Perlu latihan?

Perlu latihan?

Monday, February 13, 2017

Peranan ibu bapa dalam hasilkan keluarga bahagia


Peranan ibu bapa dalam menghasilkan keluarga yang bahagia.

Jelaskan.

Anak merupakan satu anugerah Tuhan kepada mana-mana ibu bapa pun. Kemunculan anak dalam kehidupan berkeluarga dianggap pemberi penyeri atau sumber inspirasi pula. Keadaan ini menyebabkan ibu bapa perlu memberikan perhatian dan penekanan terhadap usaha mendidik anak juga. Oleh itu, ibu bapa memang berperanan penting dalam mendidik anak mereka.

Kepentingan peranan ibu bapa ketara kerana merekalah orang yang paling rapat dengan anak mereka. Semua tindakan dan kelakuan ibu bapa akan menjadi ikutan anak mereka kerana anak menjadikan ibu bapa contoh teladan mereka pula. Kegagalan ibu bapa untuk memaparkan teladan yang baik boleh mempengaruhi sikap anak mereka pula nanti. Pendek kata, kerapatan ibu bapa dengan anaklah yang menjadikan peranan mendidik itu penting dilaksanakan dengan baik.

Selain itu, ibu bapa menjadi tempat meluahkan masalah buat anak-anak. Setiap masalah yang berlaku dalam kehidupan anak pasti akan dirujuk kepada ibu bapa untuk mendapat panduan menyelesaikannya dan kegagalan untuk berinteraksi dengan ibu bapa ketika inilah yang menyebabkan anak-anak terganggu kelakuannya. Ibu bapa yang mahir ialah ibu bapa yang sedar keadaan ini lalu memberikan pelbagai nasihat dan kata perangsang yang membantu anak mereka untuk mengharungi zaman keremajaan mereka dengan baik. Justeru, ibu bapa penting kerana merekalah tempat anak-anak mendapatkan panduan ketika dibelenggu pelbagai masalah hidup.

Tambahan pula, ibu bapa boleh menjadi individu yang memberikan kasih sayang kepada anak mereka terutama ketika anak mereka melakukan kesilapan. Ibu bapa yang bijak mendidik akan memaafkan kesalahan anak mereka walaupun diri mereka berasa kecewa kerana sedar anak mereka perlu diberi peluang kali kedua. Tindakan memaafkan kesalahan anak dengan bijak dan penuh kasih sayang ini akan membentuk anak menjadi insan yang lebih baik sikapnya. Maka, ibu bapa penting kerana merekalah tempat kasih sayang bermula dalam hidup remaja itu.

Namun begitu, peranan pihak sekolah terutama guru juga penting dalam kehidupan remaja. Pihak guru perlulah mendidik generasi muda ini dengan penuh tanggung jawab kerana masa remaja banyak juga dihabiskan di sekolah. Semua nasihat dan dorongan yang diberikan oleh pihak guru pasti meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa pelajar itu lalu membentuk peribadi yang mulia pula. Jadi, pihak sekolah juga memikul tugas mendidik generasi muda ini bersama-sama ibu bapa.

Malah, pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam pembentukan akhlak anak-anak mereka. Remaja yang berakhlak mulia pasti memiliki rakan yang serupa juga akhlaknya. Kegagalan memilih rakan yang baik akan menyebabkan seseorang remaja itu terjebak ke kancah negatif  yang lebih buruk pada masa hadapan. Oleh itu, anak juga hendaklah bijak memilih rakan supaya mereka tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak bermanfaat pula.

Kesimpulannya, ibu bapa memang berperanan penting dalam didikan anak kerana mereka umpama lilin yang membakar diri sendiri untuk memastikan kehidupan anak berjalan lancar. Kerjasama anak juga penting supaya semua masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan lebih mudah dan pantas. Anak merupakan satu tugas yang diamanahkan oleh Tuhan kepada kita semua. Peribahasa “melentur buluh biarlah daripada rebungnya” membuktikan betapa didikan ibu bapa ketika anak itu masih kecil amat penting lagi bermakna untuk masa depan mereka kelak.

Monday, February 06, 2017

Sebab-sebab penghijrahan manusia berlaku di dunia

Masalah penghijarahan rakyat ke sesebuah negara perlu dikawal agar nilai kecintaan terhadap negara asal tidak hilang dalam jiwa mereka.
Huraikan faktor-faktor penghijrahan rakyat sesebuah negara ke negara lain termasuk Malaysia.

Hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri, maka lebih baik di negeri sendiri merupakan satu peribahasa yang mengingatkan kita betapa pentingnya rasa cinta akan negara sendiri. Namun, era moden ini telah menyaksikan banyak insan yang melupakan negara sendiri lalu berhijrah ke negara lain yang pada pandangan mereka lebih bersesuaian dengan jiwa sendiri.kebanjiran rakyat ke sesebuah negara lain bergantung pada pelbagai faktor tolakan dan tarikan tertentu. lantaran itu, pemimpin sesebuah negara termasuklah Malaysia perlu memandang serius punca-punca fenomena ini berlaku.

Punca utama penghijrahan berlaku dikiatkan dengan peluang kerja yang sangat terhad dan terkawal di negara asal. Situasi ini menjadi tolakan utama bagi rakyat di negara seperti Indonesia dan Bangladesh yang sukar memperoleh kerja di negara sendiri serta hidup dalam suasana kemiskinan tegar. Mereka sanggup berhijrah ke Malaysia dan negara-negara lain kerana sedar peluang kerja di negara luar ini lebih baik berbanding negara sendiri. Jelaslah, masalah pengangguran yang begitu teruk telah menyebabkan banyak manusia berani meninggalkan negara tumpah darah mereka sendiri kerana mencari sesuap nasi untuk keluarga yang tercinta pula.

Selain itu, suasana politik yang tidak stabil sehingga menimbulkan kekacauan atau peperangan di sesebuah negara turut menjadikan masalah penghijrahan ini sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia sejagat. Buktinya, banyak negara Arab yang mengalami pergolakan politik seperti Iraq, Syria, dan Lebanon serta Palestin yang mendorong rakyta negara itu berhijrah ke negara lain. Golongan ini memilih negara-negara yang aman dan damai seperti Malaysia, Australia, New Zealand sebagai destinasi tempat mereka untuk mendidik anak-anak dengan sempurna. Sesungguhnya, masalah politik yang sering kali bergolak itu telah menjadi pemangkin untuk seseorang manusia itu meninggalkan negara tercintanya mencari tempat yang lebh aman dan damai tersebut.

Tambahan pula, impian untuk memperoleh tangga gaji atau upah yang tinggi telah memberikan suntikan semangat kepada sesiapa sahaja untuk melangkah keluar meninggalkan negara sendiri. Banyak rakyat negara ini yang sanggup bekerja di Singapura kerana kadar upah yang diberikan oleh majikan di negara jiran itu jauh lebih tinggi berbanding negara Malaysia.  Mereka sanggup bangun pagi meninggalkan rumah di Malaysia menuju ke Singapura atau menyewa di kota raya metropolitan yang mahal itu kerana gaji yang diterima masih mampu membiayai kehidupan mereka sekeluarga dengan sempurna di Malaysia pula. Maka, mana-mana pemerintah kerajaan di dunia ini perlu mempunyai suatu ketatapan daripada segi jumlah gaji yang diberikan kepada rakyatnya sebagai satu taktik untuk mengurangkan kadar penghijrahan rakyat mereka ke negara luar.

Pada masa yang sama, masalah ini berlaku kerana ada negara yang tidak mengiktiraf kepakaran yang dimiliki oleh seseorang itu kerana pelbagai faktor tertentu.  Contohnya, bukan semua negara memerlukan pakar dalam bidang sains nuklear dan penghasilan teknologi perisian komputer sehingga menyukarkan golongan ini menjalankan kajian dalam bidang mereka itu.  Tawaran dari negara luar yang memerlukan kepakaran mereka itu bersama-sama gaji yang lumayan sudah pasti akan menarik sesiapa sahaja untuk meninggalkan negara tercinta mereka tersebut. Jadi, pihak kerajaan perlulah mengikitiraf dan memberikan insentif yang berpatutan agar golongan cerdik pandai ini tidak meninggalkan negara mereka dengan begitu mudah pula.

Ada juga pihak yang berhijrah kerana diri mereka mempunyai keinginan untuk mencari pengalaman atau menikmati kehidupan di negara orang.  Mereka ingin mengalami suasana kehidupan di negara yang mempunyai empat musim seperti Jepun, Amerika Syarikat, dan Kanada itu. Keinginan yang begitu tinggi ini menyebabkan mereka teruja untuk pergi ke sana lalu membina hidup baru di negara asing yang menjadi idaman mereka sejak kecil tersebut. Lantaran itu, penghijrahan tidak boleh dikekang jika seseorang itu benar-benar mahu meninggalkan negara asalnya kerana berhasrat menimba pengalaman kehidupan baru yang tidak boleh ditawarkan  oleh negara asal mereka itu.

Kesimpulannya, penghijrahan ke negara lain bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dikekang oleh mana-mana pihak terutamanya kerajaan. Usaha yang lebih gigih harus dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan masalah ini tidak berlaku dalam skala yang besar pula. Namun, kita perlu berusaha untuk mencari jalan agar kehidupan di negara sendiri lebih baik sebelum berhasrat meninggalkan negara sendiri itu kerana tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain yang membuktikan negara sendiri itu amat penting dalam jiwa seseorang. Mungkin sudah sampai masanya kita melihat erti semangat cinta negara ini dalam satu sudut pandangan yang lebih luas dan tidak berdasarkan amalan yang sempit sahaja.