Friday, December 21, 2012

Karangan SPM 2013...Usaha mengekalkan keamanan Malaysia?


Semasa negara lain di dunia mengalami ketidaktenteraman berikutan masalah peperangan, Malaysia tetap berjaya mengekalkan keamanan sosial, ekonomi, dan politiknya. Keadaan itu banyak didorong oleh usaha pelbagai pihak dalam mengekalkan keamanan negara.

Berdasarkan pernyataan tersebut, berikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk mengekalkan keamanan negara kita.

Malaysia merupakan sebuah syurga dunia kerana kejadian buruk jarang berlaku di sini terutama ancaman bencana alam dan peperangan. Rakyatnya hidup dalam suasana aman sentosa bersama-sama arus pembangunan kemodenan yang pesat. Keamanan inilah yang memberikan imej yang positif kepada negara sehingga menjadikan banyak negara cemburu akan kejayaan tersebut. Jadi, memang banyak tindakan yang telah dilakukan oleh semua pihak di negara ini untuk memastikan negara terus berada dalam situasi harmoni itu.

Tindakan yang paling ketara ialah negara telah meningkatkan lagi kemampuan ketenteraannya. Angkatan tentera negara ini telah cuba menarik lebih banyak remaja yang berkaliber untuk menyertai perkhidmatan mereka bersama-sama dengan pembelian peralatan ketenteraan yang serba canggih. Semua ini bertujuan memastikan tahap keselamatan negara berada pada tahap yang tertinggi lalu menjamin keamanan negara yang stabil. Jelaslah, negara menjadi aman kerana memiliki satu ketumbukan tentera yang berkaliber dan berteknologi tinggi.

Selain itu, negara turut membuat kerjasama yang erat dengan Negara-negara jiran terutama negara-negara ASEAN. Kita semua sedia maklum bahawa ASEAN ditubuhkan untuk menjamin keselamatan serantau lalu memastikan perkembangan ekonomi boleh berlaku pada masa yang sama. Kerjasama yang erat ini juga memastikan setiap negara ASEAN tidak mahu menganggu urusan dalaman satu sama lain untuk memastikan tidak berlaku perselisihan faham yang boleh membawa permusuhan yang mengoyahkan keamanan pula.  Jadi, kerjasama erat antara negara-negara jiran membantu Malaysia untuk menikmati satu tahap keamanan yang tinggi.

Malah, keamanan negara juga dikekalkan menerusi amalan demokrasi yang dilaksanakan di negara ini apabila tempoh pemerintahan kerajaan sebelumnya hamper tamat.  Pilihanraya dan proses pertukaran pemimpin di negara ini masih berjalan secara rasional dan mengikut lunas-lunas perlembagaan negara yang mengutamakan hak asasi rakyat.  Keadaan ini menjadikan keyakinan rakyat terhadap system pemerintahan kerajaan bertambah baik setiap kali proses demokrasi itu dilaksanakan.  Jelaslah, proses demokrasi yang diamalkan menjadikan aspek keamanan itu sesuatu yang penting untuk dikekalkan di negara ini.

Malahan, pihak kerajaan juga telah meneruskan usaha pembasmian kemiskinan yang sudah mula menampakkan hasilnya. Jurang kekayaan antara golongan miskin dan kaya telah berupaya dikurangkan sehingga tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk menimbulkan sebarang masalah besar kelak. Perasaan kekitaan dan tidak berasa ditinggalkan menjadi asas penting untuk mengekalkan keamanan di negara ini untuk satu tempoh yang panjang kerana tidak timbul perasaan pilih kasih atau sebagainya dalam jiwa masyarakat berbilang kaum di sini. Maka, usaha mengikis perbezaan pengagihan kekayaan ini harus dilakukan secera berterusan untuk memastikan keamanan itu berkekalan.

Tambahan pula, pihak polis telah berjaya memerangi pelbagai gejala sosial yang melanda negara ini. Kejadian jenayah terutama jenayah berat telah dikawal dengan baik oleh pihak polis yang bertugas tanpa mengenal penat untuk memastikan keselamatan rakyat negara ini bertambah baik. Kejayaan mengawal jenayah di negara ini turut sama memberikan satu suasana yang tenang dan meyakinkan kepada rakyat negara ini bahawa Malaysia sebuah negara yang baik untuk terus didiami. Justeru, kejayaan pihak polis menjalankan kewajipan mereka telah menjadikan aspek keamanan di negara ini terus wujud.

Kesimpulannya, keadaan keamanan yang sebegini perlu dikekalkan untuk selama-lamanya. Pada masa yang sama aspek pembangunan negara harus diberikan penekanan juga kerana inilah kemodenan yang harus dinikmati oleh semua. Kita harus sedar dan menghargai aspek keamanan ini dengan sebaik mungkin. Peribahasa  “jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya” kerana keamanan ini memerlukan satu usaha yang gigih daripada semua pihak.

Friday, September 28, 2012

Karangan SPM 2012...Peranan ibu bapa dalam pemupukan semangat cinta akan negara dalam jiwa anak?




Salah satu tanggungjawab ibu bapa kepada tanah air ialah membentuk dan mengasuh anak-anak menjadi warganegara yang berjiwa patriotik dan cinta akan negara.
Huraikan peranan ibu bapa bagi memupuk semangat patriotik dalam jiwa anak-anak itu.

Rakyat yang patriotik diibaratkan seorang individu yang sanggup mengorbankan dirinya untuk kepentingan negara tanpa banyak alasan. Antara tindakan yang dilihat sebagai cinta akan negara meliputi amalan bekerja dengan rajin, tidak menimbulkan masalah seperti terlibat dalam jenayah, dan membantu rakyat lain yang miskin. Pihak media massa terutama akhbar telah menggunakan konsep patriotik ini dalam banyak karya penulisan mereka sebagai cubaan untuk menanam semangat ini dalam jiwa rakyat. Sebenarnya,  ibu bapa mempunyai peranan besar untuk memastikan semangat ini dimiliki oleh anak-anak generasi muda Malaysia.
Tindakan yang paling mudah ialah ibu bapa sering membawa anak melancong ke tempat bersejarah di negara ini terutama ketika musim cuti sekolah. Anak akan lebih mengerti perjuangan tokoh negara seperti Dato Bahaman dan Mat Kilau apabila mereka dapat melihat sendiri kawasan pertempuran yang berlaku antara pejuang negara dengan penjajah British itu. Mereka boleh membaca penulisan yang biasanya menerangkan serba ringkas perjuangan pejuang ini di kawasan bersejarah itu lalu menimbulkan rasa bangga dan berterima kasih atas perjuangan tokoh tersebut. Jadi, anak akan lebih tinggi semangat cinta akan negaranya apabila sering melawat tempat bersejarah di negara ini.
Selain itu, ibu bapa sendiri hendaklah memaparkan semangat nasionalisme yang tinggi kepada anak sendiri kerana kita tidak mahu digelar umpama ketam mengajar anaknya berjalan lurus pula.  Pemaparan teladan ini dilakukan menerusi percakapan, tindakan, penghayatan dan sebagainya yang menjurus ke arah pengorbanan negara terhadap kehidupan mereka selama ini. Anak telah diyakini akan meniru kelakukan orang tua mereka bak kata pepatah bapa borek anak rintik terutama apabila sering didedahkan dengan kelakuan patriotik sebegini. Jadi, teladan ibubapalah yang membawa penyemaian benih nasionalisme dalam jiwa remaja kita tersebut.
Negara kita menyambut kemerdekaan setiap tanggal 31 Ogos dan seharusnya ibu bapa membawa anak untuk sama-sama melihat sambutan hari kebangsaan ini. Biasanya, kawasan sambutan ini akan dipenuhi dengan pelbagai acara yang cuba meniupkan semangat cinta akan negara ini dalam hati mereka yang hadir itu. Suasana yang penuh dengan semangat nasionalisme ini pasti menimbulkan rasa bangga dalam hati anak yang menontonnya itu. Oleh itu, amalan membawa anak ke tempat sambutan hari kebangsaan boleh memupuk rasa cinta akan negara.
Malah, ibu bapa zaman moden ini boleh menggunakan teknologi untuk menghuraikan semangat patriotik kepada anak mereka. Penggunaan teknologi seperti internet dan telefon pintar membolehkan ibu bapa menyalurkan lebih banyak informasi tentang sejarah negara dengan satu sentuhan sahaja. Ibu bapa boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat tentang sejarah negara yang kadangkala begitu mengelirukan itu juga. Sesungguhnya, penggunaan teknologi sebegini mampu memudahkan tugas ibu bapa untuk memastikan anak mereka memiliki rasa cinta akan negara.
Malahan, semangat cinta dan sanggup berkorban demi negara ini boleh disemai dalam jiwa anak menerusi amalan penceritaan ibu bapa. Kisah dahulu ketika negara belum mengalami kemodenan harus diterangkan kepada pelajar agar mereka memahami erti pengorbanan pejuang dan pemimpin negara yang telah membawa perubahan besar itu. Anak yang selalu mendengar itu akan mula perlahan-lahan menghargai jasa pejuang negara terdahulu lalu memasang impian untuk turut membuat jasa kepada bangsa dan nusa pula. Lantaran itu, ibu bapa yang bijak akan sering bercerita mengenai perubahan pembangunan negara supaya anak memahami kehidupan yang dialami sekarang berpunca daripada pengorbanan orang terdahulu.
Konklusinya, usaha memupuk semangat cinta akan negara ini memang menjadi tugas ibu bapa. Golongan ini perlulah mahir menggunakan peluang dan situasi yang wujud untuk memudahkan anak memahami makna pengorbanan rakyat yang sebenarnya. Jika ibu bapa masih mengamalkan sikap lepas tangan dalam menangani isu semangat cinta akan negara ini sudah pasti generasi muda kita akan hilang rasa hormat terhadap negara. Kita harus sedar semua yang berlaku pada masa hadapan berpunca daripada pengorbanan orang terdahulu.


Friday, September 14, 2012

Karangan SPM 2012...Punca dan Kesan Kejadian Tanah Runtuh


Kejadian tanah runtuh sering berlaku di negara ini.
Jelaskan punca-punca dan kesan-kesan kejadian ini berlaku.
Kejadian tanah runtuh merujuk kejadian fenomena alam semula jadi yang sering dikaitkan dengan perubahan kedudukan tanah sesuatu kawasan itu. Antara contoh kawasan yang sering dilanda tanah runtuh ialah lereng bukit, kawasan projek perumahan dan juga kawasan berhampiran dengan aliran air seperti sungai. Media massa sering mengetengahkan kejadian alam ini sehingga menjadikan kejadian ini sesuatu yang biasa pula di negara ini. Oleh itu, kefahaman tentang pelbagai punca dan impak kejadian ini amat penting untuk menangani kemelut alam sekitar ini.
Secara amnya kejadian tanah runtuh berpunca daripada projek pembangunan yang tidak seimbang kerana keghairahan manusia mengejar erti kemodenan sebenar. Pembangunan yang tidak seimbang ini sering mengabaikan pengekalan alam sekitar terutama hutan atau penggunaan alam sekitar dalam sesuatu projek pembangunan tersebut. Keadaan ini telah menyebabkan hujan lebat sahaja berupaya untuk mencetuskan kejadian tanah runtuh di sesuatu kawasan pembangunan tersebut. Jadi, tanah runtuh berlaku kerana ketiadaaan keseimbangan antara projek pembangunan dan sistem ekologinya.
Selain itu, ketiadaan peruntukan perundangan yang menyeluruh turut menjadikan isu ini semakin meruncing. Masyarakat dengan mudah lagi berani melakukan projek pembangunan sesuka hati kerana sedar bahawa mereka tidak akan didakwa oleh pihak kerajaan kerana ketiadaan akta yang mampu untuk digunakan terhadap kesalahan mereka itu. Kelemahan dalam system perundangan inilah yang menyebabkan masalah ini terus berlaku tanpa ada sebarang perasaan bersalah dalam jiwa masyarakat kita. Jelaslah, ketiadaan peruntukan perundangan yang holistik dan ketat telah membawa masalah ini terus menerus berlaku dalam masyarakat kita.
Bukan sahaja ketiadaan keseimbangan pembangunan dan kelemahan dalam sistem perundangan tetapi kekurangan dalam kemahiran menarah sistem bukit di negara ini turut menjadikan polemik ini semakin serius. Kita masih menggunakan sistem tarahan kawasan berbukit yang lama kerana kekurangan kemahiran atau pengalaman dalam kalangan jurutera tempatan di negara ini. Situasi ini menyebabkan bukit yang digondolkan itu mudah sahaja mengalami kejadian tanah runtuh setiap kali hujan lebat melanda.
Namun, impak yang timbul daripada kejadian alam ini begitu menakutkan terutama pertambahan dalam bilangan mangsa korban kejadian ini. Saban tahun ada sahaja nyawa insan yang tidak bersalah akan hilang bersama-sama runtuhan tanah tersebut walaupun mereka tidak bersalah dalam hal ini. Kehilangan nyawa ini seolah-olah tidak mendapat perhatian semua pihak sehingga hanya komen-komen biasa kedengaran setiap kali sesuatu malapetaka melanda negara ini. Justeru, tanah runtuh yang berlaku telah menyebabkan negara ini kehilangan banyak nyawa manusia yang tidak berdosa.
Malah, kemusnahan harta benda turut berlaku yang menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit setiap tahun begitu sahaja. Biasanya kerugian ini berlaku akibat kemusnahan harta benda terutama rumah, bangunan, dan juga kemudahan awam terutama jalan raya. Akibatnya, kerajaan terpaksa membelanjakan pula sejumlah wang yang banyak untuk membina semula kemudahan ini atau memberikan bayaran pampasan kepada mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh.
Kesimpulannya, kejadian tanah runtuh telah menjadikan imej negara ini terjejas dengan teruknya. Lantaran itu, kerjasama semua pihak terutama pihak pemaju perumahan amat diperlukan agar tidak membina projek mereka di kawasan yang berisiko tinggi seperti kawasan berbukit. Ketiadaan kerjasama atau kedegilan pihak-pihak tertentulah yang menyebabkan masalah ini sukar untuk dikekang oleh kerajaan kita. Bak kata orang tua-tua, “nasi sudah menjadi bubur” yang mengingatkan kita bahawa semua yang berlaku sudah terlewat untuk dikesali kecuali kita sedar lalu bertindak mengatasinya dengan lebih awal.  

Friday, September 07, 2012

Hadiri seminar PMR saya....

Pelajar semua..jika anda berminat, sila hadiri seminar PMR saya ini. Penekanan akan diberikan terhadap soalan-soalan ramalan yang harus diberikan perhatian oleh pelajar.

ceria

Thursday, August 16, 2012

Karangan SPM 2012...


Impak penggunaan telefon bimbit di sekolah.

Huraikan

Skop: telefon bimbit
Tajuk: Impak...negatif?

isi 1...menyebabkan kejadian curi menjadi-jadi
isi 2...menyebabkan fokus pelajar terganggu
isi 3...menyebabkan pelajar mudah melayari halaman sesawang yang tidak baik
isi 4...menyebabkan pelajar terlibat dalam gejala sosial
isi 5...menyebabkan pelajar akan kehabisan wang

Tuesday, August 07, 2012

Pelajar semua,

Peperiksaan PMR dan SPM semakin hampir. Jadi, pakej online learning saya diwujudkan semula.

Seperti yang pelajar sudah faham, pakej ini melibatkan penggunaan program face time yang memudahkan saya menerangkan bahan pendidikan kepada pelajar.

Setiap kelas melibatkan masa 45 minit dengan dua kali masa dalam seminggu.

Kosnya begitu berpatutan kerana pelajar hanya duduk di rumah sahaja mendengar penerangan saya.

Pakej ini sesuai untuk pelajar yang ingin membuat rujukan terakhir sebelum peperiksaan yang semakin hampir itu.

Bahan akan dihantar kepada pelajar yang menyertai pakej ini terlebih dahulu.

Jika berminat sila emel saya segera sebab jadual mula dibuka mulai hari ini.

ceria.

Monday, June 11, 2012

Karangan SPM 2012...Usaha-usaha negara mengekalkan keamanan Malaysia?

Semasa negara lain di dunia mengalami ketidaktenteraman berikutan masalah peperangan, Malaysia tetap berjaya mengekalkan keamanan sosial, ekonomi, dan politiknya. Keadaan itu banyak didorong oleh usaha pelbagai pihak dalam mengekalkan keamanan negara.

Berdasarkan pernyataan tersebut, berikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk mengekalkan keamanan negara kita.

Malaysia merupakan sebuah syurga dunia kerana kejadian buruk jarang berlaku di sini terutama ancaman bencana alam dan peperangan. Rakyatnya hidup dalam suasana aman sentosa bersama-sama arus pembangunan kemodenan yang pesat. Keamanan inilah yang memberikan imej yang positif kepada negara sehingga menjadikan banyak negara cemburu akan kejayaan tersebut. Jadi, memang banyak tindakan yang telah dilakukan oleh semua pihak di negara ini untuk memastikan negara terus berada dalam situasi harmoni itu.

Tindakan yang paling ketara ialah negara telah meningkatkan lagi kemampuan ketenteraannya. Angkatan tentera negara ini telah cuba menarik lebih banyak remaja yang berkaliber untuk menyertai perkhidmatan mereka bersama-sama dengan pembelian peralatan ketenteraan yang serba canggih. Semua ini bertujuan memastikan tahap keselamatan negara berada pada tahap yang tertinggi lalu menjamin keamanan negara yang stabil. Jelaslah, negara menjadi aman kerana memiliki satu ketumbukan tentera yang berkaliber dan berteknologi tinggi.

Selain itu, negara turut membuat kerjasama yang erat dengan Negara-negara jiran terutama negara-negara ASEAN. Kita semua sedia maklum bahawa ASEAN ditubuhkan untuk menjamin keselamatan serantau lalu memastikan perkembangan ekonomi boleh berlaku pada masa yang sama. Kerjasama yang erat ini juga memastikan setiap negara ASEAN tidak mahu menganggu urusan dalaman satu sama lain untuk memastikan tidak berlaku perselisihan faham yang boleh membawa permusuhan yang mengoyahkan keamanan pula. Jadi, kerjasama erat antara negara-negara jiran membantu Malaysia untuk menikmati satu tahap keamanan yang tinggi.

Malah, keamanan negara juga dikekalkan menerusi amalan demokrasi yang dilaksanakan di negara ini apabila tempoh pemerintahan kerajaan sebelumnya hamper tamat. Pilihanraya dan proses pertukaran pemimpin di negara ini masih berjalan secara rasional dan mengikut lunas-lunas perlembagaan negara yang mengutamakan hak asasi rakyat. Keadaan ini menjadikan keyakinan rakyat terhadap system pemerintahan kerajaan bertambah baik setiap kali proses demokrasi itu dilaksanakan. Jelaslah, proses demokrasi yang diamalkan menjadikan aspek keamanan itu sesuatu yang penting untuk dikekalkan di negara ini.

Malahan, pihak kerajaan juga telah meneruskan usaha pembasmian kemiskinan yang sudah mula menampakkan hasilnya. Jurang kekayaan antara golongan miskin dan kaya telah berupaya dikurangkan sehingga tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk menimbulkan sebarang masalah besar kelak. Perasaan kekitaan dan tidak berasa ditinggalkan menjadi asas penting untuk mengekalkan keamanan di negara ini untuk satu tempoh yang panjang kerana tidak timbul perasaan pilih kasih atau sebagainya dalam jiwa masyarakat berbilang kaum di sini. Maka, usaha mengikis perbezaan pengagihan kekayaan ini harus dilakukan secera berterusan untuk memastikan keamanan itu berkekalan.

Tambahan pula, pihak polis telah berjaya memerangi pelbagai gejala sosial yang melanda negara ini. Kejadian jenayah terutama jenayah berat telah dikawal dengan baik oleh pihak polis yang bertugas tanpa mengenal penat untuk memastikan keselamatan rakyat negara ini bertambah baik. Kejayaan mengawal jenayah di negara ini turut sama memberikan satu suasana yang tenang dan meyakinkan kepada rakyat negara ini bahawa Malaysia sebuah negara yang baik untuk terus didiami. Justeru, kejayaan pihak polis menjalankan kewajipan mereka telah menjadikan aspek keamanan di negara ini terus wujud.

Kesimpulannya, keadaan keamanan yang sebegini perlu dikekalkan untuk selama-lamanya. Pada masa yang sama aspek pembangunan negara harus diberikan penekanan juga kerana inilah kemodenan yang harus dinikmati oleh semua. Kita harus sedar dan menghargai aspek keamanan ini dengan sebaik mungkin. Peribahasa “jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya” kerana keamanan ini memerlukan satu usaha yang gigih daripada semua pihak.

Wednesday, April 18, 2012

Karangan SPM 2012....Amalan Gaya Hidup Sihat?

Masyarakat Malaysia kini mula sedar akan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat dalam usaha menjaga kesihatan diri.
Jelaskan amalan gaya hidup sihat ini.


Gaya hidup sihat dikaitkan dengan konsep mengamalkan satu corak kehidupan yang baik dalam diri seseorang itu. Antara contoh gaya hidup sihat ini meliputi aspek pemakanan yang betul dan mengamalkan senaman yang berkala. Media massa telah banyak kali menyiarkan berita tentang gaya hidup sihat ini kerana sudah ada kajian yang menyatakan bahawa kadar obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia semakin bertambah. Jelaslah, ada banyak gaya hidup sihat yang boleh diamalkan oleh masyarakat Malaysia.

Aspek pemakanan yang seimbang menjadi penentu dalam menjalani satu kehidupan yang sihat. Rakyat telah banyak kali diingatkan bahawa mereka hendaklah mengambil diet yang betul terutama mengutamakan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet mereka itu. Pemakanan yang seimbang memastikan tubuh badan menerima semua khasiat yang diperlukan untuk menangkis kehidupan zaman moden yang penuh dengan masalah ini. Jadi, diet yang baik menjadikan kehidupan seseorang manusia itu lebih sihat untuk jangka masa yang panjang.

Selain itu, pemeriksaan doktor yang berkala untuk menjamin satu kehidupan yang sihat. Langkah ini baik untuk diamalkan agar pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak doktor itu mampu untuk mengesan sebarang simpton awal penyakit yang boleh mengancam nyawa manusia pula. Kejayaan mengesan penyakit berbahaya pada peringkat awal memastikan cara pencegahan dan rawatan yang terperinci mendatangkan impak yang positif kepada kesihatan seseorang itu. Sesungguhnya, sikap suka bertemu dengan doktor menjadi satu ciri utama untuk menjalani kehidupan yang sihat.

Bukan sahaja diet yang seimbang dan pemeriksaan doktor tetapi senaman yang berjadual juga memainkan peranan utama dalam kehidupan yang sihat. Senaman setiap pagi atau petting menjamin peluh keluar daripada badan dengan banyaknya. Keadaan ini menyebabkan semua toksik badan keluar dan tekanan stres yang dialami terus dapat dihilangkan jua. Oleh itu, senaman menjadi aktiviti yang paling baik untuk memiliki satu gaya hidup yang baik buat manusia.

Malah, rehat yang cukup juga memainkan peranan penting dalam gaya hidup yang sihat ini. Manusia perlulah berehat antara 6-8 jam sehari dengan tidur yang berkualiti dan juga kaedah rehat yang lainnya. Manusia memerlukan rehat kerana ketika rehat inilah seluruh sistem badan manusia akan mampu memulihkan tenaganya untuk meneruskan kehidupan pada esok harinya. Jadi, rehat yang meliputi tindakan yang berbeza daripada kebiasaan yang dilakukan oleh seseorang itu boleh memberi pemulihan tenaga yang amat diperlukan oleh badan manusia.

Aspek pemikiran minda juga hendaklah positif jika manusia ingin memiliki gaya hidup yang sihat ini. Pemikiran positif ini penting kerana kehidupan zaman modern begitu banyak tekanan baik di pejabat dan juga di rumah bersama-sama alam kebendaan yang begitu ketara itu. Mereka yang memahami diri sendiri dan melihat sesuatu peristiwa itu dengan persepsi yang positif sudah pasti akan mampu menerima cabaran hidup dengan lebih matang lagi rasional. Sesungguhnya, minda yang positif sahaja mampu mengatasi tekanan kehidupan moden yang begitu mendesak ini.

Kesimpulannya, semua langkah tadi membuktikan satu gay a hidup yang sihat boleh dicapai oleh manusia. Kerjasama semua amat diperlukan terutama kesedaran diri sendiri agar kesihatan menjadi keutamaan dalam hidup semua pihak. Kegagalan untuk bertindak dengan segera bakal menyaksikan masyarakat kita searing dilanda penyakit demi penyakit yang boleh membawa impak buruk pula. Slogan badan cergas otak cerdas membuktikan betapa pentingnya aspek kesihatan dalam diri manusia yang ingin sejahtera kehidupannya.

Thursday, February 09, 2012

Karangan SPM 2012....Penggunaan Internet Secara Maksimum?

Hampir semua rakyat Malaysia menikmati kemudahan Internet sama ada di rumah sendiri ataupun di kafe siber.

Huraikan perkara-perkara yang dapat anda lakukan untuk memaksimumkan penggunaan internet.


Kemudahan internet tersedia di mana-mana sahaja sekarang ini. Selain di pusat komputer, perkhidmatan internet tanpa wayar boleh diterima di kawasan terbuka seperti restoran makanan segera, restoran nasi kandar dan kawasan-kawasan umum yang lain. Internet sudah menjadi satu keperluan asas kehidupan masyarakat kini. Jadi, pelbagai perkara boleh dilakukan oleh pelajar seperti saya dengan menggunakan teknologi ini.
Sebagai pelajar, saya dapat menggunakan kemudahan internet untuk mengakses maklumat daripada laman sesawang yang tersedia. Semua maklumat yang saya perlukan diperoleh melalui pelbagai carian tertentu. Saya tidak perlu bersusah payah membaca banyak buku untuk mendapatkan informasi itu yang seolah-olah berada di hujung jari saya sahaja.

Sebagai remaja pula, saya memerlukan banyak kawan untuk bertukar-tukar pendapat dan pandangan. Saya juga boleh meluahkan perasaan tertekan hidup sebagai remaja menerusi internet dengan kawan-kawan. Keadaan ini menyebabkan saya tidak akan terbabit dalam sebarang aktiviti yang tidak sihat seperti mengambil dadah kerana saya dikelilingi oleh rakan-rakan sepanjang masa. Oleh itu, internet sememangnya bermanfaat dalam kehidupan remaja seperti saya.

Pada masa yang sama saya juga boleh menggunakan internet untuk meningkatkan prestasi peperiksaan saya. Kini sudah ada banyak portal pendidikan di internet yang memudahkan saya untuk membuat latihan dan memperoleh nota pendidikan dengan mudah sahaja. Saya juga boleh menghubungi guru saya menerusi internet selain menghantar latihan tambahan kepada beliau untuk disemak juga. Jelaslah, internet membantu pelajar seperti saya untuk meninggikan pencapaian pendidikan mereka.

Malahan, internet memudahkan saya membayar bil-bil ayah dan ibu pula. Kebanyakan syarikat sudah mula membenarkan pelanggannya membuat bayaran bil melalui internet untuk memudahkan pelanggan. Saya tidak lagi perlu berdiri lama di kaunter pembayaran seperti suatu masa dahulu. Sesungguhnya, internet menjadikan kehidupan saya lebih bermakna kerana mampu membantu ayah dan ibu dalam kehidupan harian mereka.

Internet juga membolehkan saya menjalankan perniagaan yang menguntungkan. Sudah ada banyak pelajar yang membina halaman sesawang dan blog untuk menjual barangan atau perkhidmatan juga. Wang yang diterima mungkin tidak banyak tetapi cukup sebagai wang saku buat pelajar seperti saya. Maka, internet menjadikan satu peluang untuk saya belajar mencari wang sendiri lalu menimbulkan rasa bangga akan diri juga.

Kesimpulannya, pelajar seperti saya harus bijak memanfaatkan kewujudan internet secara maksimum. Hal ini bukan sahaja mampu meningkatkan kemahiran seseorang dalam penggunaan teknologi maklumat tetapi turut berupaya menambahkan ilmu dan pengetahuan baru juga. Pelajar akan mampu menggunakan kemahiran itu untuk memperoleh sesuatu kejayaan lain pula dalam hidup mereka. Bak kata orang tua-tua “carilah ilmu walaupun sampai ke negeri China” yang membuktikan ilmu itu amat penting dan harus dicari walaupun sukar.

Sunday, January 22, 2012

Karangan SPM 2012....Kebaikan Bekerja Sendiri?


Dunia mula mengalami kemeletan ekonomi dunia yang ketara. Pelbagai pihak mula mengadu kehilangan pekerjaan. Kerajaan telah mencadangkan supaya lebih banyak peluang perniagaan diwujudkan supaya mereka yang kehilangan kerja ini boleh membuatkan perniagaan mereka sendiri pula.

Jelaskan kebaikan-kebaikan bekerja sendiri
.

Kata orang setiap masalah yang berlaku pasti memberikan jalan yang membawa munculnya pelbagai kebaikan pula. Samalah dengan kemelut masyarakat yang kini banyak dibuang kerja gara-gara dunia mengalami kemelesetan ekonomi yang ketara itu. Janji kerajaan untuk membuka lebih banyak peluang supaya mereka yang menganggur ini bekerja sendiri harus diterima dengan hati terbuka oleh masyarakat di negara ini kerana inilah jalan penyelesaian yang baik ketika ini. Jadi, memang ada banyak impak positif yang timbul jika seseorang itu bekerja sendiri atau menjalankan perniagannya.

Kebaikan ketara yang timbul menerusi amalan bekerja sendiri atau menjalankan perniagaan ialah cara bekerja seseorang itu akan berubah menjadi positif. Kenapakah perubahan sikap ini berlaku dengan senang dan pantas? Mudah sahaja kalau dahulu mereka bekerja dengan orang kini mereka bekerja sendiri lalu setiap tindakan yang mereka lakukan pasti memberikan impak kepada perniagaan mereka itu. Sesungguhnya, seseorang yang bekerja sendiri sedar kejayaan perniagaan mereka banyak bergantung kepada sikap mereka sendiri kerana merekalah pemiliki perniagaan tersebut.

Sebab utama seseorang itu suka menyertai perniagaan ialah bidang ini membawa keuntungan berlipat kali ganda dalam masa yang singkat pula. Semua pihak sedar jumlah wang yang dihasilkan menerusi perniagaan lebih besar jumlahnya berbanding jika seseorang itu bekerja sendiri kerana keuntungan yang diperoleh diambil secara terus dan banyak. Faktor memperoleh lebih banyak wang dalam tempoh masa yang lebih singkat menjadi daya penarik utama seseorang itu menyertai bidang perniagaan itu. Maka, individu yang memasuki alam perniagaan sedar bahawa diri mereka mampu untuk memperoleh wang yang banyak dengan begitu mudah.

Malah, kerja sendiri juga diminati kerana masa kerja yang tidak tetap sifatnya. Seseorang ahli perniagaan itu boleh menentukan sendiri masa kerjanya kerana perniagaan itu miliknya berdasarkan kepentingan atau keutamaan dalam hidupnya. Situasi sebegini sudah pasti begitu menarik terutama buat mereka yang mempunyai keluarga kerana masa yang lebih berkualiti mampu dihabiskan bersama-sama ahli keluarga selain menjalankan aktiviti perniagaan yang memberikan sumber pendapatan pula kepada keluarga itu. Sesungguhnya, bekerja sendiri memberikan peluang kepada seseorang untuk merancang masa kerjanya dengan lebih teratur dan memberi manfaat yang sebenarnya kepada semua pihak terutama ahli keluarganya.

Tambahan pula, bekerja sendiri menjadikan seseorang itu lebih berinformasi tentang sesuatu produk atau perkhidmatan yang mereka tawarkan. Semua produk atau perkhidmatan yang mereka berikan sudah pasti akan mereka fahami luar dan dalamnya supaya pelanggan yang ingin membeli berasa yakin akan kemampuan mereka sebagai ahli perniagaan. Semua maklumat ini diperoleh oleh seseorang itu menerusi internet, interaksi dengan pelanggan, pembacaannya dan sebagainya yang pada masa yang sama menjadikan seseorang ahli perniagaan itu lebih tahu akan sesuatu perkara tersebut. Jadi, bekerja sendiri menjadikan diri seseorang itu lebih berinformasi dan tahu akan produk atau perkhidmatan yang dijualnya.

Kesimpulannya, kerja sendiri atau menjalankan perniagaan membawa banyak kebaikan kepada seseorang itu terutama ketika kegawatan ekonomi melanda negara ini. Semua pihak terutama pihak bank hendaklah bersedia menghulurkan pelbagai bentuk pinjaman untuk memudahkan golongan ini menjalankan urusan perniagaan mereka. Penglibatan lebih banyak individu dalam perniagaan mampu menjadikan pertumbuhan ekonomi negara ini lebih gah di persada dunia. Mungkin kita semua perlu memikirkan jenis perniagaan yang sesuai untuk dijalankan mulai saat ini.

Monday, January 02, 2012

Karangan SPM 2012...Cara-cara Galak Menabung?

Simpanan wang merupakan satu amalan murni yang harus ditanam dalam jiwa remaja kita. Cuma amalan ini belum lagi berakar umbi dalam masyarakat kita.

Nyatakan tindakan-tindakan yang boleh dilaksanakan untuk mencapai matlamat ini
.

Amalan menyimpan wang bolehlah dikaitkan sebagai sikap suka menabung dalam kalangan masyarakat moden. Wang dianggap oleh masyarakat sebagai satu kayu pengukur dalam penentuan kejayaan kehidupan seseorang itu. Individu yang mempunyai simpanan wang yang cukup pasti akan menikmati satu kehidupan yang jauh berbeza daripada mereka yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Lantaran itu, ada pelbagai tindakan yang boleh dilaksanakan untuk memastikan sikap menyimpan wang ini menjadi satu budaya kita yang berakar umbi dalam jiwa masyarakat.

Langkah awal ialah kerajaan perlulah mengadakan satu kempen kesedaran yang efektif. Kempen kesedaran ini boleh menggunakan kecanggihan media massa yang wujud di negara ini untuk mencapai tahap keberksanan yang sebaik mungkin. Dalam kempen ini dijelaskan cara-cara menyimpan wang, faedahnya dan dirangka dalam satu bentuk yang mudah untuk difahami oleh remaja kita semua. Maka, kempen yang dirangka dengan baik dan dilaksanakan sepanjang tahun berupaya untuk membentuk satu kesedaran dalam naluri masyarakat kita terutamanya remaja yang sememangnya dahagakan kesedaran sejati itu.

Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka sebagai pembentuk yang sejati dengan memberikan teladan yang sewajarnya. Setiap bulan ibu bapa haruslah memaparkan kepada anak mereka bahawa mereka memang membuat simpanan wang di dalam bank yang akan meninggalkan kesan mendalam dalam pemikiran anak mereka itu kelak. Kalau sejak kecil remaja sudah didedahkan dengan sikap ibu bapa merek sendiri yang suka menyimpan wang sudah pasti sikap yang positif ini akan terus tertanam dalam jiwa mereka. Sesungguhnya ayah borek anak rintik menjadi bukti bahawa teladan ibu bapa yang mampu mewujudkan tabiat suka menyimpan dalam jiwa remaja kita itu.

Malahan, pihak bank juga boleh mewujudkan pelbagai pakej simpanan yang menarik dan memberikan pulangan pelaburan jangka panjang yang banyak. Kewujudan pakej simpanan sebegini mampu menarik minat masyarakat terutama golongan muda untuk membuat simpanan ketika usia mereka masih muda kerana menyedari simpanan itu akan membawa pulangan yang lumayan kelak. Simpanan yang dibuat sejak muda hendaklah diberi sedikit keistimewaan yang memberikan faedah tambahan seperti pemberian perlindungan insuran selain memberikan faedah yang tinggi kadarnya. Jelaslah, pihak bank turut mempunyai peranan untuk memupuk semangat suka menyimpan ini dengan merangka pakej simpanan yang mampu menarik minat masyarakat.

Tambahan pula, pihak sekolah juga boleh menghulurkan bantuan dengan mewujudkan Kelab Menabung di sekolah. Kita semua sedia maklum bahawa sekolah mempunyai banyak pelajar yang mampu untuk menyimpan dalam bentuk harian yang boleh dikumpulkan untuk menjadi satu jumlah yang besar lalu boleh dilaburkan oleh pihak sekolah dalam pakej kewangan yang membawa keuntungan pula. Wang saku yang diberi oleh ibu bapa tidak digunakan sepenuhnya oleh pelajar lalu boleh dijadikan asas kepada simpanan secara sedikit demi sedikit oleh pelajar itu. Sesungguhnya, pihak sekolah mampu memberi kefahaman kepada pelajar akan kepentingan simpanan dengan penubuhan kelab sebegini di sekolah.

Konklusinya, semua tindakan yang dijelaskan itu berupaya untuk memupuk sikap suka menyimpan dalam diri masyarakat terutama golongan muda. Kerjasama semua pihak terutama pihak sekolah dan ibu bapa pula memberikan impak yang paling penting kerana remaja menghabiskan masa mereka di rumah dan sekolah. Jika amalan ini mampu dipupuk sudah pasti negara kita akan mempunyai satu aset simpanan wang yang sukar untuk ditandingi oleh mana-mana negara di dunia pun. Sememangnya menyimpan wang itu satu amalan murni kerana sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit.