Perlu latihan?

Perlu latihan?

Sunday, March 05, 2017

Usaha pemimpin dunia atasi kebuluran antarabangsa

Jelaskan usaha-usaha yang perlu diambil oleh pemimpin-pemimpin dunia untuk menangani masalah kebuluran yang berlaku di beberapa buah negara.

Kebuluran dikatakan sebagai satu kejadian yang menyaksikan jumlah manusia tidak menerima makanan dalam kuantiti yang betul untuk tempoh yang lama sehingga menimbulkan masalah kesihatan. Biasanya, kebuluran ini melanda negara yang miskin dan mengalami peperangan serta suasana tidak aman yang berlaku dalam satu jangka masa panjang. Isu ini telah menjadi perdebatan pelbagai pihak termasuklah pemimpin dunia kerana saban tahun kejadian kebuluran dilaporkan oleh media massa di seluruh dunia. Jadi, semua pemimpin dunia harus komited untuk melakukan sesuatu agar kebuluran tidak lagi berlaku di dunia ini.

Tindakan yang praktikal dalam usaha mengawal kebuluran daripada terus berlaku ialah pemimpin dunia harus memastikan keamanan global wujud. Semua persengketaan atau masalah yang melanda mana-mana negara haruslah diselesaikan menerusi meja bulat oleh pemimpin-pemimpin dunia dengan kadar segera. Langkah berunding atau mencari penyelesaian sesuatu konflik secara aman akan membawa suasana kehidupan di dunia ini sentosa tanpa ada gangguan peperangan tersebut. Jelaslah, keamanan dunia yang dijanjikan oleh para pemimpin dunia akan memastikan tidak ada negara yang mengalami kebuluran dek peperangan atau persengketaan sesama manusia itu.

Selain itu, pemimpin dunia boleh mengekang kebuluran daripada terus berlaku apabila golongan berstatus tinggi ini membuka lebih banyak kawasan tanah untuk pertanian di negara mereka. Pembukaan tanah ini boleh dilakukan menerusi usaha bersungguh-sungguh pihak berkuasa di seluruh dunia dengan membenarkan kawasan hutan yang diterokai itu diberikan kepada rakyat mereka. Pemberian tanah yang diteroka ini kepada rakyat akan memudahkan mereka untuk mengerjakan tanah tersebut dengan menanam jenis tanaman yang boleh menjadi sumber makanan kepada penduduk negara itu dan dunia amnya. Lantaran itu, usaha pemimpin dunia membenarkan lebih banyak kawasan hutan di negara mereka dibuka untuk dijadikan kawasan pertanian mampu mengatasi masalah kebuluran itu.

Tambahan pula, tindakan memberi galakan kepada masyarakat dunia untuk melakukan kajian terhadap tanaman oleh pemimpin dunia semuanya turut mampu mengatasi kemelut ini. Pelbagai ganjaran dan kemudahan disediakan oleh setiap negara untuk menjadi sumber perangsang kepada rakyat mereka melakukan kajian tanaman dalam usaha menghasilkan baka tanaman yang berkualiti tinggi tersebut. Kajian sebegini pastinya akan membuahkan hasil seperti tanaman yang mampu hidup subur di kawasan kemarau dan mengeluarkan hasil yang banyak dalam tempoh masa yang pendek. Ringkasnya, usaha pemimpin dunia memberi dorongan kepada rakyat untuk membuat kajian tanaman akan memastikan kebuluran merupakan perkara yang hanya berlaku pada masa silam.

Kebuluran yang melanda sesebuah negara di dunia ini boleh diatasi menerusi kewujudan satu sistem penyimpanan atau stor yang praktikal. Para pemimpin dunia boleh berbincang secara mereka untuk mencapai persetujuan tentang tempat stor ini didirikan dan jenis makanan yang akan disimpan di stor tersebut untuk kemudahan semua masyarakat dunia. Kemudahan penyimpanan ini membolehkan mana-mana negara yang mengalami kebuluran meminta bantuan lalu makanan yang disimpan di stor ini akan diagihkan kepada negara terbabit dengan kadar segera. Maka, tindakan membina gudang penyimpanan sebegini akan memastikan bekalan makanan boleh dihantar dengan segera ke mana-mana kawasan dunia yang mengalami krisis makanan tersebut.

Pemimpin dunia yang berfikiran jauh akan memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan dalam pemberian bantuan makanan kepada negara yang dilanda kebuluran itu. Golongan ini haruslah bijak memilih sumber manusia yang jujur dan melakukan tugas dengan dedikasi tanpa mengharapkan sebarang ganjaran dalam bentuk duit kopi yang bakal menjejaskan proses penghantaran bantuan kemanusiaan tersebut. Ketelusan dalam aspek pengagihan bantuan kemanusiaan ini berupaya untuk membantu mana-mana negara yang dilanda masalah kebuluran kerana sistem agihannya adil dan efektif. Sesungguhnya, sistem pengagihan yang lancar dan sistematik akan membantu pemimpin dunia untuk menghapuskan isu kebuluran dalam kehidupan masyarakat global.

Kesimpulannya, pemimpin dunia memang bertanggungjawab dalam usaha memerangi kemelut kebuluran di dunia ini tanpa perlu dipersoalkan oleh rakyat. Semua pihak harus sedar lalu melihat kebuluran sebagai satu masalah yang tidak harus wujud dalam kehidupan manusia zaman moden yang dipenuhi dengan teknologi, pengangkutan canggih dan sebagainya itu. Kita harus mengakui bahawa kebuluran berlaku bukan kerana kekurangan makanan dunia tetapi kesilapan manusia sendiri yang mewujudkan masalah yang kronik tetapi mengorbankan nyawa tersebut. Peribahasa nasi sudah menjadi bubur mengingatkan kita bahawa kebuluran yang berlaku telah membawa pelbagai peristiwa yang meninggalkan kesan buruk terhadap kehidupan manusia sejagat.

No comments: