Perlu latihan?

Perlu latihan?

Friday, June 02, 2017

Kepentingan amalan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat


Budi bahasa budaya kita sering menjadi slogan dalam ucapan pemimpin negara.

Huraikan kepentingan amalan berbudi bahasa kepada negara kita.

Budi bahasa merujuk amalan menggunakan bahasa yang sopan apabila berbicara dengan orang lain. Antara bukti yang menunjukkan seseorang itu berbudi bahasa ialah dia menggunakan bahasa panggilan yang betul, nada yang lembut, dan tidak mengeluarkan kata-kata kesat apabila berbicara. Pihak media massa terutamanya televisyen sering menyiarkan berita tentang sikap ahli masyarakat kita yang sudah melupakan amalan berbudi bahasa dalam kehidupan harian. Maka, wujud banyak kelebihan apabila ahli masyarakat kita mengamalkan amalan berbudi bahasa dalam aktiviti harian mereka.

Kelebihan pertama ialah budi bahasa berupaya membentuk negara ini menjadi sebuah negara yang aman dan harmoni. Negara menjadi sebuah negara yang harmoni lagi aman kerana semua rakyatnya tidak berbicara tentang perkara yang berunsur sensitif atau mampu menimbulkan kekecohan pula. Lama-kelamaan, semua ahli masyarakat akan menjadi lebih peka dengan kelebihan atau kekurangan pihak lain lalu tidak sengaja menggunakan bahasa yang tidak sopan untuk menegur mereka. Lantaran itu, semakin banyak orang berbudi bahasa semakin amanlah negara ini daripada pihak-pihak yang berniat jahat itu.

Selain itu, perpaduan antara rakyat Malaysia menjadi lebih utuh apabila budi bahasa menjadi gaya hidup rakyat. Perpaduan yang kukuh itu boleh diperoleh kerana setiap ahli masyarakat berinteraksi sesama mereka tanpa ada sekatan bahasa atau tindakan yang boleh menyinggung perasaan mereka. Interaksi yang berjalan dengan produktif itu menjamin tidak berlakunya sebarang ancaman perpecahan antara kaum yang biasanya kita lihat berlaku di negara luar. Jadi, masyarakat yang mengutamakan budi bahasa akan menjamin wujudnya perpaduan yang intim antara ahli masyarakat tersebut.

Tambahan pula, kemampuan rakyat untuk berbudi bahasa dalam pergaulan harian mampu menjadikan maruah atau imej negara Malaysia lebih baik. Setiap kali rakyat kita mengamalkan budi bahasa sudah pasti orang lain akan melihatnya lalu amalan itu menjadi buah mulut masyarakat luar. Aktiviti yang sopan ini akan mula dikenali sehingga nama negara disebut-sebut oleh pihak asing terutamanya menggunakan media massa zaman moden seperti internet itu. Sesungguhnya, nama Malaysia akan tersohor di dunia ini apabila masyarakat kita terutamanya remaja menjadikan budi bahasa sebagai sebahagian daripada amalan kehidupan mereka tersebut.

Kehadiran pelancong terutama pelancong asing dijangka akan bertambah apabila berita tentang ketinggian budi bahasa rakyat kita diketahui oleh masyarakat luar. Ketinggian budi bahasa rakyat akan bertukar menjadi budaya tempatan yang ingin diketahui oleh pelancong asing itu kerana budaya berbudi bahasa tidak wujud di semua negara. Kemunculan pelancong asing yang datang untuk melihat budaya kita pastinya akan menimbulkan rasa kebanggaan dalam jiwa rakyat yang bergelar rakyat Malaysia itu. Jelaslah, pelancong asing akan berduyun-duyun datang ke Malaysia apabila mengetahui ketinggian budi bahasa yang diamalkan oleh rakyat negara ini. 

Malahan, amalan berbudi bahasa berupaya menjadikan kehidupan masyarakat kita lebih baik. Kehidupan rakyat Malaysia lebih tenteram kerana negara ini tidak mengalami sebarang pergaduhan atau peperangan yang boleh tercetus akibat ketiadaan budi bahasa sesama ahli masyarakat tersebut. Situasi ini menjadikan ekonomi, politik, dan sebagainya lebih stabil lalu taraf hidup rakyat menjadi lebih tinggi berbanding negara jiran yang sering bergolak itu. Jadi, rakyat yang berbudi bahasa akan membawa negara ini mengalami satu suasana kehidupan yang lebih bermakna dan gembira serta menarik pula.

Kesimpulannya, semua kelebihan berbudi bahasa tadi itu akan berlaku apabila semua rakyat di negara ini mengamalkannya tanpa dalih. Semua pihak terutamanya remaja harus melihat berbudi bahasa sebagai sesuatu yang menarik untuk diamalkan kerana sikap ini akan menjadikan remaja lebih dihormati oleh rakan dan ibu bapa serta masyarakat.  Kegagalan untuk berbudi bahasa ini akan membawa negara kita terjerumus ke lembah yang hina seperti kancah peperangan itu. Peribahasa orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa membuktikan bahawa amalan berbudi bahasa itu pasti membuahkan hasil yang positif kepada sesiapa sahaja yang mengamalkannya dalam hidup mereka.


No comments: