Wednesday, January 21, 2009

Nilai-nilai Murni Harus Diterapkan Dalam Jiwa Masyarakat


Karangan 10

Kempen nilai-nilai murni yang dijalankan oleh kerajaan mula mendapat perhatian masyarakat. Pelbagai kempen yang dilaksanakan memang baik.

Huraikan kepentingan memupuk nilai murni ini.


Usaha kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai murni di dalam hati nurani rakyatnya telah mula menampakkan hasil. Usaha melalui iklan, kempen, dan dasar kerajaan telah memberi satu nafas baru kepada masyarakat untuk menjadi satu masyarakat bertamadun yang mampu menjadikan negara kita lebih baik untuk didiami. Jadi, memang nilai-nilai murni memiliki kepentingan dalam pembentukan masyarakat.

Generasi muda yang dipupuk dengan nilai murni mampu mematuhi semua peraturan atau norma yang ditetapkan oleh masyarakat. Naluri generasi muda yang suka memberontak dapat dikawal melalui nilai-nilai murni yang mementingkan disiplin dalam usaha mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Jadi, memang satu perkara baik kalau nilai murni mampu menjadikan generasi muda sebagai satu golongan yang mematuhi peraturan negara.

Lantaran sikap generasi muda yang mematuhi peraturan dapat dijelmakan melalui sikap mereka yang tidak terbabit dalam sebarang aktiviti berunsur jenayah atau tidak bermoral. Kita tidak lagi mendengar remaja terbabit dalam peras ugut, terbabit dalam dadah, atau menjadi mat rempit. Remaja akan menjadi satu golongan yang dihormati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum. Bukankah ini satu kejayaan nilai-nilai murni yang diterapkan oleh kerajaan?

Malah, hubungan antara kaum dapat dieratkan kerana dalam pemupukan nilai murni memang ditekankan perasaan saling hormat antara kaum. Semua kaum akan menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh kaum lain tanpa menimbulkan sebarang isu sensitif kepada kaum lain. Keadaan ini menjamin keadaan negara dalam suasana yang harmoni dan sesuai untuk pertumbuhan ekonomi. Orang memberi, kita berasa, orang berbudi, kita berbahasa.

Tambahan pula, imej negara akan terus dijulang oleh masyarakat antarabangsa. Rakyat negara ini akan dilihat sebagai masyarakat yang unik kerana moden tetapi mengekalkan budaya yang baik. Masyarakat juga masih mempunyai disiplin dan berperibadi mulia. Semua ini akan memberi satu tanggapan positif kepada negara kita. Rakyat kita akan dihormati di mana-mana tempat mereka berada.

Kesimpulannya, usaha menerapkan nilai-nilai murni seperti hormat orang tua, menjaga kesopanan di khalayak ramai, mengunjungi rumah jiran, dan berinteraksi antara kaum mampu melahirkan satu bangsa Malaysia yang moden tetapi penuh budaya tersendiri. Usaha ini harus diteruskan kerana generasi muda sering berubah dan keadaan turut berubah tetapi nilai murni akan terus kekal seperti tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.

Friday, January 16, 2009

Karangan Isu Pendidikan Negara? Satu Pandangan Berani


Karangan 9

Pendidikan telah menjadi kritikan masyarakat dan sektor ini memang merupakan satu isu sensitif.

Jelaskan masalah-masalah yang dihadapi oleh sektor pendidikan.


Bidang pendidikan dianggap bidang sensitif negara kerana bidang ini mampu mengubah senario politik dan sosial negara kita. Bilangan generasi muda yang terlibat dalam bidang ini turut menjadikan pendidikan satu isu yang harus ditangani dengan bijak tetapi pantas. Kejayaan negara mengubah bidang pendidikan ini dalam menangani cabaran globalisasi pasti akan mendatangkan kejayaan kepada rakyat dan negara kita secara keseluruhannya. Cuma ketika ini bidang yang dianggap murni suatu masa dahulu sedang menghadapi saat gentingnya.

Masalah yang paling kritikal sedang dihadapi oleh bidang pendidikan ialah pelajarnya yang dikatakan tidak berdisiplin. Saban hari kita didedahkan melalui media massa masalah disiplin yang dilakukan oleh pelajar. Kes guru dipukul, gejala jenayah pelajar, sikap ponteng pelajar, dan budaya buli semuanya menjurus betapa seriusnya masalah ini. Keadaan ini turut menyebabkan bidang pendidikan menjadi mangsa sasaran kritikan masyarakat yang mahu perkara ini diatasi seberapa segera.

Bidang pendidikan turut mengalami masalah kekurangan guru terutama guru lelaki dan di kawasan pedalaman. Kurangnya guru lelaki sering dikaitkan dengan rendahnya tangga gaji yang diberikan kepada guru. Lelaki yang sering dianggap ketua keluarga akan mencari kerjaya lain yang menjanjikan gaji lebih lumayan. Manakala, guru lelaki yang kecil jumlahnya pula dihantar ke kawasan pedalaman tetapi masih belum cukup untuk menampung keperluan kawasan pedalaman. Situasi ini dibebankan lagi dengan budaya keguruan yang dianggap lebih bercorak kewanitaan akibat kurangnya guru lelaki.

Tambahan pula, ada sekolah yang masih kekurangan kemudahan seperti komputer dan bangunan yang sesuai. Keadaan ini menjejaskan peluang pelajar untuk memperoleh pendidikan yang baik. Mereka belajar dalam keadaan tidak selesa dan ini sudah pasti akan menjejaskan pencapaian mereka dalam peperiksaan. Kalau sekolah tidak lengkap kemudahannya, bagaimana guru hendak menjalankan tugasnya? Inilah isu yang menghantui bidang pendidikan ini.

Malah, isu sekolah dianggap bukan faktor integrasi masyarakat turut menjadi persoalan utama kini. Konsep Sekolah Wawasan yang cuba diketengahkan mendapat bantahan pelbagai pihak lantaran bimbang hilangnya budaya kaum tertentu. Malah, sekolah biasa pula sering menyaksikan pelajar-pelajarnya berinteraksi mengikut kaum dan bukannya bercampur. Semua ini menghasilkan satu generasi pelajar yang tidak memahami budaya masyarakat lain. Sekolah seharusnya mendidik mereka bukannya memisahkan mereka mengikut kaum.

Selain itu, isu pelajar berlumba-lumba untuk mengaut jumlah A yang banyak dalam peperiksaan turut menjadi satu kemelut baru dalam pendidikan. Ramai yang menganggap sekolah menjadi tempat untuk menghafal bukannya memberi pendidikan yang holistik kepada pelajarnya. Kesannya, pelajar yang ada kini tidak mampu berfikir secara kritis atau menyelesaikan masalah yang di luar batasan soalan peperiksaan yang ditanya kepada mereka. Pelajar ketiadaan kepandaian emosional yang penting daam era globalisasi ini.

Kesimpulannya, pendidikan harus diberi lebih banyak peruntukan untuk meningkatkan tahap pendidikan negara. Guru-guru harus diberi lebih banyak ruang untuk kreatif dalam pengajaran mereka. Guru harus diberi lebih banyak peluang untuk meningkatkan kemahiran mereka melalui kursus dan program pendidikan jarak jauh. Guru harus diberi insentif kewangan yang lebih setimpal dengan tugas yang diamanahkan kepada mereka. Guru sumber inspirasi generasi muda.

Sunday, January 11, 2009

Karangan Warga Tua Penting Buat Negara?

Karangan 8

Warga tua semakin ramai di negara ini ekoran tahap kesihatan negara yang semakin baik. Cuma jumlah yang banyak ini telah menimbulkan pelbagai masalah pula.

Nyatakan langkah-langkah yang patut dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan kehidupan warga tua semakin baik.


Warga emas merupakan golongan yang semakin ramai di negara ini kerana tahap kesihatan negara yang semakin baik. Jadi tidak hairanlah kalau kita sering ternampak warga emas ini. Namun, keadaan ini turut menyebabkan kita terdesak untuk mencari jalan membantu golongan ini semakin ramai supaya mereka mampu menikmati kehidupan dengan lebih baik. Apakah langkah-langkah yang mampu kita lakukan dalam isu ini?

Kerajaan seharusnya memberi mereka lebih banyak insentif dalam menjalani kehidupan harian. Tambang separuh harga untuk pengangkutan awam negara merupakan satu langkah awal. Begitu juga dengan pengangkutan udara dan kereta api. Dalam perkhidmatan kesihatan, kerajaan seharusnya memberikan potongan harga atau rawatan percuma kepada golongan ini dalam penyakit-penyakit tertentu. Maka, langkah ini mampu memberi keselesaan hidup kepada warga emas ini.

Malah, kerajaan harus menyediakan lebih banyak rumah khas untuk warga tua ini. Rumah yang dibina mestilah sesuai dengan mereka yang memerlukan kawasan yang luas, berhampiran taman, laut atau dilengkapi kemudahan kesihatan yang lengkap. Rumah yang disediakan ini harus secara percuma dan didiami oleh beberapa warga tua yang lain untuk menjadikan suasana di rumah itu lebih ceria dan menarik. Reka bentuk rumah tersebut haruslah moden dan tidak nampak membosankan.

Selain itu, kerajaan harus mengadakan satu majlis khas atau tarikh untuk warga emas ini. Pada hari yang sudah diumumkan cuti umum itu, kerajaan perlulah mengadakan pelbagai aktiviti yang bercorak warga emas. Aktiviti beramah mesra dengan generasi muda harus dijalankan terutama untuk memberi kesedaran betapa warga emas dan muda saling memerlukan antara mereka. Interaksi ini turut memberi remaja satu peluang mendengar pengalaman yang dialami oleh warga emas.

Lantaran itu, kerajaan perlu mengadakan program bercorak ekonomi yang mampu menjana pendapatan kepada warga emas ini. Pendapatan itu pula boleh disalurkan untuk kepentingan warga tersebut. Semua aktiviti yang dijalankan mestilah bersesuaian dengan keadaan fizikal warga emas. Langkah ini turut menjadikan kehidupan mereka lebih menarik dan tidak membosankan. Warga emas turut berpeluang untuk menggunakan idea mereka ke arah sesuatu yang lebih bermakna.

Jadi, warga emas seharusnya dibelai dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Warga emas mempunyai satu pengalaman yang mampu dipelajari oleh semua orang. Warga emas mampu memberi nasihat dan pandangan terhadap sesuatu perkara yang berlaku kerana mereka telah mengalami semua perkara yang bakal dialami oleh masyarakat. Kita harus menjaga warga emas setelah mereka menjaga kita selama ini.

Tuesday, January 06, 2009

Buku E-Perkataan Canggih Karangan 2009 Keluaran Khas

Hi pelajar,

Buku E-Perkataan Canggih Karangan 2009 sudah siap saya kemaskinikan. Buku ini memaparkan beberapa perkataan canggih yang boleh digunakan dalam penulisan karangan. Penggunaan perkataan sebegini memang mampu memberi imej yang baik kepada karangan pelajar terutama dalam peperiksaan umum.

Semua perkataan canggih itu diterangkan maksud dan diberi contoh ayat penggunaannya supaya pelajar mudah memahaminya.

Hanya RM10 harganya dan sesiapa yang berminat sila emel kepada saya:

azmanukm@gmail.com
atau
azmanukm@tm.net.my

Semoga anda semua terus bersemangat untuk belajar.

cikgu azman

Monday, January 05, 2009

Karangan Pendatang Asing Bawa Impak Negatif Sahaja?


Karangan 7

Kehadiran pendatang asing telah membawa pelbagai masalah kepada rakyat di negara ini. Cuma kesan-kesan ini turut menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai pendatang asing ini.

Jelaskan kesan-kesan baik dan buruk yang timbul daripada kehadiran pendatang asing ini.


Tenaga kerja asing memang telah menjadi satu isu yang hangat diperkatakan kini. Ada masyarakat yang menganggap pekerja asing ini penting dan ada yang menganggap mereka sebagai pengacau yang harus dibuang jauh. Keadaan ini diburukkan dengan isu ini turut dimainkan oleh media massa yang memang menangguk di air keruh. Jadi, adakah pekerja asing hanya membawa kesan buruk atau memang ada hikmah disebalik kehadiran pekerja luar negara ini?

Sememangnya kehadiran pekerja asing ini sama ada sah atau secara haram mampu memenuhi keperluan sumber tenaga buruh negara yang memuncak. Dalam proses mencapai sebuah negara maju, Malaysia mengalami perkembangan ekonomi yang tinggi sehingga menyebabkan pasaran buruhnya memerlukan pekerja yang ramai. Dalam masa yang sama penduduk tempatan tidak meminati sektor pekerjaan tertentu yang kritikal seperti perladangan dan pekerja asing datang memenuhinya.

Malah, kehadiran pekerja asing itu turut menjadikan pekerja tempatan satu saingan yang menarik. Persaingan ini menyebabkan pekerja tempatan berasa mereka harus meningkatkan kemampuan diri mereka sebaik mungkin agar tidak diganti oleh pekerja asing ini. Pekerja tempatan akan bekerja lebih baik, meningkatkan kemahiran mereka, mencari ilmu yang lebih sesuai dan tidak menimbulkan masalah seperti mogok. Jadi, keadaan persaingan seperti ini menyebabkan ekonomi negera diminati oleh pelabur asing.

Imej negara turut meningkatkan kerana sudah pasti masyarakat antarabangsa menyedari bahawa kebanjiran pekerja asing ini kerana ekonomi negara yang mantap dan berkembang. Negara dilihat sebagai sanggup berkongsi kekayaan dengan negara jirannya. Negara akan dilihat sebagai contoh negara yang maju dalam ekonominya. Negara akan dianggap mempunyai pemimpin dan rakyat yang bersatu dalam mencapai cita-cita negara. Bukankah ini satu pandangan yang kita harapkan daripada negara luar terhadap keupayaan negara kita?

Cuma, kehadiran pekerja asing terutama secara haram ini telah menyebabkan kadar jenayah di negara ini semakin meningkat. Ada pekerja asing yang datang ke sini tidak mempunyai pekerjaan untuk tempoh tertentu dan jenayah menjadi tempat untuk mereka memperoleh sedikit wang bagi membiayai kehidupan diri dan keluarga. Jadi, semakin ramai pekerja asing semakin tinggilah kebarangkalian untuk meningkatnya jenayah di negara kita. Sudah pasti kejadian jenayah ini akan menyukarkan kehidupan rakyat biasa.

Selain itu, pekerja asing yang bekerja di sini setiap bulan menghantar wang balik ke negara asal mereka. Keadaan ini menyebabkan wang itu tidak digunakan untuk membangunkan semula ekonomi negara secara efektif. Sebaliknya, wang negara digunakan untuk menjana ekonomi negara asal pekerja asing itu. Wang negara digunakan untuk membiayai kehidupan keluarga pekerja asing itu. Jadi, keadaan ini tidak sihat terutama untuk jangka masa panjang atau ketika negara dalam kegawatan ekonomi.

Kesimpulannya, pekerja asing ini boleh memusnahkan dan menyelamatkan negara. Mungkin jawapannya bukan kepada jumlah pekerja asing tetapi cara mengawal kedatangan mereka, cara menentukan sektor pekerjaan untuk mereka dan mungkin tempoh bekerja untuk mereka di negara ini. Ringkasnya, masalah ini akan terus menghantui kita buat sekian lama.