Perlu latihan?

Perlu latihan?

Wednesday, June 14, 2017

Bukti nilai kemanusiaan sudah hilang

Nilai kemanusiaan sudah hilang di dunia ini. Peperangan, jenayah, dan pergaduhan yang kerap berlaku membuktikan kenyataan ini.
Huraikan.

Nilai kemanusiaan bermaksud nilai-nilai yang mengutamakan kebaikan dalam kehidupan seseorang itu. Biasanya, nilai kemanusiaan ini meliputi sikap suka membantu, menderma sesuatu, dan melakukan kebaikan kepada orang lain tanpa ada pilih kasih. Kemelut nilai kemanusiaan yang semakin menghilang dalam jiwa masyarakat sudah menjadi bahan berita utama media massa di negara ini sejak sekian lama. Maka, ada banyak bukti yang menyokong kenyataan bahawa nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat kita sudah tiada lagi itu.

Bukti utama nilai kemanusiaan sudah hilang ialah kejadian mendera kanak-kanak semakin menjadi-jadi terutama dalam kalangan masyarakat di kota besar. Kejadian ini menunjukan bahawa manusia sudah tiada rasa kasihan kepada anak atau darah daging mereka sehingga berani mencederakan kanak-kanak itu. Mereka seolah-olah sudah dirasuk oleh kuasa ajaib sehingga terus menghukum anak sendiri tanpa ada sebarang pemikiran rasional pula. Jelaslah, masyarakat sudah memandang rendah nilai kemanusiaan kerana melihat penderaan anak sendiri sebagai satu jalan keluar daripada masalah yang menghantui mereka.

Selain itu, nilai kemanusiaan sudah pupus daripada jiwa masyarakat berdasarkan peningkatan kes pengabaian ibu bapa. Sudah wujud golongan tua yang dibiarkan hidup melarat dan bersendirian tanpa ditemani oleh anak mereka. Pelbagai alasan diberikan oleh golongan anak termasuklah kesempitan kewangan dan ketiadaan kesefahaman antara ibu bapa yang membawa mereka membiarkan sahaja orang tua sendiri itu. Ringkasnya, anak yang memiliki nilai kemanusiaan tidak akan sesekali membiarkan ibu bapa yang sudah banyak berjasa itu melarat begitu sahaja.

Tambahan pula, peningkatan kes jenayah di kawasan bandar besar menjadi bukti nyata bahawa masyarakat kita sudah lenyap nilai kemanusiaan tersebut. Golongan masyarakat yang sanggup meragut, membunuh, merompak, dan melakukan jenayah terhadap insan lain seolah-olah tidak lagi memiliki hati manusia sejati. Kekerapan kejadian jenayah bukan sahaja menakutkan penduduk setempat tetapi turut menjadikan persepsi masyarakat sudah hilang arah tuju dalam kehidupan mereka yang sebenarnya. Sesungguhnya, jenayah berlaku disebabkan insan tersebut sudah hilang nilai kemanusiaan yang membedakannya daripada haiwan lain.

Kehilangan nilai kemanusiaan dalam jiwa masyarakat turut dikaitkan dengan berlakunya penindasan terhadap golongan miskin oleh golongan atasan. Banyak kali kedengaran isu golongan miskin diusir dari tanah mereka atau tidak diberi pampasan yang betul jika pihak atasan mengambil sesuatu daripada mereka. Golongan kaya atau pihak berkuasa melakukan apa-apa tanpa dikenakan tindakan undang-undang yang disediakan oleh kerajaan itu. Lama-kelamaan, penindasan ini akan menjadi satu budaya yang diterima oleh masyarakat lalu membuktikan bahawa masyarakat itu sudah tiada nilai kemanusiaan sebenar.

Bukti terakhir yang membawa musnahnya nilai kemanusiaan dalam naluri masyarakat dikaitkan dengan golongan muda yang tiada peribadi mulia. Golongan muda ini tidak lagi menghormati orang tua, melakukan perkara yang tidak berfaedah dan suka meniru budaya asing yang tidak sesuai menjadikan minda mereka sudah tidak rasional lagi. Belia yang dipenuhi dengan tenaga yang banyak tidak lagi melihat usaha memajukan negara dan bangsa serta keluarga sebagai satu keutamaan sebaliknya lebih suka berlibur tanpa kawalan. Lantaran itu, belia memerlukan bimbingan ibu bapa yang benar-benar kukuh nilai kemanusiaannya untuk meneruskan cabaran kehidupan moden ini.


Kesimpulannya, semua hujah tadi membuktikan bahawa rakyat negara ini sudah hilang nilai kemanusiaannya kerana terpengaruh dek kebendaan sahaja. Namun, masih ada segelintir rakyat negara ini yang mengutamakan kebendaan dalam menjalani kehidupan mereka sehingga melupakan aspek kemanusiaan tersebut. Ibu bapa perlulah menjadi tunjang utama dalam usaha mendidik remaja kita agar kembali semula ke jalan yang lurus lagi benar itu. Peribahasa biar mati anak, jangan mati adat membuktikan bahawa budaya yang mengutamakan kemanusiaan itu harus kekal dalam kehidupan manusia sejagat pada masa hadapan.

No comments: