperlukan boleh disediakan oleh ibu bapa berdasarkan keutamaan barang itu kepada setiap ahli keluarga mereka seperti keperluan makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Apabila ketua keluarga mempunyai perancangan sebegini pastinya sumber kewangan keluarga digunakan dengan baik kerana kos sara hidup bertambah setelah kenaikan harga minyak membawa harga barang meningkat sekelip mata itu.

Selain itu, kemelut ekonomi ini boleh diatasi apabila anak-anak dilatih untuk menabung dalam kehidupan harian mereka. Golongan muda ini boleh dilatih menabung apabila ibu bapa sendiri menyediakan tabung dan mempamerkan teladan yang betul supaya anak memahami keperluan menabung pada usia muda. Wang yang dikumpul sejak usia muda itu boleh digunakan ketika kecemasan atau apabila musibah melanda ahli keluarga seperti perkara kecemasan yang melibatkan perubatan seseorang itu. Sesungguhnya, amalan menabung yang diterapkan dalam jiwa anak sejak kecil akan menjadi senjata rahsia sesebuah keluarga untuk menghadapi cabaran ekonomi yang tidak baik itu.

Malah, amalan mengelakkan pembaziran dalam kehidupan boleh mengurangkan sedikit sebanyak impak yang ditimbulkan oleh kemelut ekonomi ini. Konsep ini memerlukan setiap ahli keluarga membeli barangan yang benar-benar diperlukan sahaja dalam kehidupan harian mereka itu lalu tidak mengamalkan amalan bermewah-mewah atau menunjuk-nunjuk. Sebaik sahaja amalan membeli barangan yang perlu dilakukan pastinya kewangan keluarga digunakan dengan sebaik mungkin untuk menjamin kehidupan keluarga itu terus stabil pada masa hadapan. Maka, setiap ahli keluarga harus bijak membezakan antara barangan keperluan dengan barangan kehendak jika mahu keluarga mereka bebas daripada masalah kewangan ketika ekonomi negara mengalami masalah itu.

Tindakan seterusnya melibatkan usaha ahli keluarga mencuba mencari alternatif bagi sumber kewangan baharu keluarga mereka. Sumber lain ini boleh merujuk amalan melakukan perniagaan secara dalam talian seperti menjual produk yang boleh membawa keuntungan dalam masa yang singkat itu atau membuat kerja sambilan yang bersesuaian dengan kemampuan ahli keluarga. Apabila sumber kewangan lain berjaya dicari pastinya keluarga itu boleh meneruskan kehidupan mereka dengan menggunakan pendapatan tambahan untuk membayar kos kehidupan yang bertambah tersebut. Jadi, sikap rajin berusaha mencari wang yang dibuat oleh ahli keluarga akan menjadi kunci kejayaan mana-mana keluarga di negara ini apabila ekonomi meleset.

Kajian turut menyerlahkan bahawa cabaran kemelut ekonomi boleh dihadapi oleh keluarga apabila mereka menerapkan disiplin dalam kalangan keluarga ketika berbelanja. Maknanya, ahli keluarga hanya berbelanja mengikut keperluan dan kemampuan diri sendiri tanpa dipengaruhi oleh aktiviti jualan murah atau ketika musim perayaan. Sikap berdisiplin seperti ini akan menjamin keluarga itu tidak membeli sesuka hati lalu mereka mempunyai kawalan terhadap perbelanjaan bulanan yang memberikan mereka sedikit kelebihan untuk meneruskan kehidupan pada zaman ekonomi yang getir itu. Jadi, keluarga yang memiliki disiplin dalam membuat perbelanjaan bulanan mereka tidak akan mengalami hidup yang sukar apabila ekonomi negara tidak berkembang dengan baik.


Kesimpulannya, kemelut ekonomi yang melanda negara memerlukan semua ahli keluarga berubah sikap untuk memudahkan mereka meneruskan cabaran kehidupan moden itu. Cuma ada ahli keluarga yang enggan bekerjasama lalu menjadikan keluarga mereka mengalami pelbagai masalah hutang yang memalukan itu. Apabila hutang menjadi banyak pastinya hubungan kekeluargaan akan terjejas sehingga membawa pelbagai konflik yang tidak diingini pula. Peribahasa air dicincang tidak akan putus memberikan kita satu harapan supaya selalu mengutamakan keluarga dalam membuat sesuatu tindakan yang boleh menjejaskan hubungan keluarga itu nanti.

No comments: