Perlu latihan?

Perlu latihan?

Wednesday, December 31, 2008

Selamat Tahun Baru 2009 - Kita Tentukan Masa Depan Sendiri


Hi Pelajar-pelajar

Nampaknya sudah menjadi satu kebiasaan setiap kali tahun baru menjelang pelbagai inspirasi dan idea akan muncul tetapi pastinya semua itu akan reda sebaik sahaja petang esok menjenguk dirinya. Tabiat manusia yang suka melupakan sesuatu setelah mengalami dugaan dalam kehidupannya. Manusia memang mudah lupa.

Buat pelajar nasihat saya ialah kekalkan keazaman kerana sudah pasti tahun 2009 akan menyaksikan pelbagai cabaran dan dugaan terutama buat mereka yang akan mengambil peperiksaan umum seperti STPM, SPM dan PMR serta UPSR. Hanya keazaman sahaja yang mampu memberikan anda semua tenaga untuk mengharungi tahun yang penuh rintangan ini. Teguhkan semangat untuk belajar dengan sering mengingatkan diri betapa pentingnya pendidikan untuk masa depan kita semua.

Dalam masa yang sama, saya berharap agar semua pelajar terus memberikan sokongan dengan melayari blog ini dari semasa ke semasa untuk maklumat karangan. Kalau anda semua sedari ada sedikit perubahan iaitu sudah ada tiga e-buku yang diterbitkan. Semua buku ini berguna untuk tatapan pelajar terutama yang akan menghadapi peperiksaan itu.

Buat saya, keazaman saya ialah untuk menghabiskan semua yang saya hajatkan dengan baik dan menjalani satu kehidupan yang penuh ceria terutama saya berharap semakin banyak gunung yang mampu saya daki dan semakin banyak karya saya hasilkan dalam masa yang terdekat ini. Blog ini akan terus saya usahakan walaupun mungkin tidak sekerap dahulu kerana keterbatasan masa dan tempat yang begitu jauh.

Akhir kata, doa saya sering bersama kalian semua kerana saya sedar betapa pentingnya pendidikan dan kehidupan manusia dan pelbagai cabaran yang menanti anda semua. Dalam hati saya yakin anda semua akan berjaya kerana anda semua menyedari matlamat hidup anda.

Semoga anda semua berjaya.

Cikgu Azman

Monday, December 29, 2008

Impak dan Langkah Atasi Pencemaran Alam Global


Karangan 6

Pencemaran alam telah menjadi satu isu global yang diputuskan oleh Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu. Impak ini memberi kesan yang ketara kepada manusia terutama di Malaysia.

Nyatakan kesan-kesan negatif yang timbul daripada kemelut ini dan langkah mengatasinya.


Pencemaran alam memang telah menjadi satu ancaman utama dalam pembangunan manusia sejagat. Tindakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mengakui berlakunya perubahan cuaca dunia akibat pencemaran yang dilakukan oleh manusia telah membuktikan masalah ini semakin kronik. Pencemaran alam memang disebabkan oleh sikap manusia itu sendiri sehingga menyebabkan banyak impak negatif yang timbul. Agaknya manusia tidak serik melihat kemusnahan yang mereka lakukan selama ini?

Bencana alam semakin menjadi-jadi terutama di Kuala Lumpur. Kawasan tanah runtuh di Ampang dan Puchong suatu ketika dahulu begitu menakutkan masyarakat di sini. Banjir kilat yang pasti berlaku sebaik sahaja hujan turun menyebabkan masyarakat berjaga-jaga setiap kali musim hujan menjelang. Keadaan ini menyebabkan kehidupan masyarakat dalam risiko dan menimbulkan rasa takut dalam perasaan mereka. Sekali hujan, sekali banjir, sekali Kuala Lumpur berubah.

Tambahan pula, kejadian tanah runtuh dan banjir serta jerebu membawa keadaan kesihatan masyarakat yang kurang baik.Kejadian demam, batuk dan wabak penyakit yang merebak menyebabkan kos rawatan perubatan masyarakat kita terus meningkat. Keadaan ini sudah pasti membebankan terutama kepada golongan berpendapatan rendah yang terpaksa memikirkan keseinambungan hidup selain mendapatkan rawatan penyakit mereka. Jadi,pencemaran alam memang memberi impak yang ketara dalam kehidupan kita.

Lantaran itu, masyarakat kita terutama generasi muda yang dilahirkan ialah generasi yang sudah terdedah dengan pencemaran alam. Generasi muda kita ialah generasi yang sudah ‘sakit’. Jadi, tidaklah kita terkejut apabila kita sering mendapat khabar tentang golongan belia yang tidak mampu untuk mengharungi cabaran alam yang memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi. Generasi muda mudah berasa penat dan tidak mampu menyelesaikan masalah fizikal yang mereka tempuhi. Mungkin juga generasi muda kita kekurangan kemahiran mendengar atau mempunyai penyakit lelah sejak kecil.

Imej negara sudah pasti akan terjejas terutama pada mata masyarakat antarabangsa. Pada mereka sikap masyarakat negara ini yang tidak peka yang menyebabkan alam kita tercemar begitu teruk. Kita dipandang sebagai masyarakat materialistik kerana terlalu ghairah memusnahkan alam semata-mata untuk mengaut keuntungan kebendaan. Kehadiran pelancong turut berkurangan bukan sahaja imej negara tetapi kurangnya kawasan untuk dilawati akibat pencemaran alam ini.

Mungkin langkah yang terpenting dalam menangani isu ini ialah kerajaan menguatkuasakan akta yang lebih tegas dan berat hukumannya. Kerajaan hendaklah berani mengambil tindakan bersama-sama menghukum pesalah pencemaran alam ini tanpa rasa segan silu. Kerajaan perlulah mempamerkan sikap yang telus dalam memastikan alam kita terus terbela. Kerajaan merupakan benteng pertama negara dalam menentang pencemaran alam.

Kesimpulannya, semua pihak harus menjadikan alam sebagai fokus perjuangan mereka. Alam bukanlah hak kita tetapi alam warisan yang kita tinggalkan untuk generasi akan datang. Jadi, alam bukan satu anugerah tetapi satu tanggung jawab yang memerlukan pengorbanan masyarakat untuk memastikan alam terus menerus diwarisi oleh manusia sejagat. Mungkin kali ini kita akan berjaya menangani kemelut yang semakin mencengkam ini.

Thursday, December 25, 2008

Buku E-Perkataan Banyak Makna 2009 Keluaran Khas


Buku E-Perkataan Banyak Makna 2009 ini berguna buat pelajar terutama untuk memahami maksud pelbagai perkataan yang ejaannya serupa tetapi ada banyak makna yang mengelirukan. Pelajar akan dapat mengetahui perbezaan dan penggunaan perkataan itu dalam bentuk ayat-ayat yang tertentu.

Sudah pasti buku ini membawa faedah kepada pelajar yang sering menghadapi masalah untuk menyelesaikan tatabahasa mereka. Dalam masa yang sama pemilikan buku ini memudahkan mereka untuk membina ayah yang diperlukan.

Harga buku ini hanya RM10 dan sesiapa yang berminat sila emel kepada saya:

azmanukm@gmail.com
atau
azmanukm@tm.net.my

Bakal terbit Buku E-Perkataan-perkataan Canggih (Untuk Karangan)

Monday, December 22, 2008

Karangan Kebaikan Program Penswastaan Negara


Karangan 5

Negara kita telah memperkenalkan Dasar Penswastaan. Ada pelbagai impak dasar ini kepada negara walaupun mendapat bantahan pada peringkat awal pelaksanaannya.

Terangkan kebaikan-kebaikan dasar ini.


Dasar penswastaan telah dimulakan dalam era pemerintahan bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohammed pada pertengahan 80-an. Dalam dasar ini agensi kerajaan telah dijual kepada syarikat untuk diuruskan sebagai sebuah syarikat. Dasar ini walaupun telah menerima pelbagai kritikan pada peringkat awalnya telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa kerana kejayaannya dalam beberapa aspek terutama kewangan.

Kebaikan dasar ini yang ketara ialah kerajaan mampu mengurangkan perbelanjaannya dalam menguruskan negara. Peruntukan yang sepatutunya diberikan kepada agensi kerajaan yang sudah diswastakan itu boleh disalurkan untuk kegunaan projek pembangunan lain yang lebih penting. Keadaan ini memastikan bebanan kewangan negara tidak menjadi satu alasan untuk tidak menjalankan sesuatu projek pembangunan. Dasar ini turut memastikan semua projek pembangunan berjalan lancar.

Malah, tahap perkhidmatan agensi kerajaan yang sudah diswastakan itu akan meningkat dengan drastik. Peningkatan ini berkaitan dengan konsep keuntungan yang dipentingkan dalam pengurusan sesebuah syarikat. Agensi yang telah diswastakan itu akan memperoleh keuntungan jika prestasi pekerja dan perkhidmatan mereka ditingkatkan pada satu tahap yang jauh berbeza sebelum daripada dasar penswastaan dilaksanakan. Justeru itu, mutu perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat akan meningkat dan menguntungkan mereka.

Peningkatan tahap perkhidmatan ini secara tidak langsung telah menyebabkan wujudnya satu persaingan sihat antara pekerja dalam agensi yang baru diswastakan atau di dalam negara secara amnya. Persaingan ini akan menghasilkan satu budaya kerja yang luar biasa sehingga menyebabkan produktiviti sesebuah agensi yang sudah diswastakan itu bertambah dengan baik dalam masa yang singkat. Sememangnya, pekerja akan bersaing untuk memastikan mereka terus relevan di dalam agensi yang diswastakan tersebut.

Tambahan pula, persaingan yang sengit ini sudah pasti menyebabkan peluang pekerjaan bertambah kerana sudah pasti lebih banyak peluang ekonomi terbuka dalam dunia yang penuh persaingan. Pelbagai idea baru turut terhasil melalui persaingan ini yang memerlukan satu tahap kemahiran kerja yang tinggi. Aspek ini mendorong pelbagai jenis pekerjaan baru terhasil di negara ini.

Selain itu, dasar ini memberi satu suntikan baru kepada imej negara. Masyarakat luar akan melihat Malaysia sebuah negara yang cekap dan efektif terutama dalam menguruskan negara. Kemampuan negara terjelma melalui sistem pentadbiran yang sistematik, pengangkutan awam yang menyeluruh, kemudahan bertaraf antarabangsa, dan sumber tenaga manusia yang berpengetahuan tinggi. Negara akan dianggap sebagai negara contoh dalam perbandingan pembangunannya.

Secara amnya, memang dasar ini membawa kebaikan yang tidak terhingga. Syarikat seperti TELEKOM, TNB, dan POS MALAYSIA merupakan agensi kerajaan yang telah diswastakan dan telah menunjukkan peningkatan dalam perkhidmatan mereka. Perubahan ini dijangka akan terus berlaku dalam tahun-tahun mendatang kerana sudah pasti mereka akan bersaing dengan syarikat-syarikat lain yang turut mahu mengaut keuntungan seperti mereka.

Tuesday, December 16, 2008

Buku Keluaran Khas E-Karangan 2009 dan E-Peribahasa 2009

Kedua-dua buku ini telah dihasilkan untuk memudahkan pelajar membuat rujukan pantas sebelum menghadapi peperiksan. Semua bahan yang disediakan mudah untuk dibaca dan dirujuk.

Buku E-Karangan 2009 merangkumi semua skop peperiksaan yang penting seperti tentang pencemaran, kes-kes sosial dan isu-isu semasa negara yang telah digubah dengan sistematik untuk tatapan semua.

Manakala buku E-Peribahasa pula telah disusun mengikut kategori seperti perumpamaan, bidalan dan simpulan bahasa untuk memudahkan pelajar memahami semua peribahasa yang penting.

Sesiapa yang berminat dengan kedua-dua e-buku ini sila emel kepada saya.

azmanukm@tm.net.my

Bakal terbit e-kata banyak makna.

Monday, December 15, 2008

Karangan kepentingan kawasan permainan perumahan


Karangan 4

Kerajaan telah mewajibkan pemaju perumahan untuk mewujudkan kawasan rekreaksi di kawasan perumahan. Tindakan ini telah menerima sambutan baik masyarakat.

Huraikan kesan-kesan positif yang timbul daripada pengenalan peraturan ini.


Taman rekreasi merupakan satu kawasan lapang yang penting terutama di kawasan perumahan. Usaha kerajaan mewajibkan setiap projek perumahan mempunyai taman rekreasi merupakan satu langkah bijak kerajaan. Tindakan ini sepatutnya dilakukan sejak dahulu kerana kewujudan taman rekreasi memastikan pelbagai impak positif muncul.

Sudah pasti kebaikan yang ketara ialah taman ini menjadi tempat permainan kanak-kanak. Kita semua sedia maklum bahawa dalam dunia yang penuh cabaran ini, ibu bapa sibuk bekerja sehingga menyebabkan anak-anak bersendirian di rumah. Jadi, kewujudan taman rekreasi di kawasan perumahan menjadi satu medan untuk golongan kecil ini bergembira dan melepaskan perasaan mereka sebagai kanak-kanak. Hidup kanak-kanak terkongkong di rumah tetapi bebas di taman rekreasi.

Malah, kewujudan taman rekreasi ini menjadi tempat berkumpul dan mengeratkan hubungan antara jiran tetangga. Kebiasaannya ibu bapa akan menghantar anak-anak mereka bermain di taman ini dan sementara menunggu anak-anak bermain, ibu bapa akan berbual dengan jiran-jiran yang turut menunggu anak-anak mereka. Interaksi ini memastikan hubungan antara masyarakat lebih mesra dan terjalin rapat.

Malahan, taman rekreasi boleh dijadikan tempat untuk menjalankan sesuatu majlis yang bercorak kejiranan. Majlis seperti majlis perkahwinan, pesta kejiranan, dan rumah terbuka boleh dijalankan di kawasan taman rekreasi itu. Kawasannya yang luas dan selalunya di tengah-tengah kawasan perumahan memudahkan untuk semua pihak datang dan terlibat dalam majlis itu. Dalam masa yang sama kos majlis mampu dikurangkan berbanding majlis yang diadakan di dewan serba guna atau dewan hotel.

Mungkin satu lagi kebaikan taman rekreasi ialah kawasan ini boleh menjadi tempat menghilangkan penat setelah bekerja. Suasananya yang tenang dengan kehijauan dan mungkin ada tasik di sekitarnya memberi satu perasaan hening yang diperlukan oleh manusia setelah penat bekerja di pejabat. Keadaan ini dapat mengurangkan tekanan di pejabat dan memastikan seseorang itu memperoleh tenaga untuk meneruskan kehidupannya.

Akhir sekali, kawasan rekreasi ini memastikan wujudnya kawasan hijau di sesebuah kawasan perumahan itu. Kawasan hijau ini turut membuktikan kesegaran dan suasana nyaman masih wujud di kawasan perumahan tersebut. Tambahan pula, kawasan perumahan akan lebih menarik kalau mempunyai taman rekreasi. Habitat serangga yang kecil turut terhasil dengan kewujudan taman ini.

Kesimpulannya, kawasan rekreasi bukanlah satu pilihan tetapi wajib dibina oleh pemaju perumahan. Kerajaan harus memantau perkara ini supaya pemaju perumahan tidak berdolak-dalih dalam pembinaannya. Kerajaan perlu bertegas dalam isu ini kerana sudah agak lama isu ini dibiarkan tanpa diberi perhatian oleh kerajaan. Malah, pemaju perumahan seharusnya menggunakan taman rekreasi sebagai unsur penting dalam mengiklankan projek perumahan mereka.


Tuesday, December 09, 2008

Karangan kepupusan hutan belantara negara


Karangan 3

Hutan negara kita semakin pupus lantaran sikap sesetengah masyarakat yang menjalankan aktiviti pembalakan terutama secara haram. Pelbagai usaha telah dilakukan tetapi masih gagal.

Jelaskan langkah-langkah yang mampu diambil oleh kerajaan dalam menangani kemelut ini.


Sememangnya hutan negara sedang mengalami proses kemusnahan yang mahu hebat. Setiap hari akhbar akan menyiarkan kemusnahan hutan, hidupannya dan impak sampingannya seperti kejadian banjir serta tanah runtuh. Cuma, masyarakat masih belum menyedari dan mengambil pengajaran daripada berita-berita yang menyedihkan ini. Kerajaan pula memang mempunyai tanggung jawab besar untuk memastikan hutan negara terus wujud dalam tempoh 100 tahun akan datang dengan melakukan pelbagai langkah drastik.

Sebenarnya, tindakan yang paling mudah ialah kerajaan mewartakan semua kawasan hutan sebagai Taman Negara dan Hutan Simpan Kekal. Tindakan secara undang-undang ini memastikan kawasan hutan itu akan terus terpelihara tanpa ada usaha untuk menebangnya demi mengaut keuntungan jangka pendek. Peruntukan undang-undang turut memberi satu peringatan yang jelas bahawa kerajaan memang serius dalam usahanya untuk mengawal kemusnahan hutan yang merupakan khazanah tidak ternilai negara itu.

Tindakan ini dipanjangkan terhadap hukuman kepada pesalah yang memusnahkan hutan negara. Hukuman yang dikenakan haruslah lebih berat yang melibatkan hukuman penjara dan denda. Pesalah turut dimaklumkan kesalahannya di dalam media massa untuk memberi peringatan kepada masyarakat. Sikap tegas dan telus kerajaan dalam melaksanakan undang-undang memberi impak yang ketara dalam usaha menangani kemusnahan hutan.

Malah, kerajaan boleh mewajibkan semua pokok yang ditebang atas sebarang aktiviti ekonomi seperti projek perumahan, pembalakan, dan pembinaan empangan diganti secepat mungkin dalam kuantiti yang tertentu. Kerajaan boleh mengenakan syarat bahawa setiap pokok yang ditebang harus diganti dengan dua atau tiga batang pokok. Langkah ini akan menyebabkan semua ahli perniagaan berfikir dua kali sebelum bersetuju untuk menjalankan sebarang projek atau berhati-hati dalam tindakan mereka menebang pokok yang berada di dalam kawasan projek mereka.

Langkah ini boleh dilanjutkan dengan menjalankan kempen kesedaran terutama dalam kalangan remaja. Pihak kerajaan seharusnya menjalakan kempen di sekolah-sekolah dengan menerangkan peri pentingnya hutan dalam ekosistem kita terutama ketika dunia sedang mengalami perubahan cuaca global ini. Remaja yang sudah memahaminya akan lebih bijak bertindak apabila mereka menjadi dewasa atau terlibat dalam projek pembangunan yang memerlukan satu kawasan hutan dimusnahkan. Lagipun, remajalah yang akan menjadi warisan hutan negara kita.

Selain itu, pasukan penguatkuasa terutama renjer hutan harus ditambah jumlahnya. Kawasan hutan yang terlalu luas agak sukar untuk dipantau oleh kaki tangan yang kecil bilangannya. Penggunaan teknologi seperti kapal terbang, satelit dan helikopter untuk tujuan pengawasan turut memudahkan kerja kerana kawasan hutan negara memang luas. Pengawasan yang cekap mampu memastikan kawasan hutan belantara kita tidak dicerobohi begitu mudah.

Kesimpulannya, masalah hutan negara memang serius dan semua pihak harus bertanggungjawab. Usah kita semua menuding jari tanpa mahu menerima atau mengakui kesilapan yang telah berlaku. Semua pihak harus duduk semeja dan mencari jalan untuk menyelesaikan kemelut yang memang sukar diatasi ini. Tanpa kerjasama semua terutama masyarakat, hutan kita pasti akan lenyap.

Friday, December 05, 2008

Karangan Sebab-sebab menganggap industri kraf tangan tidak bernilai?


Karangan 2

Penduduk desa telah dinasihatkan supaya membuat barangan kraf tangan untuk dijual kepada masyarakat. Namun, masih ada pihak yang mempertikaikan usaha mereka ini.

Jelaskan sebab-sebab mereka berpendapat usaha penduduk desa ini sia-sia.


Penduduk desa sudah mula memberikan perhatian terhadap penghasilan kraf tangan terutama untuk dijual. Sikap positif mereka ini telah didorong oleh tindakan kerajaan yang giat memberi galakan supaya mereka menjalankan aktiviti kraf tangan ini untuk menambah pendapatan mereka. Cuma yang menyedihkan ialah masih ada suara-suara sumbang yang menganggap tindakan penduduk desa ini tidak akan berjaya. Jadi, apakah pencetus yang menyebabkan ada segelintir pihak yang memandang rendah usaha penduduk desa ini?

Anggapan yang paling mudah ialah golongan ini memandang rendah mutu kerja penduduk desa. Pada firasat mereka, kualiti yang diperlihatkan selama ini masih di takuk lama yakni tiada perubahan drastik seperti reka bentuk dan penggunaan warna produk. Mereka menganggap aktiviti sampingan penduduk desa ini memang tidak mengutamakan kualiti. Pada mata golongan ini, kualiti barangan luar negara sahaja yang lebih baik walaupun anggapan mereka itu jauh daripada kebenarannya seperti peribahasa “jauh panggang daripada api”.

Faktor yang kedua sudah pasti aspek pemasaran kraf tangan penduduk desa itu sendiri. Pihak yang memandang rendah aktiviti ini mengutarakan ketiadaan usaha-usaha konkrit untuk memasarkan hasil kraf tangan ini terutama di pasaran antarabangsa. Ketiadaan usaha ini atau lebih tepat lagi agensi khas untuk memasarkan kraf tangan telah membantutkan pasaran kraf tangan negara. Mereka mahu kerajaan menubuhkan sebuah agensi khas untuk tujuan pemasaran barangan kraf ini sahaja.

Selain itu, kekurangan pelancong asing di negara ini turut menjadi alasan golongan yang menentang usaha membuat kraf tangan ini. Jumlah pelancong asing yang kecil dan kekurangan minat dalam kalangan pelancong tempatan untuk membeli hasil kraf tangan pada mereka telah menyebabkan usaha ini tidak perlu diteruskan atau diberi galakan. Mereka berpendapat jumlah pelancong asing yang lebih ramai harus disediakan sebelum usaha kraf tangan ini diberi galakan yang menyeluruh.

Alasan yang agak mengelirukan ialah ketiadaan sokongan kerajaan dalam usaha meningkatkan industri kraf tangan negara. Golongan ini berpendapat kerajaan tidak memberi galakan yang secukupnya seperti ketiadaan pelepasan cukai keuntungan atau memberi bantuan teknikal dalam usaha menembusi pasaran luar negara. Mungkin golongan ini terlalu bergantung kepada kerajaan tanpa berusaha sendiri untuk mencari jalan atau rakan niaga di luar negara dalam usaha mengembangkan pasaran kraf tangan negara.

Kesimpulannya, agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti KEMAS, Kementerian Kebudayaan, Kesenian, dan Pelancongan harus memandang serius tanggapan negatif segelintir masyarakat kita ini. Agensi kerajaan itu haruslah proaktif dalam membuat perancangan untuk menangani pandangan negatif mereka ini. Mungkin agensi kerajaan ini harus menggunakan pendekatan yang baru atau unik dalam usaha untuk meyakinkan masyarakat bahawa kraf tangan negara memang berpotensi untuk dikembangkan secara komersial.

Monday, December 01, 2008

Karangan Perindustrian Negara


Karangan 1

Negara kita telah mengutamakan perindustrian untuk mencapai era negara moden. Kerajaan telah menjalankan pelbagai dasar untuk meningkatkan tahap industri negara.

Terangkan kebaikan-kebaikan yang terjelma melalui langkah kerajaan ini.

Sememangnya negara kita telah memberi penekanan yang ketara terhadap aspek perindustrian terutama sejak awal tahun 80-an yakni era pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohammed. Penekanan ini sejajar dengan dasar kerajaan kita untuk mencapai tahap negara maju menjelang tahun 2020. Namun, perindustrian memang membawa pelbagai kebaikan kepada negara dan rakyat tanpa sebarang pertikaian lagi.

Kebaikan yang dibawa oleh perindustrian terhadap negara ialah dasar ini menyebabkan negara kita mampu mengurangkan import terutama barangan tertentu. Pengurangan import ini berupaya dilakukan kerana sektor industri negara telah berjaya menghasilkan produk tersebut pada harga yang lebih murah. Situasi ini turut memberi kesan terhadap sumber kewangan negara kerana kurang wang diperlukan untuk membayar harga barangan yang diimport. Lantas, wang tersebut mampu digunakan untuk pembangunan sektor lain.

Jadi, sumber kewangan negara yang berlebihan itu digunakan untuk meninggikan taraf hidup rakyat. Peningkatan taraf hidup ini dikaitkan dengan terhasilnya kemudahan-kemudahan seperti pendidikan, kesihatan, dan pengangkutan yang bertaraf tinggi kepada rakyat. Semua kemudahan ini dinikmati oleh rakyat negara kita tanpa perlu membayar kos yang lebih mahal. Kemudahan ini turut memudahkan rakyat untuk menjalani kehidupan seharian mereka.

Selain itu, penubuhan kilang menjadi antara intipati perindustrian. Kilang terpaksa dibina untuk menghasilkan pelbagai produk mengikut permintaan masyarakat antarabangsa. Justeru, permintaan terhadap bahan mentah negara akan meningkat. Hasil bahan mentah negara seperti bijih timah, getah, dan kayu akan meningkat selaras dengan perkembangan industri produk tersebut. Harga komoditi negara itu sudah pasti akan turut meningkat dengan mendadak yang menguntungkan rakyat negara ini.

Malah, penubuhan kilang ini sudah pasti memerlukan bilangan sumber manusia yang banyak. Rakyat negara ini akan mempunyai pekerjaan yang banyak atau boleh membuat pilihan. Kewujudan peluang pekerjaan ini sudah pasti menyaksikan negara ini mempunyai satu dimensi rakyat yang tidak bimbang tentang masa depan mereka kerana yakin kemampuan sektor perindustrian untuk terus berkembang dalam tempoh yang panjang.

Lantaran itu, semua perkara yang dinyatakan di atas telah menyebabkan imej negara turut meningkat. Masyarakat antarabangsa melihat negara kita sebagai sebuah negara yang mempunyai aktiviti ekonomi yang kukuh dan stabil. Pada mata mereka, negara kita telah berjaya menghasilkan satu bentuk kehidupan yang lebih baik daripada negara-negara jiran atau negara di benua lain yang masih berada di tahap yang menyedihkan. Imej yang baik di persada dunia ini sudah pasti memberi kesan psikologi terhadap rakyat negara kita yang berasa bangga tinggal di Malaysia.

Kesimpulannya, sektor perindustrian mampu membawa pelbagai impak positif kepada rakyat negara ini. Cuma dalam keghairahan kita menempa kejayaan dalam bidang ini, semua pihak harus menyedari impak negatif yang turut mampu terhasil akibat sektor ini. Mungkin kita harus merenung secara mendalam penekanan kita dalam bidang ini sebelum impak yang buruk menjadi ketara menjelang alaf mendatang.

Ibu bapa zaman ini penting memahami kefahaman erti pendidikan azali


Ibu bapa penting dalam menentukan hala tuju pendidikan negara

Saya menyokong benar pandangan seorang pembaca dalam akhbar The Star yang menganggap bahawa pendidikan zaman sekarang harus menekankan aspek mendidik dan bukannya menghasilkan pelajar kategori A yang menghafal sahaja. Huraian beliau tentang pengalamannya menunggu keputusan UPSR anak perempuannya begitu menarik dan melucukan dalam satu segi lain. Dalam hati saya ucapkan tahniah buat si ayah itu kerana saya percaya beliau memahami erti pendidikan sebenar.

Sebagai seorang guru, saya mengaku saya pernah didatangi oleh beberapa ibu bapa yang seolah-olah 'memberi kata dua' kepada saya seperti 'Cikgu azman, saya tak mahu C,B tapi A untuk anak saya”, “Saya mahu cikgu beri latihan banyak-banyak sampai anak saya berjaya” dan sebagainya. Malah, ada ibu bapa yang pelik juga dalam memastikan anak mereka berjaya ini dengan pelbagai permintaan yang saya rasa tidak sesuai ditonjolkan di ruangan ini.

Perlu difahami di sini bahawa saya bukannya menentang pelajar rajin belajar tetapi saya berpendapat setiap pelajar ada kelebihan dan kekurangannya. Ada yang bagus dalam pelajaran dan tidak kurang yang mahir dalam bidang lain terutama kesenian dan kemahiran teknologi. Perkara yang ingin saya tekankan ialah pendidikan di sekolah, kolej, dan univerisiti bukan kilang menghasikan manusia yang hanya tahu A bererti kejayaan dalam semua aspek kehidupan. Itu kepercayaan saya.

Jadi, berbalik kepada ibu bapa tadi, saya berpendapat ibu bapa mempunyai beberapa kriteria yang menjadikan mereka ini suka memaksa anak mereka menjadi anak kategori A. Pertama, ibu bapa ini jenis yang tidak memahami keperluan emosi atau peribadi anak mereka sendiri. Bayangkan ada ibu bapa yang bersama-sama anak mereka 24 jam sejak dilahirkan masih tidak tahu perkara yang dihajati oleh anak merea untuk hadiah hari jadi? Ya, saya pernah didatangi oleh seorang ayah yang bertanyakan saya tentang hadiah yang patut diberikan kepada anaknya. Saya hanya mengerutkan dahi kepala saya. Keliru.

Kedua, kategori ibu bapa yang ingin menebus kegagalan atau ketidakupayaan mereka dahulu ketika bersekolah. Ibu bapa jenis ini sering menekankan betapa mereka dahulu kurangan wanglah, peluang dan sebagainya untuk belajar. Kini, anak mereka menjadi mangsa untuk meneruskan atau menyambung semula impian mereka itu. Jadi, kalau anak ingin menjadi pelukis, pasti akan diherdik bukan-bukan tetapi kalau si anak mahu menjadi akauntan bertauliah diberi semua keperluan peperiksaan. Menarik.

Kategori ketiga ialah ibu bapa yang suka bersaing dengan jiran mereka. Inilah kategori yang paling saya benci kerana kategori ini sering berlumba-lumba dan memaksa anak mereka dengan begitu ketara. Kejayaan anak jiran pasti menjadi berita hangat dalam setiap tajuk perbualan keluarga kategori ini. Si anak hanya tunduk mendengar sahaja tetapi saya percaya dalam hati mereka penuh dengan rasa meluat dan bosan.Sedihkan.

Jadi, apa jalan menyelesaikannya. Pertama, ibu bapa harus menerangkan kepentingan pendidikan dalam hidup. Ya, ibu bapa boleh gunakan kesengsaraan atau kegagalan mereka dahulu sebagai satu contoh tetapi hanya sebagai contoh sahaja. Penerangan sebegini menjadikan si anak lebih rela mendengar dan cuba memahami sebab si ayah atau si ibu sering memaksa mereka belajar dengan tekun.

Kedua, ibu bapa harus memahami kelebihan dan kekurangan anak mereka. Selalu lihat tindakan-tindakan tersirat yang muncul seperti sikap si anak yang suka bercerita tentang sesuatu subjek itu atau kemalasan anak untuk melakukan sesuatu kerja sekolah. Apabila sudah diketahui bawa berbincang dengan si anak untuk memahami masalah itu dengan lebih lanjut lagi. Keadaan ini memudahkan ibu bapa dan si anak memahami keperluan satu sama lain dan mencari jalan penyelesaiannya.

Ketiga, ibu bapa harus menerima anak dengan sepenuhnya. Kalau si anak berjaya, tahniah harus diberikan dan jika si anak gagal, pelukan harus dihulurkan kerana apa-apa yang berlaku itu merupakan anak kita. Zuriat yang diberi tanggung jawab untuk kita mendidik dengan sebaik mungkin bukannya meminggirkan mereka.

Pasti ada ibu bapa yang tidak memahami perkara yang saya luahkan ini. Jadi, elok saya mudahkan sahaja dengan mengucapkan perkataan iaitu “Jangan paksa anak kita, biarkan keinginan itu timbul sendiri” kerana saya percaya tidak ada manusia di dunia ini yang suka dirinya dipaksa melakukan perkara apa-apa pun termasuklah belajar dengan rajin. Anda suka dipaksa belajar?