Perlu latihan?

Perlu latihan?

Monday, April 24, 2017

Kaedah pemimpin dunia atasi masalah kebuluran sejagat?

Jelaskan usaha-usaha yang perlu diambil oleh pemimpin-pemimpin dunia untuk menangani masalah kebuluran yang berlaku di beberapa buah negara.

Kebuluran dikatakan sebagai satu kejadian yang menyaksikan jumlah manusia tidak menerima makanan dalam kuantiti yang betul untuk tempoh yang lama sehingga menimbulkan masalah kesihatan. Biasanya, kebuluran ini melanda negara yang miskin dan mengalami peperangan serta suasana tidak aman yang berlaku dalam satu jangka masa panjang. Isu ini telah menjadi perdebatan pelbagai pihak termasuklah pemimpin dunia kerana saban tahun kejadian kebuluran dilaporkan oleh media massa di seluruh dunia. Jadi, semua pemimpin dunia harus komited untuk melakukan sesuatu agar kebuluran tidak lagi berlaku di dunia ini.

Tindakan yang praktikal dalam usaha mengawal kebuluran daripada terus berlaku ialah pemimpin dunia harus memastikan keamanan global wujud. Semua persengketaan atau masalah yang melanda mana-mana negara haruslah diselesaikan menerusi meja bulat oleh pemimpin-pemimpin dunia dengan kadar segera. Langkah berunding atau mencari penyelesaian sesuatu konflik secara aman akan membawa suasana kehidupan di dunia ini sentosa tanpa ada gangguan peperangan tersebut. Jelaslah, keamanan dunia yang dijanjikan oleh para pemimpin dunia akan memastikan tidak ada negara yang mengalami kebuluran dek peperangan atau persengketaan sesama manusia itu.

Selain itu, pemimpin dunia boleh mengekang kebuluran daripada terus berlaku apabila golongan berstatus tinggi ini membuka lebih banyak kawasan tanah untuk pertanian di negara mereka. Pembukaan tanah ini boleh dilakukan menerusi usaha bersungguh-sungguh pihak berkuasa di seluruh dunia dengan membenarkan kawasan hutan yang diterokai itu diberikan kepada rakyat mereka. Pemberian tanah yang diteroka ini kepada rakyat akan memudahkan mereka untuk mengerjakan tanah tersebut dengan menanam jenis tanaman yang boleh menjadi sumber makanan kepada penduduk negara itu dan dunia amnya. Lantaran itu, usaha pemimpin dunia membenarkan lebih banyak kawasan hutan di negara mereka dibuka untuk dijadikan kawasan pertanian mampu mengatasi masalah kebuluran itu.

Tambahan pula, tindakan memberi galakan kepada masyarakat dunia untuk melakukan kajian terhadap tanaman oleh pemimpin dunia semuanya turut mampu mengatasi kemelut ini. Pelbagai ganjaran dan kemudahan disediakan oleh setiap negara untuk menjadi sumber perangsang kepada rakyat mereka melakukan kajian tanaman dalam usaha menghasilkan baka tanaman yang berkualiti tinggi tersebut. Kajian sebegini pastinya akan membuahkan hasil seperti tanaman yang mampu hidup subur di kawasan kemarau dan mengeluarkan hasil yang banyak dalam tempoh masa yang pendek. Ringkasnya, usaha pemimpin dunia memberi dorongan kepada rakyat untuk membuat kajian tanaman akan memastikan kebuluran merupakan perkara yang hanya berlaku pada masa silam.

Kebuluran yang melanda sesebuah negara di dunia ini boleh diatasi menerusi kewujudan satu sistem penyimpanan atau stor yang praktikal. Para pemimpin dunia boleh berbincang secara mereka untuk mencapai persetujuan tentang tempat stor ini didirikan dan jenis makanan yang akan disimpan di stor tersebut untuk kemudahan semua masyarakat dunia. Kemudahan penyimpanan ini membolehkan mana-mana negara yang mengalami kebuluran meminta bantuan lalu makanan yang disimpan di stor ini akan diagihkan kepada negara terbabit dengan kadar segera. Maka, tindakan membina gudang penyimpanan sebegini akan memastikan bekalan makanan boleh dihantar dengan segera ke mana-mana kawasan dunia yang mengalami krisis makanan tersebut.

Pemimpin dunia yang berfikiran jauh akan memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan dalam pemberian bantuan makanan kepada negara yang dilanda kebuluran itu. Golongan ini haruslah bijak memilih sumber manusia yang jujur dan melakukan tugas dengan dedikasi tanpa mengharapkan sebarang ganjaran dalam bentuk duit kopi yang bakal menjejaskan proses penghantaran bantuan kemanusiaan tersebut. Ketelusan dalam aspek pengagihan bantuan kemanusiaan ini berupaya untuk membantu mana-mana negara yang dilanda masalah kebuluran kerana sistem agihannya adil dan efektif. Sesungguhnya, sistem pengagihan yang lancar dan sistematik akan membantu pemimpin dunia untuk menghapuskan isu kebuluran dalam kehidupan masyarakat global.

Kesimpulannya, pemimpin dunia memang bertanggungjawab dalam usaha memerangi kemelut kebuluran di dunia ini tanpa perlu dipersoalkan oleh rakyat. Semua pihak harus sedar lalu melihat kebuluran sebagai satu masalah yang tidak harus wujud dalam kehidupan manusia zaman moden yang dipenuhi dengan teknologi, pengangkutan canggih dan sebagainya itu. Kita harus mengakui bahawa kebuluran berlaku bukan kerana kekurangan makanan dunia tetapi kesilapan manusia sendiri yang mewujudkan masalah yang kronik tetapi mengorbankan nyawa tersebut. Peribahasa nasi sudah menjadi bubur mengingatkan kita bahawa kebuluran yang berlaku telah membawa pelbagai peristiwa yang meninggalkan kesan buruk terhadap kehidupan manusia sejagat.


Wednesday, April 12, 2017

Kebaikan produk negara dieksport?

Produk negara penting dijual di luar negara untuk kepentingan semua pihak. Namun, ada pihak yang enggan melakukannya.
Jelaskan kebaikan-kebaikan produk negara dijual di luar negara.

Produk tempatan bermaksud barang yang dihasilkan oleh negara ini untuk tujuan eksport luaran dan kegunaan rakyat dalaman. Hasil keluaran negara yang diakui oleh masyarakat dunia meliputi produk automotif, produk berasaskan getah, dan bahan mentah bijih timah. Usaha memasarkan produk ini ke negara luar telah mendapat perhatian semua pihak terutamanya pihak kerajaan yang melihat produk ini ada potensi luas.  Jadi, apakah perkara yang timbul apabila produk negara dipasarkan ke luar negara?

Impak yang timbul apabila produk negara dipasarkan ke luar ialah pelabur asing akan lebih berminat untuk melabur di negara ini kerana sedar produk itu akan dijual di seluruh dunia. Pelaburan asing ini penting kerana kehadiran mereka bukan sahaja menyumbangkan sumber kewangan tetapi juga membawa kepakaran dalam bidang pembuatan sesuatu produk itu. Kehadiran pelabur asing akan menjadikan produk negara berupaya bersaing di persada dunia terutama dalam bahagian yang penuh dengan cabaran itu seperti bidang automotif dan jentera berat. Akibatnya, hasil jualan produk tempatan akan menjadi lebih tinggi sehingga menguntungkan syarikat Malaysia.

Selain itu, usaha memasarkan produk negara ke seluruh dunia akan membuka lebih banyak pasaran baru pula. Apabila pasaran baru dibuka terutamanya di negara yang mempunyai populasi yang tinggi sudah pasti jualan produk negara akan mencecah jutaan ringgit. Keuntungan yang diperoleh menerusi jualan yang banyak setelah meneroka pasaran baru di dunia ini akan menghasilkan lebih banyak aktiviti penyelidikan untuk produk terbaru. Ringkasnya, usaha mengeksport produk tempatan ke luar negara akan memudahkan produk itu menembusi pasaran yang sebelum ini sukar untuk dimasuki pula.

Tambahan pula, amalan mengeksport produk negara ke luar ini boleh menjadikan ekonomi negara lebih stabil. Semua hasil kutipan jualan produk ini akan dihantar semula ke Malaysia oleh setiap wakil penjual sesuatu produk tersebut. Wang yang diterima boleh digunakan oleh kerajaan melalui pengenalan pelbagai jenis cukai untuk menyediakan kemudahan yang diperlukan oleh rakyat negara ini. Lama-kelamaan, ekonomi negara akan lebih makmur kerana kerajaan boleh mengutip pelbagai cukai yang dikenakan kepada syarikat yang menghasilkan produk untuk pasaran luar negara itu.

Pengeksportan produk tempatan turut menjadikan imej negara ini pada mata masyarakat asing menjadi lebih baik. Kualiti dan kreativiti yang terhasil menerusi penghasilan sesuatu produk tempatan itu akan membayangkan keupayaan rakyat negara ini dalam penghasilan sesuatu barang untuk kegunaan manusia. Persepsi yang positif ini akan memberikan rasa bangga dalam diri rakyat Malaysia lalu mereka akan berusaha meningkatkan kualiti produk untuk keperluan masa depan pula. Maka, usaha menjual produk tempatan ke luar negara bukan sahaja menjadikan negara ini mengaut keuntugan tetapi turut menjadikan imej negara tersohor pada mata orang luar.

Peluang pekerjaan untuk rakyat negara ini akan bertambah apabila mereka diberi pekerjaan menerusi pengeksportan produk tempatan ini. Permintaan produk tempatan yang tinggi akan menyebabkan semua syarikat yang terlibat akan menambah pekerja mereka semata-mata untuk memenuhi permintaan tersebut. Apabila rakyat negara ini memiliki pekerjaan tetap sudah pasti taraf ekonomi mereka menjadi lebih baik untuk satu tempoh tertentu itu. Sesungguhnya, usaha menjual produk negara ke luar negara boleh menjamin pengangguran di Malaysia tidak akan wujud selaman-lamanya.


Kesimpulannya, usaha mengeksport produk tempatan ke luar negara merupakan satu usaha positif lagi murni buat masyarakat kita apabila dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Pengeksportan produk ini penting kerana impak positif yang timbul daripada langkah ini akan menjadikan negara dan rakyat Malaysia lebih baik pada masa depan. Situasi ini akan menjadikan negara ini lebih bersedia untuk mengharungi cabaran kehidupan yang penuh dugaan terutama dalam perubahan teknologi maklumat yang begitu hebat itu. Peribahasa sediakan payung sebelum hujan mengingatkan kita supaya bersedia dengan perubahan yang bakal berlaku dengan menjadikan negara ini lebih baik pada masa depan.