Perlu latihan?

Perlu latihan?

Thursday, April 30, 2009

Cara Mendapatkan Bahan Dalam Blog Saya


Salam Pelajar

Saya dapati banyak pelajar menghantar emel bertanyakan sesuatu topik karangan. Secara amnya hampir semua skop utama peperiksaan karangan sudah ada di dalam blog saya cuma mungkin pelajar tidak tahu mendapatkannya.

Jadi, begini caranya. Jika anda hendak mendapatkan karangan pencemaran, anda masukkan perkataan utama seperti KARANGAN PENCEMARAN CIKGU AZMAN dalam engine search anda seperti goggle. Kemudian enter dan anda akan diberi pilihan beberapa contoh. Anda hanya click kepada halaman yang anda mahukan itu sahaja. Kalau anda mahukan KARANGAN PERMAINAN TRADISIONAL, anda hanya perlu menaip KARANGAN PERMAINAN TRADISIONAL CIKGU AZMAN DAN ENTER.

Nasihat saya kedua ialah semua bahan karangan ini perlukan dinyatakan sumbernya yakni anda mendapatkannya daripada blog saya sebab saya dapati banyak bahan saya digunakan tanpa memberitahu sumber bahan tersebut. Saya tiada masalah tetapi menganggap ini persoalan etika seseorang menggunakan bahan orang lain. Anda hanya perlu menulis di bahawa bawah blog anda bahawa bahan ini diperoleh daripada blog saya. Itu sahaja.

Ketiga, saya nasihat pelajar agar tidak mengambil karangan saya bulat-bulat sebaliknya cuma memahami isi dan cara penghuraian dan anda membuat karangan anda sendiri berdasarkan pemahaman anda terhadap karangan di dalam blog saya. Blog ini bertujuan untuk memudahkan pelajar memahami erti penulisan dan bukannya mendidik pelajar untuk menggunakan jalan mudah membuat salinan sahaja.

Jika anda memerlukan karangan-karangan dan bahan pendidikan lain yang lebih mantap, saya ada menyediakan pelbagai pakej yang menarik untuk anda. Begitu juga jika anda menghadapi masalah sebarang masalah penulisan sila emel kepada saya berdasarkan emel yang ada di dalam blog ini.

Baiklah, selamat melayari blog ini.

Tuesday, April 28, 2009

Menulis kemahiran masa depan pelajar


Kenapa pelajar perlu mahir menulis?

Hampir semua kertas peperiksaan di negara ini memerlukan pelajar menjawab dalam bentuk tulisan dan ada juga yang memerlukan jawapan yang panjang lebar dalam bentuk ayat. Keadaan ini menyebabkan seseorang pelajar yang tidak memiliki kemahiran menulis yang baik sering menghadapi masalah untuk menjawab soalan bukan kerana diri mereka tidak bijak tetapi mereka tidak memiliki kemahiran untuk meluahkan kebijaksanaan mereka itu dalam bentuk tulisan.

Lantaran itu, pelajar yang mampu menjawab soalan dengan baik dalam peperiksaan ialah pelajar yang memiliki kemahiran menulis yang tinggi kerana selain mampu memberikan data-data yang tepat, pelajar sebegini juga berupaya menyusun jawapannya dalam bentuk yang begitu mudah, teratur dan meyakinkan pemeriksa bahawa pelajar terbabit sememangnya bijak dalam sesuatu subjek pelajaran tersebut.

Jadi, tanpa pelajar semua sedari mahu tidak mahu, minat atau tiada minat, penulisan merupakan satu latihan yang harus dibuat oleh pelajar setiap hari. Malah tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa latihan menulislah yang lebih penting daripada semua latihan yang ada dalam hidup pelajar terutama apabila pelajar bakal memasuki alam kerjaya. Semua laporan kerja terutama pembentangan projek, laporan kewangan dan rancangan pembangunan produk perlu dibentangkan juga dalam bentuk penulisan. Mereka yang mahir dalam menulis sudah pasti akan mempunyai masa depan kerjaya yang lebih baik. Oleh itu, mahirkan diri pelajar dengan menulis dan menulis.

Jadi, menulis merupakan satu keperluan terpenting pelajar.

Thursday, April 23, 2009

Karangan SPM 2009 Ternakan Ikan Air Tawar


Karangan 24

Penternakan ikan air tawar mula mendapat perhatian terutama masyarakat desa. Kejayaan demi kejayaan yang dipamerkan oleh pihak media massa telah memberi satu dimensi baru terhadap industri ini.

Apakah masalah-masalah yang dihadapi oleh penternak ikan air tawar.


Penternakan ikan air tawar merujuk ikan yang dibela di kawasan sungai dengan menggunakan kolam-kolam khas. Industri ini sudah mendapat perhatian masyarakat terutama penduduk kampung kerana mampu menghasilkan pulangan yang lumayan kepada mereka. Namun, industri ini turut memiliki pelbagai masalah yang memerlukan kerjasama semua pihak untuk menanganinya.

Secara amnya, masyarakat kita masih menganggap ikan air tawar bukanlah satu sumber daging yang utama. Masyarakat kita masih melihat daging lembu dan ikan laut lebih sesuai dengan cita rasa mereka. Keadaan ini menyebabkan permintaan ikan air tawar masih rendah jika dibandingkan dengan jenis-jenis daging yang lain. Kurangnya minat masyarakat menyebabkan industri ini masih kecil dan mempunyai ruang untuk berkembang. Jadi, masyarakat masih menunggu dan melihat kebaikan yang mampu diberikan oleh ikan air tawar kepada mereka.

Kemelut di atas sering dikaitkan dengan kegagalan kempen ikan air tawar. Masyarakat masih keliru dan tidak memahami zat yang mampu diberikan oleh ikan air tawar kerana tiadanya kempen yang dijalankan terutama oleh pihak kerajaan melelaui Kementerian Pertanian. Ketiadaan maklumat dan penerangan menyebabkan permintaan ikan air tawar masih gagal untuk bersaing dengan daging-daging yang lain. Ironinya, pengusaha ikan air tawar yang terpaksa mencari sendiri pasaran untuk mereka terutama di luar negara berbanding di dalam negara sendiri.

Malah, kesukaran untuk memulakan projek ternakan ikan air tawar turut menghantui pengusaha industri ini. Mereka terpaksa menunggu masa yang lama untuk menukarkan tanah mereka menjadi kolam kerana ikan air tawar yang agak sensitif dengan keadaan tanah dan air kolam. Semua ini memerlukan penggunaan bahan kimia yang agak mahal dan sudah pasti kos permulaan yang tinggi diperlukan untuk membuka sebuah kolam ikan sahaja. Oleh itu, pihak kerajaan melalui bank-bank tertentu haruslah lebih terbuka untuk menerima kertas cadangan pengusaha ikan air tawar ini untuk meringankan beban mereka.

Selain itu, ikan air tawar mempunyai masalah imej iaitu ikan ini dikatakan berbau hanyir. Keadaan ini telah menyebabkan ramai yang tidak suka menjamah atau menjadikan ikan ini sebagai satu daripada masakan mereka di rumah. Walaupun bau hanyir ini boleh dihilangkan dengan beberapa teknik masakan dan siangan yang tertentu tetapi masyarakat masih enggan memakannya. Jadi, imej yang tidak baik inilah yang harus dikikis oleh pengusaha ternakan ikan air tawar dengan segera.

Kesimpulannya, kemelut yang melanda industri penternakan ikan air tawar ini memerlukan kerjasama dan tindakan yang drastik. Kerajaan perlulah bertindak awal dengan memberikan pelbagai insentif kepada pengusaha industri ini seperti memudahkan urusan penukaran jenis tanah untuk ternakan ikan air tawar. Pengusaha pula harus lebih positif dengan berusaha sendiri mencari pasaran-pasaran baru atau teknik masakan terbaru untuk menarik minat masyarakat memakan ikan air tawar. Mungkin satu pameran mengenai ikan air tawar harus dilakukan oleh kerajaan?

Tuesday, April 21, 2009

Novel Remaja "Sindiket Wang Palsu" Bakal Terbit...


Buku novel remaja ini memang menarik terutama buat pelajar yang suka membaca cerita-cerita berunsur penyiasatan. Kisah tiga sahabat yang terserempak dengan sekumpulan penjenayah telah menyebabkan sahabat-sahabat ini memahami erti persahabatan dan kebenaran dalam hidup mereka.

Jalan cerita yang begitu pantas dan mudah difahami menyebabkan novel ini seronok untuk dibaca oleh pelajar terutama mereka yang berada dalam peringkat umur antara 10-14 tahun. Novel ini juga mempunyai banyak unsur pengajaran dan nilai murni yang mampu mendidik pelajar untuk menjadi insan yang lebih baik.

Sesiapa yang berminat untuk memiliki buku ini, sila hubungi emel:

zafreena1984@yahoo.com>

atau layari:

zafreena-publications.blogspot.com

p/s: Ulasan novel ini akan diberikan dalam sedikit masa lagi.

Friday, April 17, 2009

Karangan SPM Tentang Peranan Media Massa?


Karangan 23

Negara kita memiliki banyak rangkaian media cetak. Akhbar, majalah dan jurnal dikatakan menjadi sasaran utama rakyat negara ini yang memang ketandusan maklumat.

Pada pendapat anda, apakah peranan-peranan yang mampu dimainkan oleh media cetak di negara ini.


Media cetak sering dikaitkan dengan akhbar, majalah dan jurnal di negara ini. Negara kita pula memang boleh dianggap mempunyai penerbitan media cetak yang semakin meningkat saban tahun walaupun jumlah itu boleh ditingkatkan dengan lebih drastik dalam tempoh mendatang ini kerana sikap masyarakat yang suka membawa dan mencari informasi sudah mula kelihatan. Jadi, media cetak di negara ini memiliki peranan-peranan besar yang mampu membentuk satu masyarakat negara yang berkualiti mindanya.

Sumbangan utama media cetak di negara ini ialah media cetak menjadi sumber maklumat kepada masyarakat kita. Saban hari media cetak menyiarkan pelbagai perkara yang berlaku di negara ini dan semua berita atau maklumat ini menjadikan masyarakat kita mengetahui semua perkara yang berlaku, sedang, dan bakal terjadi di negara ini. Sikap berlumba-lumba media cetak untuk mendapatkan maklumat terkini turut menyebabkan masyarakat sering mendapat maklumat lebih awal mengenai sesuatu perkara.

Selain itu, kelebihan media cetak ialah media ini mampu menghasilkan analisis berita yang lebih kritis berbanding media yang lain. Situasi ini wujud kerana ciri media cetak yang berlandaskan penulisan mampu menghasilkan satu penulisan kritis yang menyebabkan pembaca mampu melihat sesuatu peristiwa yang berlaku itu dengan lebih mendalam. Media cetak mengupas semua isu yang berlaku daripada pelbagai sudut sehingga menyebabkan fenomena yang berlaku itu difahami oleh amsyarakat. Jelaslah, media cetak mampu menghasilkan satu generasi masyarakat yang memiliki minda yang kritis apabila membicarakan sesuatu topik.

Malahan, media cetak turut menyiarkan cerita-cerita yang mampu dijadikan pengajaran. Berita-berita jenayah, isu keluarga, projek pembangunan dan kejayaan individu tertentu sudah pasti menjadi tatapan masyarakat kita. Pembacaan mereka terhadap berita-berita jenis ini memberi satu pengajaran secara tersirat kepada pembaca yang seterusnya menyebabkan berlakunya satu perubahan diri dan minda mereka terhadap perkara tersebut. Oleh itu, pembacaan bahan media cetak memberikan pembaca satu pengajaran yang mampu membawa kebaikan.

Tambahan pula, media cetak mampu menyiarkan bahan-bahan yang boleh menolong kehidupan seseorang. Iklan mengenai peluang kerjaya, pengumuman sesuatu peristiwa dan peluang perniagaan dapat membantu kehidupan seseorang. Masyarakat kita masih menggunakan media cetak untuk mendapatkan kerja berbanding dengan sumber-sumber lain. Jadi, media cetak bukan sahaja memberi maklumat tetapi menyiarkan bahan-bahan yang boleh membantu kehidupan seseorang itu.

Secara tuntasnya, media cetak di negara ini memang mempunyai peranan yang penting dalam memastikan negara terus mampu bersaing dalam era yang penuh persaingan ini. Ruang untuk media cetak berkembang turut wujud kerana media cetak dianggap lebih murah berbanding jenis media yang lain. Cuma ada sedikit kebimbangan dengan kewujudan bahan media cetak yang lebih mengutamakan isu-isu gosip atau sensasi daripada berita-berita yang benar-benar berlaku di negara ini.

Tuesday, April 14, 2009

Perlukan bahan Sajak Anak Laut dan Kerusi?

Pelajar semua

Sesiapa berminat tentang pakej sajak Antologi Anak Laut dan Kerusi, sila layari

karanganbagus.blogspot.com

Sunday, April 12, 2009

Karangan aktiviti muzikal mampu merangsangkan minda pelajar?


Karangan 22

Rancangan muzikal di media massa sering dikatakan tidak membawa makna. Namun, rancangan sebegitulah yang mendapat sambutan masyarakat.

Huraikan kebaikan-kebaikan dan keburukan yang tercetus daripada muzik di negara ini.


Muzik dan masyarakat tidak dapat dipisahkan kerana muzik pada masyarakat menjadi tempat mereka meluahkan perasaan dan tenaga mereka terutama dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran ini. Keadaan ini menyebabkan rancangan muzikal telah mendapat sambutan hangat masyarakat terutama remaja. Sesungguhnya, muzik mempunyai pelbagai natijah yang mampu mengubah kehidupan sesebuah negara itu.

Sekali pandang pandang muzik memang membawa kebaikan. Muzik mampu memberi ketenangan jiwa kepada seseorang kerana apabila mendengar muzik, jiwa seseorang akan tenteram terutama mendengar muzik kegemarannya. Irama muzik yang mendayu-dayu menyebabkan jiwa seseorang yang suka memberontak akan kembali menjadi tenang dan gembira. Sesungguhnya, muzik membawa ketenangan jiwa yang meningkatkan lagi kekuatan minda dan fizikal seseorang itu.

Malah, muzik mampu memberi imej baru atau memperkaya muzik tradisional sesebuah negara itu. Keadaan ini mampu diwujudkan kerana muzik tradisional dianggap tidak bersesuaian dengan keperluan alaf globalisasi yang mengutamakan muzik rancak sahaja. Rancangan muzik yang disiarkan oleh media tempatan mampu mengorak langkah untuk menyebarkan pengaruh muzik tradisional terutama dalam kalangan remaja. Jadi, muzik memang mampu meninggikan imej muzik tradisional kita.

Bukan sahaja imej muzik tradisional mampu ditingkatkan tetapi imej negara pada mata masyarakat antarabangsa turut meningkat. Muzik sering dikaitkan dengan tahap kemodenan sesebuah masyarakat dan neagra itu mengikut piawaian antarabangsa. Semakin tinggi minat masyarakatnya terhadap muzik semakin modenlah sesebuah negara itu. Contohnya, masyarakat negara moden seperti Jerman dan Sweden sering menyaksikan pelbagai konsert muzik yang diadakan tanpa mengira muzik itu tradisonal atau moden.

Selain itu, muzik turut mampu memberikan satu kerjaya yang baik terutama kepada remaja. Keadaan ini berlaku kerana bidang muzik di negara ini masih belum diteroka dengan seluasnya. Permintaan sebagai ahli muzik masih tinggi dan persaingannya tidak begitu sengit berbanding dengan negara-negara maju yang lain. Dalam masa yang sama negara mula menganggap keperluan muzik menjadi penting dengan pelbagai konsert muzik diadakan setiap tahun di negara ini. Maka, semakin ramailah pemuzik yang diperlukan oleh negara dalam tempoh mendatang ini terutama muzik orkestra.

Keburukan yang ketara daripada muzik ialah aktiviti ini menyebabkan remaja terutamanya mudah terjebak dengan pergaulan yang bebas. Keadaan ini menyebabkan berlakunya gejala sosial yang mendapat perhatian masyarakat seperti isu pembuangan bayi dan penyalahgunaan dadah. Suasana dan tempat muzik sering menimbulkan masalah kepada remaja terutama aksi muzik barat moden yang dianggap terlalu menyimpang daripada budaya tempatan. Oleh itu, muzik turut membawa remaja kita terpesong sahsiahnya.

Kesimpulannya, muzik bukanlah sesuatu yang hanya membawa kebaikan tetapi juga impak negatif yang tersendiri. Setiap individu haruslah menilai dan melihat muzik itu daripada keperluan peribadi mereka untuk memastikan bidang muzik ini membawa impak positif. Peribahasa melayu ‘tepuk dada, tanya selera’ membuktikan bahawa buatlah sesuatu mengikuti keperluan dan kehendak seseorang terutama yang memberi kebaikan sejati.

Monday, April 06, 2009

Semangat kebangsaan penting buat remaja...cara pupuk dan kepentingannya


Karangan 21

Semangat kebangsaan dalam kalangan remaja semakin menipis. Keadaan ini sering dikaitkan dengan perubahan kehidupan masyarakat kita.

Nyatakan usaha-usaha untuk memupuk dan kepentingan memiliki semangat ini kepada remaja.


Semangat kebangsaan merujuk sikap cinta akan negara atau nasionalisme yang mendalam terhadap negara yang tercinta. Sememangnya semangat nasionalisme ini semakin berkurangan terutama dalam kalangan generasi muda kita lantaran corak kehidupan yang semakin berubah selari dengan perubahan zaman. Maka, banyak tindakan yang mampu dilaksanakan untuk memastikan sikap ini terus wujud kerana sikap ini memiliki kesan yang positif.

Tindakan yang pertama ialah subjek sejarah yang diajar di sekolah dilaksanakan secara meluas. Pelajaran sejarah penting ditekankan kerana subjek ini mampu memberi rasa cinta yang meluas dalam diri remaja. Pemahaman tentang sejarah ini menyedarkan remaja mengenai kepentingan memiliki sikap menyintai negara yang mendalam. Jadi, langkah menjadikan subjek sejarah ini mampu menyuntik sikap nasionalisme dalam diri masyarakat terutamanya remaja.

Selain itu, kerajaan boleh menonjolkan pejuang-pejuang negara yang sanggup berkorban demi kedaulatan negara ketika hari Kebangsaan. Penonjolan ini boleh dilakukan melalui penggunaan media massa dengan menyiarkan maklumat diri pejuang-pejuang tersebut beserta kepentingan tindakan mereka dalam menentukan hala tuju kemerdekaan negara pada masa lampau. Langkah ini mampu meningkatkan pemahaman remaja tentang sebab musabab yang membawa kepada pejuang negara itu melakukan sesuatu tindakan yang dipelajari dalam subjek sejarah. Ringkasnya, langkah mempamerkan informasi tentang pejuang-pejuang negara ini mampu meningkatkan semangat remaja untuk meniru semangat yang telah dipamerkan oleh pejuang-pejuang bangsa itu sebelum ini.

Malah, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan boleh menjalankan satu pertandingan yang melibatkan remaja seperti deklamasi sajak, menulis esei, dan pementasan drama yang bertemakan semangat kebangsaan. Aktiviti ini dapat memastikan remaja menyelami dan memahami peristiwa yang dialami oleh pejuang-pejuang negara secara lebih mendalam lagi. Pertandingan yang berunsur sastera ini dapat mendekatkan remaja dengan pejuang-pejuang negara yang sudah lama meninggalkan negara ini. Maka, aktiviti berunsur pertandingan sastera ini memberi satu dimensi baru kepada remaja untuk mencintai negara mereka.

Kerajaan boleh menonjolkan kejayaan negara dalam semua aspek kehidupan masyarakat. Kejayaan ini mungkin diperoleh melalui kejayaan melangsungkan kejohanan sukan, memenangi sesuatu anugerah, dan pencapaian luar biasa rakyat kita dalam sesuatu perkara. Kejayaan rakyat kita mendaki Gunung Everest dan penghasilan kereta nasional mampu meningkatkan sikap cinta akan negara ini selain kemampuan negara dalam menganjurkan Sukan Komanwel suatu masa dahulu. Perkara ini penting ditekankan supaya remaja mempunyai sesuatu perkara yang boleh mereka banggakan dan kaitkan dengan negara apabila berbicara tentang negara sendiri. Sesungguhnya, semua kejayaan negara memberikan satu motivasi yang tinggi kepada remaja untuk turut mencapai kejayaan yang serupa atau menghasilkan kejayaan yang lebih baik lagi.

Sebenarnya, kepentingan utama memiliki semangat cinta akan negara ialah rakyat di negara ini mampu mengukuhkan perpaduan antara mereka. Semua pihak menyedari bahawa perpaduanlah yang menjamin kejayaan mereka di Malaysia ini. Semua memahami bahawa sikap mementingkan negara menyelamatkan negara daripada kancah pergaduhan antara kaum. Jelaslah, semangat cinta akan negara membentuk masyarakat kita menghargai perpaduan dan berfikiran matang.

Kesimpulannya, pemupukan semangat kebangsaan memang menjadi perkara penting dalam pembangunan negara sejak dahulu. Pemupukan ini penting supaya remaja tidak lupa akan perjuangan yang sudah dilakukan oleh generasi terdahulu dan membiarkan pengorbanan mereka menjadi sia-sia belaka. Mungkin remaja sekarang harus merenung dan bertanya kepada diri sendiri, “apa yang mampu mereka sumbangkan kepada negara” dan bukannya “apa yang mampu diberikan oleh negara kepada mereka”.