Perlu latihan?

Perlu latihan?

Friday, August 10, 2018

Cara-cara atasi kes buli di Malaysia?

Gejala buli terus berlaku di negara ini terutama di kawasan sekolah bandar. Banyak pihak cuba menyelesaikan isu ini tetapi gagal.
Jelaskan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengekang gejala ini.

Gejala buli bermaksud tindakan mendera pelajar lain tanpa sebarang alasan yang munasabah itu. Amalan negatif ini bukan sahaja berlaku pada peringkat sekolah rendah dan menengah tetapi telah menular ke institusi pengajian tinggi negara ini. Pihak media massa terutamanya televisyen telah menyiarkan pelbagai kes buli yang berlaku terutamanya yang melibatkan kecederaan parah atau kematian sehingga masyarakat memahami betapa seriusnya gejala ini. Sebenarnya, pelbagai tindakan yang konkrit boleh dilakukan oleh pihak ibu bapa, guru-guru, dan masyarakat setempat supaya buli tidak lagi berlaku.

Usaha yang berkesan untuk mengekang budaya buli di sekolah melibatkan pelbagai program yang sesuai dilakukan dengan kerjasama pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG). Program seperti ceramah anti-buli dan pemantapan disiplin pelajar dilakukan setelah wujudnya permuafakatan antara pihak sekolah dengan ibu bapa serta pihak polis. Langkah yang bijak ini akan memastikan disiplin pelajar di sekolah itu berada pada tahap yang terbaik kerana mereka selalu menghadiri program positif ini. Akibatnya, kes buli di sekolah itu akan dibasmi secara keseluruhan apabila pelbagai program yang sesuai di buat di sekolah itu.

Selain itu, semua acara dan majlis pihak sekolah harus melibatkan penyertaan ibu bapa dan masyarakat setempat. Acara seperti hari sukan, hari keluarga, dan hari kerjaya boleh dimeriahkan apabila semua lapisan masyarakat tempatan menghadirinya bersama-sama. Apabila acara sebegini berlaku pastinya ada interaksi atau bercampur gaul antara pihak sekolah dengan ibu bapa sehingga menghasilkan pelbagai pertukaran idea tentang kaedah mengatasi buli itu. Jelaslah, acara anjuran pihak sekolah yang disertai oleh penduduk setempat boleh menjadi kaedah yang efektif untuk menghapuskan budaya buli itu.

Tambahan pula, pihak sekolah yang bertanggungjawab akan mewujudkan program kerohanian dalam kalangan pelajar mereka di sekolah. Aktiviti seperti kem kerohanian boleh menerapkan nilai-nilai murni dalam jiwa pelajar mereka lalu mendidik pelajar akan baik buruknya sesuatu perbuatan itu. Penerapan nilai-nilai murni ini akan menjadikan pelajar berfikir sebelum bertindak lalu bersedia menyelesaikan masalah dengan berbincang bukannya membuli atau mencederakan orang lain secara fizikal itu. Lama-kelamaan, program kerohanian ini akan melahirkan satu generasi pelajar yang lebih matang dalam menyelesaikan masalah yang berlaku dalam kehidupan harian mereka.

Gejala buli ini boleh dikawal apabila ibu bapa dan komuniti setempat memainkan peranan mereka sebagai mata dan telinga pihak sekolah. Golongan ini boleh melaporkan kegiatan buli yang berlaku di luar kawasan sekolah kepada pihak sekolah pula. Sokongan pihak ibu bapa dan masyarakat untuk melaporkan amalan ini akan menyedarkan pihak pelajar tentang keburukan budaya buli lalu mereka enggan mengamalkannya lagi. Ringkasnya, pelajar takut untuk melakukan amalan buli kerana sedar masyarakat akan menegur kelakuan mereka lalu membuat laporan kepada pihak sekolah yang akan mengambil tindakan tegas pula nanti.

Tindakan terakhir yang boleh diambil melibatkan kerjasama pihak sekolah dan PIBG untuk memasang kamera litar tertutup di kawasan sekolah mereka. Sejumlah peruntukan diperlukan untuk memasang teknologi ini di tempat-tempat yang strategik untuk memantau kegiatan dan perlakuan pelajar mereka. Tindakan sebegini akan menjadi amaran awal kepada pelajar supaya tidak melakukan perkara jahat seperti buli kerana pihak sekolah akan dapat melihat tindakan itu nanti. Maka, pemasangan kamera litar tertutup ini menjadi kaedah paling moden yang boleh dilaksanakan oleh pihak sekolah dalam usaha mereka untuk menghapuskan budaya yang memalukan masyarakat itu.


Kesimpulannya, semua inisiatif yang diutarakan tadi berupaya untuk membasmi budaya buli daripada menular dalam kalangan pelajar sekolah. Namun, ada pihak sekolah yang enggan mengakui kewujudan budaya ini di kawasan sekolah mereka lalu tidak mahu mengambil apa-apa pendekatan untuk menghapuskan. Apabila kejadian buli tidak diakui pastinya budaya ini akan membawa wujudnya pula masalah pelajar membunuh diri kerana tidak tahan dibuli sepanjang usia mereka. Peribahasa kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga menyebabkan imej sesebuah sekolah menjadi negatif kerana wujudnya segelintir pelajar mereka yang terus mengamalkan budaya buli tersebut.

No comments: