Perlu latihan?

Perlu latihan?

Sunday, June 09, 2013

Karangan SPM 2013...Peranan Ibu bapa dalam menangani isu remaja?


Peranan ibu bapa lebih penting daripada peranan para pendidik dalam usaha menangani masalah remaja masa kini.

Bincangkan.

Sememangnya peranan ibu bapa dalam mendidik remaja lebih besar daripada tugas seorang guru itu. Ibu bapa yang bertanggungjawab pastinya menyedari bahawa merekalah yang harus memainkan peranan yang lebih besar dan tidak menyerahkan tugas mendidik anak mereka bulat-bulat kepada pihak sekolah sahaja. Selagi ibu bapa masih gagal untuk memahami konsep ini selagi itulah masalah remaja tidak akan berjaya diselesaikan. Jadi, mengapakah ibu bapa lebih besar peranannya berbanding pihak guru?

Kalau kita kaji secara mendalam masa remaja berada di rumah lebih panjang daripada mereka belajar di sekolah. Masa yang panjang di rumah bersama-sama ibu bapa ini menjadikan ibu bapa lebih berpeluang untuk mendidik anak mereka akan kehidupan yang sejati. Ibu bapa boleh menggunakan masa yang panjang itu dengan pelbagai pendekatan yang dianggap berkesan untuk mendidik generasi muda negara itu. Remaja akan lebih mudah mematuhi arahan jika mereka berpeluang atau mempunyai masa untuk memahami sebab mereka melakukan sesuatu tindakan itu.

Malahan, hubungan remaja dengan ibu bapa seharusnya menjadi lebih rapat kerana masa yang dihabiskan di rumah amat panjang. Tidak wujud protokol antara hubungan anak dengan ibubapanya berbanding hubungan atau interaksi remaja dengan gurunya. Perasaan segan dan tidak mesra timbul kerana guru dan pelajar tidak selalu bertemu berbanding dengan ibu bapa mereka. Hubungan yang rapat menjadi asas untuk memahami peribadi seseorang lalu mengambil cara pendekatan yang tepat untuk mengubah sikapnya.

Peranan ibu bapa begitu besar dalam pendidikan remaja menjadi insan yang cemerlang kerana ibu bapa lebih memahami peribadi anak mereka. Akibat hidup serumah menyebabkan ibu bapa boleh mengenal hati budi anak mereka dengan lebih tepat berbanding dengan guru. Setiap tindakan remaja mampu difahami oleh ibu bapa yang bertanggungjawab. Kefahaman tentang peribadi anak merekalah yang menjadikan peranan ibu bapa begitu kritikal dalam memastikan remaja tidak terjebak ke dalam kancah sosial yang negatif.

Tambahan pula, guru bolehlah dianggap sebagai orang luar dalam hal mendidik remaja. Ibu bapa lebih berperanan kerana mereka dianggap ahli keluarga sendiri yang boleh dipercayai oleh remaja. Kebanyakan guru akan berpindah dan keadaan ini pasti memberikan kesan terhadap aspek psikologi pelajar yang sudah terlalu bergantung kepada guru mereka. Keadaan ini berbeza dengan ibu bapa yang akan terus menunggu anaknya walaupun anak mereka itu sudah melakukan satu kesilapan yang besar dalam hidup mereka.

Konklusinya, peranan ibu bapa jauh lebih besar berbanding dengan pihak guru. Semua pihak harus memberikan ibu bapa peluang untuk membuktikan kemampuan mereka dalam mendidik generasi zaman moden ini. Remaja pula perlulah bersikap terbuka dalam menerima nasihat dan teguran membina ibu bapa mereka. Kerjasama semua pihaklah yang bakal menyaksikan remaja kita berubah sikap. Remaja harapan negara ini.

4 comments:

AMIRUL AMRAN said...

Bagos, ia amat membantu saya (Y)

Anonymous said...

terima kasih :)

Anonymous said...

terima kasih :)

Siti Norfairuz said...

bagus la sangat