Perlu latihan?

Perlu latihan?

Monday, November 24, 2008

Belajar mesti ada minat


Semuanya bermula dengan minat seseorang

Dalam hidup kita mesti ada ada pilihan kerana itu merupakan satu lumrah dalam hidup seseorang. Minat bermaksud kita melakukan sesuatu tindakan atau perkara itu dengan penuh kerelaan tanpa rasa menyesal jika gagal mencapai pun perkara itu. Manakala terpaksa pula berunsur negatif iaitu melakukan sesuatu dengan perasaan yang berat atau lebih tepat tidak suka melakukan perkara itu.

Dalam hidup pelajar, minat merupakan satu aspek yang amat penting sebelum peroleh kejayaan dalam peperiksaan. Pelajar yang berminat untuk belajar akan mendapati bahawa proses pembelajaran begitu menarik dan mudah walaupun mereka sedang mempelajari bahagian yang paling sukar dalam pelajaran itu. Minat memberikan satu kesungguhan untuk memahami perkara yang sedang diterangkan oleh guru dalam subjek tertentu itu.

Pernahkah anda semua terfikir mengapakah anda mudah memahami satu subjek itu tetapi mengambil masa yang panjang untuk memahami subjek yang lain pula? Sudah pasti ada pelajar yang mengalaminya dan sekarang anda semua sudah sedar bahawa perbezaan itu wujud kerana subjek yang anda berjaya itu ialah subjek yang anda minat.

Jadi bagaimana hendak menimbulkan minat terutama terhadap subjek yang memang kita benci? Mungkin untuk mendapat kefahaman yang jitu tentang minat ini pelajar harus sering bertanya kepada diri sendiri beberapa persoalan:

(1)subjek ini amat penting dalam peperiksaan?
(2)subjek ini mampu memberi pengetahuan yang berguna pada masa depan?
(3)apakah keunikan subjek ini yang boleh menarik minat saya?

Semua pertanyaan itu bertujuan untuk mencipta minat dalam diri pelajar kerana ada sesetengah orang memang sudah mempunyai minat sejak awal lagi tetapi ramai yang perlu dibangkitkan minat mereka terhadap sesuatu perkara itu.

Kalau pelajar sudah mempunyai minat maka, pelajar sudah memasuki satu alam yang menyediakan mereka untuk belajar dengan baik.

Ingat minat cetuskan kejayaan anda semua.

Saturday, November 22, 2008

Percaya diri resipi berjaya


Percaya diri amat penting untuk berjaya buat pelajar

Ada pelbagai teori yang dipaparkan mengenai kejayaan seseorang. Ada yang mengaitkan keluarga, agama, pendidikan dan tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan tuah seseorang. Buat saya kejayaan seseorang itu banyak bergantung kepada dirinya sendiri terutama pada peringkat awal kejayaan itu hendak diperoleh. Maksud saya untuk berjaya seseorang itu perlu memiliki rasa percaya akan kebolehan diri sendiri dalam setiap bidang yang diceburi.

Lihat sahaja ahli sukan seperti Datuk Nicol David, Datuk Tony Fernandes seorang ahli perniagaan atau Datuk Seri Abdullah Badawi Perdana menteri kita yang berjaya. Saya yakin dalam diri mereka itu ada tersirat satu perasaan percaya akan kebolehan mereka untuk bersukan, membuat perniagaan yang menguntungkan dan memimpin negara dengan adil. Bagaimana saya berpendapat mereka semua ini percaya akan diri sendiri? Menewaskan jaguh sukan yang lain bukannya satu kerja yang mudah, begitu juga menjadi jutawan dalam sekelip mata bukannya senang atau memastikan setiap rakyat di negara ini hidup makmur sudah pasti sukar untuk dilaksanakan tetapi mereka semua berjaya.

Kalau saya renung secara mendalam, ramai pelajar yang menemui saya sering mengatakan bahawa mereka akan gagal walaupun peperiksaan masih jauh. Ada seorang pelajar yang pernah berjumpa dengan saya pada awal tahun dengan muka yang sedih lalu membuat pengakuan bahawa beliau sudah pasti gagal dalam kertas BM. Saya melihat diri pelajar itu lalu mendapati bahawa banyak pelajar saya yang serupa dengannya. Semua tidak percaya bahawa mereka mampu untuk berjaya dalam peperiksaan. Rasa merendahkan kebolehan sendiri umpama parasit yang mematahkan semanga juang seseorang.

Percaya terhadap kebolehan sendiri memberi satu semangat awal untuk mencapai apa-apa yang dihajati di dunia ini terutama dalam aspek pendidikan. Keyakinan dengan kemampuan diri memberi pelajar satu pemangkin bahawa mereka boleh berjaya kerana mereka insan yang sanggup mengharungi dugaan peperiksaan. Sikap percaya diri ini harus ditanam dalam diri setiap pelajar sebelum anda memulakan alam persekolahan nanti.

Dengan tertanamnya sikap percaya akan diri, pelajar akan sedar bahawa hidup mereka akan menghadapi pebagai rintangan tetapi mereka akan tabah menerimanya. Ketabahan ini mampu diteruskan kerana pelajar percaya diri sememangnya tabah. Mereka akan berasa yakin lalu persediaan peperiksaan berjalan dengan lancar.

Ingat lagi pelajar saya yang datang menemui saya di bilik guru? Saya memberitahunya dengan satu nada, kalau anda sendiri tidak yakin akan kemampuan anda untuk berjaya, bagaimana pula pandangan saya sebagai orang luar terhadap anda? Adakah saya patut mendidik anda? Mukanya berubah dan keluar dari bilik guru tanpa menoleh ke belakang.

Mungkin kadangkala kita terlalu melihat faktor luaran seperti pergi ke kelas tuisyen, membuat latihan yang banyak, meminum minuman tonik, beriadah dan sebagainya lalu kita lupa bahawa sebagai manusia kita diberi satu minda yang kuat. Minda yang mampu memberi semangat dan membawa diri kita untuk menerima semua dugaan peperiksaan demi kejayaan kerana kita semua percaya akan diri sendiri. Jadi, percayah diri anda sendiri sebelum orang lain mempercayai kemampuan anda yang sejati itu.

Teruskan belajar pelajar-pelajarku.

Tuesday, November 18, 2008

Cuti masa berehat bukannya belajar

Cuti digunakan sebaik mungkin

Sebenarnya ramai pelajar yang bertanya apa perkara yang patut mereka lakukan ketika cuti sekolah ini? Jawapan saya mudah sahaja iaitu bercuti dengan secukupnya. Mungkin ada yang terkejut kerana bukankah masa cuti masa yang paling baik untuk menelaah atau melihat buku apabila mendengar nasihat saya ini. Ya, memang benar cuti patut dihabiskan begitu tetapi kali ini cuti sebelum semua pelajar memasuki satu alam baru. Ada yang akan mengambil SPM, STPM atau PMR. Ada juga yang akan memasuki kelas baru maksud saya tingkatan yang baru.

Jadi, cuti ini harus dihabiskan dengan berehat. Maksud saya rehat ialah menghabiskan masa dengan ibu bapa, kawan dan mungkin melakukan aktiviti yang anda semua minat. Sukan, melukis, bermain permainan video atau hanya mendengar muzik sahaja. Semua ini mampu memberi satu perasaan nikmat kepada pelajar jika mereka menghayati cuti mereka dengan sebaiknya. Cuti ialah masa untuk berehat bukannya masa membuat kerja sekolah.

Masa cuti juga menjadi peluang untuk anda menjaga diri. Lakukan perkara yang anda minati merupakan satu tindakan yang mampu menyihatkan badan anda kerana anda akan berasa gembira. Ceria melakukan sesuatu tanda kita menjaga diri dengan baik. Diri yang sihat amat penting untuk menghadapi tahun depan yang pasti banyak dugaannya. Bukan sahaja menjaga pemakanan penting tetapi menjaga diri anda juga penting melalui aktiviti yang member keceriaan kepada anda.

Jadi, kalau anda masih lagi membaca buku, saya cadangkan agar anda keluar sekarang. Telefon rakan lama anda, berbual dengan mereka atau paling mudah ajak sahaja ibu bapa anda berjalan-jalan ke tempat yang anda hajati selama ini. Inilah masanya. Inilah peluang untuk anda. Ini masanya untuk meluahkan perasaan anda itu.

Kenapa? Sebaik sahaja alam sekolah bermula, anda akan menghadapi tekanan yang sangat berat. Kerja rumah yang melambak, suara guru yang anda benci, rakan yang sering membuli anda atau peperiksaan yang pasti membuatkan minda anda meletup akan berlaku dan berlaku dan berlaku berulang kali. Bukankah lebih baik anda bergembira sekarang daripada bermasam muka sepanjang musim cuti ini?

Teruskan bercuti semua pelajar.


Atas sebab-sebab tertentu, saya akan cuba mengemaskinikan blog ini sekerap yang mungkin berbeza dengan dahulu yang menyaksikan blog ini sering dikemaskinikan dalam masa yang singkat. Harap semua pelajar faham.

Monday, November 10, 2008

Karangan kepentingan dan Impak Buruk Telefon Bimbit Kepada Remaja

Telefon bimbit merupakan alat komunikasi penting dalam era globalisasi ini terutama kepada golongan remaja. Penggunaan telefon bimbit yang begitu meluas ini telah membuktikan bahawa teknologi ini penting kepada remaja dan impak negatif yang timbul.

Jelaskan.


Telefon bimbit sudah menjadi satu bentuk perhiasan diri yang harus dimiliki oleh semua remaja. Kecanggihan telefon bimbit sering menarik minat remaja sehingga ada yang sanggup menahan lapar atau bekerja ketika cuti sekolah semata-mata untuk mendapat telefon bimbit yang lebih baik. Keadaan ini menyebabkan ramai yang menganggap telefon bimbit sudah menjadi satu pembaziran tetapi ada yang masih menyanjung kepentingan telefon bimbit ini. Lantaran itu, apakah kebaikan-kebaikan telefon bimbit kepada remaja?

Satu kebaikan memiliki telefon bimbit ini ialah kemudahan untuk berkomunikasi. Hubungan antaa ibu bapa, adik, kakak, abang, kawan, guru dan sebagainya menjadi lebih akrab kerana telefon bimbit mempunyai kelebihan yang tidak mungkin dapat dicapai oleh perbualan tradisi kita. Konsep sistem pesanan ringkas (SMS) yang unik bersama-sama dengan ikon dan lagu atau irama menjadikan penggunaan teknologi ini untuk berinteraksi begitu romantik. Kemudahan berhubung juga mengelakkan pelbagai masalah seperti aspek keselamatan, tidak membuang masa untuk menunggu dan mendapat ketepatan tentang sesuatu perkara yang sering menimbulkan masaalah kepada remaja kini. Jadi, telefon bimbit memang membawa kebaikan kepada remaja dalam aspek komunikasi.

Kebaikan kedua ialah telefon bimbit ini menjadi satu bentuk penyampaian informasi yang pelbagai dan menarik. Teknologi ini memudahkan pelbagai maklumat disalurkan seperti berita, lagu dan data peribadi. Maklumat ini berguna kepada remaja kerana melalui penggunaan yang betul semua maklumat ini dapat memastikan remaja memahami sesuatu atau melakukan sesuatu dengan betul. Jelaslah, telefon bimbit yang mempunyai pelbagai guna ini penting dalam memastikan remaja kita menjadi remaja berinformasi.

Sudah pasti impak yang paling banyak dipaparkan ialah penggunaan telefon bimbit ini menyebabkan kos hidup remaja bertambah. Sikap suka menggunakan telefon ini untuk berhubung memastikan kos turut bertambah dan penggunaan telefon yang sebegini menyebabkan remaja tidak nampak penggunaan kosnya sehinggalah mereka terpaksa membayar bil telefon itu. Keadaan ini mungkin membawa mereka terpaksa mencari wang dan ada yang terpaksa beralih ke arah cara yang negatif seperti mencuri. Lantaran itu, telefon bimbit mampu menyebabkan remaja mengalami masaah kewangan yang serius.

Tambahan pula, penggunaan telefon bimbit menyebabkan remaja tidak memberi tumpuan dalam aspek pendidikan mereka. Ada remaja terutama yang masih belajar menggunakan telefon bimbit di dalam kelas ketika guru mengajar tanpa segan silu. Mereka juga sering menghabiskan masa dengan membuat SMS atau berbual sehingga melupakan tanggung jawab mereka sebagai pelajar iaitu belajar. Akibatnya, banyak pelajar akan terjejas prestasi pelajarannya kerana penggunaan telefon bimbit.

Konklusinya, telefon bimbit harus dikawal penggunaannya terutama kepada remaja. Ibu bapa harus menegur dan memarahi anak mereka yang keterlaluan menggunakan teknologi ini. Namun dalam masa yang sama penggunaan telefon bimbit in turut memberi sat dimensi baru kepada hubungan keluarga. Mungkin remaja harus lebih bijak dalam kemelut ini supaya mereka terus dihormati oleh masyarakat.

Karangan Kepentingan Bangunan Bersejarah di kekalkan

Kepentingan bangunan bersejarah di negara ini mula dilupakan kerana banyak bangunan ini telah dirobohkan untuk membina bangunan baru.

Huraikan.


Bangunan bersejarah sememangnya begitu banyak di negara ini terutama di Melaka dan Pulau Pinang tetapi malangnya dek kerakusan ekonomi semakin banyak bangunan ini yang sudah tidak lagi mampu berdiri sendirinya. Ada yang berpendapat bangunan ini harus dikekalkan kerana mempunyai banyak impak yang positif terutama kepada kehidupan masyarakat tetapi ada juga yang menolaknya. Pihak media massa turut serta dalam diskusi hebat untuk menentukan sama ada pembangunan lebih penting atau pengekalkan warisa yang maha penting. Sesungguhnya, ada banyak perkara baik yang boleh terhasil menerusi pengekalan bangunan bersejarah ini.

Impak yang paling baik pengekalan bangunan sebegini sudah pasti daripada aspek pelancongan. Industri pelancongan akan menjadi lebih besar kerana masyarakat asing memang suka melihat kesan-kesan sejarah sebegini. Bangunan ini juga memerlukan kos yang tinggi kerana tidak perlu dibina tetapi hanya dikekalkan sahaja kerana sudah lama dibina oleh penjajah atau penduduk di negara ini. Jadi, kalau bangunan lama dan bersejarah ini dikekalkan sektor pelancongan negara akan menerima kesan yang paling ketara.

Lantaran itu peluang kerja turut berupaya diwujudkan akibat kehadiran pelancong ini. Bukan sahaja kerja yang berkait terus dengan industri ini seperti pemandu bas pelancong tetapi juga kerja sampingan seperti kedai makan, hotel dan pengangkutan awam serta kedai kraf tangan akan menerima tempias kedatangan pelancong asing ini. Masyarakat di negara in tidak akan berasa bimbang kehilangan kerja kerana mereka mudah untuk memperoleh kerja yang lain pula. Oleh itu, pengekalan bangunan bersejarah mampu memastikan semua penduduk di negara ini memiliki pekerjaan.

Tambahan pula, nilai atau perasaan cinta akan negara sudah pasti berkembang dengan baik dalam naluri penduduk terutama remaja di negara ini. Perasaan ini wujud kerana bangunan bersejarah mempunyai kaitan dengan peristiwa penting yang berlaku di negara kita. Kewujudan bangunan ini sepanjang zaman memastikan rakyat terus mengingati kepentingan peristiwa sejarah itu kepada pembangunan negara. Jelaslah, negara akan memiliki rakyat yang tinggi perasaan nasionalismenya.

Begitu juga dengan imej negara terus tersohor pada mata masyarakat dunia kerana memiliki sikap menghargai peninggalan sejarah. Masyarakat yang menjaga bangunan bersejarah akan dianggap bangsa yang menghargai budaya dan sumbangan pemimpin lamanya. Sikap ini sudah pasti akan menimbulkan satu kesan positif dalam setiap pandangan masyarakat terhadap negara kita. Jadi, kita bukan sahaja menerima kesan ekonomi tetapi imej kita sebagai bangsa yang menghargai budaya turut diketahui umum.

Kesimpulannya, penjagaan bangunan lama harus dilakukan demi negara kita yang tercinta ini. Semua pihak tanpa mengira umur dan keturunan harus ada tanggung jawab menjaga bangunan sebegini. Kita tidak harus mengutamakan kemodenan sahaja kerana tanpa sejarah tiadalah kemodenan yang kita kecapi kini. “Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas” membuktikan betapa bangunan bersejarah ini penting buat kita.

Sunday, November 09, 2008

Karangan Ketidakstabilan Politik Jejaskan Pelancongan

Industri pelancongan akan terjejas akibat daripada ketidakstabilan politik yang berlaku dalam kalangan negara di dunia.

Bincangkan penyataan di atas.


Industri pelancongan memang menjadi satu sektor ekonomi yang sering menerima perhatian pelbagai pihak. keadaan ini timbul kerana sektor ini dikatakan mudah mendatangkan keuntungan ekonomi kepada sesebuah negara itu. banyak negara telah memberikan perhatian kepada sektor ini tetapi keadaan ketidakstabilan politik telah menyebabkan sektor ini tidak berkembang. Jadi, memang ada impak yang timbul jika negara itu tidak memilliki kestabilan politik.

Impak yang ketara ialah industri pelancongan itu akan terjejas. Jumlah ppeancong yang melawat ke negara it akan berkurang setahun demi setahun sepanjang ketidakstabilan poltik itu berlaku. Kekurangan jumlah pelancong ini berkait dengan keselamatan pelancong yang tidak boleh dijamin. keeselamatannya. Pendapatan negara daripada sumber pelancongan turut merosot. Jadi, ketidakstabilan politik memang membawa impak buruk terhadap sektor pelancongan negara.

Selain itu, pelaburan dalam sektor pelancongan berkurangan. keadaan politik yang tidak stabil menyebabkan pelabur takut untuk melabur d negara itu. Pelaburan di negara-negara yang berisiko tinggi ni dianggap tidak membawa kentungan. situasi ini turut menyyebabkan pelabur tempatan kekurangan modal untuk melaksanakan sesuatu projek pelancongan pula. Lantaran itu, pelabur asing in akan memilih negara lain yang lebih stabil politiknya.

Keadaan politik yang tidak stabil turut menyebabkan pembangunan negara menjadi perlahan. Pembinaan prasarana untuk pelancong semakin berkurangan. Keadaan prasarana yang sedia ada pula semakin dibiarkan begitu sahaja. Keadaan ini menyebabkan semua aktiviiti pembangunan yang dirancang akan terganggu. Oleh itu, kestabilan politik memang penting untuk memastikan pembangunan berjalan lancar.

Malah, imej negara turut terjejas kerana ketidakstabilanpolitik ini. Ramai pelancong tidak lagi suka datang ke sini atau memberitahu kawan-kawan mereka tentang keindahan negara kerana imej yang sudah terjejas itu. Lama-kelamaan, imej yang tidak dijaga ini akan membawa lebih banyak kemusnahan imej. Jelaslah, politik yang tidak stabil akan membawa banyak kesan buruk pada sektor pelancongan.

Konklusinya, sektor pelancongan dan politik berkait rapat. Semua pihak perlu melakuan sesuatu supaya keadaan ini tidak berlarutan terutama ketika negara sedang dlanda kemeseletan ekonomi. Mungkin semua pihak harus merenung dan melihat tindakan yang boleh mereka lakukan demi memastikan sektor pelancongan negara terus berkembang.

Karangan Kebaikan Kerahan Tentera di negara ini

Kerahan tentera menjadi alat penting dalam perpaduan negara.

Huraikan kebaikan-kebaikan mewajibkan kerahan tentera terhada remaja.

Kerahan tentera menjadi satu pilihan kepada kerajaan untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia. Sejak konsep ini mula dicanangkan menerusi media massa oleh pemimpin-pemimpin negara, pelbagai komentar telah diutarakan oleh pelbagai pihak. Sudah pasti ada yang menganggap langkah ini satu pembaziran dan sudah pasti ada yang melihatnya sebagai satu prospek yang boleh diteroka secara mendalam. Jadi, apakah impak-impak positif yang boleh ditimbulkan oleh kerahan tentera ini kepada remaja di negara ini?

Impak yang paling jelas sudah pasti aspek disiplin remaja akan mengalami perubahan yang ketara. Kita sudah sedia maklum bahawa remaja terkenal dengan sikap mereka yang tidak suka mematuhi peraturan atau arahan tetapi dengan melibatkan diri dalam kerahan tentera remaja kita tiada pilihan lain. Kalau dahulu arahan ibu bapa boleh dipandang enteng tetapi arahan pegawai tentera sudah pasti akan membawa hukuman yang berat jika diingkari. Oleh itu, remaja akan mematuhi peraturan secara terpaksa pada awalnya tetapi lama kelamaan menjadi kebiasaaan pula.

Selain itu, masalah jenayah yang sering dikaitkan dengan remaja juga akan terhapus dengan sendirinya. Penghapusan kes jenayah ini berkait dengan kesukaran untuk remaja bergaul dengan kumpulan-kumpulan yang tidak bertanggungajwab kerana mereka tidak mempunyai masa untuk lepak bersama mereka. Ilmu ketenteraan yang mereka terima juga menekankan aspek pentingnya menjauhkan diri daripada tindakan-tindakan yang boleh memberi masalah terutama jenayah. Oleh itu, kerahan tentera bukan sahaja memastikan remaja mempunyai disiplin tetapi tidak melibatkan diri mereka dalam kancah jenayah.

Negara kita akan memiliki satu bala tentera yang berkaliber dan ramai. Kerahan tentera memastikan negara mampu memilih lapisan generasi muda untuk menyertai tentera dengan mudah kerana ada antara remaja yang menyertai kerahan tentera ini akan menyertai tentera tetap selepas tamat tempoh perkhidmatan mereka. Kerahan tentera menyebabkan remaja kita mempunyai peluang kerjaya kerana tentera kita boleh memilih remaja yang terbaik dalam setiap bahagian untuk menyertai pasukan keselamatan negara. Jelaslah, kerahan tentera memberi peluang untuk meningkatkan kewibawaan tentera kita secara amnya.

Tambahan pula, hubungan antara kaum turut terjalin kerana kerahan tentera memastikan tiada sebarang batasan dalam perbedaan kaum diamalkan. Semua remaja yang menyertai kerahan tentera harus melakukan tugasan yang sudah ditetapkan tanpa sebarang diskriminasi. Tempoh kerahan tentera yang lama antara 2-3 tahun menyebabkan berlakunya interaksi antara remaja pelbagai kaum yang mengikat mereka selepas meninggalkan kerahan tentera. Sesungguhnya, semangat perpaduan wujud akibat kerahan tentera kerana semua kaum akan berinteraksi sesama mereka.

Kesimpulannya, kerahan tentera berupaya membentuk seseorang remaja yang memiliki jati diri yang tinggi nilainya. Negara yang mempunyai remaja seperti ini sudah pasti mampu mengharungi pelbagai rintangan dan dugaan yang timbul kemudiannya. Cuma konsep kerahan tentera itu sering dipandang serong oleh masyarakat. Mungkinkah sudah sampai masanya masyarakat merombak semula paradigma lama mereka ini? 'Tepuk dada tanya selera'.

Saturday, November 08, 2008

Karangan Peranan Ibu bapa Dalam Memupuk Sikap Membaca Remaja

Sikap membaca dalam kalangan anak?

Apakah peranan ibu bapa dalam aspek ini?


Amalan membaca menjadi satu amalan yang semakin dilupakan terutama oleh generasi muda kita. Amalan ini dianggap begitu membosankan kerana memerlukan penumpuan dan perhatian yang tinggi. Remaja juga memandang rendah pembacaan kerana membaca bukan sesuatu yang boleh menjadikan remaja 'teruja”. Jadi, apakah peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk menanam minat anak mereka untuk membaca.

Untuk memastikan anak mereka membaca, ibu bapa perlulah menyediakan satu ruang khas untuk aktiviti membaca. Ruang khas ini boleh menjadi perpustakaan mini buat keluarga dan mereka boleh menghabiskan masa di sana dengan membaca. Koleksi buku yang sesuai mengikut peringkat umur anak juga harus disediakan supaya semua boleh menikmati keseronokan membaca. Oleh itu, ruang membaca di rumah memupuk sikap membaca dalam diri remaja.

Sebenarnya ibu bapa bukan sahaja harus menyediakan ruang khas tetapi mereka juga harus menjadikan diri sebagai teladan kepada anak-anak dengan menghabiskan masa membaca daripada menonton televisyen. Jika ibu bapa menjadikan membaca satu rutin dalam keluarga seperti hari ahad masa membaca atau sebelum tidur membaca mungkin anak mereka akan mengikuti teladan ini. Lama kelamaan mereka sendiri akan berminat untuk membaca apabila sudah dewasa pula. Oleh itu, teladan ibu bapa memberi satu peringatan kepada anak untuk menirunya secara semula jadi.

Selain itu, ibu bapa berupaya memupuk sikap suka membaca dengan menjadikan amalan member hadiah hari jadi dalam bentuk buku. Banyak ibu bapa yang suka memberi hadiah berbentuk alat permainan atau pakaian yang tidak berupaya menambah keupayaan minda remaja. Buku yang bermutu mampu menjadi hadiah hari jadi yang bermakna buat remaja terutama jika buku itu memberi kesan mendalam kepada mereka. Maka, ibu bapa perlu menjadikan amalan memberi hadiah buku satu kewajipan mereka.

Tambahan pula, ibu bapa boleh menimbulkan minat membaca dengan membuat diskusi apabila terdapat sesuatu isu yang menarik di dalam buku atau media massa. Perbincangan ini sudah pasti menimbulkan minat kerana ibu bapa dan anak akan cuba berhujah untuk menentukan hujah mereka lebih baik. Suasana yang mesra ini bukan sahaja merapatkan hubungan malah boleh memberi satu peluang untuk anak membaca lebih meluas. Sesungguhnya, ibu bapa yang mampu berbincang dengan anak membuka satu perasaan ingin tahu yang mampu dipuaskan melalui pembacaan.

Kesimpulannya, ibu bapa menentukan minat remaja ada atau tidak tetapi masih ramai yang tidak memahami tugas mereka. Remaja pula menjadikan pelbagai alasan untuk tidak membaca terutama terlalu sibuk dengan kerja sekolah. Mungkin semua pihak perlu duduk semeja dan merenung diri mereka sendiri. Peribahasa 'membaca jambatan hidup' memang harus kita semua renungkan.

Karangan Cara-cara Untuk Menjadi Penulis yang Baik

Satu program tentang penulis telah anda tonton.

Nyatakan cara-cara untuk menjadi seorang penulis yang baik.

Penulis sering dianggap manusia yang bijak dan unik kerana berupaya menerangkan sesuatu aspek kehidupan, perkara, peristiwa atau apa-apa dengan mudah tetapi berkesan. Kerjaya sebagai penulis dikatakan satu kerjaya yang glamor terutama kalau hasil penulisannya berupaya dijual dengan banyak. Sikap media massa yang sering menayangkan kejayaan seseorang penulis turut menjadikan kehidupan penulis menjadi buruan media massa terutama akhbar yang mementingkan berita sensasi. Lantaran itu, apakah perkara yang harus dimiliki oleh seseorang untuk menjadi penulis yang berjaya?

Untuk menjadi penulis yang berjaya sudah pasti seseeorang itu perlu banyak menulis terutama aspek penulisan yang diminatinya. Penulis juga seperti kerjaya lain yang memerlukan seseorang itu untuk selalu berlatih sebelum berupaya menguasai aspek penulisan dengan baik. Latihan demi latihan ini memberikan penulis satu gambaran sebenar tentang cara menulis, cara pembaca memahami karya dan mungkin cara mendapatkan ilham untuk menulis. Jadi, seseorang yang ingin menjadi penulis perlulah banyak menulis tanpa ada perasaan jemu.

Selain itu, penulis juga harus memiliki sikap suka berbincang dengan orang lain tentang sesuatu perkara terutama bahan yang akan dijadikan asas penulisan mereka. Perbincangan ini berupaya menghasilkan satu kefahaman yang sejati tentang tajuk yang sedang ditulis oleh penulis itu. Sikap menerima pandangan membina atau kritikan orang lain menjadikan penulis itu lebih berjaya dan matang dalam penulisannya. Oleh itu, sikap suka berdiskusi memastikan penulis itu mampu untuk melihat sesuatu tajuk penulisan mereka dengan lebih baik.

Malah, sikap penulis yang baik juga banyak bergantung kepada sikap yang suka mengembara atau berjalan. Keadaan ini membolehkan penulis memiliki banyak pengalaman tentang kehidupan terutama perkara yang boleh menjadi topik penulisan mereka.Pengalaman yang diperoleh menerusi aktiviti berjalan atau mengembara ini berupaya menjadikan penulis lebih matang dan faham tindakan manusia terhadap sesuatu masalah yang timbul. Maka, penulis yang suka berjalan sudah pasti mempunyai banyak ilham untuk menulis terutama tentang kehidupan kemanusiaan.

Tambahan pula, penulis juga harus banyak membaca terutama pembacaan yang berbentuk akademik atau bersesuaian dengan penulisan mereka. Pembacaan memberikan mereka lebih banyak kefahaman tentang teknik penulisan penulis lain dan juga menajamkan minda mereka terhadap sesuatu topik itu. Membaca dan penulis merupakan satu ikatan yang tidak boleh ditukar ganti. Jelasah, penulis perlu membaca dengan banyak terutama ketika mereka sedang mencari bahan penulisan mereka.

Kesimpulannya, penulis yang berjaya ialah penulis yang rajin, suka membaca dan membuat renungan tentang kehidupan dengan lebih kritis. Sikap penulis yang peka terhadap sesuatu perkara menjadikan diri mereka begitu unik. Namun, masih ramai yang menganggap kerja menulis mudah dan tidak perlu satu masa yang panjang untuk menguasainya. Peribahasa 'sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain” membuktikan bahawa untuk menjadi penulis yang berjaya, seseorang itu memerlukan masa yang panjang untuk menguasainya.

Friday, November 07, 2008

Karangan Punca-punca Lumba Haram di Malaysia

Gejala lumba haram terus berlaku terutama di bandar besar.

Huraikan punca-punca gejala ini terus berlaku.


Gejala lumba haram atau lebih dikenali dengan istilah mat rempit telah menjadi satu isu yang begitu memeningkan semua pihak. Pihak kerajaan berusaha mengatasi masalah ini dengan memperkenalkan pelbagai tindakan tetapi masih gagal. Begitu juga dengan pihak masyarakat terutamanya ibu bapa yang turut berusaha menghalang anak-anak mereka terjerumus ke lembah hina ini hanya melihat kegagalan sahaja. Media massa dengan keupayaan mereka menyiarkan pelbagai program kesedaran turut menemukan jalan buntu dalam kemelut ini. Oleh itu, punca-punca yang menyebabkan masalah ini timbul harus dikaji secara mendalam untuk memastikan semua langkah yang diambil memang memberi kesan yang positif.

Sebenarnya masalah ini tercetus kerana kegagalan pihak ibu bapa melaksanakan tugas mereka dengan berkesan. Maknanya, ibu bapa tidak berupaya mendidik anak mereka supaya menyedari bahawa lumba haram merupakan aktiviti yang salah di sisi undang-undang. Kegagalan ibu bapa ini mungkin berkaitan dengan ketidakupayaan mereka untuk menjadi ibu bapa atau tidak memahami keperluan emosi anak mereka. Lantaran itu, anak mereka beralih ke arah lumba haram sebagai satu cara untuk memenuhi keperuan emosi mereka sebagai manusia yang perlu disayangi dan difahami perasaannya.

Untuk menyalahkan ibu bapa seratus peratus bukanlah satu jalan penyelesaian yang bijak kerana keadaan dunia yang serba moden terutama era globalisasi ini turut menjadikan masalah lumba haram ini mudah merebak. Penyiaran program barat terutama akiviti lumba haram menimbulkan rasa ingin mencuba di dalam naluri remaja di negara ini. Kehidupan yang serba moden mendedahkan remaja kita dengan pelbagai dugaan nafsu yang sukar untuk ditolak terutama kenikmatan lumba haram. Jelaslah, lumba haram bertambah ekoran bertambah modennya kkehidupan di negara ini terutama di bandar-bandar kosmopolitan.

Selain itu, kegagalan pihak kerajaan turut ketara terutama dalam menyediakan suasana kehidupan yang lebih ceria kepada remaja. Ketiadaan tempat untuk remaja meluangkan masa dengan berkesan turut menjadi faktor penentu merebaknya masalah ini. Begitu juga dengan kegagalan kerajaan untuk menyediakan peluang kerja yang cukup membawa ramai remaja beralih ke arah lumba haram untuk memenuhi masa mereka. Oleh itu, kerajaan turut memikul kesalahan atas munculnya gejala negatif ini.

Sikap masyarakat yang tidak prihatin menjadikan masalah ini berleluasa. Kita tidak menganggap masalah ini masalah sendiri selagi tidak ada ahli keluarga yang terbabit sehingga tidak mahu membuat laporan jika melihat aktiviti umba haram di kawasan mereka. Keadaan ini telah menyebabkan pihak polis sukar untuk menahan mereka yang terbabit dalam aktiviti negatif ini kerana tiadanya kerjasama masyarakat untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa. Jelaslah, sikap masyarakat yang “bagai pucuk melepaskan duri masing-masing” menjadikan kemelut sosial ini berlanjutan sehingga sukar untuk dikawal sekarang.

Konlusinya, masalah lumba haram harus dibanteras segera menerusi kerjasama semua pihak. Remaja juga harus memiliki jati diri yang kukuh supaya tidak mudah terpedaya untuk menyertai aktiviti lumba haram ini. Mereka harus memikirkan pendidikan, kerjaya dan masa depan mereka daripada memikirkan keseronokan sementara sahaja. Mungkin remaja harus merenung diri mereka sekarang. Apakah yang mereka mahukan dalam hidup ini?

Karangan Langkah-langkah Galak Pelancongan Dalaman Negara

Pelancongan dalam negara perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

Huraikan langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengembangkan pelancongan dalam negara ini.


Industri pelancongan memang merupakan satu industri yang menguntungkan buat negara terutama pelancongan dalaman. Sikap suka melawat tempat-tempat yang menarik di dalam negara seharusnya menjadi satu aktiviti mingguan penduduk di negara ini. Malangnya keadaan ini tidak berlaku jika kita menjadikan berita-berita yang tersiar menerusi media massa sebagai alat ukurannya. Sebenarnya, ada banyak langkah yang boleh diambil untuk menambah minat penduduk negara ini meneroka negara yang indah ini.

Langkah awal ialah destinasi baru pelancongan harus diteroka dan kawasan yang sudah sedia ada dikekalkan popularitinya. Kewujudan lebih banyak destinasi pelancongan menyebabkan penduduk negara ini mempunyai banyak pilihan untuk dilawati. Destinasi yang sedia ada juga harus diketahui oleh semua menerusi program memperkenalkan destinasi pelancongan. Jadi, destinasi yang baru memberi minat kepada masyarakat untuk melancong selain destinasi sedia ada diketahui ramai.

Keengganan masyarakat kita melancong di dalam negara juga dikaitkan dengan ketidakcekapan sistem pengangkutan awam kita. Ada banyak pelancong tempatan yang tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk sampai ke destinasi yang sudah dipillih oleh mereka. Jika sistem pengangkutan awam lebih cekap, sistematik, dan menyeluruh terutama antara destinasi ke destinasi seterusnya, sudah pasti jumlah kehadiran pelancong tempatan akan bertambah secara drastik. Jelaslah, sistem pengangkutan awam kita perlu mengalami perubahan yang menyeluruh sebelum menerima kehadiran pelancong tempatan.

Selain itu, pakej pelancongan yang unik harus diperkenalkan kepada masyarakat di negara ini. Sudah pasti terdapat pelbagai cita rasa yang unik untuk dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat di negara ini. Syarikat pelancongan perlu kreatif mencari jalan untuk memenuhi keperluan semua penduduk negara ini. Sesungguhnya, pengenalan pakej pelancongan yang begitu menarik berupaya menarik minat pelbagai lapisan pelancongan tempatan sama ada yang kaya, miskin, muda, tua dan sebagainya.

Malah, kerajaan boleh menjadikan hujung minggu sebagai cuti umum kepada penduduk di negara ini terutama yang bekerja dengan pihak swasta. Tindakan ini menjadikan masa dua hari iaitu sabtu dan ahad sebagai peluang untuk mereka melancong di dalam negara bersama-sama keluarga dengan lebih kerap. Cuti hujung minggu juga memudahkan mereka merancang masa percutian dengan lebih baik. Justeru, keputusan kerajaan mewajibkan cuti hujung minggu untuk pekerja awam dan swasta penting untuk meningkatkan jumlah pelancong dalaman.

Akhir sekali, kempen yang berkesan harus dilaksanakan oleh kerajaan dalam memastikan industri pelancongan dalaman turut mendapat tempat di hati penduduk tempatan. Penyiaran kempen ini perlu berterusan dan tidak hanya tertumpu ketika musim cuti sekolah atau sebagainya. Kewujudan kempen yang efektif dan berterusan memastikan penduduk negara ini sedar dan tahu tempat yang boleh dihabiskan oleh mereka bersama-sama keluarga tersayang. Jelaslah, kempen menjadi senjata terakhir yang berkesan untuk meningkatkan jumlah kehadiran pelancong tempatan di destinasi pelancongan negara ini.

Kesimpulannya, industri pelancongan dalaman negara kita harus diberi nafas baru. Usaha kempen terbaru kerajaan kita dengan memperkenalkan kempen ZOOM telah memberi sedikit impak positif terhadap industri ini. Cuma usaha yang lebih gigih dan meluas peru dilaksanakan segera. 'Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih” menjadi titik tolak kejayaan kita dalam mempromosikan pelancongan kepada penduduk tempatan.

Thursday, November 06, 2008

Karangan Peranan Kerajaan Menangani Isu Kenaikan Harga Barang

Kenaikan harga barang telah menyebabkan masyarakat berasa gelisah.

Jelaskan peranan kerajaan dalam menangani masalah ini.


Kenaikan harga barang telah menjadi satu isu yang sering dipaparkan di media massa sehingga menimbulkan satu polemik baru pula. Isu ini telah menyebabkan semua pihak menyuarakan pandangan mereka tentang punca dan cara untuk menyelesaikannya sehingga menjadikan isu ini diluar kawalan pula. Media massa seperti yang dikatakan pada awall tadi telah menggunakan kepincangan kerajaan untuk mengatasinya sebagai bahan berita mereka pula. Jadi, kerajaan memang memiliki peranan yang jelas untuk menangani isu ini secara tuntasnya.

Tindakan kerajaan yang paling mudah ialah memastikan semua barang yang penting kepada masyarakat dijadikan barang kawalan. Tindakan ini memastikan kenaikan barang yang dimaksudkan barang kawaan itu mesti mendapat kelulusan kerajaan dan kegagalan mematuhinya boleh menyebabkan sipelaku ditahan dan dipenjarakan. Buat masa ini hanya segelintir barang sahaja seperti minyak, tepung, dan ayam yang menjadi barang kawalan yang kurang memberikan impak yang diharapkan. Oleh itu, jumlah barang yang harus menjadi barang harga kawalan ini perlu ditambah untuk menangani masalah kenaikan harga barang di negara kita.

Selain itu, kerajaan boleh menubuhkan satu Suruhanjaya Kenaikan Harga Barang yang berfungsi untuk mengawal dan memantau polemik ini secara sistematik. Kewujudan suruhanjaya ini menyebabkan masalah kenaikan barang ini bukannya diketahui apabila musim perayaan hampir tiba sahaja tetapi sepanjang masa diawasi oleh suruhanjaya tersebut. Anggota suruhanjaya ini haruslah mereka yang berkecuali dan mampu melaksanakan tugas mereka dengan penuh wibawa dan telus. Oleh itu, penubuhan suruhanjaya seperti ini menyebabkan peniaga tidak boleh sesuka hati menaikkan harga barang tanpa sekatan.

Malah, kerajaan boleh menggubal satu akta yang boleh mengenakan hukuman yang setimpal kepada pesalah dalam isu ini. Akta ini hendaklah memliki keterangan yang jelas, hukuman yang berat dan aspek-aspek pencegahan yang berkesan untuk menangani masalah kenaikan harga barang di negara kita. Hukuman yang lebih berat dan praktikal menyebabkan peniaga tidak berani untuk melakukan tindakan menipu pengguna sesuka hati terutama dalam aspek harga barang. Sesungguhnya, kewujudan akta yang berkesan menyebabkan peniaga tidak lagi berani melakukan kesalahan kerana bimbang dan takut akan kesannya itu.

Bukan sahaja akta digubal tetapi kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna harus menguatkuasakan peraturan tersebut. Kerajaan harus mengarahkan semua kaki tangan kementerian menjalankan rondaan yang kerap dan menahan peniaga-peniaga yang melakukan kesalahan tanpa sebarang kesilapan lagi. Tindakan yang tegas dan telus ini menyebabkan peniaga tidak berani untuk melakukan kesalahan atau menawarkan rasuah untuk memastikan mereka terlepas daripada tangkapan. Jelaslah, penguatkuasaan turut penting untuk menyelesaikan polemik pengguna yang semakin sukar dikawal ini.

Konklusinya, kerajaan memang mempunyai tanggung jawab untuk memastikan masalah ini tidak berlanjutan dengan melaksanakan semua peranan di atas. Tindakan kerajaan yang tidak telus dan tegas telah memberikan satu imej bahawa kerajaan tidak serius dalam menangani kemelut pengguna ini. Dalam masa yang sama pengguna juga harus bekerjasama dengan membuat laporan atau menjauhi kedai-kedai yang menaikkan harga barang keterlaluan. “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” membuktikan bahawa pengguna dan kerajaan harus bekerjasama dalam menyelesaikan masalah ini.

Karangan Peranan Penulis terhadap negara

Anda telah menghadiri satu majlis pertemuan penulis-penulis negara. Dalam majlis itu anda telah mendengar ceramah mengenai kerjaya sebagai penulis.
Huraikan pendapat anda tentang perara-perkara yang boleh dilakukan oleh seorang penulis terhadap negara, bangsa dan ag
ama.


Penulis merupakan individu yang memiliki anugerah tuhan kerana melalui tulisan merekalah pelbagai perubahan masyarakat boleh mengambil tempat. Kerjaya mereka ini telah menyebabkan pelbagai persoalan manusia itu berupaya dijawab dengan begitu mudah dan membawa kesedaran yang hakiki kepada mereka yang membacanya. Media massa turut mencanangkan kelebihan penulis ini dengan sering menyiarkan bahan penulis dan genre sastera dalam semua terbitan program mereka. Jadi,peranan yang boleh dilaksanakan oleh penulis memang banyak terutama dalam dunia moden ini.

Kepentingan utama penulis ialah mereka menjadi individu yang pertama yang akan melahirkan sesuatu pendapat tentang kemelut yang sedang melanda negara. Diri mereka seolah-olah menjadi pencetus ilham kepada masyarakat untuk sama-sama memikirkan dan bertindak terhadap sesuatu masalah yang sedang mereka hadapi itu. Penulis menjadi penentu kepada kemelut yang harus mendaat keutamaan dalam percaturan pemikiran masyarakat. Oleh itu, penulis memang memiliki peranan penting dalam kehidupan bermasyarakat di negara kita.

Malah, karya penulis berupaya membuka minda masyarakat secara kritikal. Semua karya penulis berdasarkan pengamatan dan pengalaman serta pembabitan mereka dalam kehidupan seharian masyarakat yang sudah pasti berkaitan dengan pembaca. Keadaan ini menyebabkan masyarakat berupaya melihat dan memahami sesuatu isu itu dalam konteks yang lebih akademik. Jelaslah, penulis merangsangkan minda masyarakat kita untuk memahami sesuatu kemelut itu dengan lebih baik.

Bukan sahaja karya penulis mampu merangsangkan minda masyarakat tetapi karya penulis berupaya menjadi satu catatan sejarah buat negara. Ada penulis terutama yang menulis sesuatu isu, tempat, tokoh dan sebagainya dengan penuh maklumat dan bukti yang boleh menjadi rujukan kepada masyarakat kemudiannya. Sudah pasti hasil penulisan seperti ini mampu menjadi bahan kajian yang berguna kepada masyarakat apabila timbulnya keperluan untuk mengkaji sesuatu itu.

Selain itu, penulis yang menghasikan pelbagai buku turut mencambahkan ketinggian keintelektualan masyarakat. Negara-negara yang berjaya memiliki rangkaian penulis yang sering menghasilkan buku-buku yang bermutu terutama buku akademik yang penting kepada masyaraat berilmu yang ingin dicapai oleh negara. Buku-buku ini memberi peluang kepada kita semua untuk memahami idea dan perkara yang ingin disalurkan itu. Jadi, penulis yang menghasilkan buku turut meningkatkan tahap intelektualan masyarakat.

Karya penulis juga alat yang boleh membentuk peribadi remaja di negara ini. Semua karya penulisan bertujuan untuk menentukan kebenaran atau memberi peluang kepada seseorang memikirkan perkara yang benar dan salah di depan mata mereka. Kehidupan remaja yang penuh cabaran boleh menjadikan karya penulisan sebagai salah satu alat yang berupaya mendidik mereka untuk mengharungi kehidupan moden yang penuh dugaan in. Maka, perana penulis memang besar dalam kehidupan remaja yang tidak mampu untuk berfikir secara matang.

Kesimpulannya, peranan penulis di negara kita memang tidak terkata besarnya. Kehidupan mereka yang nampak mudah sebenarnya memerlukan penumpuan dan pemikiran yang mendalam untuk memudahkan kita semua memahami maksud sebenar penulisan mereka. Penulis menjadi antara kumpulan terpelajar yang boleh menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara itu. Peribahasa “mata pena lebih tajam daripada lidah” membuktikan betapa pentingnya kewujudan penulis dalam negara ini.