Perlu latihan?

Perlu latihan?

Thursday, February 08, 2018

Kebaikan memiliki industri automobil sendiri?

Banyak pihak mempertikaikan kewujudan industri automobil negara. Kerugian yang dialami oleh Proton telah menyebabkan isu ini timbul semula.
Pada pandangan anda, apakah kebaikan-kebaikan negara mempunyai industri automobil sendiri.

Kereta keluaran Malaysia merujuk automobil yang dihasilkan oleh negara ini untuk kegunaan penduduk tempatan dan dieksport pula. Ada dua buah syarikat pengeluar kereta Malaysia iaitu Proton dan Perodua yang menghasilkan model Kancil, Waja, Viva, dan Satria yang terkenal itu. Media massa sering menyiarkan berita tentang kecanggihan teknologi penghasilan kereta Malaysia kerana negara ini sahaja yang memiliki syarikat kereta nasional berbanding negara lain di rantau Asia Tenggara. Pendek kata, Malaysia mendapat pelbagai faedah apabila negara ini memiliki industri kereta sendiri itu.

Kelebihan utama mempunyai industri kereta buat Malaysia ialah imej negara ini menjadi tersohor pada mata masyarakat asing itu. Keunggulan maruah negara ini terhasil kerana masyarakat tempatan dan luar negara menyedari teknologi automobil memerlukan kecanggihan dan keistimewaan tertentu untuk menghasilkan kualiti kereta yang baik. Situasi ini mampu memberikan rasa bangga dalam diri rakyat tempatan kerana memahami bukan semua negara di dunia ini mampu mengeluarkan kereta yang berjenama terkenal itu.  Lantaran itu, kewujudan industri kereta nasional bukan sahaja meninggikan maruah negara tetapi turut menjadikan rasa bangga dalam kalangan rakyat sesuatu yang lazim berlaku.

Selain itu, banyak peluang kerja dapat diwujudkan kepada rakyat negara ini apabila Malaysia mempunyai sektor industri kereta yang berdaya saing itu. Keperluan untuk mempunyai sumber manusia yang cukup seperti jurutera, mekanik kereta, pereka bentuk kereta, dan jurujual kereta sudah pasti mampu dipenuhi oleh penduduk tempatan tersebut. Apabila semua rakyat memiliki kerjaya sendiri sudah pasti taraf hidup mereka turut bertambah kerana mempunyai pendapatan yang tetap sepanjang tahun. Jelaslah, rakyat negara ini tidak akan menganggur apabila Malaysia mempunyai industri kereta yang moden dan maju itu.

Tambahan pula, pemindahan teknologi akan berlaku di negara ini apabila pihak berkuasa berusaha memajukan sektor tersebut. Malaysia apabila memulakan sektor ini telah meminta bantuan kerajaan Jepun untuk membantu mereka memperoleh beberapa teknologi canggih untuk menghasilkan kenderaan tersebut. Kerjasama sebegini bukan sahaja mengurangkan kos Malaysia untuk menghasilkan komponen kereta yang mahal itu tetapi turut menjalinkan hubungan diplomatik yang baik dengan pihak Jepun suatu ketika itu. Maka, usaha memajukan teknologi penghasilkan kenderaan bukan sahaja membawa impak positif kepada negara tetapi turut membantu dalam usaha berbaik-baik dengan negara-negara jiran itu.

Kajian juga telah membuktikan bahawa kawasan pedalaman dan pinggir bandar boleh mendapat tempias daripada usaha kerajaan memajukan sektor pembuatan kereta itu. Sebarang aktiviti perniagaan yang wujud akibat pembinaan kilang kereta atau tempat menjual kereta menjadikan kehidupan kawasan sekitar lebih menarik dan produktiviti perniagaan lain turut bertambah pula. Kedai-kedai makan, dobi, kedai runcit, dan sebagainya tumbuh bak cendawan selepas hujan di kawasan yang memiliki kilang kereta di negara ini seperti di kawasan Subang Jaya, Selangor dan Pekan di Pahang tersebut.  Maka, sebarang usaha mendirikan kilang kenderaan akan menjadikan kawasan sekitarnya lebih moden dan makmur pula.

Sektor pembuatan kereta turut berupaya memajukan industri kecil dan sederhana negara ini untuk satu jangka masa panjang. Syarikat Perodua bersama-sama Proton sudah pasti memerlukan komponen-komponen kecil kenderaan seperti kerusi kereta, cermin kereta, dan brek kereta untuk memudahkan urusan pemasangan di kilang mereka itu daripada pemilik industri kecil serta sederhana itu. Tindakan ini akan membuka lebih banyak peluang perniagaan untuk diteroka oleh syarikat kecil dan sederhana dalam perniagaan pembuatan kereta yang lebih luas di dunia itu. Sesungguhnya, negara ini akan memiliki satu kelompok pengusaha industri kecil dan sederhana yang berkualiti tinggi apabila negara mempunyai sektor pembuatan kereta nasional yang berkembang itu.

Kesimpulannya, tindakan negara kita memajukan sektor pembuatan automotif merupakan satu tindakan yang bernas kerana membawa banyak kebaikan kepada rakyat negara ini.  Semua pihak harus berasa bangga kerana negara kita menjadi sebahagian kecil negara dunia lain seperti Jepun, Amerika Syarikat,  Korea Selatan, dan Jerman serta Itali yang memiliki industri kereta itu.  Manakala, tindakan sesetengah pihak yang memandang sinis usaha kerajaan ini haruslah dibalas dengan pelbagai tindakan mempromosikan kejayaan sektor kereta Malaysia itu lagi agar rakyat melihat situasi sebenarnya.  Kita sememangnya sudah boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan beberapa negara maju di dunia itu.