Perlu latihan?

Perlu latihan?

Monday, August 28, 2017

Kebaikan membaca karya sastera

Kebaikan membaca karya sastera boleh membantu kemajuan sesebuah negara di dunia ini seperti Malaysia.
Jelaskan kebaikan-kebaikan itu.

Karya sastera merujuk karya yang dihasilkan oleh penulis di negara ini dan mempunyai banyak pengajaran moralnya. Biasanya, karya sastera yang terkenal di negara ini ialah karya berbentuk cerpen dan novel yang menjadi kegilaan masyarakat kota. Pihak media massa sering mengetengahkan karya sastera berbentuk novel dan cerpen supaya tahap pembacaan dalam kalangan masyarakat Malaysia seiring dengan negara maju yang lain seperti Jepun dan Amerika Syarikat itu. Lantaran itu, amalan membaca karya sastera terutamanya novel ini membawa pelbagai manfaat yang menarik kepada pembaca.

Kebaikan mengamalkan amalan membaca karya sastera seperti novel ini akan memberikan pembaca pelbagai informasi yang baharu dalam kehidupan harian mereka. Dalam novel Tirani, pembaca yang membacanya akan memahami peluang yang besar wujud dalam dunia pelancongan setelah membaca watak dalam novel tersebut yang menceburi bidang pelancongan itu. Pembacaan yang berterusan akan mencetuskan satu kefahaman dalam minda pembaca tentang peluang kerjaya itu lalu kemungkinan besar mereka akan melibatkan diri dalam kerjaya yang serupa. Sebenarnya, amalan membaca akan mendedahkan pembaca kepada pelbagai maklumat yang akan berguna kepada pembaca untuk meneruskan cabaran kehidupan mereka.

Selain itu, pembaca akan memahami pelbagai kemelut yang melanda negara setelah mereka selesai membaca sesebuah hasil karya terutamanya novel itu. Pembaca yang membaca novel Tirani akan memahami dunia perniagaan sukar ditembusi oleh golongan wanita kerana persepsi masyarakat yang memandang rendah keupayaan golongan wanita itu. Kefahaman tentang persoalan novel yang dibawa oleh penulis itu akan memberikan pembaca satu pandangan baharu apabila melihat masalah-masalah sosial yang melanda negara. Akibatnya, pembaca tidak akan terburu-buru membuat kesimpulan apabila mengalami kemelut yang melanda kerana mereka sudah melihat masalah ini menerusi pembacaan karya sastera itu.
Tambahan pula, mereka yang membaca karya sastera terutama novel ini boleh menjadikan amalan ini sebagai satu kaedah untuk menghabiskan masa senggang mereka. Pembacaan novel terutama yang terkenal memerlukan tumpuan yang jitu lalu masa yang berjam-jam diperlukan untuk menghabiskan amalan pembacaan itu. Apabila masa yang panjang dihabiskan untuk membaca sudah pasti pelajar itu tidak berpeluang untuk terlibat dalam pelbagai gejala negatif terutamanya amalan melepak di kawasan beli-belah tersebut. Maka, remaja yang mengamalkan amalan membaca karya sastera tidak akan terlibat dalam perkara buruk kerana masa lapang mereka sudah dipenuhi dengan amalan yang positif ini.

Remaja yang selalu membaca karya sastera pasti mempunyai penguasaan bahasa yang tinggi berbanding mereka yang tidak suka membaca tersebut. Ketika membaca karya tersebut, remaja pasti terjumpa kosa kata dan penggunaan bahasa yang rumit lalu berusaha memahaminya dengan menggunakan kamus atau bertanya kepada guru mereka di sekolah. Lama-kelamaan, kemahiran menggunakan bahasa akan muncul dalam diri remaja itu kerana mereka sudah biasa melihat atau membaca perkataan-perkataan yang ada dalam novel itu. Ringkasnya, amalan membaca karya sastera akan meningkatkan kemahiran bahasa dalam jiwa remaja kerana mereka sudah biasa dengan sesuatu istilah tersebut.
Manfaat terakhir yang terhasil apabila karya sastera menjadi bahan bacaan masyarakat ialah ciri-ciri murni atau positif yang ada dalam novel itu akan dicontohi oleh remaja kita. Pembacaan novel Leftenan Adnan boleh menjadikan ciri keberanian yang dipamerkan oleh watak utama novel itu meresap dalam naluri remaja kerana sikap berani penting dalam kehidupan zaman ini. Remaja yang memahami ciri berani ini akan berusaha melakukan perkara yang terbaik dalam kehidupan mereka seperti belajar dengan bersungguh-sungguh atau menghadapi cabaran hidup dengan berani demi kesejahteraan masa depan mereka. Jelaslah, amalan membaca karya sastera boleh menjadi kaedah untuk membentuk peribadi yang baik dalam kalangan remaja kita semua.
Kesimpulannya, remaja kita perlu selalu membaca karya sastera kerana amalan ini membawa pelbagai impak positif kepada mereka. Namun, banyak pihak yang masih melihat amalan ini sebagai membazirkan masa kerana sukar untuk membuktikan kelebihan membaca karya tersebut pada mata masyarakat umum. Pihak berkuasa boleh membantu dalam aspek ini dengan menurunkan kadar cukai yang dikenakan terhadap import buku lalu harga buku boleh dijual pada harga yang berpatutan itu. Peribahasa membaca itu jambatan ilmu haruslah difahami lalu dijadikan amalan oleh remaja di negara ini jika Malaysia mahu mempunyai masa depan yang cerah.

Monday, August 21, 2017

Usaha-usaha pupuk semangat cinta akan negara dalam diri seseorang?

Perasaan cinta akan negara amat penting dalam kehidupan.

Jelaskan usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk membentuk perasaan cinta akan negara dalam diri seseorang.

Perasaan cinta akan negara merujuk satu perasaan berkorban demi memastikan negara dalam keadaan aman dan sejahtera untuk dihuni oleh rakyat jelata. Antara tindakan yang dilihat membuktikan bahawa seseorang itu ada perasaan cinta akan negara meliputi sikap mematuhi undang-undang negara, belajar bersungguh-sungguh, tidak mengutuk dasar kerajaan secara terbuka, dan bekerja memajukan negara. Pihak akhbar di negara ini sering menyiarkan berita tentang isu perasaan cinta akan negara yang semakin menipis dalam jiwa rakyat terutamanya golongan remaja itu. Maka, pelbagai tindakan boleh dilakukan oleh beberapa pihak untuk memastikan rasa cinta akan negara ini terus wujud dalam jiwa rakyat kita.

Cara yang paling mudah untuk memupuk sikap murni ini dalam jiwa rakyat melibatkan ibu bapa yang menerangkan kepentingan rasa cinta akan negara kepada anak mereka. Golongan tua ini harus menjelaskan sejarah negara secara umum kepada anak mereka setiap kali berpeluang berbuat demikian itu. Anak yang mendengar cerita sebegini sepanjang masa sudah pasti akan memiliki perasaan bangga tentang sejarah negara itu lalu rasa nasionalisme akan wujud dengan begitu mendalam. Jadi, ibu bapa merupakan benteng utama dalam usaha untuk memastikan semua rakyat di negara ini ada perasaan sanggup berkorban demi negara tercinta itu.

Selain itu, pihak sekolah boleh memanjangkan masa pengajaran subjek Sejarah di sekolah mereka tersebut. Setiap hari pelajar di sekolah terutama di sekolah menengah didedahkan dengan subjek ini bersama-sama tugasan kerja rumah yang banyak untuk disiapkan oleh pelajar. Apabila didedahkan dengan bahan sejarah setiap hari sudah pasti pengetahuan pelajar tentang tokoh sejarah dan peristiwa sejarah itu menjadi mendalam sehingga rasa bangga wujud pula. Sesungguhnya, tindakan menjadikan masa subjek Sejarah lebih panjang boleh mewujudkan satu kelompok remaja yang memahami kepentingan sejarah dalam kehidupan harian mereka itu.

Tambahan pula, perasaan cinta akan negara boleh dipupuk dengan meluas apabila kerajaan kita menjalankan pelbagai kempen kesedaran tentang semangat ini. Pihak berkuasa boleh mengumumkan satu bentuk kempen yang disiarkan menerusi media massa selama beberapa bulan untuk dihayati oleh rakyat negara ini. Pelaksanaan kempen semangat kebangsaan ini pasti akan mencetuskan perasaan yang positif dalam naluri rakyat tentang kebanggaan menjadi rakyat Malaysia itu. Lantaran itu, usaha melaksanakan kempen tentang semangat ini boleh menjamin masyarakat negara kita memiliki perasaan sanggup mengutamakan negara dalam sebarang tindakan mereka itu.

Kaedah seterusnya, diri individu tersebut berusaha membaca sebanyak mungkin bahan bacaan yang berkaitan dengan sejarah negara ini. Rakyat Malaysia boleh membeli buku sejarah yang dijual di kedai-kedai buku atau menonton program televisyen yang disiarkan itu untuk memperoleh informasi tentang peristiwa sejarah yang pernah berlaku di negara ini. Tindakan membaca bahan sejarah secara sendiri ini memastikan rakyat mengetahui perkara yang benar-benar berlalu di negara ini lalu perasaan cinta akan negara muncul secara diam-diam.  Jelaslah, semakin kerap seseorang itu membaca bahan sejarah sendiri semakin tebal semangat cinta akan negara yang akan wujud dalam jiwa mereka.

Pihak swasta boleh membantu memupuk perasaan cinta akan negara dengan menerbitkan filem dan dokumentari tentang sesuatu peristiwa sejarah yang pernah berlaku itu. Aksi yang dilihat menerusi penayangan filem atau dokumentari itu lebih mudah untuk difahami oleh generasi muda berbanding dengan tindakan membaca bahan sejarah secara biasa itu. Usaha menggunakan teknologi moden seperti filem ini berupaya untuk menanam semangat ini dengan lebih mendalam dalam jiwa remaja yang begitu memerlukan bimbingan yang betul. Ringkasnya, usaha menggunakan filem dan dokumentari ini sudah terbukti mampu untuk mendapat perhatian remaja agar mereka meminati sejarah negara lalu sanggup berkorban demi Malaysia.


Kesimpulannya, semua hujah tadi membuktikan bahawa usaha-usaha tersebut boleh dilaksanakan supaya perasaan cinta akan negara boleh terhasil. Semua pihak harus bekerjasama dan tidak menuding jari untuk melaksanakan tindakan-tindakan tersebut. Kegagalan untuk bekerjasama boleh menyebabkan remaja kita tidak lagi menghormati negara lalu sanggup memusnahkan negara dengan tindakan-tindakan tertentu pula. Peribahasa pemuda harapan negara, pemudi tiang bangsa membuktikan bahawa semua ahli masyarakat kita memiliki tugas tersendiri untuk memajukan negara menjadi sebuah negara yang berjaya itu.