Perlu latihan?

Perlu latihan?

Friday, May 05, 2017

Cara pupuk rasa cinta akan negara?

Perasaan cinta akan negara amat penting dalam kehidupan.

Jelaskan usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk membentuk perasaan cinta akan negara dalam diri seseorang.

Perasaan cinta akan negara merujuk satu perasaan berkorban demi memastikan negara dalam keadaan aman dan sejahtera untuk dihuni oleh rakyat jelata. Antara tindakan yang dilihat membuktikan bahawa seseorang itu ada perasaan cinta akan negara meliputi sikap mematuhi undang-undang negara, belajar bersungguh-sungguh, tidak mengutuk dasar kerajaan secara terbuka, dan bekerja memajukan negara. Pihak akhbar di negara ini sering menyiarkan berita tentang isu perasaan cinta akan negara yang semakin menipis dalam jiwa rakyat terutamanya golongan remaja itu. Maka, pelbagai tindakan boleh dilakukan oleh beberapa pihak untuk memastikan rasa cinta akan negara ini terus wujud dalam jiwa rakyat kita.

Cara yang paling mudah untuk memupuk sikap murni ini dalam jiwa rakyat melibatkan ibu bapa yang menerangkan kepentingan rasa cinta akan negara kepada anak mereka. Golongan tua ini harus menjelaskan sejarah negara secara umum kepada anak mereka setiap kali berpeluang berbuat demikian itu. Anak yang mendengar cerita sebegini sepanjang masa sudah pasti akan memiliki perasaan bangga tentang sejarah negara itu lalu rasa nasionalisme akan wujud dengan begitu mendalam. Jadi, ibu bapa merupakan benteng utama dalam usaha untuk memastikan semua rakyat di negara ini ada perasaan sanggup berkorban demi negara tercinta itu.

Selain itu, pihak sekolah boleh memanjangkan masa pengajaran subjek Sejarah di sekolah mereka tersebut. Setiap hari pelajar di sekolah terutama di sekolah menengah didedahkan dengan subjek ini bersama-sama tugasan kerja rumah yang banyak untuk disiapkan oleh pelajar. Apabila didedahkan dengan bahan sejarah setiap hari sudah pasti pengetahuan pelajar tentang tokoh sejarah dan peristiwa sejarah itu menjadi mendalam sehingga rasa bangga wujud pula. Sesungguhnya, tindakan menjadikan masa subjek Sejarah lebih panjang boleh mewujudkan satu kelompok remaja yang memahami kepentingan sejarah dalam kehidupan harian mereka itu.

Tambahan pula, perasaan cinta akan negara boleh dipupuk dengan meluas apabila kerajaan kita menjalankan pelbagai kempen kesedaran tentang semangat ini. Pihak berkuasa boleh mengumumkan satu bentuk kempen yang disiarkan menerusi media massa selama beberapa bulan untuk dihayati oleh rakyat negara ini. Pelaksanaan kempen semangat kebangsaan ini pasti akan mencetuskan perasaan yang positif dalam naluri rakyat tentang kebanggaan menjadi rakyat Malaysia itu. Lantaran itu, usaha melaksanakan kempen tentang semangat ini boleh menjamin masyarakat negara kita memiliki perasaan sanggup mengutamakan negara dalam sebarang tindakan mereka itu.

Kaedah seterusnya, diri individu tersebut berusaha membaca sebanyak mungkin bahan bacaan yang berkaitan dengan sejarah negara ini. Rakyat Malaysia boleh membeli buku sejarah yang dijual di kedai-kedai buku atau menonton program televisyen yang disiarkan itu untuk memperoleh informasi tentang peristiwa sejarah yang pernah berlaku di negara ini. Tindakan membaca bahan sejarah secara sendiri ini memastikan rakyat mengetahui perkara yang benar-benar berlalu di negara ini lalu perasaan cinta akan negara muncul secara diam-diam.  Jelaslah, semakin kerap seseorang itu membaca bahan sejarah sendiri semakin tebal semangat cinta akan negara yang akan wujud dalam jiwa mereka.

Pihak swasta boleh membantu memupuk perasaan cinta akan negara dengan menerbitkan filem dan dokumentari tentang sesuatu peristiwa sejarah yang pernah berlaku itu. Aksi yang dilihat menerusi penayangan filem atau dokumentari itu lebih mudah untuk difahami oleh generasi muda berbanding dengan tindakan membaca bahan sejarah secara biasa itu. Usaha menggunakan teknologi moden seperti filem ini berupaya untuk menanam semangat ini dengan lebih mendalam dalam jiwa remaja yang begitu memerlukan bimbingan yang betul. Ringkasnya, usaha menggunakan filem dan dokumentari ini sudah terbukti mampu untuk mendapat perhatian remaja agar mereka meminati sejarah negara lalu sanggup berkorban demi Malaysia.


Kesimpulannya, semua hujah tadi membuktikan bahawa usaha-usaha tersebut boleh dilaksanakan supaya perasaan cinta akan negara boleh terhasil. Semua pihak harus bekerjasama dan tidak menuding jari untuk melaksanakan tindakan-tindakan tersebut. Kegagalan untuk bekerjasama boleh menyebabkan remaja kita tidak lagi menghormati negara lalu sanggup memusnahkan negara dengan tindakan-tindakan tertentu pula. Peribahasa pemuda harapan negara, pemudi tiang bangsa membuktikan bahawa semua ahli masyarakat kita memiliki tugas tersendiri untuk memajukan negara menjadi sebuah negara yang berjaya itu.