Perlu latihan?

Perlu latihan?

Thursday, November 19, 2009

PAKEJ PENDIDIKAN BARU BERMULA DISEMBER 2009


Pelajar semua,

Kini peperiksaan SPM sudah pun bermula jadi secara rasmi sesi blog ini sudah berakhir.

Bahan di dalam blog ini akan mula diuploadkan semula mulai Disember 2009 untuk sesi pendidikan 2009/2010.

Lantaran itu, pakej pendidikan saya juga akan bermula pada Disember ini meliputi UPSR, PMR, SPM dan STPM. Malah, e-buku karangan ulung spm 2010 sudah pun siap dan boleh dimiliki mulai disember ini. Semua karangan dalam buku ini disusun oleh guru yang berpengalaman luas dalam aspek penulisan. Buku ini sesuai untuk semua peringkat pelajar terutama mereka yang lemah kerana bahasa yang mudah tetapi senang difahami.

Sepanjang tahun ini juga, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelajar yang telah melayari blog ini dan guru-guru yang turut serta dalam diskusi yang positif.

Jika anda ada sebarang pertanyaan tentang pakej pendidikan saya, sila emel kepada saya segera menerusi azmanukm@gmail.com.

Cikgu Azman

Monday, November 16, 2009

Soalan Ramalan Skop Karangan 2009...Moga Anda Berjaya


Karangan 1

Simpanan wang merupakan satu amalan murni yang harus ditanam dalam jiwa remaja kita. Cuma amalan ini belum lagi berakar umbi dalam masyarakat kita.

Nyatakan tindakan-tindakan yang boleh dilaksanakan untuk mencapai matlamat ini.

Karangan 2

Semangat perpaduan di negara ini dianggap begitu utuh tetapi sejak akhir-akhir ini sudah ada isu yang mampu menjejaskan perpaduan tersebut.

Jelaskan punca-punca yang boleh menjejaskan perpaduan ini untuk menjadi renungan kita semua.

Karangan 3

Bencana alam terutama banjir begitu kerap berlaku di negara ini terutama ketika musim hujan. Bukan sahaja harta benda musnah malah nyawa manusia turut melayang.

Jelaskan punca-punca yang membawa kepelbagaian bencana alam ini.

Karangan 4

Dunia mula mengalami kemeletan ekonomi dunia yang ketara. Pelbagai pihak mula mengadu kehilangan pekerjaan. Kerajaan telah mencadangkan supaya lebih banyak peluang perniagaan diwujudkan supaya mereka yang kehilangan kerja ini boleh membuatkan perniagaan mereka sendiri pula.

Jelaskan kebaikan-kebaikan bekerja sendiri.

Karangan 5

Pemuliharaan bangunan bersejarah atau lama di negara ini mula mendapat perhatian masyarakat setempat. Tindakan ini mungkin timbul akibat kesedaran untuk memastikan warisan sejarah negara terus hidup.

Nyatakan punca-punca yang menyebabkan bangunan lama atau bersejarah ini dimusnahkan begitu sahaja.

Karangan 6

Bahasa asing dikatakan penting dalam dunia kerjaya moden kini tetapi masih ramai yang mempertikaikannya.

Berikan pendapat anda tentang isu ini.

Karangan 7

Sistem pengangkutan awam negara telah mula diberi perhatian oleh pihak kerajaan. Pelbagai langkah sudah dilaksanakan untuk memajukan lagi sistem pengangkutan awam itu.

Pada pandangan anda, apakah tindakan-tindakan yang boleh diambil untuk memajukan sistem pengangkutan awam di negara ini.

Karangan 8

Kerajaan berusaha menjadikan amalan membaca satu amalan masyarakat kita. Usaha mereka ini mula membuahkan hasil terutama dalam kalangan pelajar.

Namun, apakah kekangan-kekangan yang timbul dalam merealisasikan impian ini?

Karangan 9

Telefon bimbit sudah menjadi satu keperluan utama dalam kehidupan pelajar sehingga ada pihak yang menyarankan agar teknologi ini diharamkan penggunaanya di kawasan sekolah.

Jadi, apakah impak-impak negatif yang timbul daripada penggunaan teknologi ini.

Karangan 10

Isu pemanasan global sudah menjadi perkara lumrah kini. Pelbagai persidangan sudah diatur untuk mencari jalan menyelesaikan masalah ini.

Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah kerjasama yang mampu dilakukan oleh pihak masyarakat antarabangsa dalam isu ini?

Untuk Persiapan Akhir Komsas SPM 2009

Soalan Spot BM KOMSAS SPM 2009

CERPEN
1. Annyss Sophillea
2. Lambaian Malar Hijau
3. Virus Zel Untuk Abah

DRAMA
1. Serunai Malam
2. Kerusi

PROSA KLASIK
1. Sabor
2. Pertarungan Tuah dengan Jebat

SAJAK
1. Duhai Pentafsir
2. Di Ruang Gemanya
3. Anak Laut
4. Derita Pertama
5. Jalan jalan raya kotaku

PUISI TRADISIONAL
1. Pantun Kiasan
2. Seloka Pak Kaduk
3. Pantun Enam Kerat
4. Syair Kelebihan Ilmu

Wednesday, November 11, 2009

Karangan SPOT SPM 2009...Pencemaran Alam di Malaysia?


Negara dikatakan mempunyai kadar pencemaran alam yang tinggi terutama kemusnahan hutannya. Hutan negara dikatakan akan pupus dalam masa 20 tahun sahaja.

Jelaskan punca-punca pencemaran alam ini.


Kadar pencemaran alam di negara ini dikatakan begitu tinggi walaupun pihak berkuasa menafikannya berkali-kali. Kejadian sungau tercemar dan penggondolan kawasan hutan semuanya menceritakan betapa buruknya kadar pencemaran alam itu selain kejadian tanah runtuh yang semakin kerap berlaku. Pihak media massa turut membuat pelbagai laporan yang memberi gambaran bahawa kadar pencemaran alam negara memang begitu kritikal. Oleh itu, pemahaman tentang punca-punca pencemaran alam amat penting untuk menangani kemelut ini.

Salah satu penyumbang utama pencemaran alam di negara ini ialah sektor pembalakan yang begitu meluas dan intensif terutama di Sabah, Sarawak dan Pahang. Aktiviti pembalakan sama ada yang dibenarkan atau haram telah menyebabkan banyak kawasan hutan negara hilang dalam sekelip mata sahaja. Kita semua sedia maklum bahawa hutan menjadi salah satu alat penapis pencemaran yang semula jadi tetapi jika hutan sudah tiada bermakna sistem penapis pencemaran sudah hilang juga. Sesungguhnya, pencemaran alam di negara ini berlaku kerana meluasnya aktiviti pembalakan hutan.

Begitu juga dengan aktiviti pembuang sisa toksik ke dalam sungai, laut, tasik dan sistem takungan air negara. Syarikat lebih suka membuang toksik ke kawasan semula jadi ini kerana mereka tidak mahu mengeluarkan belanja yang besar untuk membersihkannya terlebih dahulu. Tindakan tidak bertanggungjawab ini menyebabkan hampir semua sungai di negara ini sudah mengalami pencemaran yang tinggi. Maka, bayangkan sungai yang tercemar digunakan oleh manusia untuk menjalani kehidupan harian.

Salah satu konsep pencemaran alam yang kita abaikan ialah tahap kebisingan yang wujud terutama di kawasan bandar. Kalau kita kaji kadar kebisingan di bandar begitu tinggi terutama di kawasan pembinaan dan ketika jalan raya penuh sesak dengan kenderaan. Pencemaran ini memang tidak diberi penekanan kerana kesannya dikatakan tidak begitu ketara kepada manusia. Namun, kadar pencemaran bunyi yang tinggi mampu membuatkan masyarakat kita tidak lagi mampu untuk mendengar dengan baik.

Pencemaran alam juga berlaku dengan meluas kerana negara ini tidak memiliki perundangan yang ketat terhadapnya. Maksudnya perundangan negara yang sedia ada tidak begitu memberi penekanan kepada aspek pencegahan dan pengawalan yang melibatkan pengenaan hukuman yang berat seperti penjara arau dendaa yang tinggi nilainya. Bukan sahaja aspek perundangan yang tidak ketat tetapi pelaksanaan perundangan juga begitu longgar yang menyaksikan banyak kes pencemaran alam dibiarkan sahaja tanpa sebarang tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa. Maka, satu akta yang lebih efektif bersama-sama penguatkuasaan yang menyeluruh harus diaplikasikan terlebih dahulu oleh pihak berkuasa untuk menangani kemelut ini.

Kadar pencemaran alam yang tinggi juga berkait dengan sikap masyarakat itu sendiri terhadap alam sekitarnya. Pemahaman masyarakat kita akan peri pentingnya alam sekitar dalam kehidupan mereka begitu rendah kerana menganggap manusia tidak memerlukan alam untuk meneruskan kehidupan ini. Ketiadaan sikap kepekaan akan kepentingan alam sekitar ini menjurus ke arah kegagalan sistem pendidikan golongan muda yang bakal mewarisi negara ini kelak. Jelaslah, sikap masyarakat yang sambil lewa sahaja terhadap alam sekitar mendorong berlakunya pencemaran alam pada kadar yang menakutkan ini.

Natijahnya, pencemaran alam telah berlaku dan akan terus berlaku jika tiada sebarang langkah konkrit untuk menghalangnya dibuat segera. Usah kita menuding jari menyalah satu sama lain dalam menyelesaikan masalah ini kerana itu bukanlah cara yang matang untuk menyelesaikannya. Sikap menghargai alam sekitar harus dipupuk dalam diri golongan muda di bangku sekolah dengan segera tanpa sebarang dalih lagi. Kalau kita mahu alam sekitar kita bersih maka diri kita sendiri harus bersih dahulu.

Sunday, November 01, 2009

E-Buku 10 Skop Karangan SPM 2009...E-Buku Terbaru Saya


E-Buku 10 Skop Karangan SPM 2009 ini merupakan hasil terakhir saya buat sesi ini. Semua bahan karangan ini telah dibuat setelah analisa mendalam dilakukan terhadap soalan-soalan percubaan yang ada di negara ini.

Perbincangan lanjut juga diadakan bersama-sama rakan pendidik yang lain lalu terhasilah e-buku yang mudah tetapi mampu memberikan impak besar dalam persediaan pelajar menghadapi SPM 2009 itu.

E-Buku ini sesuai digunakan sebagai persiapan akhir atau sebelum memasuki dewan peperiksaan. Jika berminat sila emel kepada saya azmanukm@gmail.com segera kerana e-buku ini diterbitkan dalam jumlah yang terhad.

Karangan Cabaran Hidup Dan Strategi Menangani Masalah Remaja?


Para remaja sering menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan mereka.

Sebagai remaja cadangkan strategi untuk menangani masalah remaja.


Kehidupan zaman remaja merupakan suatu zaman yang penuh dugaan hidup yang mencabar. Kewujudan cabaran ini menyebabkan banyak remaja menganggap kehidupan mereka tidak begitu penting lalu memudahkan mereka terjebak dalam pelbagai kancah gejala sosial yang mampu menjejaskan imej dan maruah diri remaja itu sendiri. Situasi ini seolah-olah memberi satu persepsi umum bahawa kemelut yang melanda remaja itu tidak boleh diselesaikan dengan begitu mudah. Namun, ada pelbagai strategi yang mampu dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk menangani pelbagai cabaran yang melanda kehidupan harian remaja itu.

Antara strategi awal ialah remaja harus disedarkan bahawa kehidupan mereka itu mempunyai matlamat atau tujuan yang tertentu. Kesedaran ini boleh ditimbulkan melalui pelbagai kempen kesedaran yang boleh dilakukan oleh pihak media massa menerusi filem atau iklan yang pasti ditonton oleh jutaan remaja kita. Setiap remaja yang menyedari bahawa kehidupan mereka mempunyai matlamat yang lebih besar selain daripada diri sendiri pasti akan mampu untuk menangani sebarang cabaran yang timbul dalam hidup mereka kerana sedar diri mereka mampu melakukan perubahan dalam kehidupan orang lain dan negara ini. Maka, remaja harus terlebih dahulu disedarkan tentang kepentingan memiliki matlamat hidup yang lebih jelas dan nyata.

Manakala strategi kedua ialah pihak sekolah harus mampu memberikan perkhidmatan kaunseling kepada mana-mana remaja yang bermasalah dengan efektif. Perkhidmatan kaunseling ini hendaklah dilakukan dengan sistematik dan diseliakan oleh guru-guru yang berpengalaman serta memiliki kemahiran yang cukup dalam aspek memberi nasihat yang positif kepada remaja kelak. Guru kaunseling bakal menjadi barisan awal untuk mengesan remaja yang bermasalah lalu segera membuat perubahan yang mampu membawa remaja terbabit ke pangkal jalan dengan segera. Sesungguhnya, khidmat kaunseling oleh pihak sekolah menjadi satu senjata pelindung yang paling praktikal dalam menangani cabaran hidup remaja kerana mereka menghabiskan masa yang lama di sekolah.

Selain itu, remaja yang sedang menghadapi cabaran hidup mampu menanganinya dengan kembali kepada ajaran keagamaan mereka. Semua ajaran agama di dunia ini cuba membawa penganutnya supaya menggunakan kaedah keagamaan untuk menjalani kehidupan di dunia dengan lebih baik selain mampu menyelesaikan masalah kehidupan mereka dengan lebih positif dan rasional. Benteng agama menjadi kriteria penting yang harus dimiliki dalam jiwa remaja terutama yang bermasalah kerana agama memberikan seseorang itu satu pegangan atau kepercayaan bahawa diri mereka mampu mengharungi badai kehidupan yang sedang melanda mereka itu. Jelaslah, semakin tebal kefahaman agama dalam diri remaja semakin besarlah peluang remaja itu untuk mampu menangkis sebarang cabaran kehidupan yang timbul dalam hidup mereka.

Pada masa yang sama ahli masyarakat umum turut berperanan untuk menegur atau membantu remaja yang sedang menghadapi cabaran dalam kehidupan mereka. Kalau kita lihat kini masyarakat tidak lagi mahu atau berani untuk menegur kelakuan sumbang remaja kerana tidak mahu dianggap menjaga tepi kain orang pula terutama dalam kehidupan masyarakat moden kini. Kegagalan setiap ahli masyarakat untuk menjalankan tanggung jawab mereka untuk memberikan nasihat kepada remaja kita telah menyebabkan banyak remaja tersesat jalan lalu terbabit dalam pelbagai fenomena sosial yang menjejaskan imej rakyat negara ini juga. Jadi, masyarakat harus disedarkan tentang peranan mereka untuk sama-sama membantu remaja dengan memberi teguran dan sokongan kepada remaja dalam menyelesaikan pelbagai cabaran kehidupan yang melanda jiwa muda mereka itu.

Malah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru boleh digerakkan untuk bersama-sama menangani masalah kehidupan yang melanda golongan remaja itu. Kelebihan persatuan ini ialah gabungan idea dan kerjasama ibu bapa serta guru mampu menjadikan mereka lebih peka akan cabaran hidup yang dilalui oleh remaja itu. Perkongsian maklumat dan pengalaman antara dua pihak yang penting dalam merencanakan kehidupan remaja ini pasti berupaya untuk mencetuskan satu pendekatan yang bukan sahaja bersifat psikologi tetapi juga praktikal dalam menyelesaikan kemelut hidup remaja tersebut. Lantaran itu, persatuan ini perlu lebih proaktif dalam merangka pelan atau aktiviti yang turut mampu menjadikan kehidupan remaja lebih riang dan selesa diharungi bersama-sama.

Konklusinya, semua strategi yang diperhalusi di atas itu harus dilaksanakan dengan segera tanpa banyak alasan lagi. Kerjasama semua pihak terutama pihak ibu bapa dan sekolah amat diperlukan dalam menyelesaikan masalah yang bakal menentukan hala tuju negara kerana remajalah harapan pemimpin masa depan kelak. Kegagalan untuk menyelesaikan polemik ini secara rasional dan efektif akan menjadikan masyarakat kita pada masa hadapan satu masyarakat yang lemah dan tidak mampu untuk bersaing dalam arus persana globalisasi kini. Mahukah kita semua melihat remaja kita terus dibelenggu pelbagai masalah hidup tanpa kita melakukan apa-apa tindakan?

Jika karangan ini anda berasa bagus, bayangkan karangan yang bakal anda terima dengan membayar sedikit sahaja.

Perlukan lebih banyak karangan berkualiti, emel kepada saya azmanukm@gmail.com segera kerana banyak pakej pendidikan dan e-buku berkualiti saya sediakan dengan harga yang berpatutan.