Wednesday, June 22, 2016

Kepentingan menguasai bahasa asing

Bahasa asing penting dalam kehidupan zaman moden ini terutama buat remaja.

Huraikan kebaikan menguasai bahasa asing ini.

Bahasa asing dikatakan sebagai bahasa yang dipelajari oleh seseorang selain bahasa ibunda mereka. Contoh bahasa asing yang terkenal di negara ini meliputi bahasa Inggeris, bahasa Jepun, bahasa Korea, dan bahasa Indonesia. Pihak media massa terutama akhbar selalu menyiarkan artikel tentang penggunaan bahasa asing yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia. Sebenarnya, usaha mempelajari bahasa asing ini membawa banyak faedah kepada individu, masyarakat dan negara itu.

Kelebihan utama mempelajari bahasa luar ini ialah individu tersebut boleh memperoleh banyak maklumat tentang sesuatu ilmu tersebut. Banyak buku berkaitan dengan ilmu pengetahuan tinggi yang ditulis dalam bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris itu. Pelajar yang sedang belajar di pusat pengajian tinggi pasti akan mudah untuk memahami sesuatu ilmu itu apabila memiliki kemahiran dalam bahasa Inggeris yang di anggap sebagai bahasa ilmu masyarakat dunia. Jelaslah, mereka yang mahir dalam pelbagai bahasa boleh membaca lebih banyak bahan ilmu lalu memperoleh pengetahuan yang tinggi berbanding golongan yang tiada kemahiran berbahasa itu.

Selain itu, kemahiran dalam bahasa asing juga boleh memudahkan individu itu berinteraksi dengan orang luar terutamanya pelancong. Kemampuan untuk berinteraksi sebegini boleh mengatasi sebarang salah faham yang timbul apabila salah seorang tidak tahu berbahasa asing itu.Kehidupan golongan yang mahir berbahasa ini juga menjadi lebih menarik kerana boleh berbual dengan orang dari negara lain tanpa sebarang rasa segan atau rendah diri itu. Sesungguhnya, kehidupan mereka yang mahir dalam pelbagai bahasa lebih ceria kerana boleh berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat asing itu.

Bukan sahaja boleh mendapat ilmu dan berinteraksi dengan orang lain tetapi kemahiran berbahasa ini juga memudahkan seseorang itu memperoleh kerja. Banyak syarikat di negara ini yang suka mengambil pekerja yang boleh berbahasa asing terutamanya bahasa Inggeris. Kita semua harus menerima hakikat bahawa penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dunia perniagaan merupakan satu realiti yang tidak boleh diabaikan sahaja. Oleh itu, kemahiran dalam bahasa asing menjadikan manusia itu mudah untuk memperoleh peluang kerjaya di mana-mana jua.

Tambahan pula, keyakinan diri seseorang itu menjadi lebih tinggi apabila berupaya menguasai bahasa asing. Semua pihak mengetahui kemampuan untuk bercakap dalam bahasa lain memerlukan latihan dan kesungguhan yang tinggi untuk berjaya.Situasi ini memberikan individu itu rasa bangga kerana sedar diri mereka telah melakukan sesuatu yang unik dalam kehidupan harian manusia. Lantaran itu, mereka yang boleh bercakap dalam bahasa asing akan memiliki rasa yakin yang tinggi berbanding dengan orang biasa itu.

Akhir sekali, golongan yang boleh berbahasa asing ini lebih mudah memahami budaya orang lain melalui pembacaan dan interaksi dengan pelbagai lapisan masyarakat itu. Kefahaman tentang budaya orang lain hanya berlaku apabila individu itu berinteraksi dengan orang daripada kaum yang lain lalu timbul persefahaman tersebut. Lama-kelamaan amalan berinteraksi secara langsung ini boleh menajamkan pemikiran seseorang tentang kehidupan yang. dialaminya lalu mengambil tindakan yang betul. Jadi, semakin mahir bahasa seseorang itu semakin tinggilah peluang untuk dirinya memahami budaya orang lain dengan mudah.

Kesimpulannya, semua manfaat tadi memang akan berlaku apabila bahasa asing menjadi kemahiran dalam diri seseorang itu. Semua pihak harus melihat bahasa asing sebagai sesuatu yang baik dan penting dipelajari terutama oleh golongan muda kita. Golongan yang memahami kepentingan bahasa asing pasti akan bertindak segera kerana mahu merebut kebaikan yang ditawarkan oleh bahasa tersebut. Slogan bahasa itu melambangkan jiwa bangsa harus difahami oleh semua lapisan masyarakat di negara ini dengan segera supaya kita tidak ketinggalan pula.