Thursday, April 23, 2009

Karangan SPM 2009 Ternakan Ikan Air Tawar


Karangan 24

Penternakan ikan air tawar mula mendapat perhatian terutama masyarakat desa. Kejayaan demi kejayaan yang dipamerkan oleh pihak media massa telah memberi satu dimensi baru terhadap industri ini.

Apakah masalah-masalah yang dihadapi oleh penternak ikan air tawar.


Penternakan ikan air tawar merujuk ikan yang dibela di kawasan sungai dengan menggunakan kolam-kolam khas. Industri ini sudah mendapat perhatian masyarakat terutama penduduk kampung kerana mampu menghasilkan pulangan yang lumayan kepada mereka. Namun, industri ini turut memiliki pelbagai masalah yang memerlukan kerjasama semua pihak untuk menanganinya.

Secara amnya, masyarakat kita masih menganggap ikan air tawar bukanlah satu sumber daging yang utama. Masyarakat kita masih melihat daging lembu dan ikan laut lebih sesuai dengan cita rasa mereka. Keadaan ini menyebabkan permintaan ikan air tawar masih rendah jika dibandingkan dengan jenis-jenis daging yang lain. Kurangnya minat masyarakat menyebabkan industri ini masih kecil dan mempunyai ruang untuk berkembang. Jadi, masyarakat masih menunggu dan melihat kebaikan yang mampu diberikan oleh ikan air tawar kepada mereka.

Kemelut di atas sering dikaitkan dengan kegagalan kempen ikan air tawar. Masyarakat masih keliru dan tidak memahami zat yang mampu diberikan oleh ikan air tawar kerana tiadanya kempen yang dijalankan terutama oleh pihak kerajaan melelaui Kementerian Pertanian. Ketiadaan maklumat dan penerangan menyebabkan permintaan ikan air tawar masih gagal untuk bersaing dengan daging-daging yang lain. Ironinya, pengusaha ikan air tawar yang terpaksa mencari sendiri pasaran untuk mereka terutama di luar negara berbanding di dalam negara sendiri.

Malah, kesukaran untuk memulakan projek ternakan ikan air tawar turut menghantui pengusaha industri ini. Mereka terpaksa menunggu masa yang lama untuk menukarkan tanah mereka menjadi kolam kerana ikan air tawar yang agak sensitif dengan keadaan tanah dan air kolam. Semua ini memerlukan penggunaan bahan kimia yang agak mahal dan sudah pasti kos permulaan yang tinggi diperlukan untuk membuka sebuah kolam ikan sahaja. Oleh itu, pihak kerajaan melalui bank-bank tertentu haruslah lebih terbuka untuk menerima kertas cadangan pengusaha ikan air tawar ini untuk meringankan beban mereka.

Selain itu, ikan air tawar mempunyai masalah imej iaitu ikan ini dikatakan berbau hanyir. Keadaan ini telah menyebabkan ramai yang tidak suka menjamah atau menjadikan ikan ini sebagai satu daripada masakan mereka di rumah. Walaupun bau hanyir ini boleh dihilangkan dengan beberapa teknik masakan dan siangan yang tertentu tetapi masyarakat masih enggan memakannya. Jadi, imej yang tidak baik inilah yang harus dikikis oleh pengusaha ternakan ikan air tawar dengan segera.

Kesimpulannya, kemelut yang melanda industri penternakan ikan air tawar ini memerlukan kerjasama dan tindakan yang drastik. Kerajaan perlulah bertindak awal dengan memberikan pelbagai insentif kepada pengusaha industri ini seperti memudahkan urusan penukaran jenis tanah untuk ternakan ikan air tawar. Pengusaha pula harus lebih positif dengan berusaha sendiri mencari pasaran-pasaran baru atau teknik masakan terbaru untuk menarik minat masyarakat memakan ikan air tawar. Mungkin satu pameran mengenai ikan air tawar harus dilakukan oleh kerajaan?

1 comment:

blur de 我 said...

cikgu, apa maksud 'Ironinya' yang terdapat dalam perenggan ke3?