Wednesday, August 28, 2013

Karangan SPM 2013...Peranan ibu bapa dalam lahirkan remaja berkualiti?


Galakan, dorongan dan nasihat serta tunjuk ajar daripada ibu bapa penting dalam melahirkan anak yang seimbang daripada segi rohaniah dan jasminah.

Bincangkan.

Anak merupakan satu anugerah Tuhan kepada mana-mana ibu bapa pun. Kemunculan anak dalam kehidupan berkeluarga dianggap pemberi penyeri atau sumber inspirasi pula. Keadaan ini menyebabkan ibu bapa perlu memberikan perhatian dan penekanan terhadap usaha mendidik anak juga. Oleh itu, ibu bapa memang berperanan penting dalam mendidik anak mereka.

Kepentingan peranan ibu bapa ketara kerana merekalah orang yang paling rapat dengan anak mereka. Semua tindakan dan kelakuan ibu bapa akan menjadi ikutan anak mereka kerana anak menjadikan ibu bapa contoh teladan mereka pula. Kegagalan ibu bapa untuk memaparkan teladan yang baik boleh mempengaruhi sikap anak mereka pula nanti. Pendek kata, kerapatan ibu bapa dengan anaklah yang menjadikan peranan mendidik itu penting dilaksanakan dengan baik.

Selain itu, ibu bapa menjadi tempat meluahkan masalah buat anak-anak. Setiap masalah yang berlaku dalam kehidupan anak pasti akan dirujuk kepada ibu bapa untuk mendapat panduan menyelesaikannya dan kegagalan untuk berinteraksi dengan ibu bapa ketika inilah yang menyebabkan anak-anak terganggu kelakuannya. Ibu bapa yang mahir ialah ibu bapa yang sedar keadaan ini lalu memberikan pelbagai nasihat dan kata perangsang yang membantu anak mereka untuk mengharungi zaman keremajaan mereka dengan baik. Justeru, ibu bapa penting kerana merekalah tempat anak-anak mendapatkan panduan ketika dibelenggu pelbagai masalah hidup.

Tambahan pula, ibu bapa boleh menjadi individu yang memberikan kasih sayang kepada anak mereka terutama ketika anak mereka melakukan kesilapan. Ibu bapa yang bijak mendidik akan memaafkan kesalahan anak mereka walaupun diri mereka berasa kecewa kerana sedar anak mereka perlu diberi peluang kali kedua. Tindakan memaafkan kesalahan anak dengan bijak dan penuh kasih sayang ini akan membentuk anak menjadi insan yang lebih baik sikapnya. Maka, ibu bapa penting kerana merekalah tempat kasih sayang bermula dalam hidup remaja itu.

Namun begitu, peranan pihak sekolah terutama guru juga penting dalam kehidupan remaja. Pihak guru perlulah mendidik generasi muda ini dengan penuh tanggung jawab kerana masa remaja banyak juga dihabiskan di sekolah. Semua nasihat dan dorongan yang diberikan oleh pihak guru pasti meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa pelajar itu lalu membentuk peribadi yang mulia pula. Jadi, pihak sekolah juga memikul tugas mendidik generasi muda ini bersama-sama ibu bapa.

Malah, pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam pembentukan akhlak anak-anak mereka. Remaja yang berakhlak mulia pasti memiliki rakan yang serupa juga akhlaknya. Kegagalan memilih rakan yang baik akan menyebabkan seseorang remaja itu terjebak ke kancah negatif  yang lebih buruk pada masa hadapan. Oleh itu, anak juga hendaklah bijak memilih rakan supaya mereka tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak bermanfaat pula.

Kesimpulannya, ibu bapa memang berperanan penting dalam didikan anak kerana mereka umpama lilin yang membakar diri sendiri untuk memastikan kehidupan anak berjalan lancar. Kerjasama anak juga penting supaya semua masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan lebih mudah dan pantas. Anak merupakan satu tugas yang diamanahkan oleh Tuhan kepada kita semua. Peribahasa “melentur buluh biarlah daripada rebungnya” membuktikan betapa didikan ibu bapa ketika anak itu masih kecil amat penting lagi bermakna untuk masa depan mereka kelak.

Sunday, August 18, 2013

Karangan SPM 2013...Kemahiran menguasai pelbagai bahasa sangat penting untuk memudahkan komunikasi antara satu sama lain.


Kemahiran menguasai pelbagai bahasa sangat penting untuk memudahkan komunikasi antara satu sama lain.

Huraikan.

Bahasa asing dilihat sebagai bahasa yang tidak digunakan secara meluas atau kerap oleh seseorang itu. Antara bahasa asing yang terkenal di negara ini meliputi bahasa Inggeris, bahasa Jepun, bahasa Korea, dan bahasa Arab. Penggunaan bahasa asing terutama bahasa Inggeris mula mendapat tempat dalam kalangan pelajar dan pihak media massa turut mempromosikan penggunaan bahasa ini. Sebenarnya, bahasa asing ada membawa banyak manfaat kepada seseorang itu.

Sudah pasti kebaikan utama seseorang yang mahir dalam bahasa asing ialah diri mereka lebih mudah untuk menguasai sesuatu ilmu tersebut. Banyak bahan kajian terutama dalam bidang teknologi dan sains yang diterbitkan dalam bahasa asing terutama bahasa Inggeris dan Jepun serta Jerman. Ilmu yang ada dalam bahan bacaan ini hanya boleh dikutip oleh pembaca yang mahir dalam bahasa asing tersebut. Jadi, mereka yang menguasai bahasa luar boleh mempelajari pelbagai bidang ilmu yang amat penting itu.

Selain itu, penguasaan bahasa asing membolehkan manusia untuk berhubung dengan masyarakat dunia luar pula. Komunikasi yang lancar dan baik boleh dilaksanakan jika kedua-dua individu yang terlibat dalam perbualan itu memahami satu bahasa terutama bahasa asing. Maksud dan isi tersirat yang wujud dalam komunikasi itu akan dapat difahami dengan tepat jika individu terbabit memahami bahasa asing secara mendalam. Jelaslah, penguasaan bahasa asing memudahkan komunikasi dengan masyarakat luar berlaku dalam suasana yang baik terutama dalam urusan perniagaan, politik dan sosial pula.

Malah, individu yang sanggup mempelajari bahasa asing akan mendapati diri mereka lebih senang memperoleh peluang pekerjaan terutama dalam era globalisasi ini. Majikan zaman ini lebih meminati pekerja yang mampu menguasai lebih banyak bahasa kerana mereka mudah untuk berurusan dengan pengguna dan boleh dihantar bekerja di mana-mana cawangan syarikat tersebut di seluruh dunia. Diri seseorang yang menguasai bahasa asing ini juga boleh memohon pekerjaan di dalam dan di luar negara kerana sedar bahasa bukanlah penghalang lagi. Sesungguhnya, pekerja yang mahir dalam pelbagai bahasa akan mendapati diri mereka senang memperoleh kerja.

Malahan, kemahiran dalam bahasa asing telah dilihat sebagai satu tuntutan era globalisasi ini. Maknanya, mereka yang menguasai bahasa asing itu dilihat sebagai unik, menarik, dan berkebolehan berbanding dengan individu yang hanya tahu bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Kemahiran sebegini menjadikan diri mereka lebih sesuai untuk menghadapi pelbagai cabaran yang timbul akibat perubahan dalam pemikiran dan cara manusia menjalani kehidupan harian mereka itu. Maka, berbahasa asing itu dilihat sebagai satu keperluan utama dalam menjalani kehidupan zaman moden ini.

Pada masa yang sama, individu yang boleh bertutur dalam bahasa asing akan mudah menyesuaikan diri mereka dalam sebarang suasana, situasi dan tempat. Mereka tidak akan berasa janggal apabila berada dalam majlis yang menggunakan bahasa asing tersebut. Pemahaman tentang sesuatu perkara juga akan menjadi lebih mudah kerana mereka boleh menjelaskan maksud bahasa asing itu ke dalam bahasa ibunda dengan lebih tepat. Lantaran itu, penguasaan bahasa luar ini menjadikan manusia itu lebih mudah untuk menyesuaikan dirinya dalam sebarang situasi dan tempat.

Kesimpulannya, semua manfaat yang dihuraikan tadi memang boleh diperoleh apabila seseorang itu menguasai banyak bahasa asing. Kita harus sedar bahawa sikap mempelajari bahasa asing ini bukanlah sesuatu yang negatif tetapi satu perkara yang bijak untuk diamalkan pula. Remaja yang berpandangan jauh akan mula memahirkan diri mereka dalam beberapa bahasa asing sebelum terlewat. Bak kata pepatah, tepuk dada tanya selera yang menjelaskan bahawa sikap mempelajari bahasa asing ini banyak ditentukan oleh sikap seseorang itu sendiri.