Monday, January 02, 2012

Karangan SPM 2012...Cara-cara Galak Menabung?

Simpanan wang merupakan satu amalan murni yang harus ditanam dalam jiwa remaja kita. Cuma amalan ini belum lagi berakar umbi dalam masyarakat kita.

Nyatakan tindakan-tindakan yang boleh dilaksanakan untuk mencapai matlamat ini
.

Amalan menyimpan wang bolehlah dikaitkan sebagai sikap suka menabung dalam kalangan masyarakat moden. Wang dianggap oleh masyarakat sebagai satu kayu pengukur dalam penentuan kejayaan kehidupan seseorang itu. Individu yang mempunyai simpanan wang yang cukup pasti akan menikmati satu kehidupan yang jauh berbeza daripada mereka yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Lantaran itu, ada pelbagai tindakan yang boleh dilaksanakan untuk memastikan sikap menyimpan wang ini menjadi satu budaya kita yang berakar umbi dalam jiwa masyarakat.

Langkah awal ialah kerajaan perlulah mengadakan satu kempen kesedaran yang efektif. Kempen kesedaran ini boleh menggunakan kecanggihan media massa yang wujud di negara ini untuk mencapai tahap keberksanan yang sebaik mungkin. Dalam kempen ini dijelaskan cara-cara menyimpan wang, faedahnya dan dirangka dalam satu bentuk yang mudah untuk difahami oleh remaja kita semua. Maka, kempen yang dirangka dengan baik dan dilaksanakan sepanjang tahun berupaya untuk membentuk satu kesedaran dalam naluri masyarakat kita terutamanya remaja yang sememangnya dahagakan kesedaran sejati itu.

Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka sebagai pembentuk yang sejati dengan memberikan teladan yang sewajarnya. Setiap bulan ibu bapa haruslah memaparkan kepada anak mereka bahawa mereka memang membuat simpanan wang di dalam bank yang akan meninggalkan kesan mendalam dalam pemikiran anak mereka itu kelak. Kalau sejak kecil remaja sudah didedahkan dengan sikap ibu bapa merek sendiri yang suka menyimpan wang sudah pasti sikap yang positif ini akan terus tertanam dalam jiwa mereka. Sesungguhnya ayah borek anak rintik menjadi bukti bahawa teladan ibu bapa yang mampu mewujudkan tabiat suka menyimpan dalam jiwa remaja kita itu.

Malahan, pihak bank juga boleh mewujudkan pelbagai pakej simpanan yang menarik dan memberikan pulangan pelaburan jangka panjang yang banyak. Kewujudan pakej simpanan sebegini mampu menarik minat masyarakat terutama golongan muda untuk membuat simpanan ketika usia mereka masih muda kerana menyedari simpanan itu akan membawa pulangan yang lumayan kelak. Simpanan yang dibuat sejak muda hendaklah diberi sedikit keistimewaan yang memberikan faedah tambahan seperti pemberian perlindungan insuran selain memberikan faedah yang tinggi kadarnya. Jelaslah, pihak bank turut mempunyai peranan untuk memupuk semangat suka menyimpan ini dengan merangka pakej simpanan yang mampu menarik minat masyarakat.

Tambahan pula, pihak sekolah juga boleh menghulurkan bantuan dengan mewujudkan Kelab Menabung di sekolah. Kita semua sedia maklum bahawa sekolah mempunyai banyak pelajar yang mampu untuk menyimpan dalam bentuk harian yang boleh dikumpulkan untuk menjadi satu jumlah yang besar lalu boleh dilaburkan oleh pihak sekolah dalam pakej kewangan yang membawa keuntungan pula. Wang saku yang diberi oleh ibu bapa tidak digunakan sepenuhnya oleh pelajar lalu boleh dijadikan asas kepada simpanan secara sedikit demi sedikit oleh pelajar itu. Sesungguhnya, pihak sekolah mampu memberi kefahaman kepada pelajar akan kepentingan simpanan dengan penubuhan kelab sebegini di sekolah.

Konklusinya, semua tindakan yang dijelaskan itu berupaya untuk memupuk sikap suka menyimpan dalam diri masyarakat terutama golongan muda. Kerjasama semua pihak terutama pihak sekolah dan ibu bapa pula memberikan impak yang paling penting kerana remaja menghabiskan masa mereka di rumah dan sekolah. Jika amalan ini mampu dipupuk sudah pasti negara kita akan mempunyai satu aset simpanan wang yang sukar untuk ditandingi oleh mana-mana negara di dunia pun. Sememangnya menyimpan wang itu satu amalan murni kerana sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit.

No comments: