Wednesday, September 04, 2013

Wednesday, August 28, 2013

Karangan SPM 2013...Peranan ibu bapa dalam lahirkan remaja berkualiti?


Galakan, dorongan dan nasihat serta tunjuk ajar daripada ibu bapa penting dalam melahirkan anak yang seimbang daripada segi rohaniah dan jasminah.

Bincangkan.

Anak merupakan satu anugerah Tuhan kepada mana-mana ibu bapa pun. Kemunculan anak dalam kehidupan berkeluarga dianggap pemberi penyeri atau sumber inspirasi pula. Keadaan ini menyebabkan ibu bapa perlu memberikan perhatian dan penekanan terhadap usaha mendidik anak juga. Oleh itu, ibu bapa memang berperanan penting dalam mendidik anak mereka.

Kepentingan peranan ibu bapa ketara kerana merekalah orang yang paling rapat dengan anak mereka. Semua tindakan dan kelakuan ibu bapa akan menjadi ikutan anak mereka kerana anak menjadikan ibu bapa contoh teladan mereka pula. Kegagalan ibu bapa untuk memaparkan teladan yang baik boleh mempengaruhi sikap anak mereka pula nanti. Pendek kata, kerapatan ibu bapa dengan anaklah yang menjadikan peranan mendidik itu penting dilaksanakan dengan baik.

Selain itu, ibu bapa menjadi tempat meluahkan masalah buat anak-anak. Setiap masalah yang berlaku dalam kehidupan anak pasti akan dirujuk kepada ibu bapa untuk mendapat panduan menyelesaikannya dan kegagalan untuk berinteraksi dengan ibu bapa ketika inilah yang menyebabkan anak-anak terganggu kelakuannya. Ibu bapa yang mahir ialah ibu bapa yang sedar keadaan ini lalu memberikan pelbagai nasihat dan kata perangsang yang membantu anak mereka untuk mengharungi zaman keremajaan mereka dengan baik. Justeru, ibu bapa penting kerana merekalah tempat anak-anak mendapatkan panduan ketika dibelenggu pelbagai masalah hidup.

Tambahan pula, ibu bapa boleh menjadi individu yang memberikan kasih sayang kepada anak mereka terutama ketika anak mereka melakukan kesilapan. Ibu bapa yang bijak mendidik akan memaafkan kesalahan anak mereka walaupun diri mereka berasa kecewa kerana sedar anak mereka perlu diberi peluang kali kedua. Tindakan memaafkan kesalahan anak dengan bijak dan penuh kasih sayang ini akan membentuk anak menjadi insan yang lebih baik sikapnya. Maka, ibu bapa penting kerana merekalah tempat kasih sayang bermula dalam hidup remaja itu.

Namun begitu, peranan pihak sekolah terutama guru juga penting dalam kehidupan remaja. Pihak guru perlulah mendidik generasi muda ini dengan penuh tanggung jawab kerana masa remaja banyak juga dihabiskan di sekolah. Semua nasihat dan dorongan yang diberikan oleh pihak guru pasti meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa pelajar itu lalu membentuk peribadi yang mulia pula. Jadi, pihak sekolah juga memikul tugas mendidik generasi muda ini bersama-sama ibu bapa.

Malah, pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam pembentukan akhlak anak-anak mereka. Remaja yang berakhlak mulia pasti memiliki rakan yang serupa juga akhlaknya. Kegagalan memilih rakan yang baik akan menyebabkan seseorang remaja itu terjebak ke kancah negatif  yang lebih buruk pada masa hadapan. Oleh itu, anak juga hendaklah bijak memilih rakan supaya mereka tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak bermanfaat pula.

Kesimpulannya, ibu bapa memang berperanan penting dalam didikan anak kerana mereka umpama lilin yang membakar diri sendiri untuk memastikan kehidupan anak berjalan lancar. Kerjasama anak juga penting supaya semua masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan lebih mudah dan pantas. Anak merupakan satu tugas yang diamanahkan oleh Tuhan kepada kita semua. Peribahasa “melentur buluh biarlah daripada rebungnya” membuktikan betapa didikan ibu bapa ketika anak itu masih kecil amat penting lagi bermakna untuk masa depan mereka kelak.

Sunday, August 18, 2013

Karangan SPM 2013...Kemahiran menguasai pelbagai bahasa sangat penting untuk memudahkan komunikasi antara satu sama lain.


Kemahiran menguasai pelbagai bahasa sangat penting untuk memudahkan komunikasi antara satu sama lain.

Huraikan.

Bahasa asing dilihat sebagai bahasa yang tidak digunakan secara meluas atau kerap oleh seseorang itu. Antara bahasa asing yang terkenal di negara ini meliputi bahasa Inggeris, bahasa Jepun, bahasa Korea, dan bahasa Arab. Penggunaan bahasa asing terutama bahasa Inggeris mula mendapat tempat dalam kalangan pelajar dan pihak media massa turut mempromosikan penggunaan bahasa ini. Sebenarnya, bahasa asing ada membawa banyak manfaat kepada seseorang itu.

Sudah pasti kebaikan utama seseorang yang mahir dalam bahasa asing ialah diri mereka lebih mudah untuk menguasai sesuatu ilmu tersebut. Banyak bahan kajian terutama dalam bidang teknologi dan sains yang diterbitkan dalam bahasa asing terutama bahasa Inggeris dan Jepun serta Jerman. Ilmu yang ada dalam bahan bacaan ini hanya boleh dikutip oleh pembaca yang mahir dalam bahasa asing tersebut. Jadi, mereka yang menguasai bahasa luar boleh mempelajari pelbagai bidang ilmu yang amat penting itu.

Selain itu, penguasaan bahasa asing membolehkan manusia untuk berhubung dengan masyarakat dunia luar pula. Komunikasi yang lancar dan baik boleh dilaksanakan jika kedua-dua individu yang terlibat dalam perbualan itu memahami satu bahasa terutama bahasa asing. Maksud dan isi tersirat yang wujud dalam komunikasi itu akan dapat difahami dengan tepat jika individu terbabit memahami bahasa asing secara mendalam. Jelaslah, penguasaan bahasa asing memudahkan komunikasi dengan masyarakat luar berlaku dalam suasana yang baik terutama dalam urusan perniagaan, politik dan sosial pula.

Malah, individu yang sanggup mempelajari bahasa asing akan mendapati diri mereka lebih senang memperoleh peluang pekerjaan terutama dalam era globalisasi ini. Majikan zaman ini lebih meminati pekerja yang mampu menguasai lebih banyak bahasa kerana mereka mudah untuk berurusan dengan pengguna dan boleh dihantar bekerja di mana-mana cawangan syarikat tersebut di seluruh dunia. Diri seseorang yang menguasai bahasa asing ini juga boleh memohon pekerjaan di dalam dan di luar negara kerana sedar bahasa bukanlah penghalang lagi. Sesungguhnya, pekerja yang mahir dalam pelbagai bahasa akan mendapati diri mereka senang memperoleh kerja.

Malahan, kemahiran dalam bahasa asing telah dilihat sebagai satu tuntutan era globalisasi ini. Maknanya, mereka yang menguasai bahasa asing itu dilihat sebagai unik, menarik, dan berkebolehan berbanding dengan individu yang hanya tahu bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Kemahiran sebegini menjadikan diri mereka lebih sesuai untuk menghadapi pelbagai cabaran yang timbul akibat perubahan dalam pemikiran dan cara manusia menjalani kehidupan harian mereka itu. Maka, berbahasa asing itu dilihat sebagai satu keperluan utama dalam menjalani kehidupan zaman moden ini.

Pada masa yang sama, individu yang boleh bertutur dalam bahasa asing akan mudah menyesuaikan diri mereka dalam sebarang suasana, situasi dan tempat. Mereka tidak akan berasa janggal apabila berada dalam majlis yang menggunakan bahasa asing tersebut. Pemahaman tentang sesuatu perkara juga akan menjadi lebih mudah kerana mereka boleh menjelaskan maksud bahasa asing itu ke dalam bahasa ibunda dengan lebih tepat. Lantaran itu, penguasaan bahasa luar ini menjadikan manusia itu lebih mudah untuk menyesuaikan dirinya dalam sebarang situasi dan tempat.

Kesimpulannya, semua manfaat yang dihuraikan tadi memang boleh diperoleh apabila seseorang itu menguasai banyak bahasa asing. Kita harus sedar bahawa sikap mempelajari bahasa asing ini bukanlah sesuatu yang negatif tetapi satu perkara yang bijak untuk diamalkan pula. Remaja yang berpandangan jauh akan mula memahirkan diri mereka dalam beberapa bahasa asing sebelum terlewat. Bak kata pepatah, tepuk dada tanya selera yang menjelaskan bahawa sikap mempelajari bahasa asing ini banyak ditentukan oleh sikap seseorang itu sendiri.

Tuesday, July 16, 2013

Karangan SPM 2013...Cara mengawal penulisan blog yang negatif kepada negara dan bangsa?


Penulisan blog sudah menjadi satu gaya hidup masyarakat kita. Kadangkala penulisan mereka itu menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat pula terutama apabila bahan penulisan mereka itu berunsur fitnah.

Huraikan cadangan anda untuk menyekat timbulnya masalah sebegini dalam penulisan blog.

Penulis blog dikatakan sebagai individu yang menulis dalam halaman blog yang tersiar melalui internet. Antara penulisan ini menyentuh aspek hobi, peribadi dan tidak kurang juga berunsurkan isu semasa yang dihasilkan oleh masyarakat biasa. Akhbar ada membuat komentar mengenai penulisan blog ini terutama apabila ada penulis blog yang menulis bahan yang tidak benar. Jadi, pelbagai idea telah diketengahkan untuk mengatasi masalah penulisan blog yang dilihat sebagai tidak bertanggungjawab ini.

Salah satu langkah awal menangkis masalah penulisan blog ini ialah pihak berkuasa boleh membuat pendaftaran rasmi untuk sesiapa sahaja yang mempunyai blog. Pendaftaran ini melibatkan nama dan alamat sebenar penulis serta maklumat tambahan yang pihak berkuasa beranggapan penting. Kewujudan informasi penulis blog ini memudahkan pihak berkuasa untuk memantau setiap bahan penulisan itu lalu mengambil tindakan segera dengan menahan penulis yang tidak bertanggungjawab. Maka, masalah penulisan blog yang tidak beretika dapat diatasi jika pihak berkuasa membuat proses pendaftaran penulis dengan segera.

Selain itu, satu seminar khas mengenai penulisan blog boleh dijalankan oleh pihak berkuasa terutama di bawah kendalian Kementerian Penerangan. Dalam seminar ini, pihak berkuasa boleh menerangkan proses perundangan yang meliputi internet dan juga hak penulisa serta penulisan yang beretika kepada peseta yang menghadirinya. Penyertaan penulis blog dalam seminar sebegini memberikan mereka maklumat yang tepat mengenai blog dan impak yang boleh dihasilkan oleh bahan penulisan mereka terhadap kehidupan masyarakat kita. Sesungguhnya, aktiviti seminar ini mudah tetapi efektif kerana mampu memberi kesedaran tentang erti penulisan blog yang sebenarnya.

Malah, masalah penulisan blog yang tidak beretika ini juga boleh diatasi melalui pengenalan akta penulisan blog yang relevan. Maknanya kerajaan mewartakan satu akta yang khas untuk mengawal penulisan blog yang bertujuan jahat atau tidak berdasarkan bukti yang sahih. Pengenalan akta sebegini menjadikan penulis-penulis blog lebih berhati-hati dengan setiap bahan yang hendak mereka tulis untuk bacaan umum itu. Jelaslah, penulis blog akan lebih berhati-hati apabila mereka menyedari bahawa penulisan mereka boleh dihukum dengan hukuman yang lebih berat jika mereka tidak berhati-hati.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa hendaklah mengawal kemunculan pusat-pusat internet yang tumbuh bak cendawan selepas hujan itu. Banyak pusat internet ini telah digunakan sebagai tempat penulis yang tidak beretika ini untuk menghantar bahan penulisan mereka itu kerana menyedari mereka boleh membuka pelbagai akaun blog yang sukar untuk dikesan di pusat ini. Tindakan proaktif kerajaan mengawasi pusat internet akan menjadikan penulis blog tidak berani lagi untuk menyiarkan bahan mereka menerusi pusat sebegini. Sesungguhnya, pusat internet yang dipantau dengan rapi akan mengekang sebarang penyebaran bahan penulisan blog yang tidak bermoral ini.


Kesimpulannya, masalah penulisan blog yang tidak bertanggungjawab ini boleh diatasi melalui semua langkah yang diutarakan tadi. Semua pihak hendaklah memberikan kerjasama yang sewajarnya agar blog tidak menjadi bahan untuk menjatuhkan imej orang lain dengan begitu mudah pula.  Kegagalan untuk bekerjasama boleh menyebabkan lebih banyak impak buruk akibat penulisan blog ini akan memusnahkan komuniti di negara ini yang berbilang kaum. Bak kata orang tua-tua, "kerana mullet badan binasa" mengingatkan kita bahawa dalam era moden ini bukan kata-kata sahaja yang harus dijaga tetapi hasil penulisan seseorang turut memberikan impak yang serupa.

Monday, June 24, 2013

Karangan SPM 2013...Langkah kekalkan bangunan bersejarah di Malaysia?


Negara kita mempunyai banyak bangunan bersejarah yang makin pupus dihimpit arus pembangunan.

Cadangkan langkah-langkah untuk mengekalkan bangunan tersebut.

Bangunan bersejarah bolehlah ditakrifkan sebagai bangunan lama yang digunakan dalam urusan kerajaan atau agensi kerajaan. Banyak bangunan bersejarah ini berfungsi sebagai bangunan pentadbiran, mahkamah, balai polis dan penjara. Ada bangunan ini yang berusia ratusan tahun yang pasti ada nilai sejarah terutama buat generasi muda. Lantaran itu, usaha-usaha perlu dilakukan untuk mengekalkan bangunan sebegini daripada hilang ditelan zaman.

Kerajaan boleh menjadikan bangunan itu sebagai satu daya tarikan pelancong. Sebagai contoh bangunan A Famosa, Penjara Pudu dan sebagainya boleh dipelihara untuk menarik kehadiran pelancong melihatnya. Tindakan ini menjadikan usaha pemuliharaan bangunan itu berjalan dengan baik kerana bangunan itu akan diselenggarakan atau diubahsuai demi tatapan pelancong asing. Jelaslah, tindakan menjadikan bangunan itu sebagai tarikan pelancong akan menjamin kewujudannya.

Selain itu, bangunan bersejarah ini juga boleh diubah menjadi bangunan muzium yang memaparkan sejarah tertentu. Contohnya, bangunan Balai Polis Bukit Kepong boleh dipulihara untuk memaparkan semangat perjuangan polis dan peristiwa tragis yang berlaku di kawasan itu suatu masa dahulu. Bukan sahaja bangunan lama ini akan terus wujud tetapi masyarakat  muda akan dapat menghargai erti pengorbanan yang dilakukan oleh anggota polis demi kemerdekaan negara kita.

Malahan, bangunan yang lama ini sesuai juga dijadikan pusat beli-belah atau perniagaan. Secara am bangunan bersejarah ini masih selamat dan unik untuk digunakan dalam ekonomi masyarakat kita. Kewujudan bangunan ini memberikan satu kelebihan kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan mereka dalam suasana yang jauh berbeza lalu menarik kehadiran pelanggan yang banyak pula. Maka, bangunan lama boleh juga digunakan untuk menjana ekonomi negara ini.

Tambahan pula, bangunan bersejarah ini boleh ditukar untuk menjadi bangunan pentabdiran. Sebagai contoh Bangunan Sultan Abdul Samad telah ditukar menjadi bangunan mahkamah suatu masa dahulu. Penggunaan bangunan lama sebagai pusat pentadbiran bukan sahaja mengurangkan kos pembinaan bangunan baru tetapi juga boleh menimbulkan rasa bangga dan patriotisme dalam diri seseorang yang berurusan di pejabat kerajaan itu. Jelaslah, bangunan bersejarah boleh menjadi bangunan pentadbiran pula jika diuruskan dengan baik.

Malahan, bangunan lama itu juga boleh ditukar menjadi rumah kebajikan seperti anak-anak yatim, orang tua dan sebagainya. Bangunan lama ini biasanya tidak memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi lalu sesuai untuk badan-badan kebajikan menggunakannya untuk mengurangkan kos perbelanjaan mereka pula. Pada masa yang sama, nasib golongan yang kurang bernasib baik ini terus terjaga kerana mampu berteduh di bangunan yang sudah lama usianya itu. Sesungguhnya, bangunan lama ini sesuai digunakan sebagai bangunan kebajikan.

Konklusinya, bangunana lama wajar dikekalkan kerana  bangunan sebegini masih mampu memberikan manfaat kepada masyarakat. Kita hanya perlu membuat pengubahsuaian tertentu bersama-sama penyelenggaraan yang mantap untuk memastikan bangunan itu selamat digunakan. Amalan memusnahkan bangunan lama harus dikikis kerana sikap ini seolah-olah memperlekehkan warisan sejarah negara kita yang penuh warna-warni itu.

Sunday, June 09, 2013

Karangan SPM 2013...Peranan Ibu bapa dalam menangani isu remaja?


Peranan ibu bapa lebih penting daripada peranan para pendidik dalam usaha menangani masalah remaja masa kini.

Bincangkan.

Sememangnya peranan ibu bapa dalam mendidik remaja lebih besar daripada tugas seorang guru itu. Ibu bapa yang bertanggungjawab pastinya menyedari bahawa merekalah yang harus memainkan peranan yang lebih besar dan tidak menyerahkan tugas mendidik anak mereka bulat-bulat kepada pihak sekolah sahaja. Selagi ibu bapa masih gagal untuk memahami konsep ini selagi itulah masalah remaja tidak akan berjaya diselesaikan. Jadi, mengapakah ibu bapa lebih besar peranannya berbanding pihak guru?

Kalau kita kaji secara mendalam masa remaja berada di rumah lebih panjang daripada mereka belajar di sekolah. Masa yang panjang di rumah bersama-sama ibu bapa ini menjadikan ibu bapa lebih berpeluang untuk mendidik anak mereka akan kehidupan yang sejati. Ibu bapa boleh menggunakan masa yang panjang itu dengan pelbagai pendekatan yang dianggap berkesan untuk mendidik generasi muda negara itu. Remaja akan lebih mudah mematuhi arahan jika mereka berpeluang atau mempunyai masa untuk memahami sebab mereka melakukan sesuatu tindakan itu.

Malahan, hubungan remaja dengan ibu bapa seharusnya menjadi lebih rapat kerana masa yang dihabiskan di rumah amat panjang. Tidak wujud protokol antara hubungan anak dengan ibubapanya berbanding hubungan atau interaksi remaja dengan gurunya. Perasaan segan dan tidak mesra timbul kerana guru dan pelajar tidak selalu bertemu berbanding dengan ibu bapa mereka. Hubungan yang rapat menjadi asas untuk memahami peribadi seseorang lalu mengambil cara pendekatan yang tepat untuk mengubah sikapnya.

Peranan ibu bapa begitu besar dalam pendidikan remaja menjadi insan yang cemerlang kerana ibu bapa lebih memahami peribadi anak mereka. Akibat hidup serumah menyebabkan ibu bapa boleh mengenal hati budi anak mereka dengan lebih tepat berbanding dengan guru. Setiap tindakan remaja mampu difahami oleh ibu bapa yang bertanggungjawab. Kefahaman tentang peribadi anak merekalah yang menjadikan peranan ibu bapa begitu kritikal dalam memastikan remaja tidak terjebak ke dalam kancah sosial yang negatif.

Tambahan pula, guru bolehlah dianggap sebagai orang luar dalam hal mendidik remaja. Ibu bapa lebih berperanan kerana mereka dianggap ahli keluarga sendiri yang boleh dipercayai oleh remaja. Kebanyakan guru akan berpindah dan keadaan ini pasti memberikan kesan terhadap aspek psikologi pelajar yang sudah terlalu bergantung kepada guru mereka. Keadaan ini berbeza dengan ibu bapa yang akan terus menunggu anaknya walaupun anak mereka itu sudah melakukan satu kesilapan yang besar dalam hidup mereka.

Konklusinya, peranan ibu bapa jauh lebih besar berbanding dengan pihak guru. Semua pihak harus memberikan ibu bapa peluang untuk membuktikan kemampuan mereka dalam mendidik generasi zaman moden ini. Remaja pula perlulah bersikap terbuka dalam menerima nasihat dan teguran membina ibu bapa mereka. Kerjasama semua pihaklah yang bakal menyaksikan remaja kita berubah sikap. Remaja harapan negara ini.

Monday, May 20, 2013

Karangan SPM 2013...Sebab masyarakat tidak suka membaca di Malaysia?


Amalan membaca dalam kalangan masyarakat hari ini masih berada pada tahap yang sederhana.

Jelaskan faktor-faktor yang menyebabkan masyarakat hari ini kurang membaca.

Sebenarnya pelbagai usaha telah dilakukan untuk memupuk sikap suka membaca dalam kalangan rakyat di negara ini tetapi setiap kali itu juga semua tindakan itu menemukan jalan buntu. Kegagalan ini mungkin menyebabkan banyak pihak tidak lagi mahu melakukan apa-apa yang berkaitan dengan amalan membaca kerana mereka sedar semua tindakan mereka akan gagal. Lihat sahaja usaha pihak kerajaan menganjurkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada setiap tahun itu yang memang baik tetapi tahap pembacaan masyarakat kita masih di takuk lama. Kegagalan masyarakat kita untuk membaca didorong oleh pelbagai faktor yang menarik untuk dihuraikan di sini.

Secara amnya masyarakat kita lebih suka melakukan aktiviti lain sebagai hobi mereka seperi mamancing dan bersukan daripada membaca buku. Mereka lebih suka melakukan aktiviti sebegini kerana kesannya lebih jelas seperti mengeluarkan peluh berbanding membaca yang hanya boleh menambah pengetahuan seseorang sahaja tanpa diketahui oleh orang. Aktiviti masa lapang yang lain seperti menjahit dan memasak pula dikatakan mampu membawa keuntungan atau pendapatan kepada seseorang berbanding dengan menghabiskan masa dengan membaca tanpa mendapat keuntungan kewangan. Oleh sebab itu, membaca tidak dminati oleh masyarakat kita.

Selain itu, amalan membaca juga tidak subur dalam jiwa masyarakat kita kerana kehidupan zaman moden yang terlalu sibuk dengan urusan kerjaya dan peibadi. Urusan di pejabat yang sudah sibuk kemudiannya aspek menjaga keluarga di rumah menyebabkan tidak ramai yang sanggup menghabiskan masa rehat mereka yang beitu singkat itu dengan hanya membaca sahaja. Mereka lebih sanggup menghabiskan masa yang sedikit itu dengan tidur atau melakukan aktiviti lain yang pada mereka lebih memberikan faedah kepada masa depan mereka. Sesungguhnya, kesibukan hidup menyebabkan  membaca tidak menjadi satu amalan yang penting buat rakyat negara ini.

Malah, ibu bapa juga tidak memainkan peranan memupuk amalam membaca dalam jiwa anak mereka sejak kecil. Masyarakat kita jarang mendedahkan anak mereka dengan bahan bacaan seperti buku dan akhbar sehingga menjadikan kanak-kanak itu langsung tidak berminat untuk membaca apabila dewasa kelak. Ibu bapa lebih suka menerangkan aspek kehidupan lain seperti cara-cara mencari wang atau belajar daripada menjelaskan kepentingan membaca dalam kehidupan seseorang itu. Kalau sejak kecil kita tidak didedahkan dengan amalan membaca bagaimanakah seseorang itu akan membaca apabila dewasa kelak?

Buku juga dikatakan tidak diminati kerana menerima persaingan daripada teknologi lain dalam aspek penerimaan informasi. Lihat sahaja teknologi televisyen, radio dan internet yang begitu mudah menyalurkan maklumat dalam bentuk visual yang lebih menarik berbanding bahan dalam buku yang begitu statik bentuknya. Bahan dalam media massa moden juga lebih terkini dan pantas untuk diterima oleh masyarakat berbanding buku yang boleh dibiarkan sahaja. Keadaan inilah yang menyebabkan buku tidak diminati oleh masyarakat terutama remaja yang lebih mengutamakan teknologi moden.

Pada masa yang sama pihak swasta tidak lagi berminat untuk menganjurkan program yang berkaitan dengan membaca kerana sedar mereka tidak akan menerima kesan positifnya. Lebih banyak program berunsur hiburan dianjurkan oleh pihak swasta yang mampu menarik lebih banyak pengunjung lalu memberikan keuntungan seperti menjalankan program muzik atau pameran teknologi internet. Ketiadaan program anjuran pihak swasta pasti akan memastikan semangat sesiapa sahaja yang berminat untuk membaca kerana mereka tidak lagi berpeluang untuk menikmati buku-buku yang bermutu tinggi. Sebenarnya, amalan membaca semakin kurang kerana pihak swasta tidak lagi yakin dan mahu menaja sebarang program berkaitan dengan amalam membaca di negara ini.

Kesimpulannya, amalan membaca di negara ini harus dipupuk semula oleh pihak berkuasa. Masyarakat pula perlu sedar bahawa membaca itu jambatan ilmu kerana banyak pengetahuan boleh diperoleh menerusi aktiviti sebegini. Membaca menjadikan masyarakat negara ini satu kelompok manusia yang celik ilmu dan mampu menangani cabaran kehidupan semasa pula. Jadi, marilah kita semua membaca mulai sekarang.

Sunday, April 07, 2013

Karangan SPM 2013...Peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Malaysia?


Jabatan Kebajikan Masyarakat ditubuhkan untuk menangani pelbagai masalah dalam masyarakat.

Huraikan peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mencapai matlamat tersebut.

Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diwujudkan dengan tujuan membantu kerajaan menangani masalah dalam masyarakat terutama berkaitan dengan kebajikan sosial mereka. Banyak masalah sosial yang wujud di negara ini seperti anak yatim piatu, kes anak angkat dan golongan miskin serta warga emas memerlukan penjagaan pihak tertentu. Pihak media massa telah acap kali menyiarkan berita tentang penglibatan jabatan ini dalam membantu golongan yang bermasalah ini. Oleh itu, pelbagai tugas telah dilaksanakan oleh jabatan ini.

Peranan yang ketara ialah jabatan ini memberikan bantuan kewangan kepada kanak-kanak miskin untuk meneruskan persekolahan mereka. Bukan sahaja wang saku diberikan tetapi bantuan buku dan bayaran yuran peperiksaan dilaksanakan oleh jabatan ini dengan baiknya. Pemberian ini banyak dikaitkan dengan kepentingan pendidikan dalam kehidupan seseorang itu terutama pada masa hadapan atau memberikan golongan ini satu cahaya dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran itu. Jadi, jabatan ini memberikan bantuan kewangan kepada kanak-kanak miskin untuk bersekolah.

Selain itu, jabatan ini turut memberikan perlindungan kepada kanak-kanak yang teraniaya. Biasanya, kes-kes penderaan menjadi punca kanak-kanak teraniaya di negara ini selain ketiadaan penjaga akibat kematian atau sebab-sebab lainnya. Kanak-kanak ini akan diberikan tempat tinggal, makan minum dan semua keperluan harian lagi untuk memastikan kehidupan mereka lebih terjamin sama seperti mereka memiliki ayah dan ibu pula. Oleh itu, jabatan ini memberikan perlindungan pula kepada golongan yang teraniaya.

Jabatan ini juga turut membantu golongan warga emas dengan memberikan golongan ini tempat berteduh yang baik. Kebanyakan warga tua yang tidak mempunyai apa-apa ini akan ditempatkan di rumah orang tua oleh jabatan ini. Di rumah orang tua inilah golongan warga emas boleh bergaul mesra dengan rakan-rakan senasib selain diberi perhatian perubatan dan keperluan kehidupan lain oleh pekerja-pekerja jabatan ini. Jelaslah, nasib warga tua turut diambil berat oleh jabatan ini dengan memberikan mereka tempat berteduh di rumah orang tua.

Malahan, pihak jabatan ini turut menghulurkan bantuan kepada golongan kurang upaya dan cacat di negara ini. Bantuan yang diberikan biasanya dalam bentuk latihan untuk memudahkan golongan ini memperoleh pekerjaan atau mencari rezeki dengan lebih mudah. Satu jumlah elaun yang tertentu juga diberikan kepada golongan ini untuk memudahkan mereka meneruskan kehidupan pula. Sesungguhnya, jabatan ini telah memberikan banyak bantuan kepada golongan cacat dan kurang upaya di Malaysia supaya kehidupan mereka lebih baik.

Kesimpulannya, Jabatan Kebajikan Masyarakat memainkan peranan yang begitu besar dalam perbangunan rohaniah rakyat negara ini. Jabatan ini berusaha untuk memastikan semua lapisan rakyat Malaysia menerima perhatian dan penjagaan sosial yang sewajarnya. Lantaran itu, kerjasama semua pihak terutama pihak swasta dalam memberikan sumbangan kewangan amat diperlukan dalam memastikan semua program jabatan ini berjalan lancar. Tanpa kewujudan jabatan ini kemungkinan kebaijkan rakyat kita akan terabai.

Thursday, March 21, 2013

Karangan SPM 2013...Punca Jenayah Terhadap Wanita Semakin Meningkat?


Jenayah terhadap kaum wanita semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Sesetengah pihak menyatakan bahawa kejadian ini berpunca daripada sikap wanita sendiri.

Ulas pernyataan di atas.

Masalah jenayah terhadap kaum wanita memang semakin bertambah saban tahun jika laporan statistik pihak polis digunakan sebagai garis panduan. Berita media massa juga turut membuktikan berlakunya peningkatan jenayah sebegini. Ada pihak yang menganggap masalah jenayah ini banyak disebabkan oleh sikap wanita itu sendiri yang seolah-olah memberikan gambaran wanita negara ini sengaja sahaja mencari masalah. Jadi, sebelum kita menuding jari ke arah wanita sahaja, eloklah kita menyelidik pelbagai faktor yang turut menyebabkan peningkatan kadar jenayah ini.

Memang ramai yang beranggapan sikap wanita yang mudah percaya, tidak berhati-hati ketika di luar rumah dan sebagainya yang menyebabkan berlakunya peningkatan jenayah terhadap mereka itu. Pihak polis ada memberitahu bahawa penjenayah menggunakan taktik meminta pertolongan sebelum melakukan jenayah terhadap orang yang membantu mereka itu dan biasanya wanitalah yang menjadi mangsa. Namun, persepsi sebegini agak berat sebelah kerana semua manusia baik lelaki atau wanita pasti akan melakukan kesilapan juga.

Peningkatan jenayah terhadap wanita berlaku kerana kesempitan hidup yang dialami oleh masyarakat di negara ini. Ada sesetengah pihak yang suka berbelanja besar dan impian tinggi tetapi tidak mempunyai pendapatan yang tinggi menggunakan jenayah sebagai cara untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda itu. Jenayah yang mereka lakukan itu tidak mengira mangsa tetapi wanita menjadi sasaran utama kerana jantina itu dianggap lemah pula. Maka, jenayah wanita berlaku bukan kerana diri mereka sahaja tetapi kerana keadaan kehidupan yang begitu sukar buat sesetengah pihak.

Selain itu, faktor media massa yang sering menyiarkan drama, filem dan program yang mengandungi banyak adegan ganas telah mempengaruhi penonton. Semua adegan yang ditonton oleh mereka ini akan dipelajari lalu ditiru ketika mereka melakukan jenayah kerana sudah nampak keberkesanan strategi itu dalam media massa tadi. Jenayah menculik, ragut, bunuh dan rompak semuanya boleh dipelajari menerusi media massa dengan mudah. Sesungguhnya, jenayah berlaku bukan kerana wanita tetapi kerana media massa telah terlalu banyak menyiarkan program jenayah yang sebegini.

Beberapa ahli psikologi turut bersetuju bahawa banyak kes jenayah berlaku kerana faktor psikologi seseorang itu. Kebanyakan penjenayah mengalami trauma dalam kehidupan mereka seperti pernah didera, masalah keluarga, bebanan hutang dan rasa rendah diri yang keterlaluan serta semua ini memberikan impak dalam penilaian mereka ketika membuat sesuatu keputusan tersebut. Biasanya tindakan yang mereka ambil itu terlalu ganas atau di luar kawalan diri mereka sehingga mereka hanya berasa menyesa setelah melakukan kesalahan jenayah itu tetapi sudah terlambat. Dalam kebanyakan kejadian, wanitalah yang menjadi mangsa mereka melepaskan perasaan tekanan psikologi mereka itu.

Kesimpulannya, memang banyak jenayah berlaku terhadap kaum wanita tetapi perkara buruk itu berlaku bukan disebabkan sikap wanita semata-mata sahaja. Semua pihak perlulah lebih sensitif dan tidak melihat wanita sengaja mencari masalah sahaja kerana pandangan berat sebelah sebegini tidak mampu menyelesaikan masalah jenayah yang berlaku. Sebaliknya, pandangan negatif sebeginilah juga yang menjadikan penjenayah semakin berani untuk melakukan jenayah terhadap wanita kerana sedar masyarakat sering menyalahkan wanita apabila berlakunya jenayah. Kita hendaklah melihat penjenayah sebagai satu golongan yang harus menerima hukuman yang setimpal kerana merekalah yang bertanggungjawab atas semua yang berlaku itu. Janganlah kita marahkan nyamuk habis kelambu dibakar kerana tindakan itu pasti akan memberikan impak yang bertentangan dengan kehendak masyarakat semua.

Sunday, February 24, 2013

Karangan SPM 2013...Peranan ibu bapa dalam melahirkan anak yang seimbang daripada segi rohaniah dan jasmaniah


Galakan, dorongan dan nasihat serta tunjuk ajar daripada ibu bapa penting dalam melahirkan anak yang seimbang daripada segi rohaniah dan jasmaniah.

Bincangkan.

Anak merupakan satu anugerah Tuhan kepada mana-mana ibu bapa pun. Kemunculan anak dalam kehidupan berkeluarga dianggap pemberi penyeri atau sumber inspirasi pula. Keadaan ini menyebabkan ibu bapa perlu memberikan perhatian dan penekanan terhadap usaha mendidik anak juga. Oleh itu, ibu bapa memang berperanan penting dalam mendidik anak mereka.

Kepentingan peranan ibu bapa ketara kerana merekalah orang yang paling rapat dengan anak mereka. Semua tindakan dan kelakuan ibu bapa akan menjadi ikutan anak mereka kerana anak menjadikan ibu bapa contoh teladan mereka pula. Kegagalan ibu bapa untuk memaparkan teladan yang baik boleh mempengaruhi sikap anak mereka pula nanti. Pendek kata, kerapatan ibu bapa dengan anaklah yang menjadikan peranan mendidik itu penting dilaksanakan dengan baik.

Selain itu, ibu bapa menjadi tempat meluahkan masalah buat anak-anak. Setiap masalah yang berlaku dalam kehidupan anak pasti akan dirujuk kepada ibu bapa untuk mendapat panduan menyelesaikannya dan kegagalan untuk berinteraksi dengan ibu bapa ketika inilah yang menyebabkan anak-anak terganggu kelakuannya. Ibu bapa yang mahir ialah ibu bapa yang sedar keadaan ini lalu memberikan pelbagai nasihat dan kata perangsang yang membantu anak mereka untuk mengharungi zaman keremajaan mereka dengan baik. Justeru, ibu bapa penting kerana merekalah tempat anak-anak mendapatkan panduan ketika dibelenggu pelbagai masalah hidup.

Tambahan pula, ibu bapa boleh menjadi individu yang memberikan kasih sayang kepada anak mereka terutama ketika anak mereka melakukan kesilapan. Ibu bapa yang bijak mendidik akan memaafkan kesalahan anak mereka walaupun diri mereka berasa kecewa kerana sedar anak mereka perlu diberi peluang kali kedua. Tindakan memaafkan kesalahan anak dengan bijak dan penuh kasih sayang ini akan membentuk anak menjadi insan yang lebih baik sikapnya. Maka, ibu bapa penting kerana merekalah tempat kasih sayang bermula dalam hidup remaja itu.

Namun begitu, peranan pihak sekolah terutama guru juga penting dalam kehidupan remaja. Pihak guru perlulah mendidik generasi muda ini dengan penuh tanggung jawab kerana masa remaja banyak juga dihabiskan di sekolah. Semua nasihat dan dorongan yang diberikan oleh pihak guru pasti meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa pelajar itu lalu membentuk peribadi yang mulia pula. Jadi, pihak sekolah juga memikul tugas mendidik generasi muda ini bersama-sama ibu bapa.

Malah, pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam pembentukan akhlak anak-anak mereka. Remaja yang berakhlak mulia pasti memiliki rakan yang serupa juga akhlaknya. Kegagalan memilih rakan yang baik akan menyebabkan seseorang remaja itu terjebak ke kancah negatif  yang lebih buruk pada masa hadapan. Oleh itu, anak juga hendaklah bijak memilih rakan supaya mereka tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak bermanfaat pula.

Kesimpulannya, ibu bapa memang berperanan penting dalam didikan anak kerana mereka umpama lilin yang membakar diri sendiri untuk memastikan kehidupan anak berjalan lancar. Kerjasama anak juga penting supaya semua masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan lebih mudah dan pantas. Anak merupakan satu tugas yang diamanahkan oleh Tuhan kepada kita semua. Peribahasa “melentur buluh biarlah daripada rebungnya” membuktikan betapa didikan ibu bapa ketika anak itu masih kecil amat penting lagi bermakna untuk masa depan mereka kelak.

Sunday, January 20, 2013

Karangan SPM 2013...Tindakan memupuk amalan menyimpan wang dalam masyarakat?


Simpanan wang merupakan satu amalan murni yang harus ditanam dalam jiwa remaja kita. Cuma amalan ini belum lagi berakar umbi dalam masyarakat kita.

Nyatakan tindakan-tindakan yang boleh dilaksanakan untuk mencapai matlamat ini.

Kenapakah masyarakat kita masih enggan mengamalkan amalan murni menyimpan wang terutama dalam kalangan remaja? Keadaan ini mungkin banyak berkaitan dengan pandangan masyarakat kita terutama remaja yang melihat masa depan itu sesuatu yang terlalu jauh dan sukar untuk diramal lalu mereka tidak suka membuat sebarang perancangan terutama untuk menyimpan wang. Media massa turut mendedahkan kepincangan remaja untuk membuat simpanan secara bulanan yang boleh membanggakan kita semua. Jelaslah, pelbagai langkah boleh dilaksanakan untuk memastikan remaja mempunyai sikap menyimpan wang ini.

Langkah awal yang boleh dilakukan ialah remaja itu sendiri mengubah paradigma mereka tentang konsep masa depan terutama menyimpan wang ini. Perubahan pandangan ini amat penting kerana remaja yang menyedari bahawa kehidupan mereka tidaklah begitu panjang akan melakukan yang terdaya untuk menyimpan sebanyak mungkin wang yang mampu ketika mereka masih muda dan bertenaga. Sikap menyimpan sejak muda sudah pasti akan menjadikan kehidupan remaja lebih seimbang terutama ketika mereka mula melangkah ke alam pekerjaan, kekeluargaan dan persaraan kemudian nanti. Maka, perubahan paradigma ini menjadi jalan awal untuk remaja mempunyai sikap untuk menyimpan wang pada jangka masa panjang.

Selain itu, kerajaan boleh menjalankan kempen kesedaran terutama buat remaja. Kempen kesedaran yang menggunakan idola remaja terutama artis dan ahli sukan boleh memupuk sikap suka menyimpan ini kerana remaja lebih mempercayai idola mereka daripada sesiapa pun di dunia ini. Bukan itu sahaja kempen ini perlulah dilaksanakan sepanjang tahun untuk memberikan impak yang sewajarnya dalam diri remaja itu terutama jika iklan kempen itu diulang-ulang menerusi penggunaan media massa. Sesungguhnya, kempen yang dirancang dengan teliti dan efektif serta menembusi keperluan remaja pasti akan berupaya untuk mewujudkan satu kelompok remaja yang sanggup menyimpan untuk masa depan mereka.

Bukan sahaja sikap remaja dan kempen penting dilakukan tetapi pihak swasta terutama bank perlulah menganjurkan pakej-pakej simpanan yang unik tetapi menarik buat pasaran remaja. Maknanya, pakej simpanan buat remaja lebih menawarakan kadar faedah yang tinggi atau diberikan pulangan tertentu yang sesuai dengan diri remaha seperti hadiah telefon bimbit kepada remaja yang sering menyimpan dalam satu tempoh tertentu. Proses untuk menyimpan juga perlu dimudahkan supaya remaja tidak perlu selalu pergi ke bank untuk membuat simpanan atau menukarkan pakej simpanan mereka terutama dalam kehidupan remaja yang begitu sibuk itu. Maka, kewujudan pakej simpanan bank yang lebih menarik untuk remaja pasti mewujudkan lebih ramai remaja yang suka menyimpan wang mereka.

Ibu bapa juga mempunyai peranan besar dalam memupuk sikap suka menyimpan dalam diri remaja ini. Pandangan jauh yang wujud dalam minda ibu bapa yang bijak ialah mereka akan mengajar anak mereka keperluan untuk menyimpan wang sejak kecil. Mereka akan membawa anak-anak mereka ke bank ketika mereka melakukan urusniaga bank untuk memberikan pendedahan awal kepada anak tentang sistem perbankan kita. Jadi, pendedahan awal terhadap sistem kewangan oleh ibu bapa menjadikan diri remaja itu lebih mudah kepentingan menyimpan ketika masih muda kerana ayah borek anak rintik atau ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi.

Kesimpulannya, semua langkah yang diutarakan sebelum ini memang boleh dilaksanakan dengan berkesan. Kerjasama semua pihak amat penting terutama peranan ibu bapa dan diri remaja itu sendiri dalam memastikan amalan murni ini berjaya direalisasikan dalam jiwa remaja di negara kita. Sikap suka menuding jari atau menganggap masa masih jauh merupakan satu halangan mental yang perlu diatasi oleh semua remaja kita. Mereka yang melakukan sesuatu perkara itu lebih awal sudah pasti akan memperoleh kejayaan dengan lebih mudah dan besar.