Sunday, August 18, 2013

Karangan SPM 2013...Kemahiran menguasai pelbagai bahasa sangat penting untuk memudahkan komunikasi antara satu sama lain.


Kemahiran menguasai pelbagai bahasa sangat penting untuk memudahkan komunikasi antara satu sama lain.

Huraikan.

Bahasa asing dilihat sebagai bahasa yang tidak digunakan secara meluas atau kerap oleh seseorang itu. Antara bahasa asing yang terkenal di negara ini meliputi bahasa Inggeris, bahasa Jepun, bahasa Korea, dan bahasa Arab. Penggunaan bahasa asing terutama bahasa Inggeris mula mendapat tempat dalam kalangan pelajar dan pihak media massa turut mempromosikan penggunaan bahasa ini. Sebenarnya, bahasa asing ada membawa banyak manfaat kepada seseorang itu.

Sudah pasti kebaikan utama seseorang yang mahir dalam bahasa asing ialah diri mereka lebih mudah untuk menguasai sesuatu ilmu tersebut. Banyak bahan kajian terutama dalam bidang teknologi dan sains yang diterbitkan dalam bahasa asing terutama bahasa Inggeris dan Jepun serta Jerman. Ilmu yang ada dalam bahan bacaan ini hanya boleh dikutip oleh pembaca yang mahir dalam bahasa asing tersebut. Jadi, mereka yang menguasai bahasa luar boleh mempelajari pelbagai bidang ilmu yang amat penting itu.

Selain itu, penguasaan bahasa asing membolehkan manusia untuk berhubung dengan masyarakat dunia luar pula. Komunikasi yang lancar dan baik boleh dilaksanakan jika kedua-dua individu yang terlibat dalam perbualan itu memahami satu bahasa terutama bahasa asing. Maksud dan isi tersirat yang wujud dalam komunikasi itu akan dapat difahami dengan tepat jika individu terbabit memahami bahasa asing secara mendalam. Jelaslah, penguasaan bahasa asing memudahkan komunikasi dengan masyarakat luar berlaku dalam suasana yang baik terutama dalam urusan perniagaan, politik dan sosial pula.

Malah, individu yang sanggup mempelajari bahasa asing akan mendapati diri mereka lebih senang memperoleh peluang pekerjaan terutama dalam era globalisasi ini. Majikan zaman ini lebih meminati pekerja yang mampu menguasai lebih banyak bahasa kerana mereka mudah untuk berurusan dengan pengguna dan boleh dihantar bekerja di mana-mana cawangan syarikat tersebut di seluruh dunia. Diri seseorang yang menguasai bahasa asing ini juga boleh memohon pekerjaan di dalam dan di luar negara kerana sedar bahasa bukanlah penghalang lagi. Sesungguhnya, pekerja yang mahir dalam pelbagai bahasa akan mendapati diri mereka senang memperoleh kerja.

Malahan, kemahiran dalam bahasa asing telah dilihat sebagai satu tuntutan era globalisasi ini. Maknanya, mereka yang menguasai bahasa asing itu dilihat sebagai unik, menarik, dan berkebolehan berbanding dengan individu yang hanya tahu bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Kemahiran sebegini menjadikan diri mereka lebih sesuai untuk menghadapi pelbagai cabaran yang timbul akibat perubahan dalam pemikiran dan cara manusia menjalani kehidupan harian mereka itu. Maka, berbahasa asing itu dilihat sebagai satu keperluan utama dalam menjalani kehidupan zaman moden ini.

Pada masa yang sama, individu yang boleh bertutur dalam bahasa asing akan mudah menyesuaikan diri mereka dalam sebarang suasana, situasi dan tempat. Mereka tidak akan berasa janggal apabila berada dalam majlis yang menggunakan bahasa asing tersebut. Pemahaman tentang sesuatu perkara juga akan menjadi lebih mudah kerana mereka boleh menjelaskan maksud bahasa asing itu ke dalam bahasa ibunda dengan lebih tepat. Lantaran itu, penguasaan bahasa luar ini menjadikan manusia itu lebih mudah untuk menyesuaikan dirinya dalam sebarang situasi dan tempat.

Kesimpulannya, semua manfaat yang dihuraikan tadi memang boleh diperoleh apabila seseorang itu menguasai banyak bahasa asing. Kita harus sedar bahawa sikap mempelajari bahasa asing ini bukanlah sesuatu yang negatif tetapi satu perkara yang bijak untuk diamalkan pula. Remaja yang berpandangan jauh akan mula memahirkan diri mereka dalam beberapa bahasa asing sebelum terlewat. Bak kata pepatah, tepuk dada tanya selera yang menjelaskan bahawa sikap mempelajari bahasa asing ini banyak ditentukan oleh sikap seseorang itu sendiri.

No comments: