Perlu latihan?

Perlu latihan?

Friday, February 26, 2010

Karangan 7...Impak Kehadiran Pendatang Asing di Malaysia?


Karangan 7

Kehadiran pendatang asing telah membawa pelbagai masalah kepada rakyat di negara ini. Cuma kesan-kesan ini turut menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai pendatang asing ini.

Jelaskan kesan-kesan baik dan buruk yang timbul daripada kehadiran pendatang asing ini.


Tenaga kerja asing memang telah menjadi satu isu yang hangat diperkatakan kini. Ada masyarakat yang menganggap pekerja asing ini penting dan ada yang menganggap mereka sebagai pengacau yang harus dibuang jauh. Keadaan ini diburukkan dengan isu ini turut dimainkan oleh media massa yang memang menangguk di air keruh. Jadi, adakah pekerja asing hanya membawa kesan buruk atau memang ada hikmah disebalik kehadiran pekerja luar negara ini?

Sememangnya kehadiran pekerja asing ini sama ada sah atau secara haram mampu memenuhi keperluan sumber tenaga buruh negara yang memuncak. Dalam proses mencapai sebuah negara maju, Malaysia mengalami perkembangan ekonomi yang tinggi sehingga menyebabkan pasaran buruhnya memerlukan pekerja yang ramai. Dalam masa yang sama penduduk tempatan tidak meminati sektor pekerjaan tertentu yang kritikal seperti perladangan dan pekerja asing datang memenuhinya.

Malah, kehadiran pekerja asing itu turut menjadikan pekerja tempatan satu saingan yang menarik. Persaingan ini menyebabkan pekerja tempatan berasa mereka harus meningkatkan kemampuan diri mereka sebaik mungkin agar tidak diganti oleh pekerja asing ini. Pekerja tempatan akan bekerja lebih baik, meningkatkan kemahiran mereka, mencari ilmu yang lebih sesuai dan tidak menimbulkan masalah seperti mogok. Jadi, keadaan persaingan seperti ini menyebabkan ekonomi negera diminati oleh pelabur asing.

Imej negara turut meningkatkan kerana sudah pasti masyarakat antarabangsa menyedari bahawa kebanjiran pekerja asing ini kerana ekonomi negara yang mantap dan berkembang. Negara dilihat sebagai sanggup berkongsi kekayaan dengan negara jirannya. Negara akan dilihat sebagai contoh negara yang maju dalam ekonominya. Negara akan dianggap mempunyai pemimpin dan rakyat yang bersatu dalam mencapai cita-cita negara. Bukankah ini satu pandangan yang kita harapkan daripada negara luar terhadap keupayaan negara kita?

Cuma, kehadiran pekerja asing terutama secara haram ini telah menyebabkan kadar jenayah di negara ini semakin meningkat. Ada pekerja asing yang datang ke sini tidak mempunyai pekerjaan untuk tempoh tertentu dan jenayah menjadi tempat untuk mereka memperoleh sedikit wang bagi membiayai kehidupan diri dan keluarga. Jadi, semakin ramai pekerja asing semakin tinggilah kebarangkalian untuk meningkatnya jenayah di negara kita. Sudah pasti kejadian jenayah ini akan menyukarkan kehidupan rakyat biasa.

Selain itu, pekerja asing yang bekerja di sini setiap bulan menghantar wang balik ke negara asal mereka. Keadaan ini menyebabkan wang itu tidak digunakan untuk membangunkan semula ekonomi negara secara efektif. Sebaliknya, wang negara digunakan untuk menjana ekonomi negara asal pekerja asing itu. Wang negara digunakan untuk membiayai kehidupan keluarga pekerja asing itu. Jadi, keadaan ini tidak sihat terutama untuk jangka masa panjang atau ketika negara dalam kegawatan ekonomi.

Kesimpulannya, pekerja asing ini boleh memusnahkan dan menyelamatkan negara. Mungkin jawapannya bukan kepada jumlah pekerja asing tetapi cara mengawal kedatangan mereka, cara menentukan sektor pekerjaan untuk mereka dan mungkin tempoh bekerja untuk mereka di negara ini. Ringkasnya, masalah ini akan terus menghantui kita buat sekian lama.

Saturday, February 13, 2010

Selamat Tahun Baru Cina

Kepada semua pelajar saya yang menyambut Tahun Baru Cina, ribuan ungkapan ceria diberikan kepada anda semua.

Semoga anda ceria bersama-sama keluarga dalam suasana perayaan ini.

Jumpa anda lagi di dalam kelas.

cikgu azman

Wednesday, February 10, 2010

Karangan 6 Kesan Negatif dan Langkah Mengatasi Pencemaran Alam


Karangan 6

Pencemaran alam telah menjadi satu isu global yang diputuskan oleh Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu. Impak ini memberi kesan yang ketara kepada manusia terutama di Malaysia.

Nyatakan kesan-kesan negatif yang timbul daripada kemelut ini dan langkah mengatasinya.


Pencemaran alam memang telah menjadi satu ancaman utama dalam pembangunan manusia sejagat. Tindakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mengakui berlakunya perubahan cuaca dunia akibat pencemaran yang dilakukan oleh manusia telah membuktikan masalah ini semakin kronik. Pencemaran alam memang disebabkan oleh sikap manusia itu sendiri sehingga menyebabkan banyak impak negatif yang timbul. Agaknya manusia tidak serik melihat kemusnahan yang mereka lakukan selama ini?

Bencana alam semakin menjadi-jadi terutama di Kuala Lumpur. Kawasan tanah runtuh di Ampang dan Puchong suatu ketika dahulu begitu menakutkan masyarakat di sini. Banjir kilat yang pasti berlaku sebaik sahaja hujan turun menyebabkan masyarakat berjaga-jaga setiap kali musim hujan menjelang. Keadaan ini menyebabkan kehidupan masyarakat dalam risiko dan menimbulkan rasa takut dalam perasaan mereka. Sekali hujan, sekali banjir, sekali Kuala Lumpur berubah.

Tambahan pula, kejadian tanah runtuh dan banjir serta jerebu membawa keadaan kesihatan masyarakat yang kurang baik.Kejadian demam, batuk dan wabak penyakit yang merebak menyebabkan kos rawatan perubatan masyarakat kita terus meningkat. Keadaan ini sudah pasti membebankan terutama kepada golongan berpendapatan rendah yang terpaksa memikirkan keseinambungan hidup selain mendapatkan rawatan penyakit mereka. Jadi,pencemaran alam memang memberi impak yang ketara dalam kehidupan kita.

Lantaran itu, masyarakat kita terutama generasi muda yang dilahirkan ialah generasi yang sudah terdedah dengan pencemaran alam. Generasi muda kita ialah generasi yang sudah ‘sakit’. Jadi, tidaklah kita terkejut apabila kita sering mendapat khabar tentang golongan belia yang tidak mampu untuk mengharungi cabaran alam yang memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi. Generasi muda mudah berasa penat dan tidak mampu menyelesaikan masalah fizikal yang mereka tempuhi. Mungkin juga generasi muda kita kekurangan kemahiran mendengar atau mempunyai penyakit lelah sejak kecil.

Imej negara sudah pasti akan terjejas terutama pada mata masyarakat antarabangsa. Pada mereka sikap masyarakat negara ini yang tidak peka yang menyebabkan alam kita tercemar begitu teruk. Kita dipandang sebagai masyarakat materialistik kerana terlalu ghairah memusnahkan alam semata-mata untuk mengaut keuntungan kebendaan. Kehadiran pelancong turut berkurangan bukan sahaja imej negara tetapi kurangnya kawasan untuk dilawati akibat pencemaran alam ini.

Mungkin langkah yang terpenting dalam menangani isu ini ialah kerajaan menguatkuasakan akta yang lebih tegas dan berat hukumannya. Kerajaan hendaklah berani mengambil tindakan bersama-sama menghukum pesalah pencemaran alam ini tanpa rasa segan silu. Kerajaan perlulah mempamerkan sikap yang telus dalam memastikan alam kita terus terbela. Kerajaan merupakan benteng pertama negara dalam menentang pencemaran alam.

Kesimpulannya, semua pihak harus menjadikan alam sebagai fokus perjuangan mereka. Alam bukanlah hak kita tetapi alam warisan yang kita tinggalkan untuk generasi akan datang. Jadi, alam bukan satu anugerah tetapi satu tanggung jawab yang memerlukan pengorbanan masyarakat untuk memastikan alam terus menerus diwarisi oleh manusia sejagat. Mungkin kali ini kita akan berjaya menangani kemelut yang semakin mencengkam ini.

Tuesday, February 09, 2010

Mencari Pengendali Web dan Blog

Hi Semua

Saya sedang mencari seorang pekerja yang mampu untuk menguruskan semua halaman web dan blog saya.

Saya memerlukan orang yang mahir dalam internet dan web serta mampu bekerja bersendirian. Aspek ketepatan masa amat diutamakan.

Jika anda berminat sila emel kepada saya dengan maklumat diri terutama pengalaman atau kemahiran yang dimiliki.

Skop kerja dan bayaran gaji akan diberikan setelah calon-calon dinilai.

Cikgu azman