Perlu latihan?

Perlu latihan?

Monday, February 23, 2009

Karangan Budaya Kaum di Negara ini Penting 2009


Karangan 14

Negara kita mempunyai pelbagai kaum yang mengamalkan budaya atau adat resam mereka yang tersendiri. Budaya atau adat resam ini telah menjadi satu identiti kepada kaum tersebut.

Pada pendapat anda, apakah kepentingan budaya atau adat resam ini kepada masyarakat dan negara kita.


Salah satu kelebihan negara kita ialah masyarakatnya yang berbilang kaum. Kita mempunyai kaum Melayu, Cina, India, dan berdozen-dozen kaum minoriti yang lain terutama di Sabah serta Sarawak. Situasi ini menyebabkan negara kita mempunyai pelbagai adat atau budaya yang menarik untuk diperhatikan. Malah, adat atau budaya yang unik ini mempunyai banyak kepentingan jika dihargai dengan sewajarnya.

Sebenarnya, budaya yang unik ini memang wajar dihargai kerana budaya inilah yang menonjolkan sesuatu kaum itu. Tanpa budaya ini sesuatu kaum itu akan kehilangan identitinya buat selama-lama. Budaya yang diamalkan itu seperti memakai pakaian tradisional, makan menggunakan tangan, pergi ke kubur ketika hari raya dan sebagainya turut menimbulkan rasa bangga kepada pengamal budaya kaum itu. Individu yang terbabit akan berasa mereka telah berjaya mengekalkan budaya turun-temurun nenek moyang mereka selama ini.

Selain itu, tindakan individu tertentu menghargai budaya ini menjadi satu cara yang paling mudah untuk mempamerkan rasa mengormati generasi tua daripada generasi muda. Budaya memakai pakaian tradisional menjadi satu kaedah yang mudah untuk diamalkan oleh remaja dalam usaha mereka mengekalkan budaya tradisional ini. Remaja bukan sahaja mamu membuktikan rasa hormat mereka tetapi turut menerima penghargaan generasi tua lantaran sanggup mengekalkan budaya.

Salah satu kepentingan mengekalkan budaya ialah budaya mempunyai nilai-nilai murni dan sikap menghormati. Kedua-dua sikap ini sudah hampir terkikis daripada diri remaja negara ini. Remaja sudah mula memanggil ibu bapa mereka dengan nada yang kasar, lari dari rumah, dan suka memarahi orang tua. Jadi, pengekalan dan pengamalan budaya ini sudah pasti akan menonjolkan rasa hormat dan sikap atau jati diri remaja yang murni. Remaja akan menjadi individu yang terbilang.

Malah, sikap menghargai budaya memastikan sesuatu budaya kaum itu tidak akan luput ditelan zaman. Lihat sahaja budaya bekerjasama menjalankan kenduri sudah mula hilang sedikit demi sedikit lantaran masyarakat kita lebih suka menggunakan perkhidmatan katering. Atas alasan mudah, kita sudah melupakan budaya bekerjasama ketika mengadakan kenduri yang mempunyai banyak impak positif tetapi penat itu. Usaha mengekalkan budaya kaum sudah pasti akan mengembalikan nostalgia majlis kenduri yang dijalankan secara meriah.

Tambahan pula, pengamalan budaya ini memastikan peraturan dan saling bergantung anggota masyarakat diamalkan. Untuk mencapai perpaduan, semua kaum harus mengekalkan budayanya kerana melalui budayalah kita bersatu. Sikap hormat antara satu sama lain menyebabkan kita tidak akan cuba menyakiti kaum lain atas perkara-perkara yang remeh. Sebaliknya, penghargaan terhadap budaya menguatkan semangat perpaduan kita.

Kesimpulannya, budaya atau adat sesuatu kaum itu merupakan satu khazanah yang arus dipertahankan oleh rakyat negara ini. Usahlah kita terlalu memandang ke arah kemodenan sehingga menganggap budaya sendiri sudah lapuk atau tidak sesuai lagi. Kita harus melihat budaya sebagai satu alat yang mampu membentuk kita ke arah kemodenan yang lebih baik lagi iaitu kemodenan rohaniah dan kebendaan. Mungkin selepas menguasai budaya barulah kita boleh menganggap diri kita sudah mencapai kemodenan hidup.

Monday, February 16, 2009

Karangan Penduduk Negara yang Banyak...Impaknya?


Karangan 13

Negara kita pernah merancang untuk mempunyai jumlah penduduk mencecah 70 juta. Dasar ini dijangka mampu membawa banyak kesan positif dan negatif.

Jadi, huraian kedua-dua kesan yang bakal timbul jika penduduk negara mencecah 70 juta orang.


Malaysia memang mempunyai impian untuk memiliki penduduk yng ramai, iaitu 70 juta menjelang 2020. Mungkin ada pihak yang ketawa besar mendengar impian tersebut. Namun, kalau kita kaji kebanyakan negara jiran kita selain Singapura mempunyai jumlah penduduk yang jauh lebih banyak daripada Malaysia. Jadi, impian itu memang ada asasnya cuma dasar ini mempunyai banyak impak positif dan negatif terhadap pembangunan negara.

Alasan yang paling ketara ialah negara kita masih mempunyai kawasan yang luas berbanding dengan negara jiran yang lain. Negara kita hanya mempunyai kepadatan penduduk di kawasan berhampiran bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu, Ipoh, dan Seremban. Keadaan ini menyebabkan pengurusan sumber manusia dan alam sekitar tidak berjalan dengan baik. Keperluan lebih ditumpukan terhadap penduduk di kawasan bandar sehingga menyebabkan penduduk di kawasan desa terpinggir. Jadi, jumlah penduduk yang ramai memastikan pembangunan negara lebih seimbang kerana jumlah penduduk akan berkembang ke kawasan pedalaman.

Selain itu, penduduk yang ramai memastikan keperluan sumber manusia akan mampu dipenuhi. Setiap tahun negara kita memerlukan tenaga muda untuk meneruskan pembangunan negara. Melalui pertambahan penduduk yang pesat keseimbangan generasi muda dan tua mampu dikawal dengan baik. Kita tidak akan kekurangan sumber manusia kerana mempunyai lapisan penduduk muda yang banyak. Situasi ini turut menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang stabil.

Malah, kalau kita kaji, negara-negara kuasa ekonomi dunia mempunyai penduduk yang ramai. Jumlah penduduk yang ramai menyebabkan negara tersebut dapat memiliki pasaran dalaman yang luas untuk keperluan ekonomi mereka. Jepun, Amerika Syarikat, dan China mempunyai penduduk yang ramai sehingga syarikat tempatan mereka tidak memerlukan pasaran luar untuk produk mereka. Jadi, penduduk yang ramai baik untuk perkembangan syarikat tempatan.
Namun, pertambahan penduduk menyebabkan kos perbelanjaan ngara akan bertambah. Kerajaan sudah pasti terpaksa menyediakan lebih banyak kemudahan awam seperti hospital, sekolah, dan sebagainya untuk menampung penduduk yang bertambah itu. Keadaan ini menyebabkan jumlah kewangan kerajaan akan terjejas sedikit demi sedikit. Kegagalan untuk memastikan kewujudan kemudahan awam akan membawa bencana kepada rakyat negara ini.

Malahan, keadaan penduduk yang ramai menyebabkan berlakunya persaingan dalam semua aspek terutama pekerjaan. Keadaan ini jika tidak dikawal akan menyebabkan kadar pengangguran bertambah secara mendadak. Pertambahan kadar pengangguran akan membawa munculnya pelbagai masalah sosial yang lain seperti peningkatan kes jenayah dan penagihan dadah. Semua ini akan membawa kesan negatif kepada negara dan masyarakat secara keseluruhannya.

Kesimpulannya, pertambahan penduduk negara harus diselia dengan rapi. Kita tidak mahu jumlah penduduk yang ramai tetapi taraf hidup atau perbezaan taraf hidup antara masyarakat begitu jauh seperti yang berlaku di India dan Indonesia. Dalam memastikan jumlah rakyat bertambah, kerajaan harus memastikan taraf kesihatan, pendidikan, dan ekonomi terus berkembang sejajar dengan jumlah penduduk.

Saturday, February 07, 2009

Karangan Badan Kebajikan di Malaysia


Karangan 12

Badan kebajikan atau sukarela merupakan satu usaha murni yang dijalankan oleh segelintir masyarakat. Mereka sedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan. Cuma badan kebajikan ini masih mengalami pelbagai masalah yang membantutkan usaha kebajikan mereka.

Jelaskan masalah-masalah yang dihadapi oleh badan kebajikan.


Badan kebajikan atau sukarela merupakan satu badan yang cuba membantu masyarakat yang memerlukan bantuan. Negara kita masih mempunyai banyak pihak yang memerlukan pertolongan seperti golongan cacat, ibu tunggal, anak yatim, orang tua, dan golongan daif. Kewujudan badan kebajikan seolah-olah memberi sedikit cahaya kepada golongan terpinggir ini untuk meneruskan kehidupan mereka yang sukar itu. Namun, badan kebajikan sendiri mempunyai pelbagai masalah yang mampu membantutkan usaha murni mereka itu.

Masalah yang paling serius mereka hadapi ialah masyarakat negara ini tidak suka membabitkan diri mereka dalam sebarang aktiviti kebajikan. Rakyat negara ini lebih suka melihat atau menganggap tugas itu sudah dilakukan oleh orang lain. Mereka tidak mahu terlibat turut dipengaruhi oleh faktor masa dan kewangan yang tidak mampu diberikan oleh badan kebajikan. Akibatnya, aktiviti badan kebajikan ini dijalankan oleh segelintir masyarakat yang sudah berusia dan kekurangan tangan untuk menjalankan aktiviti mereka.

Ketiadaan sokongan masyarakat untuk melibatkan diri ini boleh dikaitkan dengan imej badan kebajikan yang dipandang rendah. Ada pihak menganggap badan kebajikan hanya untuk mereka yang tidak mempunyai impian besar atau tanggungan keluarga. Malah, ada badan kebajikan yang dianggap oleh masyarakat sebagai mengambil kesempatan dengan memperoleh wang tetapi tidak menyalurkannya kepada mereka yang memerlukan. Jadi, badan kebajikan dianggap kerjaya yang tidak berstatus tinggi pada mata masyarakat kita.

Malah, badan kebajikan agar sukar untuk memperoleh sumber kewangan pada masa kini. Masalah ini timbul ekoran berlakunya pelbagai dakwaan seperti badan kebajikan menggunakan wang itu untuk kepentingan pekerjanya dan tidak digunakan untuk membantu masyarakat yang memerlukan. Memang kes seperti ini pernah berlaku tetapi untuk menuding jari ke arah kepada semua badan kebajikan merupakan satu langkah yang kurang bijak. Masyarakat seharusnya memberi peluang supaya badan kebajikan dapat menjalankan tugas mereka.

Tambahan pula, badan kebajikan terpaksa mematuhi pelbagai saluran dan kebenaran sebelum mampu menjalankan aktiviti mereka. Lesen badan kebajikan harus diperbaharui dan aktiviti mereka seperti derma perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa. Memang peraturan ini diwujudkan untuk mengawal penyelewengan berlaku tetapi pihak berkuasa harus memudahkan urusan badan kebajikan mereka. Malah, pihak berkuasa seharunya menyediakan bangunan khas untuk badan kebajikan menjalankan aktiviti mereka tanp perlu membayar apa-apa. Namun, semua ini tidak diperoleh oleh badan kebajikan.

Kesimpulannya, badan kebajikan di negara ini memang dalam situasi yang bahaya. Pertubuhan ini tidak lagi mempunyai apa-apa selain meminta belas kasihan masyarakat untuk turut membantu. Masyarakat harus menyalurkan bantuan berupa kewangan atau tenaga untuk memastikan usaha murni mereka ini akan berterusan kerana tanpa badan kebajikan nasib golongan terpinggir ini akan menjadi lebih menyayatkan.

Monday, February 02, 2009

Karangan Iklan


Karangan 11

Iklan sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat moden. Kerap kali kita mendengar komen mengenai pengaruh iklan dalam masyarakat kita.

Pada pandangan anda, apakah pengaruh-pengaruh positif dan negatif yang dibawa oleh iklan terhadap masyarakat.


Sememangnya iklan sudah menjadi sebahagian lumrah kehidupan manusia sejagat pada era globalisasi ini. Iklan jelas terpampang di mana-mana seperti akhbar, poster, papan iklan gergasi, dan radio. Situasi ini seolah-olah membuktikan betapa kuatnya pengaruh iklan dalam kehidupan kita. Jadi, iklan memang membawa pengaruh-pengaruh positif dan negatif terhadap kehidupan insan di dunia ini.

Pengaruh positif iklan ialah iklan menyebabkan pengguna mempunyai pilihan untuk membuat pembeliannya. Kewujudan iklan menyebabkan pengguna mengetahui betapa banyaknya produk yang sama tetapi berlainan jenama dihasilkan pada zaman ini. Pengguna akan menggunakan semua maklumat yang ada di dalam iklan untuk membuat pilihan terbaik mereka. Iklan memastikan pengguna membeli produk yang terbaik mengikut keperluan mereka.

Selain itu, iklan menyebabkan wujudnya persaingan yang sihat antara pengeluar sesuatu produk itu. Kalau kita kaji, pengeluar sesuatu produk itu akan cuba menghasilkan iklan yang terbaik mengikut kemampuan mereka untuk menarik minat pembeli. Keadaan ini menyebabkan semua pihak cuba menonjolkan kelebihan produk mereka berbanding produk pesaing. Jelaslah, iklan menyebabkan pengeluar memastikan produk mereka menepati mutu seperti yang tersiar di dalam iklan mereka itu.

Namun begitu, iklan turut memiliki wajah negatifnya. Iklan sering mempergunakan wanita terutama wanita seksi untuk melariskan jualan produk mereka. Malah, ada produk yang tidak mempunyai kaitan dengan wanita tetapi menggunakan wajah wanita seksi untuk iklan tersebut. Penggunaan model lelaki yang tampan dan sasa turut diekploitasikan oleh iklan. Keadaan ini seolah-olah memberi makna palsu seperti penggunaan produk ini akan menghasilkan wajah sebegitu atau penggunaan produk ini menyebabkan wanita sebegini akan tertarik kepada seseorang. Bayangkan pengaruhnya kepada remaja kita?

Tambahan pula, kewujudan iklan menyebabkan harga barangan akan meningkat. Kos untuk menghasilkan sesuatu iklan amat tinggi kerana penggunaan model, teknologi dan krew penerbitan yang berpengalaman. Malah, iklan yang disiarkan di media massa terpaksa membayar kos masa penyiaran yang terlalu mahal. Keadaan ini menyebabkan pengeluar akan meninggikan harga produk mereka untuk memastikan iklan dapat dihasilkan.

Iklan turut menghasilkan satu kumpulan pengguna yang hanya mementingkan jenama. Pegguna jenis ini sudah taksub dengan iklan jenama tertentu dan hanya membeli atau menggunakan produk jenama tersebut tanpa memikirkan baik buruknya kepada diri mereka. Iklan telah menghasilkan satu budaya pengguna yang mementingkan status diri mereka pada pandangan masyarakat. Pengguna mahu diri mereka dipandang tinggi dan dihormati apabila menggunakan sesuatu jenama itu.

Malahan, iklan turut menyebabkan pengguna memberi barangan yang tidak mereka perlukan. Pembelian mereka semata-mata atas dasar melihat iklan yang menarik. Penayangan iklan telah menyebabkan mereka tertarik dan membeli barangan itu walaupun barangan itu tidak mereka perlukan untuk satu tempoh yang lama. Sikap ini menjurus ke arah pembaziran dan pembelian yang boleh menyebabkan pengguna berhutang atau mengalami masalah kewangan.

Kesimpulannya, iklan mempunyai dua peranan. Satu untuk memberitahu dan satu lagi untuk memusnahkan. Mungkin pengguna perlu bersikap bijak dengan membuat penilaian rasional selepas melihat sesuatu iklan. Pengguna tidak harus terburu-buru membeli selepas melihat iklan. Atau mungkin iklan harus diharamkan.