Sunday, January 20, 2013

Karangan SPM 2013...Tindakan memupuk amalan menyimpan wang dalam masyarakat?


Simpanan wang merupakan satu amalan murni yang harus ditanam dalam jiwa remaja kita. Cuma amalan ini belum lagi berakar umbi dalam masyarakat kita.

Nyatakan tindakan-tindakan yang boleh dilaksanakan untuk mencapai matlamat ini.

Kenapakah masyarakat kita masih enggan mengamalkan amalan murni menyimpan wang terutama dalam kalangan remaja? Keadaan ini mungkin banyak berkaitan dengan pandangan masyarakat kita terutama remaja yang melihat masa depan itu sesuatu yang terlalu jauh dan sukar untuk diramal lalu mereka tidak suka membuat sebarang perancangan terutama untuk menyimpan wang. Media massa turut mendedahkan kepincangan remaja untuk membuat simpanan secara bulanan yang boleh membanggakan kita semua. Jelaslah, pelbagai langkah boleh dilaksanakan untuk memastikan remaja mempunyai sikap menyimpan wang ini.

Langkah awal yang boleh dilakukan ialah remaja itu sendiri mengubah paradigma mereka tentang konsep masa depan terutama menyimpan wang ini. Perubahan pandangan ini amat penting kerana remaja yang menyedari bahawa kehidupan mereka tidaklah begitu panjang akan melakukan yang terdaya untuk menyimpan sebanyak mungkin wang yang mampu ketika mereka masih muda dan bertenaga. Sikap menyimpan sejak muda sudah pasti akan menjadikan kehidupan remaja lebih seimbang terutama ketika mereka mula melangkah ke alam pekerjaan, kekeluargaan dan persaraan kemudian nanti. Maka, perubahan paradigma ini menjadi jalan awal untuk remaja mempunyai sikap untuk menyimpan wang pada jangka masa panjang.

Selain itu, kerajaan boleh menjalankan kempen kesedaran terutama buat remaja. Kempen kesedaran yang menggunakan idola remaja terutama artis dan ahli sukan boleh memupuk sikap suka menyimpan ini kerana remaja lebih mempercayai idola mereka daripada sesiapa pun di dunia ini. Bukan itu sahaja kempen ini perlulah dilaksanakan sepanjang tahun untuk memberikan impak yang sewajarnya dalam diri remaja itu terutama jika iklan kempen itu diulang-ulang menerusi penggunaan media massa. Sesungguhnya, kempen yang dirancang dengan teliti dan efektif serta menembusi keperluan remaja pasti akan berupaya untuk mewujudkan satu kelompok remaja yang sanggup menyimpan untuk masa depan mereka.

Bukan sahaja sikap remaja dan kempen penting dilakukan tetapi pihak swasta terutama bank perlulah menganjurkan pakej-pakej simpanan yang unik tetapi menarik buat pasaran remaja. Maknanya, pakej simpanan buat remaja lebih menawarakan kadar faedah yang tinggi atau diberikan pulangan tertentu yang sesuai dengan diri remaha seperti hadiah telefon bimbit kepada remaja yang sering menyimpan dalam satu tempoh tertentu. Proses untuk menyimpan juga perlu dimudahkan supaya remaja tidak perlu selalu pergi ke bank untuk membuat simpanan atau menukarkan pakej simpanan mereka terutama dalam kehidupan remaja yang begitu sibuk itu. Maka, kewujudan pakej simpanan bank yang lebih menarik untuk remaja pasti mewujudkan lebih ramai remaja yang suka menyimpan wang mereka.

Ibu bapa juga mempunyai peranan besar dalam memupuk sikap suka menyimpan dalam diri remaja ini. Pandangan jauh yang wujud dalam minda ibu bapa yang bijak ialah mereka akan mengajar anak mereka keperluan untuk menyimpan wang sejak kecil. Mereka akan membawa anak-anak mereka ke bank ketika mereka melakukan urusniaga bank untuk memberikan pendedahan awal kepada anak tentang sistem perbankan kita. Jadi, pendedahan awal terhadap sistem kewangan oleh ibu bapa menjadikan diri remaja itu lebih mudah kepentingan menyimpan ketika masih muda kerana ayah borek anak rintik atau ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi.

Kesimpulannya, semua langkah yang diutarakan sebelum ini memang boleh dilaksanakan dengan berkesan. Kerjasama semua pihak amat penting terutama peranan ibu bapa dan diri remaja itu sendiri dalam memastikan amalan murni ini berjaya direalisasikan dalam jiwa remaja di negara kita. Sikap suka menuding jari atau menganggap masa masih jauh merupakan satu halangan mental yang perlu diatasi oleh semua remaja kita. Mereka yang melakukan sesuatu perkara itu lebih awal sudah pasti akan memperoleh kejayaan dengan lebih mudah dan besar.


No comments: