Perlu latihan?

Perlu latihan?

Monday, May 21, 2018

Cara-cara pelajar kekang jenayah siber berlaku kepada diri mereka

Jenayah siber semakin menjadi-jadi dalam kalangan pelajar di negara ni. Banyak kes sudah kedengaran dalam media massa.
Huraikan langkah-langkah yang boleh diambil oleh pelajar untuk menjadi keselamatan diri mereka.

Jenayah siber merujuk kejadian jenayah yang dilakukan menerusi penggunaan gajet elektronik dan internet tersebut. Kejadian peras ugut mangsa, penipuan wang, kecurian data peribadi dan sebagainya menjadi jenis jenayah siber yang terkenal itu. Pihak media massa terutamanya akhbar turut menyiarkan pelbagai berita tentang kejadian jenayah siber ini sehingga masyarakat menyedari betapa meruncingnya jenayah itu. Lantaran itu, pelajar boleh mengambil beberapa pendekatan untuk memastikan diri mereka tidak terlibat dalam jenayah yang kejam ini.

Tindakan yang tepat dibuat oleh pelajar untuk mengekang jenayah siber ini merujuk langkah mereka membeli perisian antivirus yang baik untuk gajet sendiri. Perisian antivirus ini berfungsi sebagai perisai pertahanan awal yang menghalang sebarang cubaan pihak penggodam untuk memasuki gajet pelajar itu. Halangan antivirus ini menyukarkan penjenayah siber untuk menguasai gajet pelajar lalu mereka akan bebas daripada jenayah tersebut. Jelaslah, tindakan proaktif pelajar membeli perisian antivirus ini menjadikan dunia internet mereka lebih selamat dan menarik pada masa hadapan.

Selain itu, pelajar yang matang tidak akan membuka e-mel mereka secara tergesa-gesa tanpa memikirkan identiti pengirim e-mel. Banyak e-mel yang meragukan ini mempunyai pautan yang perlu ditekan oleh pelajar untuk menyebarkan virus yang menguasai gajet mereka nanti. Tindakan tidak membuka atau membuang e-mel yang meragukan ini pastinya menutup peluang kepada mana-mana pihak yang ingin menggodam gajet pelajar. Jadi, pelajar yang berhati-hati ketika membuka e-mel mereka tidak akan mengalami sebarang masalah dengan pihak penjenayah siber yang bijak mengambil kesempatan itu.

Tambahan pula, semua aktiviti sembang menerusi ruangan sembang internet perlu dilaksanakan dengan penuh waspada. Semua permintaan untuk bersembang menerusi gajet perlu diteliti secara mendalam sebelum keizinan diberikan kepada individu lain. Tapisan yang teliti menyukarkan penjenayah siber untuk berinteraksi dengan pelajar lalu risiko berlakunya jenayah siber tidak akan wujud pula. Sesungguhnya, pelajar yang mengamalkan sikap berhati-hati ketika bersembang menerusi ruangan sembang internet mampu mengurangkan kes jenayah siber daripada terus berleluasa dalam kalangan golongan muda itu.

Langkah seterusnya melibatkan sikap pelajar yang tidak menghantar wang menerusi internet apabila membuat urusan kewangan. Semua urusan yang meminta pelajar menghantar wang dahulu secara elektronik perlulah dihindari tanpa banyak bicara. Penjenayah siber akan mengalami kesukaran untuk menipu pelajar jika golongan ini tidak begitu mudah menghantar wang kepada orang lain menggunakan internet itu. Maka,jenayah siber mampu dikekang jika pelajar lebih berhati-hati apabila mahu mengirim wang menerusi penggunaan internet itu.

Pelajar yang selalu menggunakan pemikiran yang matang lagi rasional apabila membaca sesuatu informasi dalam internet tidak akan mengalami serangan jenayah siber itu. Semua maklumat yang ditemui ketika melayari internet perlulah dirujuk dengan pelbagai sumber berita yang lain sebelum mempercayainya. Penjenayah siber sering menggunakan kaedah informasi palsu untuk memerangkap pelajar masuk ke dalam cengkaman penipuan mereka itu seperti menawarkan hadiah lumayan kepada pelajar.


Kesimpulannya, jenayah siber hanya mampu ditangani jika pelajar melakukan semua tindakan yang dihuraikan tadi secara efektif. Jika pelajar masih enggan berubah pastinya diri mereka menjadi sasaran penjenayah siber sehingga menjejaskan sumbangan mereka terhadap negara dan bangsa. Ibu bapa turut memainkan peranan penting memantau penggunaan internet anak-anak supaya kes jenayah ini menjadi lipatan sejarah di negara ini. Peribahasa nasi sudah menjadi bubur harus menjadi peringatan kepada pelajar kerana jenayah siber tidak mudah untuk diselesaikan oleh pihak berkuasa apabila kes ini berlaku pada mereka.