Perlu latihan?

Perlu latihan?

Monday, June 05, 2017

Punca pengabaian ibu bapa di Malaysia


Kehidupan zaman moden telah menyebabkan banyak ibu bapa terabai ketika mereka tua. Media massa turut mengetengahkan isu ini dalam penyiaran pelbagai bahan berita mereka.
Jelaskan punca-punca pengabaian ini berlaku.

Pengabaian ibu bapa bermaksud orang tua dibiarkan tanpa sebarang bimbingan dan kasih sayang daripada anak mereka. Sudah banyak kedengaran kisah ibu bapa dibiarkan menderita dan tidak mempunyai rumah untuk didiami terutamanya di kawasan kota itu kerana isu pengabaian ini semakin meruncing. Media massa turut mengetengahkan kemelut ini menerusi siaran berita sehingga mengejutkan pelbagai pihak tentang gejala yang semakin menjadi-jadi ini. Lantaran itu, banyak faktor yang menyebabkan masyarakat kita mengabaikan ibu bapa dalam kehidupan mereka itu.

Punca utama pengabaian ibu bapa berlaku disebabkan masyarakat zaman ini tidak dididik atau diasuh dengan baik oleh ibu bapa mereka. Ada ibu bapa yang tidak mengasuh anak dengan baik atau memberi teladan yang tidak betul kepada anak terutamanya dalam aspek penjagaan orang tua. Apabila anak melihat kelakuan ibu bapa yang tidak menghormati orang tua mereka itu sudah pasti anak tersebut akan memahami sesuatu lalu mengambil jalan yang serupa pula. Ringkasnya, pengabaian ibu bapa bolehlah dituding kepada kegagalan mendidik anak oleh golongan tua pada suatu ketika itu.

Selain itu, kos kehidupan yang tinggi terutama di kota telah mendesak beberapa ahli masyarakat untuk membiarkan ibu bapa mereka begitu sahaja. Golongan yang berpendapatan rendah sudah pasti akan mengalami masalah kewangan kerana kos hidup sudah terlalu tinggi untuk menyara keluarga sendiri apatah lagi menyara ibu bapa mereka itu. Masyarakat berada dalam dilema sama ada mahu menyelamatkan keluarga sendiri atau membantu menjaga ibu bapa yang sudah tua tersebut. Jelaslah, isu pengabaian ibu bapa banyak dikaitkan dengan aspek kewangan terutamanya golongan yang berpendapatan rendah kerana kos menjaga orang tua begitu mahal.

Tambahan pula, kajian membuktikan bahawa pengabaian ibu bapa banyak disebabkan oleh sikap ibu bapa yang terlalu bergantung harap kepada anak mereka. Pada pandangan ibu bapa, anak menjadi jaminan untuk mereka meneruskan kehidupan setelah hari tua kelak. Sikap bergantung harap ini mudah mencetuskan konflik sesama anak sehingga menjadikan hubungan ibu bapa dengan anak mereka akan terjejas pada masa hadapan. Sesungguhnya, ibu bapa yang berdikari boleh membantu anak mereka dalam usaha menjalani kehidupan yang lebih bererti pada masa depan.

Pengabaian ibu bapa turut disebabkan oleh kurangnya kemudahan rumah penjagaan orang-orang tua di Malaysia. Jika negara ini mempunyai lebih banyak kemudahan sebegini sudah pasti orang tua terutamanya ibu bapa masyarakat boleh menikmati kehidupan yang lebih bermakna dan ceria. Kemudahan ini lengkap dengan perubatan, aktiviti sosial, dan interaksi dengan orang tua yang lain akan menjadikan kehidupan harian ibu bapa masyarakat itu lebih menarik untuk di nikmati setiap hari. Maka, isu pengabaian ibu bapa semakin meruncing kerana negara ini tidak memiliki kemudahan penjagaan orang tua yang banyak dan berkualiti tersebut untuk memastikan nasib orang tua terjamin di Malaysia.

Kesimpulannya, masalah pengabaian ibu bapa yang sudah tua telah menjadi duri dalam daging dalam kalangan masyarakat kita.  Sikap menuding jari dengan menyalahkan satu sama lain bukanlah satu kaedah yang tepat dalam mengekang isu ini. Sudah sampai masanya semua pihak duduk semeja untuk mencari jalan tengah menyelesaikan kemelut yang bakal menghantuai masa depan negara tersebut. Peribahasa tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain harus menjadi penringatan kepada anak supaya terus menghargai ibu bapa yang sudah banyak kali menjaga mereka ketika kecil itu.


No comments: