Perlu latihan?

Perlu latihan?

Friday, September 28, 2012

Karangan SPM 2012...Peranan ibu bapa dalam pemupukan semangat cinta akan negara dalam jiwa anak?




Salah satu tanggungjawab ibu bapa kepada tanah air ialah membentuk dan mengasuh anak-anak menjadi warganegara yang berjiwa patriotik dan cinta akan negara.
Huraikan peranan ibu bapa bagi memupuk semangat patriotik dalam jiwa anak-anak itu.

Rakyat yang patriotik diibaratkan seorang individu yang sanggup mengorbankan dirinya untuk kepentingan negara tanpa banyak alasan. Antara tindakan yang dilihat sebagai cinta akan negara meliputi amalan bekerja dengan rajin, tidak menimbulkan masalah seperti terlibat dalam jenayah, dan membantu rakyat lain yang miskin. Pihak media massa terutama akhbar telah menggunakan konsep patriotik ini dalam banyak karya penulisan mereka sebagai cubaan untuk menanam semangat ini dalam jiwa rakyat. Sebenarnya,  ibu bapa mempunyai peranan besar untuk memastikan semangat ini dimiliki oleh anak-anak generasi muda Malaysia.
Tindakan yang paling mudah ialah ibu bapa sering membawa anak melancong ke tempat bersejarah di negara ini terutama ketika musim cuti sekolah. Anak akan lebih mengerti perjuangan tokoh negara seperti Dato Bahaman dan Mat Kilau apabila mereka dapat melihat sendiri kawasan pertempuran yang berlaku antara pejuang negara dengan penjajah British itu. Mereka boleh membaca penulisan yang biasanya menerangkan serba ringkas perjuangan pejuang ini di kawasan bersejarah itu lalu menimbulkan rasa bangga dan berterima kasih atas perjuangan tokoh tersebut. Jadi, anak akan lebih tinggi semangat cinta akan negaranya apabila sering melawat tempat bersejarah di negara ini.
Selain itu, ibu bapa sendiri hendaklah memaparkan semangat nasionalisme yang tinggi kepada anak sendiri kerana kita tidak mahu digelar umpama ketam mengajar anaknya berjalan lurus pula.  Pemaparan teladan ini dilakukan menerusi percakapan, tindakan, penghayatan dan sebagainya yang menjurus ke arah pengorbanan negara terhadap kehidupan mereka selama ini. Anak telah diyakini akan meniru kelakukan orang tua mereka bak kata pepatah bapa borek anak rintik terutama apabila sering didedahkan dengan kelakuan patriotik sebegini. Jadi, teladan ibubapalah yang membawa penyemaian benih nasionalisme dalam jiwa remaja kita tersebut.
Negara kita menyambut kemerdekaan setiap tanggal 31 Ogos dan seharusnya ibu bapa membawa anak untuk sama-sama melihat sambutan hari kebangsaan ini. Biasanya, kawasan sambutan ini akan dipenuhi dengan pelbagai acara yang cuba meniupkan semangat cinta akan negara ini dalam hati mereka yang hadir itu. Suasana yang penuh dengan semangat nasionalisme ini pasti menimbulkan rasa bangga dalam hati anak yang menontonnya itu. Oleh itu, amalan membawa anak ke tempat sambutan hari kebangsaan boleh memupuk rasa cinta akan negara.
Malah, ibu bapa zaman moden ini boleh menggunakan teknologi untuk menghuraikan semangat patriotik kepada anak mereka. Penggunaan teknologi seperti internet dan telefon pintar membolehkan ibu bapa menyalurkan lebih banyak informasi tentang sejarah negara dengan satu sentuhan sahaja. Ibu bapa boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat tentang sejarah negara yang kadangkala begitu mengelirukan itu juga. Sesungguhnya, penggunaan teknologi sebegini mampu memudahkan tugas ibu bapa untuk memastikan anak mereka memiliki rasa cinta akan negara.
Malahan, semangat cinta dan sanggup berkorban demi negara ini boleh disemai dalam jiwa anak menerusi amalan penceritaan ibu bapa. Kisah dahulu ketika negara belum mengalami kemodenan harus diterangkan kepada pelajar agar mereka memahami erti pengorbanan pejuang dan pemimpin negara yang telah membawa perubahan besar itu. Anak yang selalu mendengar itu akan mula perlahan-lahan menghargai jasa pejuang negara terdahulu lalu memasang impian untuk turut membuat jasa kepada bangsa dan nusa pula. Lantaran itu, ibu bapa yang bijak akan sering bercerita mengenai perubahan pembangunan negara supaya anak memahami kehidupan yang dialami sekarang berpunca daripada pengorbanan orang terdahulu.
Konklusinya, usaha memupuk semangat cinta akan negara ini memang menjadi tugas ibu bapa. Golongan ini perlulah mahir menggunakan peluang dan situasi yang wujud untuk memudahkan anak memahami makna pengorbanan rakyat yang sebenarnya. Jika ibu bapa masih mengamalkan sikap lepas tangan dalam menangani isu semangat cinta akan negara ini sudah pasti generasi muda kita akan hilang rasa hormat terhadap negara. Kita harus sedar semua yang berlaku pada masa hadapan berpunca daripada pengorbanan orang terdahulu.


Friday, September 14, 2012

Karangan SPM 2012...Punca dan Kesan Kejadian Tanah Runtuh


Kejadian tanah runtuh sering berlaku di negara ini.
Jelaskan punca-punca dan kesan-kesan kejadian ini berlaku.
Kejadian tanah runtuh merujuk kejadian fenomena alam semula jadi yang sering dikaitkan dengan perubahan kedudukan tanah sesuatu kawasan itu. Antara contoh kawasan yang sering dilanda tanah runtuh ialah lereng bukit, kawasan projek perumahan dan juga kawasan berhampiran dengan aliran air seperti sungai. Media massa sering mengetengahkan kejadian alam ini sehingga menjadikan kejadian ini sesuatu yang biasa pula di negara ini. Oleh itu, kefahaman tentang pelbagai punca dan impak kejadian ini amat penting untuk menangani kemelut alam sekitar ini.
Secara amnya kejadian tanah runtuh berpunca daripada projek pembangunan yang tidak seimbang kerana keghairahan manusia mengejar erti kemodenan sebenar. Pembangunan yang tidak seimbang ini sering mengabaikan pengekalan alam sekitar terutama hutan atau penggunaan alam sekitar dalam sesuatu projek pembangunan tersebut. Keadaan ini telah menyebabkan hujan lebat sahaja berupaya untuk mencetuskan kejadian tanah runtuh di sesuatu kawasan pembangunan tersebut. Jadi, tanah runtuh berlaku kerana ketiadaaan keseimbangan antara projek pembangunan dan sistem ekologinya.
Selain itu, ketiadaan peruntukan perundangan yang menyeluruh turut menjadikan isu ini semakin meruncing. Masyarakat dengan mudah lagi berani melakukan projek pembangunan sesuka hati kerana sedar bahawa mereka tidak akan didakwa oleh pihak kerajaan kerana ketiadaan akta yang mampu untuk digunakan terhadap kesalahan mereka itu. Kelemahan dalam system perundangan inilah yang menyebabkan masalah ini terus berlaku tanpa ada sebarang perasaan bersalah dalam jiwa masyarakat kita. Jelaslah, ketiadaan peruntukan perundangan yang holistik dan ketat telah membawa masalah ini terus menerus berlaku dalam masyarakat kita.
Bukan sahaja ketiadaan keseimbangan pembangunan dan kelemahan dalam sistem perundangan tetapi kekurangan dalam kemahiran menarah sistem bukit di negara ini turut menjadikan polemik ini semakin serius. Kita masih menggunakan sistem tarahan kawasan berbukit yang lama kerana kekurangan kemahiran atau pengalaman dalam kalangan jurutera tempatan di negara ini. Situasi ini menyebabkan bukit yang digondolkan itu mudah sahaja mengalami kejadian tanah runtuh setiap kali hujan lebat melanda.
Namun, impak yang timbul daripada kejadian alam ini begitu menakutkan terutama pertambahan dalam bilangan mangsa korban kejadian ini. Saban tahun ada sahaja nyawa insan yang tidak bersalah akan hilang bersama-sama runtuhan tanah tersebut walaupun mereka tidak bersalah dalam hal ini. Kehilangan nyawa ini seolah-olah tidak mendapat perhatian semua pihak sehingga hanya komen-komen biasa kedengaran setiap kali sesuatu malapetaka melanda negara ini. Justeru, tanah runtuh yang berlaku telah menyebabkan negara ini kehilangan banyak nyawa manusia yang tidak berdosa.
Malah, kemusnahan harta benda turut berlaku yang menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit setiap tahun begitu sahaja. Biasanya kerugian ini berlaku akibat kemusnahan harta benda terutama rumah, bangunan, dan juga kemudahan awam terutama jalan raya. Akibatnya, kerajaan terpaksa membelanjakan pula sejumlah wang yang banyak untuk membina semula kemudahan ini atau memberikan bayaran pampasan kepada mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh.
Kesimpulannya, kejadian tanah runtuh telah menjadikan imej negara ini terjejas dengan teruknya. Lantaran itu, kerjasama semua pihak terutama pihak pemaju perumahan amat diperlukan agar tidak membina projek mereka di kawasan yang berisiko tinggi seperti kawasan berbukit. Ketiadaan kerjasama atau kedegilan pihak-pihak tertentulah yang menyebabkan masalah ini sukar untuk dikekang oleh kerajaan kita. Bak kata orang tua-tua, “nasi sudah menjadi bubur” yang mengingatkan kita bahawa semua yang berlaku sudah terlewat untuk dikesali kecuali kita sedar lalu bertindak mengatasinya dengan lebih awal.  

Friday, September 07, 2012

Hadiri seminar PMR saya....

Pelajar semua..jika anda berminat, sila hadiri seminar PMR saya ini. Penekanan akan diberikan terhadap soalan-soalan ramalan yang harus diberikan perhatian oleh pelajar.

ceria