Perlu latihan?

Perlu latihan?

Saturday, December 19, 2009

KENAPA MEMILIH E-BUKU DAN PENDIDIKAN SAYA?


Hi pelajar

Saya sudah menyediakan pelbagai perkhidmatan pendidikan yang berkualiti. Semuanya berlandaskan keperluan STPM, SPM, PMR dan UPSR tetapi mudah dan berkesan.

Setiap minggu anda akan diberikan bahan pendidikan yang berkualiti mengikut pakej yang sudah anda pilih. Setiap bahan itu telah disusun oleh guru-guru yang berpengalaman dalam bidang tersebut. Bahan itu juga sudah digunakan dalam kalangan pelajar dan membuahkan hasil.

Pelajar hanya perlu membaca dan melakukan latihan yang sudah disediakan itu. Setiap latihan akan diberikan jawapan pda bahan berikutnya untuk memastikan pelajar memahami dan boleh membandingkan jawapan mereka dengan jawapan yang sewajarnya. Bukankah ini mudah kerana pelajar tidak perlu ke mana-mana. Hanya duduk di depan komputer riba atau komputer biasa mereka di rumah. Masa pelajar juga lebih tersusun terutama buat pelajar yang sibuk dengan aktiviti kokurikulum mereka.

Bahan-bahan saya juga sudah digunakan oleh banyak guru di Malaysia sebagai bahan latihan pengukuhan buat pelajar mereka. Pemberian latihan sebegini sudah pasti menjadikan diri pelajar lebih peka dan mengetahui corak soalan yang bakal keluar dengan lebih mudah tetapi bersistematik. Paling penting ialah pelajar menikmati semua bahan ini dengan harga yang begitu berpatutan berbanding dengan kaedah pendidikan lain pula.

Buat mereka yang hanya suka membaca, saya menyediakan pelbagai e-buku yang boleh memenuhi keperluan anda itu. Semua e-buku ini memberikan pelajar satu kelebihan berbanding buku-buku lain kerana bukan sahaja berkualiti tetapi pelajar boleh membacanya dengan mudah dan tersusun rapi. Era teknologi memungkin semua ini berlaku lalu menjadikan suasana pembelajaran dan pengajaran lebih menarik dan memenuhi keperluan jiwa pelajar zaman moden ini.

Jadi, jika anda menghadapi sebarang masalah pendidikan dan ingin satu perubahan yang sebenar, emel kepada saya azmanukm@gmail.com atau layari blog yang baik ini untuk melihat pelbagai e-buku dan pakej pendidikan yang berupaya meninggikan kemampuan anda dalam BM.

Cikgu Azman

Thursday, December 10, 2009

Karangan 2...Masalah-masalah Industri Kraftangan Negara


Karangan 2

Penduduk desa telah dinasihatkan supaya membuat barangan kraf tangan untuk dijual kepada masyarakat. Namun, masih ada pihak yang mempertikaikan usaha mereka ini.

Jelaskan sebab-sebab mereka berpendapat usaha penduduk desa ini sia-sia.


Penduduk desa sudah mula memberikan perhatian terhadap penghasilan kraf tangan terutama untuk dijual. Sikap positif mereka ini telah didorong oleh tindakan kerajaan yang giat memberi galakan supaya mereka menjalankan aktiviti kraf tangan ini untuk menambah pendapatan mereka. Cuma yang menyedihkan ialah masih ada suara-suara sumbang yang menganggap tindakan penduduk desa ini tidak akan berjaya. Jadi, apakah pencetus yang menyebabkan ada segelintir pihak yang memandang rendah usaha penduduk desa ini?

Anggapan yang paling mudah ialah golongan ini memandang rendah mutu kerja penduduk desa. Pada firasat mereka, kualiti yang diperlihatkan selama ini masih di takuk lama yakni tiada perubahan drastik seperti reka bentuk dan penggunaan warna produk. Mereka menganggap aktiviti sampingan penduduk desa ini memang tidak mengutamakan kualiti. Pada mata golongan ini, kualiti barangan luar negara sahaja yang lebih baik walaupun anggapan mereka itu jauh daripada kebenarannya seperti peribahasa “jauh panggang daripada api”.

Faktor yang kedua sudah pasti aspek pemasaran kraf tangan penduduk desa itu sendiri. Pihak yang memandang rendah aktiviti ini mengutarakan ketiadaan usaha-usaha konkrit untuk memasarkan hasil kraf tangan ini terutama di pasaran antarabangsa. Ketiadaan usaha ini atau lebih tepat lagi agensi khas untuk memasarkan kraf tangan telah membantutkan pasaran kraf tangan negara. Mereka mahu kerajaan menubuhkan sebuah agensi khas untuk tujuan pemasaran barangan kraf ini sahaja.

Selain itu, kekurangan pelancong asing di negara ini turut menjadi alasan golongan yang menentang usaha membuat kraf tangan ini. Jumlah pelancong asing yang kecil dan kekurangan minat dalam kalangan pelancong tempatan untuk membeli hasil kraf tangan pada mereka telah menyebabkan usaha ini tidak perlu diteruskan atau diberi galakan. Mereka berpendapat jumlah pelancong asing yang lebih ramai harus disediakan sebelum usaha kraf tangan ini diberi galakan yang menyeluruh.

Alasan yang agak mengelirukan ialah ketiadaan sokongan kerajaan dalam usaha meningkatkan industri kraf tangan negara. Golongan ini berpendapat kerajaan tidak memberi galakan yang secukupnya seperti ketiadaan pelepasan cukai keuntungan atau memberi bantuan teknikal dalam usaha menembusi pasaran luar negara. Mungkin golongan ini terlalu bergantung kepada kerajaan tanpa berusaha sendiri untuk mencari jalan atau rakan niaga di luar negara dalam usaha mengembangkan pasaran kraf tangan negara.

Kesimpulannya, agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti KEMAS, Kementerian Kebudayaan, Kesenian, dan Pelancongan harus memandang serius tanggapan negatif segelintir masyarakat kita ini. Agensi kerajaan itu haruslah proaktif dalam membuat perancangan untuk menangani pandangan negatif mereka ini. Mungkin agensi kerajaan ini harus menggunakan pendekatan yang baru atau unik dalam usaha untuk meyakinkan masyarakat bahawa kraf tangan negara memang berpotensi untuk dikembangkan secara komersial.

Tuesday, December 01, 2009

Karangan 1... Kebaikan-kebaikan Mengutamakan Sektor Perindustrian


Karangan 1

Negara kita telah mengutamakan perindustrian untuk mencapai era negara moden. Kerajaan telah menjalankan pelbagai dasar untuk meningkatkan tahap industri negara.

Terangkan kebaikan-kebaikan yang terjelma melalui langkah kerajaan ini.


Sememangnya negara kita telah memberi penekanan yang ketara terhadap aspek perindustrian terutama sejak awal tahun 80-an yakni era pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohammed. Penekanan ini sejajar dengan dasar kerajaan kita untuk mencapai tahap negara maju menjelang tahun 2020. Namun, perindustrian memang membawa pelbagai kebaikan kepada negara dan rakyat tanpa sebarang pertikaian lagi.

Kebaikan yang dibawa oleh perindustrian terhadap negara ialah dasar ini menyebabkan negara kita mampu mengurangkan import terutama barangan tertentu. Pengurangan import ini berupaya dilakukan kerana sektor industri negara telah berjaya menghasilkan produk tersebut pada harga yang lebih murah. Situasi ini turut memberi kesan terhadap sumber kewangan negara kerana kurang wang diperlukan untuk membayar harga barangan yang diimport. Lantas, wang tersebut mampu digunakan untuk pembangunan sektor lain.

Jadi, sumber kewangan negara yang berlebihan itu digunakan untuk meninggikan taraf hidup rakyat. Peningkatan taraf hidup ini dikaitkan dengan terhasilnya kemudahan-kemudahan seperti pendidikan, kesihatan, dan pengangkutan yang bertaraf tinggi kepada rakyat. Semua kemudahan ini dinikmati oleh rakyat negara kita tanpa perlu membayar kos yang lebih mahal. Kemudahan ini turut memudahkan rakyat untuk menjalani kehidupan seharian mereka.

Selain itu, penubuhan kilang menjadi antara intipati perindustrian. Kilang terpaksa dibina untuk menghasilkan pelbagai produk mengikut permintaan masyarakat antarabangsa. Justeru, permintaan terhadap bahan mentah negara akan meningkat. Hasil bahan mentah negara seperti bijih timah, getah, dan kayu akan meningkat selaras dengan perkembangan industri produk tersebut. Harga komoditi negara itu sudah pasti akan turut meningkat dengan mendadak yang menguntungkan rakyat negara ini.

Malah, penubuhan kilang ini sudah pasti memerlukan bilangan sumber manusia yang banyak. Rakyat negara ini akan mempunyai pekerjaan yang banyak atau boleh membuat pilihan. Kewujudan peluang pekerjaan ini sudah pasti menyaksikan negara ini mempunyai satu dimensi rakyat yang tidak bimbang tentang masa depan mereka kerana yakin kemampuan sektor perindustrian untuk terus berkembang dalam tempoh yang panjang.

Lantaran itu, semua perkara yang dinyatakan di atas telah menyebabkan imej negara turut meningkat. Masyarakat antarabangsa melihat negara kita sebagai sebuah negara yang mempunyai aktiviti ekonomi yang kukuh dan stabil. Pada mata mereka, negara kita telah berjaya menghasilkan satu bentuk kehidupan yang lebih baik daripada negara-negara jiran atau negara di benua lain yang masih berada di tahap yang menyedihkan. Imej yang baik di persada dunia ini sudah pasti memberi kesan psikologi terhadap rakyat negara kita yang berasa bangga tinggal di Malaysia.

Kesimpulannya, sektor perindustrian mampu membawa pelbagai impak positif kepada rakyat negara ini. Cuma dalam keghairahan kita menempa kejayaan dalam bidang ini, semua pihak harus menyedari impak negatif yang turut mampu terhasil akibat sektor ini. Mungkin kita harus merenung secara mendalam penekanan kita dalam bidang ini sebelum impak yang buruk menjadi ketara menjelang alaf mendatang.