Perlu latihan?

Perlu latihan?

Thursday, March 21, 2013

Karangan SPM 2013...Punca Jenayah Terhadap Wanita Semakin Meningkat?


Jenayah terhadap kaum wanita semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Sesetengah pihak menyatakan bahawa kejadian ini berpunca daripada sikap wanita sendiri.

Ulas pernyataan di atas.

Masalah jenayah terhadap kaum wanita memang semakin bertambah saban tahun jika laporan statistik pihak polis digunakan sebagai garis panduan. Berita media massa juga turut membuktikan berlakunya peningkatan jenayah sebegini. Ada pihak yang menganggap masalah jenayah ini banyak disebabkan oleh sikap wanita itu sendiri yang seolah-olah memberikan gambaran wanita negara ini sengaja sahaja mencari masalah. Jadi, sebelum kita menuding jari ke arah wanita sahaja, eloklah kita menyelidik pelbagai faktor yang turut menyebabkan peningkatan kadar jenayah ini.

Memang ramai yang beranggapan sikap wanita yang mudah percaya, tidak berhati-hati ketika di luar rumah dan sebagainya yang menyebabkan berlakunya peningkatan jenayah terhadap mereka itu. Pihak polis ada memberitahu bahawa penjenayah menggunakan taktik meminta pertolongan sebelum melakukan jenayah terhadap orang yang membantu mereka itu dan biasanya wanitalah yang menjadi mangsa. Namun, persepsi sebegini agak berat sebelah kerana semua manusia baik lelaki atau wanita pasti akan melakukan kesilapan juga.

Peningkatan jenayah terhadap wanita berlaku kerana kesempitan hidup yang dialami oleh masyarakat di negara ini. Ada sesetengah pihak yang suka berbelanja besar dan impian tinggi tetapi tidak mempunyai pendapatan yang tinggi menggunakan jenayah sebagai cara untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda itu. Jenayah yang mereka lakukan itu tidak mengira mangsa tetapi wanita menjadi sasaran utama kerana jantina itu dianggap lemah pula. Maka, jenayah wanita berlaku bukan kerana diri mereka sahaja tetapi kerana keadaan kehidupan yang begitu sukar buat sesetengah pihak.

Selain itu, faktor media massa yang sering menyiarkan drama, filem dan program yang mengandungi banyak adegan ganas telah mempengaruhi penonton. Semua adegan yang ditonton oleh mereka ini akan dipelajari lalu ditiru ketika mereka melakukan jenayah kerana sudah nampak keberkesanan strategi itu dalam media massa tadi. Jenayah menculik, ragut, bunuh dan rompak semuanya boleh dipelajari menerusi media massa dengan mudah. Sesungguhnya, jenayah berlaku bukan kerana wanita tetapi kerana media massa telah terlalu banyak menyiarkan program jenayah yang sebegini.

Beberapa ahli psikologi turut bersetuju bahawa banyak kes jenayah berlaku kerana faktor psikologi seseorang itu. Kebanyakan penjenayah mengalami trauma dalam kehidupan mereka seperti pernah didera, masalah keluarga, bebanan hutang dan rasa rendah diri yang keterlaluan serta semua ini memberikan impak dalam penilaian mereka ketika membuat sesuatu keputusan tersebut. Biasanya tindakan yang mereka ambil itu terlalu ganas atau di luar kawalan diri mereka sehingga mereka hanya berasa menyesa setelah melakukan kesalahan jenayah itu tetapi sudah terlambat. Dalam kebanyakan kejadian, wanitalah yang menjadi mangsa mereka melepaskan perasaan tekanan psikologi mereka itu.

Kesimpulannya, memang banyak jenayah berlaku terhadap kaum wanita tetapi perkara buruk itu berlaku bukan disebabkan sikap wanita semata-mata sahaja. Semua pihak perlulah lebih sensitif dan tidak melihat wanita sengaja mencari masalah sahaja kerana pandangan berat sebelah sebegini tidak mampu menyelesaikan masalah jenayah yang berlaku. Sebaliknya, pandangan negatif sebeginilah juga yang menjadikan penjenayah semakin berani untuk melakukan jenayah terhadap wanita kerana sedar masyarakat sering menyalahkan wanita apabila berlakunya jenayah. Kita hendaklah melihat penjenayah sebagai satu golongan yang harus menerima hukuman yang setimpal kerana merekalah yang bertanggungjawab atas semua yang berlaku itu. Janganlah kita marahkan nyamuk habis kelambu dibakar kerana tindakan itu pasti akan memberikan impak yang bertentangan dengan kehendak masyarakat semua.