Monday, May 26, 2014

Kesan penggunaan lama sosial kepada masyarakat?

Laman sosial menjadi kegilaan masyarakat kita.

Nyatakan kesan penggunaan laman sosial ini kepada masyarakat kita.

Laman sosial merujuk perisian komputer yang memudahkan interaksi sesama manusia di dunia global ini. Antara contoh laman sosial yang terkenal ini meliputi Facebook, Twitter, dan juga MySpace. Generasi muda melihat laman sosial ini sebagai sumber informasi utama mereka berbanding media massa jenis biasa seperti televisyen dan radio itu. Sebenarnya, penggunaan laman sebegini mempunyai banyak impak yang harus diberi perhatian oleh semua pihak itu.

Implikasi negatif yang ketara ialah penggunaan laman sosial tanpa kawalan akan membuang masa seseorang individu tersebut sahaja. Ada ahli masyarakat kita terutamanya remaja yang begitu asyik dengan teknologi ini lalu menghabiskan masa yang berjam-jam untuk melayan semua bahan yang ada di laman tersebut. Situasi ini apabila tidak dikekang dengan efektif boleh menyebabkan seseorang itu membazirkan masa di pejabat dan juga di sekolah secara sia-sia. Maka, laman sosial bolehlah dikatakan sebagai punca masyarakat kita membazirkan masa tanpa melakukan sesuatu yang berfaedah itu.

Selain itu, keburukan laman ini juga dikaitkan dengan amalan pendedahan hal peribadi seseorang tersebut. Banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan orang lain telah mendedahkan pelbagai kelemahan individu yang dibenci itu dengan tujuan untuk memalukan mereka. Tindakan negatif sebegini telah menjadi satu kebiasaan dan membawa kes jenayah apabila mangsa yang dimalukan itu membuat laporan polis pula. Lantaran itu, ada pihak yang mahu supaya laman sosial dikawal dengan lebih ketat supaya amalan mendedahkan hal peribadi tidak menjadi kebiasaan pula.

Tambahan pula, ada pengguna laman sosial ini mencetuskan isu sensitif yang berupaya menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan kehidupan masyarakat majmuk. Sudah banyak tulisan berunsur perkauman dan mengkritik dasar kerajaan yang disiarkan menerusi laman sosial ini lalu menimbulkan kemarahan pihak berkuasa. Kehidupan masyarakat kita yang berbilang kaum begitu mudah terganggu dek kritikan yang berunsur perkauman itu lalu membawa pergaduhan besar pula. Sesungguhnya, laman sosial ini boleh mencetuskan sesuatu isu sensitif itu sehingga sukar dikawal dan membawa kemusnahan yang besar.

Namun, kajian juga membuktikan bahawa laman sosial ini memiliki impak positif seperti menjadi persada masyarakat meluahkan perasaan mereka itu. Kehidupan zaman moden ini banyak tekanan seperti tekanan kehidupan kebendaan dan tekanan untuk berjaya di sekolah yang menjejaskan kesihatan perasaan individu tersebut. Kewujudan laman sebegini memudahkan masyarakat untuk menulis tentang keresahan jiwa mereka lalu mengubati kemurungan tersebut. Jadi, masyarakat boleh mendapat ketenangan jiwa apabila meluahkan perasaan mereka menerusi penulisan di laman sosial tersebut.

Malah, masyarakat yang sering melayari laman sosial akan memiliki kenalan yang banyak tanpa disedari oleh mereka itu. Laman sosial menerima pendaftaran semua ahli masyarakat di dunia ini tanpa ada sebarang sekatan yang menyebabkan sesiapa sahaja boleh menghubungi mana-mana pihak yang mereka kehendaki itu. Situasi inilah yang menyebabkan pengguna laman tersebut memiliki beribu-ribu sahabat dengan satu sentuhan jari sahaja. Ringkasnya, laman sosial boleh digunakan sebagai alat untuk memperoleh lebih banyak kenalan di dunia ini. 


Kesimpulannya, semua implikasi yang dibentangkan tadi membuktikan laman sosial memiliki kesan positif dan negatif. Semua pihak terutamanya ibu bapa perlulah mengubah persepsi mereka terhadap penggunaan laman sosial kerana sekali air bah sekali pantai berubah yang membuktikan perubahan itu akan berlaku mengikut zaman. Remaja pula hendaklah bijak menilai penggunaan laman sosial ini supaya mereka tidak menggunakannya dengan cara yang tidak baik itu. Sudah sampai masanya semua pihak merenung dan memahami bahawa laman sosial akan terus wujud dan digunakan oleh masyarakat sejagat.