Thursday, September 03, 2009

Karangan SPM 2009...Khidmat Masyarakat Beri Impak Positif Kepada Remaja?


Khidmat masyarakat sudah mula mendapat perhatian remaja di negara ini.

Huraikan impak positif yang timbul menerusi amalan ini kepada remaja.


Khidmat masyarakat boleh dianggap sebagai satu tindakan membantu golongan masyarakat yang memerlukan bantuan tanpa mengharapkan sebarang balasan pula. Antara tindakan yang termasuka dalam kategori khidmat masyarakat ini ialah membantu orang tua di rumah orang tua, anak-anak yatim di rumah kebajikan dan juga menjalankan kutipan derma untuk disumbangkan kepada badan kebajikan yang tertentu atau memerlukan bantuan segera itu. Amalan murni ini sudah mula tertanam dalam diri remaja di negara ini kerana sudah wujud pelbagai persatuan yang menjurus untuk membantu golongan yang sebegini di negara kita ini. Lantaran itu, memang ada banyak impak positif yang timbul dalam jiwa remaja yang melibatkan diri mereka dalam aktiviti ini.

Sudah pasti impak yang paling ketara ialah remaja itu akan menyedari erti kehidupan yang sebenarnya atau realiti kenyataan hidup. Dalam usaha mereka membantu golongan ini remaja akan memahami betapa pentingnya kehidupan ini dihargai dan digunakan dengan sebaik mungkin tanpa melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan kehidupan mereka pada masa depan. Remaja akan melihat diri mereka dalam setiap aktiviti yang dijalankan itu dengan lebih baik lalu mampu melahirkan satu pandangan yang positif tentang erti kehidupan yang hakiki dan bukannya sekadar seperti katak di bawah tempurung sahaja. Maka, semakin banyak aktviti sebegini dilakukan semakin luaslah pandangan hidup remaja itu kelak.

Tambahan pula, penglibatan remaja dalam aktiviti membantu golongan yang memerlukan bantuan ini akan menghalang mereka daripada terbabit dalam kancah yang tidak sihat. Bukan sahaja mereka sudah mempunyai pemahaman erti kehidupan yang jelas tetapi aspek masa turut membantutkan peluang mereka untuk terbabit dalam aktiviti yang tidak sihat pula. Biasanya aktiviti sebegini dijalankan pada hujung minggu atau ketika musim cuti sekolah yang pastinya akan menyebabkan remaja menghabiskan masa dengan melakukan perkara-perkara yang positif daripada memikirkan tindakan yang neatif seperti melepak dan sebagainya. Jelaslah, amalan khidmat masyarakat berupaya membentuk satu persekitaran yang sesuai buat remaja daripada terjebak dalam kancah negatif yang sering kita lihat dalam media massa itu.

Satu lagi impak murni yang timbul ekoran melakukan aktiviti khidmat masyarakat ini ialah remaja akan memahami erti menghormati individu lain. Bagaimanakah perkara ini boleh timbul dalam diri remaja menerusi amalan yang mudah ini? Remaja pastinya akan melihat dan berinteraksi dengan golongan tua, kanak-kanak yatim dan orang miskin lalu membawa mereka melihat keadaan keluarga sendiri seperti ayah, ibu, adik dan diri sendiri yang menimbulkan keinsafan akan tindakan mereka sebelum ini. Sesungguhnya, remaja yang melibatkan diri dalam amalan murni ini akan memandang ibu dan ayah mereka dengan satu pandangan yang berbeza kerana mereka sudah sedar sikap hormat amat penting dalam naluri manusia itu.

Impak terakhir yang boleh dilihat dalam diri remaja ialah imej remaja itu sendiri akan berubah. Kalau sebelum ini remaja kita sering dipandang serong dengan pelbagai tohaman dilemparkan kepada mereka baik di dalam media massa mahupun jiran tetangga, imej itu sudah berubah sama sekali. Remaja yang melibatkan diri dalam khidmat masyarakat akan dipandang tinggi oleh masyarakat setempat kerana remaja itu sudah membuktikan bahawa diri mereka mampu melakukan sesuatu yang positif untuk memajukan masyarakat mereka. Jadi, semakin kerap remaja melibatkan diri dalam khidmat masyarakat semakin tinggilah imej remaja itu pada mata masyarakat dan keluarganya.

Kesimpulannya, semua impak positif yang dinyatakan di atas bakal timbul dalam diri semua remaja yang berani melibatkan diri mereka dalam aktiviti murni ini. Semakin banyak remaja yang terbabit dalam program khidmat masyarakat ini semakin baiklah buat negara kerana satu kelompok remaja yang berwawasan tinggi berupaya dihasilkan pula. Kewujudan remaja sebeginilah yang mampu menjadikan negara kita berupaya mengahrungi cabaran globalisasi yang semakin sengit itu.

No comments: