Perlu latihan?

Perlu latihan?

Sunday, May 31, 2009

Karangan Obesiti Dalam Kalangan Masyarakat Kita





Karangan 30

Kadar obesiti dalam kalangan rakyat di negara ini dikatakan semakin meningkat. Keadaan ini berkaitan dengan tahap kesihatan rakyat yang semakin diabaikan.

Jadi, apakah cara-cara yang mampu dilakukan oleh kita sebagai rakyat biasa untuk menjaga kesihatan.


Kesihatan dianggap perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang. Tahap kesihatan menentukan keadaan kehidupan yang dijalani oleh seseoorang itu. Semakin baik kesihatan seseorang itu semakin mudahlah mereka mengharungi kehidupan mereka. Malah, ada kajian yang mengaitkan kesihatan yang baik memastikan produktiviti seseorang itu meningkat. Ada banyak kaedah yang boleh digunakan untuk memastikan kesihatan seseorang itu bertambah baik.

Kesihatan ditentukan oleh pemakanan seseorang. Itulah antara kata-kata hikmah yang sering kita dengar mengenai penjagaan kesihatan. Pengambilan makanan atau diet yang seimbag memastikan badan menerima khasiat yang diperlukannya. Diet yang betul sepanjang kehidupan seseorang itu menyebabkan kesihatannya terjamin. Cuma, kita agak sukar untuk mengamalkan perkara yang baik ini untuk jangka masa panjang kerana tahap kesihatan itu sukar diperoleh dalam masa yang pantas dan agak berbeza mengikut pandangan seseorang.

Bukan sahaja diet penting tetapi penjagaan kebersihan turut berperanan besar untuk menghalang penularan penyakit. Diri seseorang haruslah bersih dan kawasan tempat tinggal juga dipantau tahap kebersihannya. Malah, kawasan sekeliling turut diberi perhatian untuk memastikan semuanya dalam keadaan bersih daripada penyakit berjangkit. Semua tindakan ini akan memastikan seseorang itu tidak diserang penyakit berjangkit seperti taun.

Selain itu, aktiviti luar harus dilakukan. Senaman ringan dua atau tiga kali seminggu sudah mampu memberikan tahap kesihatan yang baik. Imunisasi seseorang turut meningkat melalui aktiviti senaman ini. Peluh yang keluar membuang sisa toksik yang tidak diperlukan oleh badan. Dalam masa yang sama senaman ini turut mengurangkan tekanan atau stres yang dialami oleh seseorang itu. Stres sering dikaitkan dengan kadar kematian yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat moden terutama di negara ini.

Seseorang itu harus menjalani pemeriksaan doktor yang kerap. Pemeriksaan doktor setahun sekali memang digalakkan tetapi pemeriksaan ini boleh ditingkatkan jika seseorang itu mempunyai sejarah keluarga yang berisiko tinggi. Tindakan ini menyebabkan sesuatu penyakit dapat dikesan lebih awal dan menerima rawatan yang sewajarnya. Malahan, kecepatan mengesan penyakit akan dapat menghalang seseorang itu menderita dengan lebih teruk.

Kesimpulannya, menjaga kesihatan merupakan satu tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh semua orang. Penjagaan kesihatan zaman ini juga dianggap menelan belanja yang banyak kerana kesihatan telah dijadikan sebagai satu kegiatan ekonomi. Seseorang itu perlulah bijak dalam menangani isu ini supaya tidak tertipu kerana tidak ada harta yang mampu membeli kesihatan yang baik. Harta yang penting dalam diri manusia ialah kesihatannya bukannya wang ringgit kerana kita boleh hidup tanpa wang tetapi tanpa kesihatan, nyawa kita akan melayang.

Tuesday, May 26, 2009

Pakej Pendidikan Prosa Klasik Antologi Anak Laut dan Kerusi Bermula Jun

Pelajar semua

Pakej pendidikan Prosa Klasik Antologi Anak Laut dan Kerusi akan bermula Jun ini. Sesiapa yang berminat dengan pakej ini sila emel kepada saya.

Untuk makluman anda, pakej Sajak sudah bermula April lalu dan pakej Puisi pula pada Mei. Manakala cerpen akan bermula pada Julai.

Selamat belajar

azman

Monday, May 25, 2009

Karangan Fungsi dan Usaha Mencetuskan Hobi




Karangan 29

Setiap orang mempunyai hobinya yang tersendiri. Ada banyak pendapat yang mengatakan bahawa mempunyai hobi membawa banyak kesan baik.

Pada pandangan anda, apakah fungsi-fungsi hobi dan usaha-usaha untuk menggalakkannya.


Setiap individu mempunyai hobinya yang tersendiri. Ada yang suka memancing, ada yang suka bersukan, ada yang minat berlumba, ada yang gemar mendaki gunung dan berbagai-bagai hobi. Semua orang mempunyai alasan tersendiri yang menyebabkan mereka melakukan semua hobi itu. Jadi, apakah fungsi-fungsi hobi dalam kehidupan kita dan usaha-usaha untuk menggalakkannya terutama dalam kalangan remaja? Elok kita semua renungkan.

Sesungguhnya hobi memastikan masa senggang seseorang itu dipenuhi dengan baik. Masa memang emas dan harus digunakan sebaik mungkin. Hobi memudahkan kita menghabiskan masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Aktiviti riadah ini memang nampak mudah dan tidak menarik tetapi mempunyai kesan yang mendalam kerana memastikan masa seseorang itu digunakan sebagaik mungkin. Ada masa untuk bekerja, ada masa untuk keluarga, ada masa untuk berhibur dan masa untuk riadah.

Selain itu, aktiviti hobi mampu menajamkan pemikiran seseorang itu. Sesuatu hobi itu hanya mampu dilakukan melalui perancangan dan kebolehan yang tertentu. Masa, teman yang akan dijemput dan kekerapan melakukan hobi harus ditentukan dahulu. Jadi, kekerapan melakukan sesuatu aktiviti itu menjadikan seseorang itu kritikal fikirannya terutama untuk memastikan hobinya lebih baik dan berkesan untuk jangka panjang. Minda sihat dan fizikal turut menjadi lebih kuat untuk mengharungi kehidupan moden yang penuh cabaran ini.

Sebenarnya ada banyak cara untuk menggalakkan aktiviti hobi ini. Langkah awal ialah kerajaan menjalankan lebih banyak kempen tentang sesuatu hobi itu. Kempen ini sudah pasti menyedarkan orang ramai tentang kepentingan mempunyai hobi dan tertarik untuk melakukan sesuatu sebagai hobi akhirnya. Kerajaan harus menjalankan kempen ini dengan menggunakan artis atau idola suka yang mampu menarik minat rakyat untuk mencontohi mereka menjalani aktiviti tersebut. Kempen ini harus dijalankan secara berterusan dan bukannya bermusim.

Malahan, tempat atau kemudahan untuk memudahkan aktiviti hobi dijalankan harus ditambah. Tempat seperti padang bola sepak, gelanggang badminton atau mungkin padang biasa di bina dengan lebih banyak. Kewujudan tempat yang sesuai untuk melakukan aktiviti ini menyebabkan lebih mudah untuk masyarakat menjalankan hobi mereka. Situasi ini turut memudahkan berkembangnya aktiviti ini di seluruh negara.

Jadi, hobi memang harus dimiliki oleh semua orang tanpa mengira usia, pangkat dan asal-usul. Aktiviti positif ini akan memberi banyak kesan baik kepada individu dalam aspek kesihatan mental dan fizikal seseorang itu. Kehidupan kita juga menjadi lebih bermakna dan menarik untuk diteruskan dari hari ke hari. Sudahkah anda semua melakukan hobi anda hari ini?

Tuesday, May 19, 2009

Karangan Peranan Persatuan Pengguna di Malaysia...



Karangan 28

Saban tahun kita membaca berita mengenai pengguna yang tertipu akibat kerakusan peniaga. Keadaan ini menyebabkan kita terfikir apakah peranan persatuan pengguna dalam menangani masalah pengguna di negara ini.


Isu kenaikan barang-barang mula mendapat perhatian media massa terutama selepas kerajaan memberikan kenaikan gaji kepada pekerja kerajaan. Berita kenaikan harga barang mula dipaparkan dan pelbagai tindakan telah dilakukan terutama oleh kerajaan untuk membanterasnya. Ada yang berjaya dan ada juga yang hanya cakap-cakap sahaja. Cuma, kita tertanya-tanya mengenai peranan persatuan pengguna dalam kemelut yang semakin mencengkam rakyat ini.

Dalam menangani situasi negatif ini persatuan pengguna perlulah menjelaskan dan menerangkan hak serta kepentingan pengguna dengan lebih mendalam. Persatuan pengguna boleh menjalankan kempen yang menjelaskan betapa pentingnya pembeli berbelanja dengan bijak. Penerangan ini mampu menyedarkan sebilangan penngguna yang akan memastikan mereka hanya membeli keperluan yang penting. Kempen penerangan ini seeloknya dijalankan dalam kalangan pelajar terutama pelajar sekolah.

Tambahan pula, persatuan pengguna boleh mendedahkan kepincangan dan penipuan yang dilakukan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab. Nama-nama peniaga ini boleh didedahkan di dada akhbar atau media massa yang lain untuk makluman orang ramai. Maklumat seperti ini mampu membantu pengguna untuk berbelanja dengan bijak kerana mereka sudah pasti tidak mahu ditipu oleh peniaga jenis ini.

Selain itu, pengguna yang mempunyai masalah dengan peniaga setelah membeli produk atau barang mereka boleh merujuk kepada persatuan pengguna. Kini, semakin banyak kes pengguna ditipu oleh peniaga tetapi pengguna tidak tahu tempat untuk mengadu. Kehadiran persatuan pengguna dalam memberi nasihat kepada pengguna untuk mengambil langkah susulan menangani masalah mereka amatlah besar kesannya. Keadaan ini menyebabkan nasib pengguna terbela.

Tambahan pula, kewujudan persatuan pengguna memastikan adanya "pemerhati" senyap antara pengguna dan peniaga. Maksudnya peniaga akan lebih berhati-hati sebelum cuba menipu pengguna kerana sedar setiap tindakannya akan dipantau oleh persatuan pengguna. Dalam masa yang sama pengguna pula berasa nasib mereka menerima pembelaan yang sewajarnya. Jadi, kewujudan persatuan pengguna akan memastikan keadaan pasaran sentiasa dalam keadaan baik kerana semua pihak sedar ada pihak ketiga yang memerhatikan keadaan pasaran ekonnomi negara.

Malahan, persatuan pengguna boleh menjalankan perniagaan mereka sendiri. Persatuan pengguna boleh menubuhkan koperasi atau syarikat yang mampu menjual produk kepada pengguna dengan harga yang lebih murah. Kemahiran persatuan pengguna dalam perkara meletakkan harga barang sudah pasti memudahkan mereka menjual produk tanpa masalah. Koperasi atau kedai ini boleh dijadikan satu rangkaian di seluruh negara untuk memudahkan masyarakat.

Ringkasnya, persatuan pengguna mempunyai tanggungjawab yang besar dan penting di negara ini. Kewujudannya telah menyebabkan kita sebagai pengguna berasa selamat dan peniaga pula lebih berhati-hati. Cuma sejauh manakah keberkesanan persatuan ini yang masih belum terjawab. Mungkin persatuan pengguna harus mencari jalan yang lebih berkesan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda pengguna sekarang.

Wednesday, May 13, 2009

Karangan Kepentingan Perayaan Negara



Karangan 27

Negara kita mempunyai pelbagai kaum yang memiliki hari perayaan tersendiri. Pada majlis perayaan ini, semua kaum akan merayakannya bersama-sama.

Pada pendapat anda, apakah kebaikan-kebaikan perayaan ini disambut bersama-sama


Negara kita dikenali sebagai syurga perayaan kerana mempunyai banyak perayaan yang disambut oleh masyarakatnya yang berbilang kaum. Kita mempunyai Tahun Batu Cina, Hari Raya, Krismas, Deepavali dan banyak lagi perayaan yang disambut oleh penduduk negara ini. Perayaan ini telah memberi satu dimensi baru kepada masyarakat kita dan luar tentang erti perayaan sebenar. Kepelbagaian perayaan di negara ini turut membuka banyak kebaikan kepada negara dan masyarakat yang mendiami negara tercinta ini.

Kesan yang paling ketara ialah perayaan ini telah meningkatkan hubungan dan interaksi antara penduduk yang berbilang kaum ini. Semua pihak memahami dan terlibat dalam perayaan yang disambut oleh kaum lain. Lawatan ke rumah terbukaa yang diamalkan telah mengeratkan hubungan antara kaum. Jadi, kekerapan interaksi ini menyebabkan wujudnya perpaduan yang utuh di negara ini yang menjadi sanjungan masyarakat luar.

Selain itu, golongan remaja mampu memahami erti perpaduan kepada negara ini. Mereka yang tidak mengalami kesusahan ketika era awal kemerdekaan mungkin memandang enteng perpaduan. Namun, apabila mereka melihat suasana perayaan barulah mereka memahami dan menyanjungi erti perpaduan. Keadaan ini menyebabkan remaja yang dilahirkan merupakan remaja berwawasan dan terbilang. Semuanya gara-gara wujudnya perayaan yang pelbagai di negara ini. Cuba bayangkan tiadanya sambutan perayaan di negara ini?

Pandangan masyarakat terutama orang luar turut berubah. Negara akan dilihat sebagai mempunyai keunikan perayaan yang tidak mampu dilihat di negara lain. Kepelbagaian perayaan ini memberi satu bentuk unik dalam pandangan orang asing terhadap negara ini. Lantaran itu kehadiran pelancong asing turut bertambah kerana mereka ingin dan berpeluang melihat pelbagai perayaan dalam sebuah negara daripada pergi ke beberapa negara untuk melihat pelbagai perayaan. Malaysia satu negara tetapi banyak perayaan.

Malahan, kepelbagaian perayaan ini menyebabkan ekonomi negara terus berkembang. Keadaan ini wujud kerana pelbagai pesta pembelian akan dijalankan untuk setiap perayaan yang disambut oleh masyarakat di sini. Kekerapan masyarakat negara untuk berbelanja setiap kali perayaan amatlah tinggi dan memberi ruang kepada ahli perniagaan untuk mengaut keuntungan. Sudah pasti situasi ini menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Kesimpulannya, perayaan yang ada di negara kita bukanlah sesuatu kekangan tetapi satu rahmat yang harus digunakan dengan sebaik mungkin. Kita harus menjadikan perayaan itu sebagai cubaan untuk merapatkan hubungan dan mengurangkan perbezaan antara kaum. Kalau itu mampu diccapai sudah pasti kemakmuran negara akan berkekalan. Sememangnya Malaysia sebuah negara yang melambang erti benua Asia kerana mempunyai pelbagai keturunan dan perayaan.

Thursday, May 07, 2009

Karangan Penulisan Masalah Bencana Alam Makin Meruncing


Karangan 26

Bencana alam turut berlaku di negara ini. Banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan merupakan antara bencana alam tersebut.

Nyatakan punca-punca dan usaha-usaha menangani masalah ini.


Bencana alam merujuk kejadian alam yang mampu memusnahkan negara dan penduduknya. Negara kita memang sering dilanda banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan kerana pelbagai faktor yang mendorong keadaan ini mudah berlaku terutama ketika bumi dikatakan sedang mengalami perubahan cuaca yang drastik dalam tempoh yang terdekat ini. Sesungguhnya, ada banyak faktor yang mendorong keadaan ini dan ada banyak langkah yang boleh diambil untuk membendungnya daripada terus berlaku.

Kejadian bencana alam sering dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar terutama kemusnahan hutan belantara negara. Keadaan ini wujud kerana hutan dianggap menjadi pelindung atau penahan berlakunya kejadian banjir dan kemarau kerana keupayaannya untuk menakung air dan menyalirkan air dengan baik. Kemusnahan hutan menyebabkan muka bumi menjadi kosong dan mendorong mudahnya berlaku semua bencana alam ini. Oleh itu, kemusnahan hutan perlulah dipantau dengan lebih teliti oleh pihak kerajaan.

Malahan, keghairahan negara untuk membangun dengan pesat turut mendorong berlakunya bencana alam ini. Pembukaan kawasan bandar baru, industri dan kawasan perumahan telah menyebabkan sistem ekologi yang asal tidak mampu untuk menghalang sebarang kejadian bencana alam daripada tidak berlaku. Manusia menganggap kemodenan mampu menghalang bencana alam berlaku lantas terus menerus menjalankan projek pembangunan tanpa mempunyai rasa takut atau bimbang berlakunya bencana alam di kawasan projek mereka. Justeru, pembangunan yang pesat memang penting tetapi perlulah dikawal atau dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan sistem ekologi secara drastik.

Tambahan pula, sikap kita dalam menguruskan sumber asli terutama penyelenggaran sungai dan pembalakan hutan yang tidak praktikal. Naluri manusia yang sering mengutamakan keuntungan kewangan daripada berfikir secara rasional perkara yang bakal berlaku pada masa depan telah mengundang padah. Semua sumber alam negara akan terus dieksploitasi kerana manusia memang menganggap diri mereka lebih baik dan bijak daripada alam. Jadi, bencana alam akan terus berlaku kerana kegagalan manusia untuk menguruskan sumber alamnya dengan baik.

Sudah pasti langkah yang paling penting dilakukan ialah kerajaan mengetatkan peraturan berkaitan dengan alam sekitar dengan lebih baik. Hukuman yang berat harus dikenakan kepada pesalah-pesalah alam sekitar supaya perkara ini menjadi pengajaran kepada orang lain. Kerajaan harus menjalankan satu usaha pemeriksaan yang holistik tanpa mengecualikan sesiapa jua dalam pemeriksaan ini. Jika kerajaan tegas dalam hal ini, sudah pasti masalah ini mampu diselesaikan dengan mudah.

Malahan, kempen kesedaran terutama kepada generasi muda harus dilaksanakan. Kempen yang dijalankan itu haruslah sesuai dengan minat dan diri remaja kerana merekalah yang bakal menghuni negara ini serta mampu menyelesaikan masalah ini. Kempen yang dijalankan secara terancang mampu menghasilkan satu generasi masyarakat yang menghargai alamnya lebih baik daripada generasi terdahulu. Jelaslah, kempen yang berkesan mampu menangani isu ini dengan lebih baik.

Kesimpulannya, bencana alam akan terus berlaku di negara kita. Sikap masyarakat yang sambil lewa kerana menganggap alam bukan tanggung jawab mereka telah menyebabkan masalah ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan. Mungkin kita semua lupa bahawa setiap kali bencana alam melanda negara ini setiap kali itulah ada nyawa manusia yang melayang. Agaknya kita menilai nyawa manusia sama seperti alam?

Tuesday, May 05, 2009

E-Buku Fakta Isi Karangan 2009 Sudah Siap


Pelajar semua

Berdasarkan sambutan yang baik dan komen pelajar terhadap E-Buku Karangan 2009, saya sudah menyiapkan satu lagi e-buku yang berkualiti. Semua fakta yang ada merupakan komen pelajar-pelajar saya dan dijadikan sebuah buku yang lengkap.

Seperti biasa semua e-buku saya berharga RM10 sahaja. Ya, murah tetapi berkualiti kerana konsep pendidikan saya ialah semua pelajar berhak mendapat peluang untuk menjadi seorang pelajar yang baik dengan memiliki e-buku saya.

Kali ini bahan dalam e-buku ini melibatkan semua isi-isi yang kemungkinan boleh digunakan untuk semua tajuk atau skop karangan. Memiliki E-Buku Fakta Isi Karangan 2009 ini boleh memudahkan anda untuk menjawab soalan-soalan karangan yang anda rasa sukar.

Semua isi ini disusun dalam bentuk yang mudah untuk dirujuk pantas.

Sesiapa yang berminat sila emel kepada saya: azmanukm@gmail.com atau azmanukm@tm.net.my

Berminat dengan pakej-pakej pendidikan saya? Sila layari blog: karanganbagus.blogspot.com untuk maklumat terkini.

Saturday, May 02, 2009

Karangan Memodenkan Sistem Pengangkutan Awam Negara


Karangan 25

Sistem rangkaian pengangkutan awam di negara ini cuba disatukan tetapi usaha itu masih di peringkat awal untuk menilai kejayaannya.

Terangkan kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam di negara ini.


Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT) dan monorel. Memang sudah ada banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan agak lama ini.

Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah harganya yang mahal. Kadar tambang terutama teksi dan LRT dianggap oleh masyarakat sebagai agak mahal untuk mereka gunakan dengan kerap sistem pengangkutan itu. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh seperti mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan LRT.

Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan sistem pengangkutan awam yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutama bas tidak boleh diharap terutama jadual perjalanannya yang menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah penjagaan bas, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori ini kerana penyelenggaraan yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja menyampah melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadualnya tetapi juga kegagalan mereka untuk menjaga tahap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam mereka.

Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya antara monorel dengan LRT atau antara bas dengan monorel. Keadaan ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus dihasilkan oleh kerajaan dengan segera sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.

Malah, pengangkutan awam turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara. Sesungguhnya, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan.

Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam ini memang banyak dan sudah lama serta masih gagal diselesaikan. Situasi ini berlaku kerana kurangnya kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menanganinya. Ketika masyarakat semakin gusar dengan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, kerajaan pula terus berdiam diri dan hanya bertindak apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam kemelut ini.