Perlu latihan?

Perlu latihan?

Monday, March 30, 2009

Kejadian Buli Satu Fenomena Sosial


Karangan 20

Buli semakin berleluasa di sekolah kita. Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin gusar.

Huraikan punca-punca tercetusnya masalah ini dan langkah-langkah untuk menanganinya.


Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.

Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.

Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan.

Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.

Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain.

Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini.Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini.

Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti-buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.

Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya.

Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.

Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di sekolah.

Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.

Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi.

Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.

Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’.

Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama.

Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.

Wednesday, March 25, 2009

Perlukan contoh karangan dan latihan menulis?

Sesiapa yang berminat sila layari blog ini:

karanganbagus.blogspot.com

untuk maklumat lanjut.

Terima kasih.

Tuesday, March 24, 2009

Karangan Disiplin Pelajar Selalu Keluar...Langkah dan Punca


Karangan 19

Masalah disiplin pelajar semakin meruncing. Masyarakat semakin kecewa dengan kegagalan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar.

Jelaskan punca-punca dan langkah mengatasinya.


Masalah disiplin boleh dikaitkan dengan kegagalan pelajar di sekolah untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Isu ini menjadi perbualan hangat masyarakat lantaran kegagalan golongan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar. Jadi, apakah faktor yang mendorong masalah ini berlaku dan apakah peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan kerajaan?

Masalah ini semakin meruncing ekoran kurangnya kasih sayang dan perhatian ibu bapa era globalisasi ini. Ibu bapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa tanggungjawab mereka mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Akibatnya, pelajar terbabit mencari jalan keluar dengan melakukan tindakan-tindakan disiplin yang bertujuan untuk menarik perhatian ibubapa mereka. Sesungguhnya, kelalaian ibubapalah yang menyebabkan masalah disiplin menjadi-jadi.

Sementara itu kemunculan media massa turut mendorong masalah ini memuncak dengan drastik. Kelakuan yang tidak senonoh yang mereka saksikan telah menimbulkan rasa untuk mencuba pula dalam hati pelajar. Kebanyakan masalah disiplin dikatakan satu cubaan meniru kelakuan yang telah mereka tonton sebelum ini. Jadi, disiplin mempunyai kaitan rapat dengan kejadian disiplin pelajar yang terus merosot itu.

Rakan sebaya turut menjadi punca masalah disiplin pelajar menjadi-jadi. Pelajar sering menganggap rakan sebaya mereka sebagai rakan yang sebenar. Rakan yang mendengar dan sanggup berkorban untuk mereka berbanding ibubapa yang gagal menjalankan tanggung jawab mereka. Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan memastikan disiplin pelajar itu akan turut merosot dengan drastiknya.

Tambahan pula, kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin sekolah mereka kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan ada pelajar yang beranggapan tindakan mereka melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tak acuh sekolah yang turut kekurangan guru disiplin ini menyebakan pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin. Oleh itu, cara pihak sekolah menangani masalah disiplin turut menentukan peningkatan masalah disiplin pelajar.

Malah, ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai dengan pelajar turut menjadi punca masalah ini terus berleluasa. Program yang menarik dapat menghalang pelajar menghabiskan masa mereka di pusat-pusat beli-belah dan terjemurus ke dalam aktiviti menyalahi disiplin. Masa yang mereka habiskan untuk menjalankan aktiviti ini menyebabkan mereka lebih berdisiplin.

Kemelut ini mudah dibendung jika ibu bapa terlebih dahulu sanggup menngorbankan masa mereka. Ibu bapa hendaklah mengutamakan masa depan anak mereka daripada kejayaan peribadi mereka dalam kerjaya. Ibu bapa harus memberi ruang kepada anak untuk menjadi manusia yang berhemah tinggi. Ringkasnya, ibubapa penting dalam membanteras isu disiplin ini.

Kesimpulannya, kemelut disiplin ini sudah lama diperkatakan oleh masyarakat. Saban hari kita disogokkan dengan pelbagai cadangan yang tinggal cadangan sahaja. Mungkin kali ini kita perlu bertegas dan berpijak di bumi nyata.

Monday, March 23, 2009

E-Buku Analisa Bab Demi Bab Novel Bukit Kepong Sudah Terbit...


E-buku analisas bab demi bab ini mampu memudahkan pemahaman pelajar untuk memahami keseluruhan jalan cerita dalam novel tingkatan 4 ini.

E-buku ini disusun mengikut bab untuk memudahkan pemahaman pelajar. Setiap bab diberi penekanan bahagian penting yang boleh dijadikan bukti dalam hujah penulisan pelajar. Cara penerangan yang begitu mudah pasti membolehkan pelajar faham akan setiap bab novel ini dengan mudah sahaja.

E-buku ini turut menerangkan konsep watak, perwatakan, plot dan semua yang berkaitan dengan keperluan pemahaman novel. Dalam masa yang sama, ada beberapa soalan asas tentang novel ini yang turut diterangkan dengan jelas.

Sesiapa yang berminat sila hubungi saya menerusi emel:

azmanukm@tm.net.my

atau

azmanukm@gmail.com

Thursday, March 19, 2009

Cuba layari blog ini juga...

Semua pelajar...

Untuk makluman anda, ada banyak blog BM lain yang saya rasa perlu anda layari. Antaranya:

1) cikgutancl.blogspot.com
2) galusbm.blogspot.com
3) bmmaya.blogspot.com

Semua blog ini berbicara tentang BM.

Layari ok.

Wednesday, March 18, 2009

Karangan Semangat Kejiranan Terhakis Dalam Masyarakat Kita?


Karangan 18

Semangat kejiranan sudah longgar dalam masyarakat kita kalau kita lihat sejak akhi-akhir ini. Keadaan ini menimbulkan pelbagai spekulasi kepentingan semangat ini diamalkan.
Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah untuk meningkatkan semangat ini dan kepentingannya.


Semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran bersebelahan dalam kehidupan seharian mereka. Sememangnya semangat kejiranan ini semakin hilang dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan pelbagai isu semasa pula. Jadi, ada banyak kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan semangat ini berterusan kerana memang ada kepentingannya.

Langkah awal ialah masyarakat menghidupkan semua konsep rukun tetangga di kawasan perumahan mereka. Rukun tetangga berfungsi untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama. Oleh itu, hubungan rapat yang terjalin melalui rukun tetangga ini mengeratkan lagi perhubungan antara jiran.

Selain itu, semangat ini mampu dipupuk dengan mengadakan pelbagai majlis yang bercorak setempat. Majlis perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga mampu menghidupkan semula semangat yang murni ini. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis seperti ini. Sesungguhnya, semangat kejiranan berupaya tumbuh dengan subur berdasarkan majlis sebegini.

Kerajaan turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan kempen kesedaran semangat kejiranan ini. Penggunaan media massa seluas mungkin dengan iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Masyarakat akan mula mempersoal tahap semangat kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di kawasan mereka. Sememangnya kerajaan berperanan penting dalam memulakan usaha memupuk semangat mulia ini.

Dalam masa yang sama sikap dan persepsi masyarakat perlu berubah. Masyarakat hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat ini perlulah diutamakan dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh masyarakat. Jelaslah, paradigma yang baru ini memastikan semangat kejiranan akan terus mekar dalam masyarakat kita.

Kepentingan semangat ini sudah pasti dalam mewujudkan semangat perpaduan. Dalam masyarakat berbilang kaum yang wujud di negara ini pemupukan konsep perpaduan amat strategik. sesuatu masyarakat sesebuah negara itu terbentuk daripada individu yang saling berjiran sebelum berkembang menjadi satu umah. Oleh itu, semangat kejiranan menjadi titik tolak pembentukan konsep perpaduan nasional.

Kesimpulannya, semangat kejiranan memang boleh dicapai melalui beberapa kaedah yang dijelaskan tadi. Semua pihak perlulah berusaha untuk memastikan semangat ini terus diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Mungkin kita semua harus bertanya diri sendiri "siapakah jiran kita?

Friday, March 13, 2009

Keputusan STPM dan SPM...hadapi dengan kematangan


Hai pelajar semua,

Mungkin ketika saya menulis ini ada pelajar saya yang sedang menangis kerana mungkin keputusannya tidak mengikut ramalan atau kehendak mereka. Jutaan maaf saya berikan jika keadaan itu berlaku namun sebagai guru dan orang yang lebih tua nasihat saya ialah anda semua harus melihat keputusan SPM atau STPM ini daripada sudut yang lebih besar. Buat pelajar yang berjaya sekalung tahniah saya hulurkan.

Ya, memang cakap mudah tetapi mengalaminya susah. Saya faham dan sudah sedia menerima pandangan sebegini setiap kali nasihat saya diberikan kepada pelajar. Cuma sama ada pelajar mahu sedar atau tidak keputusan sudah diketahui dan sebagai manusia yang sedang memasuki alam dewasa, saya yakin pelajar harus melihat keputusan itu dengan penuh kematangan. Hidup bukan setakat keputusan SPM atau STPM sahaja.

Sebarang keputusan yang diterima harus dibincangkan dengan ibu bapa dan keluarga atau mungkin guru-guru yang pelajar semua kenali. Perbincangan inilah yang bakal menentukan masa depan pelajar semua kerana menerusi diskusi seperti inilah pelajar akan memahami keperluan yang harus dilakukan untuk masa depan yang gemilang. Pendapat demi pendapat yang diberikan sudah pasti ada baik dan buruknya tetapi pelajar berhak mengetahui semua ini sebelum membuat keputusan terbaik bagi diri mereka.

Perbincangan bersemuka begini memudahkan pelajar untuk membuat pilihan terutama untuk meneruskan pelajaran di mana, kursus apa dan bagaimana cara untuk mendapatkan peruntukan kewangan. Luahan emosi yang jujur membolehkan ibu bapa memahami pelajar dan menunjuk jalan yang tepat arah yang bakal diambil oleh pelajar daripada memarahi pelajar kerana gagal memperoleh keputusan A yang lebih banyak.


Hendak meneruskan pelajaran atau memasuki alam kerja merupakan antara dilema yang bakal di hadapi oleh pelajar nanti. Semua ini memberikan kematangan kepada pelajar baru kehidupan mereka baru sahaja bermula dan permulaan yang baik harus dilakukan dengan ketara. Sekali lagi saya akui bukan mudah untuk membuat keputusan ketika ini tetapi inilah peluang untuk pelajar buktikan bahawa anda semua sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai manusia yang dewasa.

Jumpa ibu bapa dan bincang dengan mereka. Temui guru-guru anda dan luahkan harapan anda. Berbual dengan kawan-kawan untuk memahami diri anda. Keputusan SPM bukan setakat menangis atau gembira sahaja tetapi keputusan SPM merupakan langkah awal pelajar untuk berjaya dalam hidup.

Dan saya yakin dengan anda semua.

Karangan kebaikan dan keburukan membaca novel...remaja suka baca?


Karangan 17

Novel sudah menjadi satu perkara penting dalam kehidupan remaja. Biasanya remaja suka membaca novel yang berunsur cinta.

Jelaskan kebaikan-kebaikan dan keburukan membaca novel.


Novel merujuk bentuk penulisan yang panjang dan memaparkan pelbagai ragam kehidupan manusia. Novel memang menjadi aspek penting dalam kehidupan remaja terutama novel berunsur cinta yang mengasyikkan jiwa remaja. Cuma membaca novel mampu membawa impak positif dan negatif yang harus diberi perhatian oleh semua pihak.

Aktiviti membaca sudah pasti membuka minda remaja terhadap sesuatu isu yang dipaparkan dalam novel yang dibaca.Tema yang digarap oleh penulis itu sememangnya berkaitan dengan isu semasa realiti dan ini memberi satu bentuk pemahaman yang mudah kepada remaja. Novel menjadi isu semasa itu sesuatu yang mudah difahami tetapi dibentangkan dalam bentuk cerita yang lebih bersesuaian dengan diri remaja. Oleh itu, semakin banyak novel yang dibaca semakin luaslah minda remaja.

Amalan membaca novel ini turut menjadikan seseorang itu lebih memahami konsep sastera dengan lebih yakin. Penggunaan bahasa yang diksi oleh penulis sudah pasti akan memberi satu rangsangan kepada pembacanya. Kesantunan bahasa yang digunakan mencungkil naluri pembaca untuk mengetahui maksud perkataan yang dipilih oleh penulis novel itu. Sudah pasti tindakan ini akan memastikan pembaca mempunyai koleksi kosa kata yang banyak.

Malah, aktiviti membaca novel membolehkan seseorang itu menghabiskan masa senggangnya dengan lebih berfaedah. Pembacaan novel memerlukan seseorang itu menumpukan perhatian yang jitu untuk satu masa yang panjang. Biasanya sehari atau mungkin beberapa hari diperlukan untuk menghabiskan sesebuah novel itu. Jadi, membaca novel menyebabkan masa remaja dihabiskan dengan baik tanpa melibatkan kegiatan yang tidak baik.

Namun, pembacaan genre sastera ini turut membawa kesan buruk iaitu mengabaikan tugas sebagai pelajar. Masa yang panjang untuk membaca novel menyebabkan pelajar akan melupakan tanggungjawabnya untuk belajar atau membuat kerja sekolah yang penting itu. Masalah ini semakin kronik apabila remaja itu membaca lebih banyak novel dalam tempoh yang lama. Kesannya, pencapaian pelajar terbabit mungkin akan terus merosot terutama ketika peperiksaan utama umum diambil oleh mereka.

Kesimpulannya, membaca novel memang baik tetapi impak buruknya turut wujud. Seseorang remaja itu perlulah pandai menilai dan memilih jenis novel yang sesuai dengan usia mereka.Pembacaan yang meluas dalam kalangan remaja turut membina satu kelompok remaja negara yang berpengetahuan luas dan memiliki pemikiran yang kritis.

Saturday, March 07, 2009

Karangan Internet Menyebarkan Informasi Masyarakat?


Karangan 16

Internet mampu menyebarkan maklumat dengan meluas dan murah. Namun, menyebar luaskan maklumat melalui internet boleh menjadi ancaman kepada adat, norma, dan nilai masyarakat sesebuah negara.

Ulaskan pernyataan di atas.


Internet merupakan satu penemuan teknologi yang mula mendapat tempat dalam kalangan manusia kini. Malah penggunaan internet sudah dianggap sebagai satu perkara lumrah kehidupan. Mereka yang tidak tahu menggunakan internet dianggap sudah ketinggalan dalam zaman yang penuh cabaran ini. Penggunaan internet telah menyebabkan penyebaran maklumat menjadi lebih meluas dan murah sehingga memberi pelbagai kesan kepada kehidupan manusia.

Penyebaran maklumat secara meluas dan murah telah memberi satu identiti kepada internet iaitu sebagai penyebar berita palsu atau khabar angin. Penggunaan internet dalam soal ini amat ketara terutama oleh golongan yang mahu melihat kemusnahan sesebuah negara. Penyebaran khabar angin amat berkesan melalui internet kerana penggunaannya yang meluas dan mudah terutama di kalangan remaja. Internet juga tidak mempunyai sistem penapisan yang ketara atau berkesan seperti media massa yang lain.

Masyarakat juga sudah taksub dengan penggunaan internet dengan tidak lagi mengamalkan aktiviti kunjung mengunjungi satu sama lain terutama antara jiran atau sahabat. Hubungan “siber” (cyber) lebih meluas sekarang terutama dengan adanya program dalam internet yang memudahkan seseorang itu berbual dengan orang lain tanpa perlu bersemuka dengannya. Interaksi antara jiran bukan sahaja terhapus malah hubungan ini boleh menyebabkan berlakunya penipuan dan perkara yang kurang baik kerana ketiadaan pengenalan diri yang jelas.

Malah yang mengejutkan sekarang ialah sudah wujud budaya mengirim kad melalui internet dan bukan melalui kad yang dipenuhi dengan tulisan tangan seseorang. Budaya menulis dan menghantar kad akan semakin hilang ditelan zaman dan diambil oleh kad elektronik yang lebih canggih dan mengikut peredaran masa. Kemungkinan hilangnya budaya menghantar kad ketika menyambut hari lembaran tidak dapat dinafikan lagi.

Internet merupakan tempat tumpuan manusia mendapatkan bahan yang berunsur lucah. Penggunaan internet dalam aspek ini amat memalukan dan memang bertentangan dengan budaya manusia sejagat. Cuma yang menyedihkan ialah semakin ramai golongan remaja malah kanak-kanak yang melihat bahan lucah ini atau terlibat sama dalam penyebarannya. Penggunaan internet bukan sahaja setakat menyebarkan bahan lucah tetapi penggunaan imej digital internet turut meningkatkan gejala ini dengan menggunakan muka orang lain dan badan orang yang lain pula.

Kerajaan mengawal pembacaan beberapa buah buku dan majalah serta berita di negara ini demi menjaga keamanan negara. Namun dengan adanya internet semua buku, bahan atau berita yang diterbitkan tidak lagi mampu dikawal oleh kerajaan kerana internet tidak mempunyai sempadan dan sukar untuk dikawal. Keadaan ini menyebabkan masyarakat mudah disogok dengan buku dan berita yang tidak tepat atau kurang sesuai dengan peringkat umur mereka sehingga boleh menimbulkan satu keadaan yang mengancam keselamatan negara.

Berkaitan dengan penerbitan buku di atas, internet secara tidak langsung turut melanggar undang-undang harta intelek iaitu penulis buku atau syarikat penerbit buku. Penerbitan buku dalam internet biasanya dibuat tanpa kawalan dan ini boleh menyebabkan kerugian terutama kepada penulis dan penerbit buku tersebut. Keadaan ini jika tidak dikawal akan menyebabkan tiada lagi penulis atau penerbit yang mahu menerbitkan buku mereka untuk tatapan pembaca biasa.

Bukan sahaja buku dan berita yang tidak sihat boleh ditemui dalam internet tetapi penyiaran iklan yang tidak sesuai turut ada di dalam sistem canggih itu. Penyebaran iklan yang tidak sihat atau tidak dikawal oleh pihak berkuasa boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat. Bagaimana perkara atau iklan ini boleh membawa kesan negatif kepada masyarakat? Kita semua sedia maklum bahawa masyarakat terutama remaja suka meniru sesuatu terutama yang mereka nampak atau dengar. Jadi di sinilah peranan iklan yang tidak sesuai di internet berlaku.

Kesimpulannya, masalah penggunaan internet yang tidak sihat ini perlu dikawal oleh kerajaan dengan bersungguh-sungguh. Keengganan kerajaan bertindak tegas dalam persoalan ini boleh membawa kesan buruk kepada negara dalam jangka masa panjang. Masyarakat pula perlu lebih pandai menapis dan memilih bahan dalam internet agar mereka tidak terpedaya dengan golongan tertentu yang cuba menghancurkan keamanan negara kita.

Sunday, March 01, 2009

Karangan Pengangguran Semakin Meruncing ...Karangan Terbaik



Karangan 15

Isu pengangguran telah menjadi satu isu sensitif kepada masyarakat terutama golongan siswazah. Namun, ada banyak pihak yang beranggapan isu ini bukan sahaja melibatkan siswazah tetapi golongan lain juga.

Jadi, apakah punca-punca wujudnya pengangguran dan apakah cara-cara mengatasinya.


Pengangguran merupakan satu penyakit era globalisasi yang semakin menular ke negara ini. Saban tahun negara kita dikejutkan dengan isu kegagalan belia terutama golongan siswazah untuk memperoleh pekerjaan. Malah, berita ini sudah dianggap menjadi satu isu yang akan menjelma setiap kali keputusan peperiksaan umum negara diumumkan atau konvokesyen sesebuah universiti dijalankan. Jadi, apakah punca-punca yang mendorong isu ini berlaku

Sudah pasti punca utama berkaitan dengan keadaan ekonomi negara yang merudum. Situasi ini menyebabkan banyak syarikat atu kilang terpaksa gulung tikar dan membuang pekerjanya. Bukan sahaja mereka dibuang kerja tetapi mereka juga sukar untuk memperoleh kerja dalam tempoh yang terdekat akibat tiadanya aktiviti ekonomi di negara. Malah ekonomi dunia bukan sahaja memberi kesan terhadap ekonomi negara tetapi mengambil masa yang lama untuk pulih seperti peristiwa kejatuhan ekonomi pada akhir dekad 90-an.

Selain itu, pengangguran turut disebabkan oleh sikap belia yang tidak mempunyai kemahiran. Belia kita hanya didedahkan dengan konsep teori baik ketika di sekolah mahupun ketika di universiti. Akibatnya, belia kita kekurangan kemahiran berfikir, menganalisa sesuatu, berbicara dalam pelbagai bahasa, dan mempunyai kemahiran berinteraksi dengan masyarakat. Biasanya, majikan akan memilih pekerja yang mereka beranggapan mempunyai keunikan yang tertentu terutama penguasaan bahasa asing dan pengetahuan komputer.

Mungkin juga faktor malas menjadi pendorong wujudnya masalah ini. Sikap belia yang hidup ketika era pembangunan pesat menyebabkan belia mengambil konsep tunggu dan lihat. Mereka hanya bertindak apabila keadaan mendesak atau sudah terlewat. Mereka menganggap pertumbuhan ekonomi negara akan berterusan maju tanpa sebarang masalah. Mereka juga sudah terlalu lama menerima bantuan kerajaan seperti pemberian biasiswa dan menganggap kerajaan akan memberi mereka pekerjaan selepas tamat belajar.

Dalam usaha mengatasi ekonomi negara yang merudum, kerajaan telah menghantar rombongan perdagangan ke luar negara untuk menarik lebih banyak modal asing ke Malaysia. Rombongan ini cuba mengiklankan kelebihan negara jika pemodal asing itu sanggup menanam modal mereka di negara ini. Malah, kerajaan telah cuba menjalankan beberapa projek mega untuk memastikan ekonomi negara berjalan rancak semula. Projek Pembangunan Johor Selatan dan Kereta Api Laju KL-Singpura dijangka mampu meninggikan pertumbuhan ekonomi negara selain mengurangkan pelbagai cukai.

Selain itu, kerajaan telah menjalankan pelbagai program untuk memahirkan golongan belia seperti mengadakan program bahasa Inggeris dan mengutamakan penubuhan institut kemahiran dengan negara-negara luar seperti Jerman. Program ini mampu menyediakan satu sumber manusia yang mempunyai kemahiran tinggi untuk bersaing dalam era globalisasi. Kewujudan buruh yang berkemahiran tinggi ini turut menjadikan negara sasaran utama pelabur asing kelak.

Kerajaan turut memudahkan urusan pembiayaan perniagaan terutamanya kepada golongan belia. Pihak bank sendiri telah memudahkan urusan untuk mendapatkan pinjaman peribadi untuk membantu belia memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan. Langkah drastik ini memastikan lebih banyak industri kecil dan sederhana mampu diwujudkan dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik dalam tempoh terdekat ini. Belia yang tidak bekerja akan mengambil peluang ini untuk mencuba nasib mereka sebagai ahli perniagaan.

Sebenarnya, masalah pengangguran ini bukanlah satu isu baru. Cuma masyarakat harus berfikiran positif dan cuba meninggikan kemahiran diri mereka. Dunia pekerjaan sering berubah mengikut teknologi dan mereka yang sering meningkatkan kemahiran sahaja mampu duduk di tempat yang sama sepanjang hidup mereka. “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.