Perlu latihan?

Perlu latihan?

Thursday, July 06, 2017

Gaya hidup moden punca masyarakat tertekan kehidupannya

Kehidupan gaya hidup moden telah menyebabkan masyarakat semakin tertekan hidup mereka. Banyak gejala sosial dikaitkan dengan kemunculan gaya hidup moden ini.
Jelaskan.

Oleh: noor azman mahat

Gaya hidup moden bermaksud cara masyarakat zaman ini menjalankan aspek kehidupan mereka mengikut budaya semasa itu. Situasi gaya hidup moden ini telah menimbulkan banyak tekanan hidup kepada masyarakat sehingga menjadikan kes bunuh diri, jenayah pembunuhan, dan perceraian serta pergaduhan sesuatu yang normal untuk berlaku. Media massa terutamanya akhbar telah menjadikan gaya hidup moden sebagai bahan berita dengan menyiarkan pelbagai rencana tentang gaya hidup tersebut untuk tatapan pembaca. Lantaran itu, banyak punca gaya hidup moden ini yang menyebabkan masyarakat tertekan hidupnya.

Faktor utama gaya hidup moden yang membawa tekanan ini ialah sikap masyarakat yang terlalu asyik menggunakan teknologi terutama komunikasi dalam kehidupan harian mereka. Kecanggihan teknologi seperti telefon bimbit, komputer dan sebagainya telah menutup mata masyarakat erti masa kerja dan masa rehat yang sebenarnya. Tekanan hidup berlaku apabila penggunaan teknologi menjadi keutamaan individu tersebut dalam menjalani kehidupan hariannya. Lama-kelamaan, masa rehat tidak diperoleh sehingga menjadikan minda penat lalu pelbagai perkara buruk akan melanda terutamanya masalah psikologi manusia itu.

Selain itu, tekanan hidup muncul apabila masyarakat berbelanja tanpa kawalan sehingga menimbulkan masalah pada masa hadapan. Pembelian yang keterlaluan ini dikaitkan dengan gaya hidup moden yang mengutamakan jenama sesuatu barang berbanding penggunaan atau kualiti barang tersebut. Amalan ini diburukkan lagi dengan gaya hidup masyarakat yang mudah terpedaya dengan jualan murah yang dianjurkan oleh pelbagai penjual pada musim-musim perayaan. Maka, tekanan berhutang atau menjadi pokai disebabkan gaya hidup manusia yang terlalu mengutamakan jenama daripada perkara lain.

Tambahan pula, masyarakat yang tertekan hidupnya disebabkan oleh ketiadaan interaksi dengan orang lain dalam kehidupan harian. Masyarakat tidak lagi berinteraksi kerana terlalu sibuk bekerja dan menggunakan teknologi komunikasi untuk berinteraksi tanpa perlu bersemuka itu. Setiap masalah atau tekanan hidup yang dialami tidak boleh dicurahkan kepada orang lain secara biasa kerana individu di dunia ini tidak lagi tahu cara-cara untuk bercakap sesama manusia sehingga menyukarkan kemelut itu diselesaikan. Ringkasnya, tekanan akan menjadi-jadi apabila manusia itu tidak melakukan interaksi secara normal dengan orang lain terutamanya ibu bapa dan kawan-kawan.



Tekanan hidup manusia turut disebabkan oleh sikap masyarakat yang terlalu mengutamakan persaingan dalam kehidupan itu. Konsep persaingan ini bukan sahaja wujud ketika manusia bekerja tetapi ketika belajar dan juga apabila menjalani kehidupan biasa. Amalan mengutamakan persaingan ini telah membawa manusia berlumba-lumba untuk mengatasi satu sama lain sehingga melupakan banyak perkara kehidupan lain yang turut harus diberi penekanan oleh seseorang itu. Jadi, sikap bersaing telah mengambil banyak tenaga, masa, dan sumber kewangan manusia itu lalu menimbulkan tekanan dalam yang boleh merobek jiwa sesiapa sahaja yang tidak berhati-hati.

Kajian juga telah membuktikan bahawa tekanan hidup masyarakat moden disebabkan kepercayaan konsep segera penting dalam kehidupan mereka. Segera pada pandangan masyarakat terutamanya remaja bermaksud mereka memperoleh sesuatu kejayaan, kemahiran, kekayaan, dan kebahagiaan dalam tempoh segera. Persepsi ini menyebabkan masyarakat sanggup menipu, melakukan kesalahan, dan juga menyimpang daripada nilai-nilai budaya sendiri untuk memperoleh sesuatu itu dengan kadar segera. Sesungguhnya, ahli masyarakat yang terpedaya dengan konsep segera ini akan berasa diri mereka hidup dalam tekanan sepanjang masa lalu banyak perkara buruk akan timbul pada masa hadapan tersebut
Kesimpulannya, semua faktor tadi telah membawa kehidupan manusia zaman moden ini penuh dengan tekanan yang hebat. Semua pihak terutamanya remaja hendaklah sedar bahawa kehidupan ini harus diimbangi dengan pelbagai aktiviti yang sihat untuk kebahagiaan kehidupan masa sekarang dan seterusnya itu. Namun, masyarakat zaman ini sudah banyak yang terpedaya dengan kehidupan palsu itu lalu tekanan hidup yang dialami begitu sukar untuk dibendung dan dikawal pula. Peribahasa masa itu emas mengingatkan kita semua bahawa penggunaan masa perlulah seimbang untuk kebahagiaan kehidupan yang sejati.


.