Sunday, March 12, 2017

Cara-cara masyarakat dunia mengekang pemerdagangan manusia


Pemerdagangan manusia semakin menjadi-jadi di dunia ini dan di Malaysia. Pelbagai pihak menyalahkan satu sama lain tentang hal ini.
Jelaskan usaha-usaha pihak antarabangsa untuk membanteras jenayah ini,

Pemerdagangan manusia bermaksud kes membawa masuk manusia ke sesebuah negara secara haram untuk tujuan yang bertentangan dengan undang-undang negara. Kes ini melibatkan penyeludupan manusia terutamanya kanak-kanak dan perempuan untuk disalurkan dalam jenayah pelacuran, pembelian anggota badan, dan mengemis tersebut. Kejadian yang melibatkan rakyat Malaysia telah membuka mata negara tentang keperluan membanteras aktiviti tidak sihat ini demi kebaikan semua pihak. Sesungguhnya, kerjasama dan komitmen semua pihak sangat diperlukan untuk membanteras jenayah ini daripada terus menular di dunia.

Tindakan yang berkesan untuk menangani masalah ini ialah semua negara yang terlibat memperketat kawalan di sempadan negara mereka.  Kawalan yang ketat ini meliputi usaha menyelaraskan sistem data maklumat kemasukan dan mengemas kini rekod keluar masuk di pintu sempadan terutama di lapangan terbang dan pelabuhan. Apabila sistem kawalan sempadan menjadi ketat sudah pasti semua pihak berkuasa boleh mengetahui sebarang aktiviti yang disyaki mempunyai kaitan dengan jenayah ini lalu tindakan segera boleh diambil pula. Lama-kelamaan, pihak penjenayah tidak berani lagi mengambil risiko kerana sedar aktiviti mereka dipantau oleh pihak berkuasa dengan begitu teliti.

Selain itu, kemelut ini boleh dikekang apabila semua negara menjalin hubungan kerjasama dengan negara jiran mereka. Usaha ini melibatkan kerjasama melalui penggunaan kaedah diplomatik dan pelaksanaan operasi pencegahan yang lebih efisien. Kerjasama ini melibatkan operasi pertukaran maklumat taktik pencegahan, pengenalan lokasi dan negara pembekal jenayah tersebut untuk pengetahuan semua negara yang terlibat. Maka, kerjasama ini akan menyebabkan operasi rondaan secara berjadual dan intensif oleh pasukan keselamatan negara-negara serantau berjalan dengan baik sehingga penjenayah tidak berpeluang untuk membawa masuk manusia ke negara-negara lain dengan mudah.

Tambahan pula, jenayah pemerdagangan manusia ini boleh disekat penularannya apabila semua negara di dunia menggiatkan usaha mereka menjalankan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat sendiri. Kempen ini boleh disiarkan menerusi media massa yang mengetengahkan isu pemerdagangan manusia untuk diketahui oleh masyarakat umum. Apabila masyarakat melihat kempen ini sudah pasti mereka akan lebih berwaspada lalu menggalakkan mereka bekerjasama melaporkan sebarang kegiatan pemerdagangan manusia tersebut kepada pihak berkuasa. Akibatnya, pihak penjenayah tidak lagi boleh melarikan diri mereka daripada pemerhatian masyarakat yang sudah mengetahui modus operandi mereka dalam jenayah tersebut.

Kemelut ini boleh dikawal apabila masyarakat sesebuah negara memberikan kerjasama kepada mana-mana negara atau pihak bagi menyelesaikan kes pemerdagangan manusia di peringkat antarabangsa. Pelbagai maklumat dan khidmat diberikan kepada negara yang berusaha untuk mengawal jenayah ini tanpa ada sebarang pilih kasih atau berpura-pura. Situasi ini akan menyebabkan sebarang kes boleh disiasat dengan segera dan menyeluruh berdasarkan bukti-bukti yang tertera di tempat kejadian tanpa perlu sekatan birokrasi pula. Jelaslah, kerjasama yang sebegini boleh menjadikan semua urusan penangkapan penjenayah menjadi lebih mudah, sistematik, dan berkesan sehingga semua kumpulan penjenayah terancang ini terhapus.

Tindakan terakhir yang boleh dibuat oleh mana-mana negara dalam usaha membanteras jenayah ini ialah gejala rasuah perlulah dibasmi segera. Pemberian atau isu rasuah masih menghantui badan-badan penguat kuasa di setiap negara di dunia ini sehingga memberikan ruang kepada penjenayah untuk melakukan aktiviti mereka dengan mudah. Sebaik sahaja rasuah berjaya dihapuskan sudah pasti pelaksanaan undang-undang akan menjadi lebih berkesan dalam menangani jenayah sebegini. Lantaran itu, usaha memerangi rasuah menjadi titik tolak untuk mana-mana negara memastikan jenayah pemerdagangan manusia tidak berleluasa di dunia ini.

Kesimpulannya, kerjasama serantau amatlah diperlukan supaya segala penyelesaian dapat diambil secara bijaksana dalam usaha memerangi jenayah yang terkutuk ini. Hubungan serantau perlu dipererat bagi melancarkan usaha yang bersepadu membanteras pemerdagangan manusia daripada muka bumi ini. Jika masalah ini tidak diselesaikan sudah pasti nasib generasi muda terutamanya golongan wanita akan mengalami masa depan yang gelap itu. Peribahasa sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua memberikan kita semua satu harapan bahawa setiap penjenayah pasti akan tertangkap suatu masa nanti.

No comments: