Sunday, June 28, 2009

Pakej Persediaan SPM 2009



Pelajar semua

Sudah pasti perasaan gementar sudah mula terasa dalam jiwa pelajar kini. Keadaan ini merupakan satu perasaan biasa yang bakal wujud dalam diri pelajar itu. Namun, perasaan itu akan mampu diatasi jika pelajar mula membuat persediaan yang sewajarnya. Jadi, satu pakej persediaan SPM telah saya sediakan dalam usaha membantu pelajar membuat persediaan tersebut.

Pakej ini akan merangkumi soalan-soalan karangan, Prosa Klasik, Cerpen, Puisi Tradisional, Drama dan Sajak bersama-sama novel (Bukit Kepong dan Konserto Terakhir. Pakej yang bernilai RM30 ini akan meliputi 12 set soalan yang setiap set pasti mempunyai semua soalan komponen yang sudah dinyatakan di atas itu. Pakej ini akan berjalan selama hampir 3 bulan (bermula Julai ini).

Sesiapa yang berminat dengan pakej ini, sila emel kepada saya segera:

azmanukm@gmail.com
atau
azmanukm@tm.net.my
atau
noorazmanukm@hotmail.com

Persediaan awal penting dalam menghadapi cabaran SPM.

Ceria

Azman

Tuesday, June 23, 2009

Karangan SPM 2009 Kebaikan dan Keburukan Membaca Novel?



Karangan 33

Novel sudah menjadi satu perkara penting dalam kehidupan remaja. Biasanya remaja suka membaca novel yang berunsur cinta.

Jelaskan kebaikan-kebaikan dan keburukan membaca novel.


Novel merujuk bentuk penulisan yang panjang dan memaparkan pelbagai ragam kehidupan manusia. Novel memang menjadi aspek penting dalam kehidupan remaja terutama novel berunsur cinta yang mengasyikkan jiwa remaja. Cuma membaca novel mampu membawa impak positif dan negatif yang harus diberi perhatian.

Aktiviti membaca sudah pasti membuka minda remaja terhadap sesuatu isu yang dipaparkan dalam novel yang dibaca.Tema yang digarap oleh penulis itu sememangnya berkaitan dengan isu semasa realiti dan ini memberi satu bentuk pemahaman yang mudah kepada remaja. Novel menjadi isu semasa itu sesuatu yang mudah difahami tetapi dibentangkan dalam bentuk cerita yang lebih bersesuaian dengan diri remaja. Oleh itu, semakin banyak novel yang dibaca semakin luaslah minda remaja.

Amalan membaca novel ini turut menjadikan seseorang itu lebih memahami konsep sastera dengan lebih yakin. Penggunaan bahasa yang diksi oleh penulis sudah pasti akan memberi satu rangsangan kepada pembacanya. Kesantunan bahasa yang digunakan mencungkil naluri pembaca untuk mengetahui maksud perkataan yang dipilih oleh penulis novel itu. Sudah pasti tindakan ini akan memastikan pembaca mempunyai koleksi kosa kata yang banyak.

Malah, aktiviti membaca novel membolehkan seseorang itu menghabiskan masa senggangnya dengan lebih berfaedah. Pembacaan novel memerlukan seseorang itu menumpukan perhatian yang jitu untuk satu masa yang panjang. Biasanya sehari atau mungkin beberapa hari diperlukan untuk menghabiskan sesebuah novel itu. Jadi, membaca novel menyebabkan masa remaja dihabiskan dengan baik tanpa melibatkan kegiatan yang tidak baik.

Namun, pembacaan genre sastera ini turut membawa kesan buruk iaitu mengabaikan tugas sebagai pelajar. Masa yang panjang untuk membaca novel menyebabkan pelajar akan melupakan tanggungjawabnya untuk belajar atau membuat kerja sekolah yang penting itu. Masalah ini semakin kronik apabila remaja itu membaca lebih banyak novel dalam tempoh yang lama. Kesannya, pencapaian pelajar terbabit mungkin akan terus merosot.

Kesimpulannya, membaca novel memang baik tetapi impak buruknya turut wujud. Seseorang remaja itu perlulah pandai menilai dan memilih jenis novel yang sesuai dengan usia mereka.Pembacaan yang meluas dalam kalangan remaja turut membina satu kelompok remaja negara yang berpengetahuan luas dan memiliki pemikiran yang kritis.

Tuesday, June 16, 2009

Karangan SPM 2009 Kepentingan Kokurikulum di Sekolah



Karangan 32

Kerajaan telah memberi penekanan terhadap aspek kokurikulum sekolah. Pelajar sudah mula diwajibkan untuk terlibat dalam aktiviti ini. Malah kemasukan ke universiti mula menekankan aspek kokurikulum juga.

Huraikan.


Kegiatan kokurikulum telah dianggap satu aktiviti yang penting tetapi pembabitan pelajar agak mengecewakan. Ada pelbagai faktor yang menyebabkan pelajar tidak mahu melibatkan diri mereka dalam aktiviti ini. Sikap tidak acuh pelajar ini telah menyebabkan kerajaan mewajibkan kegiatan ini dan menjadi syarat unntuk pemilihan ke universiti. Sebenarnya, kokurikulum mempunyai banyak kebaikan yang tersirat.

Pelajar yang terlibat dengan kokurikulum dapat menyihatkan badan mereka. Peluh yang keluar dapat menghilangkan toksik badan. Pelajar yang menghadapi era persekolahan zaman ini memang penuh masalah, jadi pembabitan dalam kokurikulum mampu mengurangkan tekanan ini. Kegiatan yang dijalankan itu mampu mengalih fikiran pelajar sejenak daripada persiapan peperiksaan mereka yang penuh dengan penghafalan dan membuat latihan. Jelaslah, minda mereka dapat berehat sebentar apabila melakukan aktiviti yang berbeza iaitu kegiatan kokurikulum.
Dalam masa yang sama pembabitan pelajar memastikan mereka tidak terbabit dengan aktiviti yang tidak sihat. Kegiatan kokurikulum dilakukan pada masa-masa yang telah ditetapkan. Penetapan masa ini menyebabkan pelajar terpaksa menguruskan masa mereka dengan bijak. Pelajar yang terbabit dalam aktiviti ini akan mengutamakan aktiviti kokurikulum dan pembelajaran mereka. Ringkasnya, mereka kekurangan masa untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat seperti melepak.

Selain itu, pelajar turut dapat menambah keyakinan diri mereka melalui aktiviti kokurikulum ini. Kokurikulum menyediakan satu “medan” yang sesuai kepada pelajar untuk memimpin atau mengetuai sesuatu pertubuhan. Situasi ini memberikan mereka satu keyakinan terhadap kemampuan mereka dalam aspek-aspek tertentu. Mereka mula menyedari bakat yang ada dan berupaya untuk mengembangkannya serta mengasahnya menjadi sesuatu yang lebih cemerlang lagi seperti memimpin pertubuhan belia, syarikat dan mungkin juga negara.

Malahan, aktiviti kokurikulum membuka minda dan mata pelajar tentang erti persahabatan dan pergaulan. Mereka akan bertemu dengan pelbagai orang dalam menjalankan aktiviti kokurikulum itu. Mereka mengenal jenis manusia sebenar terutama apabilamenghadapi masalah untuk menganjurkan sesuatu aktiviti. Mereka juga mengenali erti persahabatan yang sejati. Pengalaman ini semua akan mengajar pelajar erti kehidupan yang tidak boleh mereka peroleh di luar.

Pelajar juga mengetahui banyak perkara baru. Aktiviti dalam pertubuhan beruniform akan mendedahkan mereka kepada cara-cara untuk menyelamatkan mangsa ketika kecemasan, cara berkhemah, cara memasak dan cara menguruskan perbelanjaan persatuan. Semua ini memberi satu pengetahuan yang berguna kepada pelajar. Ilmu ini turut memberi pelajar satu dimensi baru dalam cara mereka melihat sesuatu pertubuhan apabila mereka keluar dari sekolah.

Kesimpulannya, aktiviti kokurikulum haruslah disertai oleh semua pelajar tanpa sebarang prasangka buruk. Mereka tidak harus menganggap aktiviti ini akan menghalang kemajuan mereka dalam peperiksaan. Mereka tidak harus menyalahkan kokurikulum kalau mereka tidak memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Mereka seharusnya melihat aktiviti ini sebagai satu proses pembelajaran yang harus dialami oleh semua orang sebagai sebahagian daripada proses kehidupan kita sebagai manusia.

Monday, June 08, 2009

Karangan Menanam Sikap Membaca dan Impak Positifnya



Karangan 31

Bangsa membaca bangsa berilmu sering menjadi cogan kata sesuatu majlis ilmu tetapi rakyat negara ini masih terbelakang dalam aspek pembacaan. Kita dikatakan hanya membaca satu buku sahaja setahun.

Terangkan langkah-langkah untuk meningkatkan minat membaca dan kesan-kesan positif yang timbul daripada pembacaan ini.


Masyarakat kita memang tidak suka membaca kerana menganggap aktiviti ini sebagai membosankan. Kajian menunjukkan bahawa rakyat negara ini hanya membaca sebuah buku setahun berbanding negara-negara lain yang boleh mencecah 8 buku setahun. Keadaan ini sudah pasti amat memalukan kita semua kerana ketika kita mahu dianggap sebuah negara maju, kadar pembacaan kita terlalu rendah. Agaknya elok kita menilai keutamaan kita dalam menjalani kehidupan seharian sebelum pantas mengkritik kelemahan negara lain.

Antara langkah yang boleh diambil untuk menangani kemelut ini ialah kerajaan menurunkan harga buku terutama buku ilmiah. Penurunan harga ini membolehkan lebih ramai membeli dan dapat membaca. Harga buku yang rendah turut menyebabkan seseorang dapat membuat rujukan lebih banyak buku terhadap sesuatu perkara. Ketika ini, harga buku yang terlalu mahal menyebabkan masyarakat menganggap membeli buku sebagai satu kerja membazir dan berbau golongan atasan.

Tambahan itu, kerajaan harus memberikan banyak insentif kepada penerbit atau syarikat buku untuk menghasilkan lebih banyak buku. Insentif dalam bentuk pengecualian cukai, keuntungan dan pemberian permit penerbitan harus diberikan tanpa sebarang gangguan birokrasi. Pemberian ini akan menyebabkan lebih banyak penerbit baru muncul kerana mereka yakin perniagaan mereka akan mengaut keuntungan.

Selain itu, pembukaan lebih banyak pembukaan perpustakaan akan memberi galakan kepada masyarakat untuk membaca. Kewujudan perpustakaan menyebabkan seseorang senang untuk mendapatkan ruang untuk membaca. Tiada lagi alasan untuk tidak membaca kerana ketiadaan perpustakaan terutama di kawasan pedalaman. Perpustakaan bergerak juga harus ditambah dengan drastik kerana perpustakaan ini mampu menjalankan peranannya dengan berkesan terutama di kawasan yang padat penduduk dan terlalu jauh.

Kesan positif yang timbul ialah seseorang yang banyak membaca itu akan mengetahui banyak perkara baru. Ilmu yang mereka peroleh dapat digunakan dalam kehidupan seharian mereka. Kemahiran berfikir seseorang turut meningkat dengan baik. Mereka juga mampu melihat dan membandingkan sesuatu perkara itu dengan lebih mendalam dan objektif. Keadaan ini memudahkan mereka untuk membuat keputusan yang betul dalam tindakan mereka.

Manakala pembacaan untuk pelajar memudahkan mereka untuk menjawab dengan baik dalam peperiksaan. Pembacaan yang mendalam menyebabkan pelajar itu memahami sesuatu perkara dengan lebih meluas. Idea dan kebolehan untuk memahami sesuatu soalan berkait rapat dengan kadar pembacaan seseorang pelajar tersebut. Kejayaan sudah pasti akan mereka peroleh dalam peperiksaan yang diduduki oleh mereka.

Kesimpulannya, pembacaan seharusnya menjadi sebahagian daripada kehidupan kita yang tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Membaca juga perlu dijadikan aktiviti sihat bersama-sama keluarga. Ibubapa harus memberi teladan yang jelas dalam aspek ini kerana biasanya anak-anak akan mengikut jejak langkah orang tua mereka. Mungkin selepas ini kita semua akan membaca?