Perlu latihan?

Perlu latihan?

Monday, March 19, 2018

Kebaikan penganjuran kejohanan seni pertahanan diri

Penganjuran kejohanan seni mempertahankan diri bertaraf antarabangsa membawa pelbagai kebaikan kepada negara penganjur.

Bincangkan

Kejohanan seni mempertahankan diri merujuk satu pertandingan yang melibatkan pertarungan dua ahli sukan untuk merebut gelaran tertentu. Antara kejohanan itu meliputi kejohanan peringkat dunia, olimpik dan juga serantau serta beberapa kejohanan terbuka yang menarik perhatian peserta seluruh dunia. Pihak media massa terutamanya televisyen sering menyiarkan kejohanan sebegini kerana mendapat jumlah tontonan yang tinggi setiap kali kejohanan ini disiarkan secara langsung itu. Lantaran itu, pelbagai faedah boleh diperoleh apabila Malaysia menganjurkan kejohanan bertaraf dunia ini.

Manfaat yang boleh diterima oleh Malaysia apabila menjadi tuan rumah kejohanan sebegini ialah seni mempertahankan diri boleh terus dihidupkan selama-lamanya. Seni warisan budaya ini mampu dikekalkan kerana golongan remaja berpeluang untuk melihat lalu mengenali keunikan sesuatu seni mempertahankan diri sehingga tertarik menyertainya pula. Akibatnya, seni mempertahankan diri seperti silat itu akan dapat dikekalkan dan dikuasai oleh seseorang remaja itu untuk terus hidup subur dalam kalangan masyarakat kita. Setiap kejohanan seni mempertahankan diri ini akan menjamin budaya ini terus hidup seperti peribahasa tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas itu.

Selain itu, hubungan persahabatan akan terjalin dengan negara yang menyertai kejohanan tersebut terutamanya dalam kalangan pesertanya. Interaksi berlaku apabila para peserta kejohanan melihat sesuatu teknik tendangan, kilasan tangan dan lompatan yang unik dipamerkan oleh peserta yang lain itu. Amalan saling bertukar idea ini boleh mencetuskan pelbagai teknik baru dalam seni mempertahankan diri itu bersama-sama melahirkan hubungan yang positif antara manusia pula. Jadi, interaksi yang berlaku bukan sahaja mencetuskan persahabatan tetapi juga boleh memberikan idea baru untuk memajukan modal insan di negara ini tanpa disedari itu.

Tambahan pula, kejohanan sebegini berupaya untuk meluaskan minda pengetahuan rakyat tentang sesuatu acara seni mempertahankan diri itu. Pengetahuan baru ini diperoleh apabila penonton melihat sesuatu acara seni mempertahankan diri itu seperti judo yang memiliki peraturan dan cara pemberian markah yang berbeza tersebut. Masyarakat yang memiliki pengetahuan sebegini boleh mendorong diri mereka untuk turut serta menyertai kelas seni mempertahankan diri ini pada masa hadapan. Sesungguhnya, penglibatan masyarakat dalam sebarang aktiviti seni sebegini boleh membentuk satu kelompok masyarakat yang berdisiplin dan sihat pula.

Kajian telah membuktikan bahawa kejohanan seni mempertahankan diri berupaya untuk meningkatkan kehadiran pelancong ke Malaysia. Sudah pasti ada pelancong yang menjadi penyokong sesebuah negara yang menyertai kejohanan itu akan datang ke Malaysia sebagai tanda sokongan untuk pasukan kegemaran mereka itu. Golongan ini apabila berada di negara ini sudah pasti akan berbelanja untuk tempat tinggal, makan minum, dan pengangkutan yang membantu ekonomi negara berkembang itu. Maka, sebarang usaha menganjurkan kejohanan seni mempertahankan diri bukanlah sahaja menguntungkan peserta yang menyertainya tetapi juga memastikan perkembangan ekonomi negara berjalan lancar.

Faedah terakhir yang diperoleh apabila Malaysia menganjurkan kejohanan sebegini ialah imej negara mampu ditingkatkan pada mata orang luar.  Penampilan imej yang tersohor ini diperoleh apabila negara menganjurkan kejohanan ini tanpa mengalami sebarang kesulitan yang besar atau menjejaskan perjalanan kejohanan tersebut. Malaysia akan dilihat sebagai satu ikon yang baik dalam tindakan menjadi tuan rumah sebarang kejohanan sukan bertaraf dunia itu. Ringkasnya, semua perkara mengenai Malaysia seperti bahasa, sikap peramah, kestabilan politik dan keamanan negara serta berbilang kaum itu akan disebut boleh semua pihak yang menyertai kejohanan seni mempertahankan diri itu.

Konklusinya, semua faedah menganjurkan kejohanan seni mempertahankan diri itu memang boleh diperoleh oleh negara apabila dianjurkan dengan efisien. Semua pihak harus sedar dan tidak melihat usaha menganjurkan kejohanan sebegini sebagai satu pembaziran tetapi melihatnya secara rasional untuk memperoleh impak positif. Kegagalan untuk menilai kejohanan sukan secara rasional bakal menyaksikan negara ini tidak lagi mampu menjadi tuan rumah untuk sebarang acara sukan pun. Slogan Majulah Sukan untuk Negara harus difikirkan secara mendalam dalam jiwa rakyat kita terutama dalam kehidupan zaman moden yang penuh dugaan ini.