Perlu latihan?

Perlu latihan?

Thursday, September 07, 2017

Punca-punca pelabur asing datang ke Malaysia

Kewujudan pelaburan asing di negara ini amat penting tetapi ada pihak yang menafikannya. 
Jelaskan faktor-faktor pelabur asing berminat melabur di Malaysia.

Pelaburan asing merujuk wang yang dilaburkan oleh warga luar negara di Malaysia dalam bidang ekonomi untuk memperoleh keuntungan kewangan. Negara seperti Jepun, Amerika Syarikat, Korea Selatan, China, dan Jerman menjadi negara pelabur utama yang berani melaburkan wang mereka di negara ini sejak berdekad yang lalu. Isu pelaburan asing ini telah menjadi bahan berita utama dalam media massa negara sehingga menimbulkan perdebatan supaya kerajaan bertindak lebih agresif menarik kedatangan golongan pemodal ini. Lantaran itu, semua pihak di Malaysia perlu memahami sebab-sebab pelabur asing ini berminat untuk melaburkan wang di Malaysia.

Punca utama yang menarik minat pelabur asing ke negara ini ialah Malaysia memiliki suasana politik yang stabil berbanding negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina, dan Thailand itu. Kestabilan politik ini wujud kerana Malaysia tidak mengalami peperangan dalam tempoh tujuh dekad yang lalu dan tiada rusuhan kaum yang besar serta tiada pertukaran kerajaan yang drastik berlaku di negara ini. Pelabur asing lebih yakin dan berasa selamat apabila melihat sejarah negara ini yang tidak mengalami sebarang konflik lalu berani melaburkan wang yang banyak untuk tujuan pembangunan ekonomi itu. Jelaslah, negara ini menjadi sasaran pelaburan asing kerana Malaysia dalam keadaan aman sejahtera sepanjang zaman itu.

Selain itu, keyakinan pelabur asing bertambah tinggi terhadap negara ini kerana kemudahan awam Malaysia yang begitu canggih dan lengkap. Semua pihak sudah mengakui bahawa Malaysia memiliki rangkaian jalan raya yang berkualiti dan bekalan elektrik serta air yang stabil bersama-sama kecanggihan sistem telekomunikasi internet yang menyeluruh berbanding negara jiran seperti Laos, dan Vietnam yang jauh ketinggalan tersebut. Apabila kemudahan awam sebegini wujud sudah pasti syarikat yang menerima pelaburan asing itu berupaya menjalankan operasi perniagaan mereka dengan lancar tanpa ada sebarang gangguan yang menjejaskan produktiviti syarikat. Akibatnya, pelabur asing akan melaburkan wang mereka di negara ini kerana sedar kewujudan kemudahan awam yang moden ini menjanjikan pulangan tinggi kepada syarikat mereka itu.

Tambahan pula, sumber manusia di negara ini memiliki kualiti yang baik sehingga pelabur asing berasa yakin untuk membuka perniagaan mereka di Malaysia. Kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai pendidikan asas sehingga ke peringkat universiti dan boleh berbahasa asing terutamanya bahasa Inggeris yang amat diperlukan oleh mana-mana syarikat ternama di dunia itu. Apabila pekerja yang ditawarkan oleh Malaysia mempunyai semua kemahiran yang diperlukan oleh pelabur sudah pasti potensi perniagaan mereka menjadi lebih baik akan berlaku dalam masa terdekat itu. Lama-kelamaan, perniagaan pelabur itu akan berkembang menjadi lebih meluas ke seluruh dunia kerana mempunyai sumber manusia yang benar-benar layak di Malaysia itu.

Kemunculan pelaburan asing di Malaysia turut dikaitkan dengan kesungguhan kerajaan memberikan pelbagai insentif kepada golongan ini. Insentif yang disediakan kepada pelabur asing ini meliputi pengecualian cukai atas keuntungan pelaburan, memberikan mereka kelonggaran untuk keluar masuk negara, dan memudahkan urusan membeli rumah di negara ini. Apabila insentif ini dikemukakan kepada pelabur asing sudah pasti mereka akan berminat kerana menyedari bahawa pelaburan mereka amat dihargai atau diperlukan oleh negara ini berdasarkan insentif yang telah disediakan itu. Sesungguhnya, pelabur asing akan berebut-rebut untuk melabur di negara ini apabila mereka memahami wujudnya semua insentif yang disebutkan tadi di Malaysia itu.

Kuasa beli penduduk tempatan yang tinggi turut menjadi pendorong kepada pelabur asing untuk melaburkan wang mereka di Malaysia. Setiap hujung minggu pusat beli-belah pasti dipenuhi dengan pengunjung tempatan kerana mereka memiliki pekerjaan yang stabil serta sumber kewangan yang tinggi untuk membeli apa-apa sahaja dalam hidup. Kemampuan untuk membeli ini memberikan satu bukti kukuh kepada pelabur bahawa setiap pelaburan mereka akan membuahkan hasil kerana rakyat Malaysia pasti akan membeli produk yang dihasilkan oleh kilang pelabur asing itu.


Kesimpulannya, pelaburan asing di negara ini bertambah kerana pelbagai faktor yang dihuraikan tadi itu. Namun, ada pihak yang melihat pelaburan asing sebagai membuka pintu negara ini ke arah kemusnahan apabila mengaitkan pelaburan itu dengan budaya negatif. Masyarakat Malaysia harus membuka minda dengan melihat pelaburan asing ini sebagai langkah untuk memodenkan negara pada masa depan itu. Peribahasa di mana ada gula di situ ada semut membuktikan bahawa kelebihan Malaysia telah menjadikan negara ini destinasi yang menarik kepada pelabur asing di seluruh dunia.

No comments: