Monday, February 02, 2009

Karangan Iklan


Karangan 11

Iklan sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat moden. Kerap kali kita mendengar komen mengenai pengaruh iklan dalam masyarakat kita.

Pada pandangan anda, apakah pengaruh-pengaruh positif dan negatif yang dibawa oleh iklan terhadap masyarakat.


Sememangnya iklan sudah menjadi sebahagian lumrah kehidupan manusia sejagat pada era globalisasi ini. Iklan jelas terpampang di mana-mana seperti akhbar, poster, papan iklan gergasi, dan radio. Situasi ini seolah-olah membuktikan betapa kuatnya pengaruh iklan dalam kehidupan kita. Jadi, iklan memang membawa pengaruh-pengaruh positif dan negatif terhadap kehidupan insan di dunia ini.

Pengaruh positif iklan ialah iklan menyebabkan pengguna mempunyai pilihan untuk membuat pembeliannya. Kewujudan iklan menyebabkan pengguna mengetahui betapa banyaknya produk yang sama tetapi berlainan jenama dihasilkan pada zaman ini. Pengguna akan menggunakan semua maklumat yang ada di dalam iklan untuk membuat pilihan terbaik mereka. Iklan memastikan pengguna membeli produk yang terbaik mengikut keperluan mereka.

Selain itu, iklan menyebabkan wujudnya persaingan yang sihat antara pengeluar sesuatu produk itu. Kalau kita kaji, pengeluar sesuatu produk itu akan cuba menghasilkan iklan yang terbaik mengikut kemampuan mereka untuk menarik minat pembeli. Keadaan ini menyebabkan semua pihak cuba menonjolkan kelebihan produk mereka berbanding produk pesaing. Jelaslah, iklan menyebabkan pengeluar memastikan produk mereka menepati mutu seperti yang tersiar di dalam iklan mereka itu.

Namun begitu, iklan turut memiliki wajah negatifnya. Iklan sering mempergunakan wanita terutama wanita seksi untuk melariskan jualan produk mereka. Malah, ada produk yang tidak mempunyai kaitan dengan wanita tetapi menggunakan wajah wanita seksi untuk iklan tersebut. Penggunaan model lelaki yang tampan dan sasa turut diekploitasikan oleh iklan. Keadaan ini seolah-olah memberi makna palsu seperti penggunaan produk ini akan menghasilkan wajah sebegitu atau penggunaan produk ini menyebabkan wanita sebegini akan tertarik kepada seseorang. Bayangkan pengaruhnya kepada remaja kita?

Tambahan pula, kewujudan iklan menyebabkan harga barangan akan meningkat. Kos untuk menghasilkan sesuatu iklan amat tinggi kerana penggunaan model, teknologi dan krew penerbitan yang berpengalaman. Malah, iklan yang disiarkan di media massa terpaksa membayar kos masa penyiaran yang terlalu mahal. Keadaan ini menyebabkan pengeluar akan meninggikan harga produk mereka untuk memastikan iklan dapat dihasilkan.

Iklan turut menghasilkan satu kumpulan pengguna yang hanya mementingkan jenama. Pegguna jenis ini sudah taksub dengan iklan jenama tertentu dan hanya membeli atau menggunakan produk jenama tersebut tanpa memikirkan baik buruknya kepada diri mereka. Iklan telah menghasilkan satu budaya pengguna yang mementingkan status diri mereka pada pandangan masyarakat. Pengguna mahu diri mereka dipandang tinggi dan dihormati apabila menggunakan sesuatu jenama itu.

Malahan, iklan turut menyebabkan pengguna memberi barangan yang tidak mereka perlukan. Pembelian mereka semata-mata atas dasar melihat iklan yang menarik. Penayangan iklan telah menyebabkan mereka tertarik dan membeli barangan itu walaupun barangan itu tidak mereka perlukan untuk satu tempoh yang lama. Sikap ini menjurus ke arah pembaziran dan pembelian yang boleh menyebabkan pengguna berhutang atau mengalami masalah kewangan.

Kesimpulannya, iklan mempunyai dua peranan. Satu untuk memberitahu dan satu lagi untuk memusnahkan. Mungkin pengguna perlu bersikap bijak dengan membuat penilaian rasional selepas melihat sesuatu iklan. Pengguna tidak harus terburu-buru membeli selepas melihat iklan. Atau mungkin iklan harus diharamkan.

1 comment:

Glenys said...

Terima kasih. Saya menggunakan karangan ini sebagai panduan untuk karangan saya.