Wednesday, January 27, 2010

Karangan SPM 5...Kebaikan-kebaikan Penswastaan DI Negara Ini


Karangan 5

Negara kita telah memperkenalkan Dasar Penswastaan. Ada pelbagai impak dasar ini kepada negara walaupun mendapat bantahan pada peringkat awal pelaksanaannya.

Terangkan kebaikan-kebaikan dasar ini.


Dasar penswastaan telah dimulakan dalam era pemerintahan bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohammed pada pertengahan 80-an. Dalam dasar ini agensi kerajaan telah dijual kepada syarikat untuk diuruskan sebagai sebuah syarikat. Dasar ini walaupun telah menerima pelbagai kritikan pada peringkat awalnya telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa kerana kejayaannya dalam beberapa aspek terutama kewangan.

Kebaikan dasar ini yang ketara ialah kerajaan mampu mengurangkan perbelanjaannya dalam menguruskan negara. Peruntukan yang sepatutunya diberikan kepada agensi kerajaan yang sudah diswastakan itu boleh disalurkan untuk kegunaan projek pembangunan lain yang lebih penting. Keadaan ini memastikan bebanan kewangan negara tidak menjadi satu alasan untuk tidak menjalankan sesuatu projek pembangunan. Dasar ini turut memastikan semua projek pembangunan berjalan lancar.

Malah, tahap perkhidmatan agensi kerajaan yang sudah diswastakan itu akan meningkat dengan drastik. Peningkatan ini berkaitan dengan konsep keuntungan yang dipentingkan dalam pengurusan sesebuah syarikat. Agensi yang telah diswastakan itu akan memperoleh keuntungan jika prestasi pekerja dan perkhidmatan mereka ditingkatkan pada satu tahap yang jauh berbeza sebelum daripada dasar penswastaan dilaksanakan. Justeru itu, mutu perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat akan meningkat dan menguntungkan mereka.

Peningkatan tahap perkhidmatan ini secara tidak langsung telah menyebabkan wujudnya satu persaingan sihat antara pekerja dalam agensi yang baru diswastakan atau di dalam negara secara amnya. Persaingan ini akan menghasilkan satu budaya kerja yang luar biasa sehingga menyebabkan produktiviti sesebuah agensi yang sudah diswastakan itu bertambah dengan baik dalam masa yang singkat. Sememangnya, pekerja akan bersaing untuk memastikan mereka terus relevan di dalam agensi yang diswastakan tersebut.

Tambahan pula, persaingan yang sengit ini sudah pasti menyebabkan peluang pekerjaan bertambah kerana sudah pasti lebih banyak peluang ekonomi terbuka dalam dunia yang penuh persaingan. Pelbagai idea baru turut terhasil melalui persaingan ini yang memerlukan satu tahap kemahiran kerja yang tinggi. Aspek ini mendorong pelbagai jenis pekerjaan baru terhasil di negara ini.

Selain itu, dasar ini memberi satu suntikan baru kepada imej negara. Masyarakat luar akan melihat Malaysia sebuah negara yang cekap dan efektif terutama dalam menguruskan negara. Kemampuan negara terjelma melalui sistem pentadbiran yang sistematik, pengangkutan awam yang menyeluruh, kemudahan bertaraf antarabangsa, dan sumber tenaga manusia yang berpengetahuan tinggi. Negara akan dianggap sebagai negara contoh dalam perbandingan pembangunannya.

Secara amnya, memang dasar ini membawa kebaikan yang tidak terhingga. Syarikat seperti TELEKOM, TNB, dan POS MALAYSIA merupakan agensi kerajaan yang telah diswastakan dan telah menunjukkan peningkatan dalam perkhidmatan mereka. Perubahan ini dijangka akan terus berlaku dalam tahun-tahun mendatang kerana sudah pasti mereka akan bersaing dengan syarikat-syarikat lain yang turut mahu mengaut keuntungan seperti mereka.

Friday, January 15, 2010

Tawaran Terbaru E-Buku Saya...6 Buku RM40 Sahaja


Hi Pelajar

Semua e-buku ini merupakan hasil nukilan guru-guru yang berpengalaman untuk memudahkan pelajar menghadapi SPM dengan tenang dan berjaya. Bahan-bahan yang bukan sahaja berkualiti tetapi bersistematik ini menjadikan persiapan pelajar menjadi lengkap.

Bayangkan 6 buku dengan harga RM40. Satu pelaburan yang kecil tetapi bermanfaat buat pelajar semua kerana pendidikan amat penting dalam hidup pelajar.

Emel saya segera jika anda berminat kerana saya menunggu emel anda. Pendidikan hak semua pelajar.

cikgu azman

Thursday, January 14, 2010

Karangan 4 Impak Kewujudan Kawasan Rekreaksi di Projek Perumahan Negara?


Karangan 4

Kerajaan telah mewajibkan pemaju perumahan untuk mewujudkan kawasan rekreaksi di kawasan perumahan. Tindakan ini telah menerima sambutan baik masyarakat.

Huraikan kesan-kesan positif yang timbul daripada pengenalan peraturan ini.


Taman rekreasi merupakan satu kawasan lapang yang penting terutama di kawasan perumahan. Usaha kerajaan mewajibkan setiap projek perumahan mempunyai taman rekreasi merupakan satu langkah bijak kerajaan. Tindakan ini sepatutnya dilakukan sejak dahulu kerana kewujudan taman rekreasi memastikan pelbagai impak positif muncul.

Sudah pasti kebaikan yang ketara ialah taman ini menjadi tempat permainan kanak-kanak. Kita semua sedia maklum bahawa dalam dunia yang penuh cabaran ini, ibu bapa sibuk bekerja sehingga menyebabkan anak-anak bersendirian di rumah. Jadi, kewujudan taman rekreasi di kawasan perumahan menjadi satu medan untuk golongan kecil ini bergembira dan melepaskan perasaan mereka sebagai kanak-kanak. Hidup kanak-kanak terkongkong di rumah tetapi bebas di taman rekreasi.

Malah, kewujudan taman rekreasi ini menjadi tempat berkumpul dan mengeratkan hubungan antara jiran tetangga. Kebiasaannya ibu bapa akan menghantar anak-anak mereka bermain di taman ini dan sementara menunggu anak-anak bermain, ibu bapa akan berbual dengan jiran-jiran yang turut menunggu anak-anak mereka. Interaksi ini memastikan hubungan antara masyarakat lebih mesra dan terjalin rapat.

Malahan, taman rekreasi boleh dijadikan tempat untuk menjalankan sesuatu majlis yang bercorak kejiranan. Majlis seperti majlis perkahwinan, pesta kejiranan, dan rumah terbuka boleh dijalankan di kawasan taman rekreasi itu. Kawasannya yang luas dan selalunya di tengah-tengah kawasan perumahan memudahkan untuk semua pihak datang dan terlibat dalam majlis itu. Dalam masa yang sama kos majlis mampu dikurangkan berbanding majlis yang diadakan di dewan serba guna atau dewan hotel.

Mungkin satu lagi kebaikan taman rekreasi ialah kawasan ini boleh menjadi tempat menghilangkan penat setelah bekerja. Suasananya yang tenang dengan kehijauan dan mungkin ada tasik di sekitarnya memberi satu perasaan hening yang diperlukan oleh manusia setelah penat bekerja di pejabat. Keadaan ini dapat mengurangkan tekanan di pejabat dan memastikan seseorang itu memperoleh tenaga untuk meneruskan kehidupannya.

Akhir sekali, kawasan rekreasi ini memastikan wujudnya kawasan hijau di sesebuah kawasan perumahan itu. Kawasan hijau ini turut membuktikan kesegaran dan suasana nyaman masih wujud di kawasan perumahan tersebut. Tambahan pula, kawasan perumahan akan lebih menarik kalau mempunyai taman rekreasi. Habitat serangga yang kecil turut terhasil dengan kewujudan taman ini.

Kesimpulannya, kawasan rekreasi bukanlah satu pilihan tetapi wajib dibina oleh pemaju perumahan. Kerajaan harus memantau perkara ini supaya pemaju perumahan tidak berdolak-dalih dalam pembinaannya. Kerajaan perlu bertegas dalam isu ini kerana sudah agak lama isu ini dibiarkan tanpa diberi perhatian oleh kerajaan. Malah, pemaju perumahan seharusnya menggunakan taman rekreasi sebagai unsur penting dalam mengiklankan projek perumahan mereka.

Monday, January 04, 2010

E-Buku Kenapa Ayat Ini Salah? Terbit 21 Januari 2010


Setelah hampir tiga bulan sibuk menulis, akhirnya siaplah e-buku terbaru saya ini. Buku ini khas membicarakan aspek tatabahasa terutama buat pelajar yang agak lemah baik peringkat SPM, PMR dan UPSR.Buku yang mmampu mengubah kemahiran bahasa anda.

Kelebihan buku ini ialah penulis menerangkan aspek-aspek penting kesalahan bahasa supaya pelajar boleh mengenalnya dengan mudah tanpa menggunakan pendekatan yang begitu saintifik atau akademik. Penulis mendapati ada pelajar yang sukar untuk memahami tatabahasa apabila diterangkan secara akademik. Jadi, buku ini cuba mengubah pendekatan itu. Cara bersahaja dan contoh yang terus ke arah aspek peperiksaan menjadikan buku ini sesuai untuk bacaan sesiapa sahaja.

Sesiapa yang berminat boleh menghantar emel kepada saya: azmanukm@gmail.com untuk memesannya dengan harga RM20 sahaja.

Cikgu Azman

Sunday, January 03, 2010

Karangan 3 Langkah-langkah Atasi Kemusnahan Hutan Negara Ini


Karangan 3

Hutan negara kita semakin pupus lantaran sikap sesetengah masyarakat yang menjalankan aktiviti pembalakan terutama secara haram. Pelbagai usaha telah dilakukan tetapi masih gagal.

Jelaskan langkah-langkah yang mampu diambil oleh kerajaan dalam menangani kemelut ini.


Sememangnya hutan negara sedang mengalami proses kemusnahan yang mahu hebat. Setiap hari akhbar akan menyiarkan kemusnahan hutan, hidupannya dan impak sampingannya seperti kejadian banjir serta tanah runtuh. Cuma, masyarakat masih belum menyedari dan mengambil pengajaran daripada berita-berita yang menyedihkan ini. Kerajaan pula memang mempunyai tanggung jawab besar untuk memastikan hutan negara terus wujud dalam tempoh 100 tahun akan datang dengan melakukan pelbagai langkah drastik.

Sebenarnya, tindakan yang paling mudah ialah kerajaan mewartakan semua kawasan hutan sebagai Taman Negara dan Hutan Simpan Kekal. Tindakan secara undang-undang ini memastikan kawasan hutan itu akan terus terpelihara tanpa ada usaha untuk menebangnya demi mengaut keuntungan jangka pendek. Peruntukan undang-undang turut memberi satu peringatan yang jelas bahawa kerajaan memang serius dalam usahanya untuk mengawal kemusnahan hutan yang merupakan khazanah tidak ternilai negara itu.

Tindakan ini dipanjangkan terhadap hukuman kepada pesalah yang memusnahkan hutan negara. Hukuman yang dikenakan haruslah lebih berat yang melibatkan hukuman penjara dan denda. Pesalah turut dimaklumkan kesalahannya di dalam media massa untuk memberi peringatan kepada masyarakat. Sikap tegas dan telus kerajaan dalam melaksanakan undang-undang memberi impak yang ketara dalam usaha menangani kemusnahan hutan.

Malah, kerajaan boleh mewajibkan semua pokok yang ditebang atas sebarang aktiviti ekonomi seperti projek perumahan, pembalakan, dan pembinaan empangan diganti secepat mungkin dalam kuantiti yang tertentu. Kerajaan boleh mengenakan syarat bahawa setiap pokok yang ditebang harus diganti dengan dua atau tiga batang pokok. Langkah ini akan menyebabkan semua ahli perniagaan berfikir dua kali sebelum bersetuju untuk menjalankan sebarang projek atau berhati-hati dalam tindakan mereka menebang pokok yang berada di dalam kawasan projek mereka.

Langkah ini boleh dilanjutkan dengan menjalankan kempen kesedaran terutama dalam kalangan remaja. Pihak kerajaan seharusnya menjalakan kempen di sekolah-sekolah dengan menerangkan peri pentingnya hutan dalam ekosistem kita terutama ketika dunia sedang mengalami perubahan cuaca global ini. Remaja yang sudah memahaminya akan lebih bijak bertindak apabila mereka menjadi dewasa atau terlibat dalam projek pembangunan yang memerlukan satu kawasan hutan dimusnahkan. Lagipun, remajalah yang akan menjadi warisan hutan negara kita.

Selain itu, pasukan penguatkuasa terutama renjer hutan harus ditambah jumlahnya. Kawasan hutan yang terlalu luas agak sukar untuk dipantau oleh kaki tangan yang kecil bilangannya. Penggunaan teknologi seperti kapal terbang, satelit dan helikopter untuk tujuan pengawasan turut memudahkan kerja kerana kawasan hutan negara memang luas. Pengawasan yang cekap mampu memastikan kawasan hutan belantara kita tidak dicerobohi begitu mudah.

Kesimpulannya, masalah hutan negara memang serius dan semua pihak harus bertanggungjawab. Usah kita semua menuding jari tanpa mahu menerima atau mengakui kesilapan yang telah berlaku. Semua pihak harus duduk semeja dan mencari jalan untuk menyelesaikan kemelut yang memang sukar diatasi ini. Tanpa kerjasama semua terutama masyarakat, hutan kita pasti akan lenyap.