Perlu latihan?

Perlu latihan?

Monday, June 24, 2013

Karangan SPM 2013...Langkah kekalkan bangunan bersejarah di Malaysia?


Negara kita mempunyai banyak bangunan bersejarah yang makin pupus dihimpit arus pembangunan.

Cadangkan langkah-langkah untuk mengekalkan bangunan tersebut.

Bangunan bersejarah bolehlah ditakrifkan sebagai bangunan lama yang digunakan dalam urusan kerajaan atau agensi kerajaan. Banyak bangunan bersejarah ini berfungsi sebagai bangunan pentadbiran, mahkamah, balai polis dan penjara. Ada bangunan ini yang berusia ratusan tahun yang pasti ada nilai sejarah terutama buat generasi muda. Lantaran itu, usaha-usaha perlu dilakukan untuk mengekalkan bangunan sebegini daripada hilang ditelan zaman.

Kerajaan boleh menjadikan bangunan itu sebagai satu daya tarikan pelancong. Sebagai contoh bangunan A Famosa, Penjara Pudu dan sebagainya boleh dipelihara untuk menarik kehadiran pelancong melihatnya. Tindakan ini menjadikan usaha pemuliharaan bangunan itu berjalan dengan baik kerana bangunan itu akan diselenggarakan atau diubahsuai demi tatapan pelancong asing. Jelaslah, tindakan menjadikan bangunan itu sebagai tarikan pelancong akan menjamin kewujudannya.

Selain itu, bangunan bersejarah ini juga boleh diubah menjadi bangunan muzium yang memaparkan sejarah tertentu. Contohnya, bangunan Balai Polis Bukit Kepong boleh dipulihara untuk memaparkan semangat perjuangan polis dan peristiwa tragis yang berlaku di kawasan itu suatu masa dahulu. Bukan sahaja bangunan lama ini akan terus wujud tetapi masyarakat  muda akan dapat menghargai erti pengorbanan yang dilakukan oleh anggota polis demi kemerdekaan negara kita.

Malahan, bangunan yang lama ini sesuai juga dijadikan pusat beli-belah atau perniagaan. Secara am bangunan bersejarah ini masih selamat dan unik untuk digunakan dalam ekonomi masyarakat kita. Kewujudan bangunan ini memberikan satu kelebihan kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan mereka dalam suasana yang jauh berbeza lalu menarik kehadiran pelanggan yang banyak pula. Maka, bangunan lama boleh juga digunakan untuk menjana ekonomi negara ini.

Tambahan pula, bangunan bersejarah ini boleh ditukar untuk menjadi bangunan pentabdiran. Sebagai contoh Bangunan Sultan Abdul Samad telah ditukar menjadi bangunan mahkamah suatu masa dahulu. Penggunaan bangunan lama sebagai pusat pentadbiran bukan sahaja mengurangkan kos pembinaan bangunan baru tetapi juga boleh menimbulkan rasa bangga dan patriotisme dalam diri seseorang yang berurusan di pejabat kerajaan itu. Jelaslah, bangunan bersejarah boleh menjadi bangunan pentadbiran pula jika diuruskan dengan baik.

Malahan, bangunan lama itu juga boleh ditukar menjadi rumah kebajikan seperti anak-anak yatim, orang tua dan sebagainya. Bangunan lama ini biasanya tidak memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi lalu sesuai untuk badan-badan kebajikan menggunakannya untuk mengurangkan kos perbelanjaan mereka pula. Pada masa yang sama, nasib golongan yang kurang bernasib baik ini terus terjaga kerana mampu berteduh di bangunan yang sudah lama usianya itu. Sesungguhnya, bangunan lama ini sesuai digunakan sebagai bangunan kebajikan.

Konklusinya, bangunana lama wajar dikekalkan kerana  bangunan sebegini masih mampu memberikan manfaat kepada masyarakat. Kita hanya perlu membuat pengubahsuaian tertentu bersama-sama penyelenggaraan yang mantap untuk memastikan bangunan itu selamat digunakan. Amalan memusnahkan bangunan lama harus dikikis kerana sikap ini seolah-olah memperlekehkan warisan sejarah negara kita yang penuh warna-warni itu.

Sunday, June 09, 2013

Karangan SPM 2013...Peranan Ibu bapa dalam menangani isu remaja?


Peranan ibu bapa lebih penting daripada peranan para pendidik dalam usaha menangani masalah remaja masa kini.

Bincangkan.

Sememangnya peranan ibu bapa dalam mendidik remaja lebih besar daripada tugas seorang guru itu. Ibu bapa yang bertanggungjawab pastinya menyedari bahawa merekalah yang harus memainkan peranan yang lebih besar dan tidak menyerahkan tugas mendidik anak mereka bulat-bulat kepada pihak sekolah sahaja. Selagi ibu bapa masih gagal untuk memahami konsep ini selagi itulah masalah remaja tidak akan berjaya diselesaikan. Jadi, mengapakah ibu bapa lebih besar peranannya berbanding pihak guru?

Kalau kita kaji secara mendalam masa remaja berada di rumah lebih panjang daripada mereka belajar di sekolah. Masa yang panjang di rumah bersama-sama ibu bapa ini menjadikan ibu bapa lebih berpeluang untuk mendidik anak mereka akan kehidupan yang sejati. Ibu bapa boleh menggunakan masa yang panjang itu dengan pelbagai pendekatan yang dianggap berkesan untuk mendidik generasi muda negara itu. Remaja akan lebih mudah mematuhi arahan jika mereka berpeluang atau mempunyai masa untuk memahami sebab mereka melakukan sesuatu tindakan itu.

Malahan, hubungan remaja dengan ibu bapa seharusnya menjadi lebih rapat kerana masa yang dihabiskan di rumah amat panjang. Tidak wujud protokol antara hubungan anak dengan ibubapanya berbanding hubungan atau interaksi remaja dengan gurunya. Perasaan segan dan tidak mesra timbul kerana guru dan pelajar tidak selalu bertemu berbanding dengan ibu bapa mereka. Hubungan yang rapat menjadi asas untuk memahami peribadi seseorang lalu mengambil cara pendekatan yang tepat untuk mengubah sikapnya.

Peranan ibu bapa begitu besar dalam pendidikan remaja menjadi insan yang cemerlang kerana ibu bapa lebih memahami peribadi anak mereka. Akibat hidup serumah menyebabkan ibu bapa boleh mengenal hati budi anak mereka dengan lebih tepat berbanding dengan guru. Setiap tindakan remaja mampu difahami oleh ibu bapa yang bertanggungjawab. Kefahaman tentang peribadi anak merekalah yang menjadikan peranan ibu bapa begitu kritikal dalam memastikan remaja tidak terjebak ke dalam kancah sosial yang negatif.

Tambahan pula, guru bolehlah dianggap sebagai orang luar dalam hal mendidik remaja. Ibu bapa lebih berperanan kerana mereka dianggap ahli keluarga sendiri yang boleh dipercayai oleh remaja. Kebanyakan guru akan berpindah dan keadaan ini pasti memberikan kesan terhadap aspek psikologi pelajar yang sudah terlalu bergantung kepada guru mereka. Keadaan ini berbeza dengan ibu bapa yang akan terus menunggu anaknya walaupun anak mereka itu sudah melakukan satu kesilapan yang besar dalam hidup mereka.

Konklusinya, peranan ibu bapa jauh lebih besar berbanding dengan pihak guru. Semua pihak harus memberikan ibu bapa peluang untuk membuktikan kemampuan mereka dalam mendidik generasi zaman moden ini. Remaja pula perlulah bersikap terbuka dalam menerima nasihat dan teguran membina ibu bapa mereka. Kerjasama semua pihaklah yang bakal menyaksikan remaja kita berubah sikap. Remaja harapan negara ini.