Tuesday, September 29, 2009

Soalan Ramalan SPM 2009...Skop Karangan Sukan


Tajuk mengenai sukan memang penting. Banyak juga sekolah yang mengambil skop ini dalam peperiksaan percubaan mereka. Antara soalan itu ialah:

Faedah-faedah menjadi tuan rumah sukan antarabangsa
a) Memberikan peluang kerja
b) Memberikan peluang kepada ahli sukan untuk bersaing dengan ahli sukan dunia
c) Memberikan peluang masyarakat kita melihat satu acara bertaraf dunia
d) Menjadikan imej negara lebih baik pada mata masyarakat dunia

Di harap pelajar memberi penekanan kepada aspek ini terutama Langkah-langkah meningkatkan mutu sukan negara dan impak akibat bersukan.

Semua bahan ini boleh diperoleh dengan memiliki E-Buku Soalan-soalan Bayangan SPM 2009 terbaru saya itu.

Saturday, September 19, 2009

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI



Selamat Menyambut Hari Raya buat pelajar dan pembaca blog ini yang beragama Islam.

Semoga raya kali ini memberikan anda semua satu kefahaman bererti tentang kehidupan terutama peri pentingnya memperoleh ilmu yang secukupnya.

Saya akan berhibernasi sepanjang minggu ini, jadi jika sebarang pertanyaan anda lewat di balas harap dimaafkan.

Teruskan semangat belajar anda semua.

azman

Wednesday, September 16, 2009

E-BUKU SOALAN-SOALAN BAYANGAN SPM 2009 sudah boleh ditempah


Hi Pelajar

Untuk membantu pelajar semua, saya sudah menyediakan satu e-buku khas yang bernilai RM8 jika anda mula memesannya sekarang sebagai tanda promosi tempahan awal. Selepas 28 September harga buku ini akan menjadi RM15.

Buku ini memaparkan semua soalan Karangan, Komsas, Novel dan Tatabahasa yang dianggap berguna kepada pelajar SPM 2009.

Semua bahan telah disusun dalam bentuk yang mudah untuk memenuhi keperluan peperiksaan SPM. E-buku ini mampu memberikan pelajar sedikit kelebihan dalam menghadapi peperiksaan yang semakin hampir itu.

Buku ini akan mula dipasarkan pada 28 September dan sesiapa yang berminat boleh membuat tempahan awal dengan menghantar emel kepada saya: azmanukm@gmail.com

ceria

azman

Karangan Spot 2009...Langkah-langkah Hasilkan Penulis Muda Negara


Karangan

Dunia penulisan sastera kita mula dipinggirkan.

Jelaskan cara-cara untuk melahirkan penulis muda yang berkaliber di negara ini.


Sememangnya dunia sastera di negara ini tidak mendapat perhatian meluas terutama dalam jiwa remaja kita. Lihat sahaja suasana atau majlis pelancaran buku sastera sudah pasti muka-muka lama atau tokoh veteran sahaja yang menghadirinya tanpa ada wajah-wajah baru yang lebih berpotensi untuk menggantikan tempat penulis lama. Negara kita memang ketandusan penulis muda yang berkaliber terutama dalam penulisan sastera. Lantaran itu, pelbagai tindakan positif boleh dilaksanakan untuk melahirkan penulis-penulis muda ini.

Langkah awal ialah kerajaan mewujudkan satu institusi pendidikan formal dalam penulisan. Penubuhan institusi ini boleh dikategorikan sebagai sebuah kolej atau universiti yang ditubuhkan khas untuk melahirkan penulis muda sahaja dalam pelbagai kategori penulisan. Remaja yang berbakat atau berpotensi dari seluruh negara akan dipilih dan menjalani pelbagai latihan formal dalam bidang penulisan sebagai persiapan awal mengasah bakar terpendam mereka itu. Maka, semakin cepat kerajaan menubuhkan institusi sebegini semakin pantaslah negara berupaya melahirkan penulis muda.

Selain itu, satu skim ganjaran yang lebih praktikal harus diwujudkan untuk menarik lebih ramai generasi muda menyertai dunia penulisan. Setakat ini anugerah sasterawan negara tidak banyak membawa faedah kewangan kepada pemenangnya berbanding populariti dan status yang menyebabkan remaja tidak menganggap penulisan satu kerjaya berprospek tinggi. Bayaran hadiah yang lumayan bersama-sama ganjaran kewangan yang berpanjangan sudah pasti memudahkan penulis untuk terus berkarya selain mampu membuka minda remaja untuk melihat penulisan sebagai kerjaya era moden pula. Jelaslah, ganjaran kewangan yang tinggi berupaya untuk membentuk satu kelompok penulis muda yang besar di negara ini.

Begitu juga dengan aktiviti kempen kesedaran tentang dunia penulisan harus dilaksanakan dengan meluas dan berpanjangan. Kempen ini cuba menyedarkan masyarakat betapa dunia penulisan penting kepada negara dan masyarakat negara lalu menghakis persepsi bahawa penulisan hanya untuk golongan dewasa atau tua sahaja. Usaha melakukan kempen ini juga boleh memberi status atau imej yang lebih baik kepada dunia penulisan kerana kempen yang berterusan mencetuskan betapa kerjaya ini sesuatu yang diidamkan oleh masyarakat negara ini. Sesungguhnya, kempen yang begitu mudah tetapi efektif ini mampu membuka mata remaja tentang dunia sebenar penulisan yang penuh dengan glamor dan ketinggian intelektualannya.

Malah, kerajaan perlu mewujudkan satu suasana yang sesuai untuk penulis muda ini berkarya terutama aspek penerbitan buku mereka. Pelbagai insentif seperti pengecualian cukai kepada bayaran royalti buku mereka atau mengurangkan cukai terhadap bahan-bahan pencetakan buku sudah pasti akan menimbulkan minat yang mendalam dalam diri penulis dan penerbit buku untuk menerbitkan karya mereka secara meluas. Penulis memerlukan suasana yang mampu melahirkan pelbagai idea buat mereka untuk berkarya dan ini merupakan salah satu daripadanya. Oleh itu, suasana yang baik amat penting buat penulis muda di negara ini untuk terus bernafas dan melahirkan karya agung mereka itu.

Kesimpulannya, usaha melahirkan penulis muda di negara ini sesuatu yang harus dilaksanakan segera oleh semua pihak. Semakin lama kita melengahkan masa semakin sukarlah usaha untuk menambahkan jumlah penulis di negara ini. Sikap lepas tangan dan bertindak dengan perlahan sering menjadi masalah besar kepada sebarang usaha perubahan yang hendak dicapai di negara ini. Peribahasa ‘hendak seribu daya tak hendak seribu dalih’ menjadi peringatan betapa pentingnya usaha ini disegerakan.

Soalan Penting SPM 2009...Skop Sastera


Hi pelajar

Baiklah untuk memenuhi permintaan pelajar saya dan pembaca blog ini, mulai minggu ini hinggalah minggu terakhir saya akan bincangkan soalan karangan, novel dan komsas untuk tatapan pelajar semua.

Untuk minggu ini saya ingin menarik perhatian pelajar tentang skop soalan sastera kerana soalan ini sering ditanya dalam peperiksaan sekolah. Antaranya ialah kepentingan sastera kepada remaja dan negara, cara-cara melahirkan penulis yang berkaliber, peranan sastera dalam pembangunan insan dan juga cabaran dunia sastera di negara ini.

Usaha untuk melahirkan penulis berkaliber memerlukan beberapa tindakan:
melancarkan satu program khas penulisan dalam kalangan remaja
mewujudkan satu suasana menulis yang baik seperti kemudahan menerbitkan buku
menjalankan kempen tentang kepentingan penulis dalam masyarakat untuk menimbulkan minat masyarakat menjadi penulis
menjadikan anugerah sasterawan negara satu anugerah yang berprestij dan mampu memberikan kehidupan selepas era menulis lebih terjamin

Bagaimana dengan tajuk kali ini? Harap tajuk ini memberi sedikit kelegaan kepada pelajar dalam usaha menghadapi peperiksaan itu.

ceria

azman

Wednesday, September 09, 2009

Karangan SPM 2009....Karangan Pengangkutan Awam?


Sistem Pengangkutan Awam kita terus menjadi kritikan masyarakat.

Terangkan kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam di negara ini.


Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT) dan monorel. Memang sudah ada banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan agak lama ini.

Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah harganya yang mahal. Kadar tambang terutama teksi dan LRT dianggap oleh masyarakat sebagai agak mahal untuk mereka gunakan dengan kerap sistem pengangkutan itu. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh seperti mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan LRT.

Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan sistem pengangkutan awam yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutama bas tidak boleh diharap terutama jadual perjalanannya yang menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah penjagaan bas, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori ini kerana penyelenggaraan yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja menyampah melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadualnya tetapi juga kegagalan mereka untuk menjaga tahap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam mereka.

Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya antara monorel dengan LRT atau antara bas dengan monorel. Keadaan ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus dihasilkan oleh kerajaan dengan segera sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.

Malah, pengangkutan awam turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara. Sesungguhnya, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan.
Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam ini memang banyak dan sudah lama serta masih gagal diselesaikan. Situasi ini berlaku kerana kurangnya kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menanganinya. Ketika masyarakat semakin gusar dengan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, kerajaan pula terus berdiam diri dan hanya bertindak apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam kemelut ini.

Monday, September 07, 2009

PAKEJ SOALAN RAMALAN SPM 2009


HI PELAJAR SEMUA,

PEPERIKSAAN SPM SEMAKIN HAMPIR DAN SAYA YAKIN SEMUA PASTINYA SEMAKIN GELISAH DAN MULA MEMBUAT PERSIAPAN AKHIR. JADI, SAYA TELAH MENYEDIAKAN SATU PAKEJ SOALAN RAMALAN YANG UNIK, EFEKTIF TETAPI MURAH BUAT ANDA SEMUA.

PAKEJ INI AKAN MELIPUTI 4 KALI EMEL ATAU 4 MINGGU BERMULA PADA 28 SEPTEMBER INI. DALAM PAKEJ INI PELAJAR AKAN DIDEDAHKAN DENGAN PELBAGAI SOALAN KARANGAN DAN KOMSAS YANG DIJANGKA ATAU PERLU DIKETAHUI OLEH PELAJAR.

PAKEJ INI HANYA BERNILAI RM20 DAN JIKA PELAJAR BERMINAT SILA EMEL SAYA SEGERA KERANA BAHANNYA TERHAD. HANTAR EMEL ANDA KEPADA: azmanukm@gmail.com

TERIMA KASIH DAN LAYARI BLOG SAYA UNTUK MAKLUMAT KARANGAN TERBAIK ANDA.

AZMAN

Thursday, September 03, 2009

Karangan SPM 2009...Khidmat Masyarakat Beri Impak Positif Kepada Remaja?


Khidmat masyarakat sudah mula mendapat perhatian remaja di negara ini.

Huraikan impak positif yang timbul menerusi amalan ini kepada remaja.


Khidmat masyarakat boleh dianggap sebagai satu tindakan membantu golongan masyarakat yang memerlukan bantuan tanpa mengharapkan sebarang balasan pula. Antara tindakan yang termasuka dalam kategori khidmat masyarakat ini ialah membantu orang tua di rumah orang tua, anak-anak yatim di rumah kebajikan dan juga menjalankan kutipan derma untuk disumbangkan kepada badan kebajikan yang tertentu atau memerlukan bantuan segera itu. Amalan murni ini sudah mula tertanam dalam diri remaja di negara ini kerana sudah wujud pelbagai persatuan yang menjurus untuk membantu golongan yang sebegini di negara kita ini. Lantaran itu, memang ada banyak impak positif yang timbul dalam jiwa remaja yang melibatkan diri mereka dalam aktiviti ini.

Sudah pasti impak yang paling ketara ialah remaja itu akan menyedari erti kehidupan yang sebenarnya atau realiti kenyataan hidup. Dalam usaha mereka membantu golongan ini remaja akan memahami betapa pentingnya kehidupan ini dihargai dan digunakan dengan sebaik mungkin tanpa melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan kehidupan mereka pada masa depan. Remaja akan melihat diri mereka dalam setiap aktiviti yang dijalankan itu dengan lebih baik lalu mampu melahirkan satu pandangan yang positif tentang erti kehidupan yang hakiki dan bukannya sekadar seperti katak di bawah tempurung sahaja. Maka, semakin banyak aktviti sebegini dilakukan semakin luaslah pandangan hidup remaja itu kelak.

Tambahan pula, penglibatan remaja dalam aktiviti membantu golongan yang memerlukan bantuan ini akan menghalang mereka daripada terbabit dalam kancah yang tidak sihat. Bukan sahaja mereka sudah mempunyai pemahaman erti kehidupan yang jelas tetapi aspek masa turut membantutkan peluang mereka untuk terbabit dalam aktiviti yang tidak sihat pula. Biasanya aktiviti sebegini dijalankan pada hujung minggu atau ketika musim cuti sekolah yang pastinya akan menyebabkan remaja menghabiskan masa dengan melakukan perkara-perkara yang positif daripada memikirkan tindakan yang neatif seperti melepak dan sebagainya. Jelaslah, amalan khidmat masyarakat berupaya membentuk satu persekitaran yang sesuai buat remaja daripada terjebak dalam kancah negatif yang sering kita lihat dalam media massa itu.

Satu lagi impak murni yang timbul ekoran melakukan aktiviti khidmat masyarakat ini ialah remaja akan memahami erti menghormati individu lain. Bagaimanakah perkara ini boleh timbul dalam diri remaja menerusi amalan yang mudah ini? Remaja pastinya akan melihat dan berinteraksi dengan golongan tua, kanak-kanak yatim dan orang miskin lalu membawa mereka melihat keadaan keluarga sendiri seperti ayah, ibu, adik dan diri sendiri yang menimbulkan keinsafan akan tindakan mereka sebelum ini. Sesungguhnya, remaja yang melibatkan diri dalam amalan murni ini akan memandang ibu dan ayah mereka dengan satu pandangan yang berbeza kerana mereka sudah sedar sikap hormat amat penting dalam naluri manusia itu.

Impak terakhir yang boleh dilihat dalam diri remaja ialah imej remaja itu sendiri akan berubah. Kalau sebelum ini remaja kita sering dipandang serong dengan pelbagai tohaman dilemparkan kepada mereka baik di dalam media massa mahupun jiran tetangga, imej itu sudah berubah sama sekali. Remaja yang melibatkan diri dalam khidmat masyarakat akan dipandang tinggi oleh masyarakat setempat kerana remaja itu sudah membuktikan bahawa diri mereka mampu melakukan sesuatu yang positif untuk memajukan masyarakat mereka. Jadi, semakin kerap remaja melibatkan diri dalam khidmat masyarakat semakin tinggilah imej remaja itu pada mata masyarakat dan keluarganya.

Kesimpulannya, semua impak positif yang dinyatakan di atas bakal timbul dalam diri semua remaja yang berani melibatkan diri mereka dalam aktiviti murni ini. Semakin banyak remaja yang terbabit dalam program khidmat masyarakat ini semakin baiklah buat negara kerana satu kelompok remaja yang berwawasan tinggi berupaya dihasilkan pula. Kewujudan remaja sebeginilah yang mampu menjadikan negara kita berupaya mengahrungi cabaran globalisasi yang semakin sengit itu.

Tuesday, September 01, 2009

Karangan SPM Gaya Hidup Sihat?


Gaya hidup sihat satu amalan yang murni.

Nyatakan cara-cara mencapai gaya hidup sebegini.


Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.

Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu diet pemakanan yang seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, ramai yang suka mengambil satu jenis makanan sahaja seperti hanya memakan daging tanpa mengambil sayur dalam diet mereka. Ketiadaan diet yang seimbanglah atau hanya menumpukan pemakanan mereka terhadap satu aspek sahaja yang menyukarkan seseorang untuk mencapai matlamat gaya hidup yang baik ini. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan kita semua mencapai satu kehidupan yang ceria kerana semua zat yang diperlukan oleh badan diperoleh menerusi pemakanan yang baik itu.

Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti berjalan atau berlari bersendirian atau melakukan aktiviti bersukan bersama-sama keluarga atau ketika hujung minggu untuk mendapatkan senaman sebegini. Aktiviti senaman sudah lama diakui oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih stabil dan baik serta menjadikan sistem imunisasi mereka lebih tinggi. Maka, semakin kerap senaman dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.

Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi untuk memperoleh gaya hidup yang sihat ini.

Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting dimiliki oleh seseorang itu untuk menangani tekanan kehidupan moden. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Maka, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.

Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan tadi. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.