Perlu latihan?

Perlu latihan?

Saturday, August 23, 2008

Karangan Mengatasi Masalah Pembabitan Remaja Dalam Lumba Haram


Penglibatan remaja dalam perlumbaan motosikal secara haram membimbangkan banyak pihak. anda berhasrat untuk menulis satu artikel tentang cara-cara mengatasi gejala tersebut untuk tersiar dalam sebuah akhbar tempatan.
Tulis rencana itu selengkapnya.


Remaja dan lumba motosikal: Satu Penyelesaian Mutlak?
oleh: Azman bin Noor

Perlumbaan motosikal memang sering dikaitkan dengan remaja kerana aktiviti ini dikatakan mampu memberi semangat kepada remaja yang sedang mengalami satu proses kedewasaan yang kritikal. Remaja melihat lumba motosikal ini satu jalan mudah untuk menyelesaikan masalah kerana terutama masalah keluarga dan sekolah serta masa depan mereka. Kejadian demi kejadian lumba motosikal ini turut disiarkan oleh media massa menerusi pelbagai program mereka. Sememangnya, ada pelbagai tindakan yang boleh diambil oleh semua pihak dalam menangani isu yang semakin menular ini.

Sebenarnya tindakan yang paling penting dalam menyelesaikan kemelut sosial ini ialah ibu bapa memainkan peranan mereka dengan lebih efektif. Dalam mendidik anak, ibu bapa harus bijak dan berupaya untuk mengawasi tingkah laku anak mereka dengan berkesan terutama anak yang sudah mencapai umur remaja. Ibu bapa perlu mengenakan satu tahap disiplin dan dalam masa yang sama menyayangi anak mereka dengan sepenuh hatinya untuk memberi satu perasaan disayangi dalam diri anak mereka. Justeru, ibu bapa menjadi benteng pertama dalam usaha untuk menyelesaikan masalah yang melanda remaja kita ini.

Langkah susulan ialah pihak kerajaan membuat lebih banyak sekatan jalan raya di kawasan-kawasan berisiko tinggi untu berlakunya perlumbaan motosikal ini. Tindakan pihak polis yang lebih proaktif menyebabkan remaja berfikir dua kali sebelum terlibat dalam tindakan negatif ini kerana menyedari tindakan mereka sudah dihidu oleh pihak berkuasa awal-awal lagi. Pihak polis juga perlu membuat pengumuman awal tentang hasrat mereka mengadakan sekatan jalan raya untuk memberi amaran awal kepada remaja supaya tidak melakukan tindakan bodoh dengan membuat perlumbaan motosikal di situ. Maka, tindakan pantas dan bijak pihak kerajaan terutama pihak polis menyebabkan remaja tidak berani melakukan aktiviti sumbang ini.

Selain itu, tindakan menaikkan had umur untuk memiliki lesen motosikal boleh menghalang kejadian lumba motosikal ini dengan lebih berkesan. Had umur yang lebih tinggi ini menyebabkan semua remaja yang menunggang motosikal tidak perlu diperiksa kerana sudah pasti mereka tidak memiliki lesen motosikal. Keadaan ini menyebabkan pihak polis mudah untuk memantau isu perlumbaan motosikal ini dengan lebih menyeluruh. Jelaslah, kemelut yang melanda negara ini mampu diatasi dengan berkesan jika umur yang dibenarkan untuk menunggang motosikal ini ditingkatkan.

Kempen kesedaran turut perlu dilaksanakan dalam menangani kemelut yang melanda kalangan remaja kita ini. Penjelasan mengenai impak buruk lumba haram diperincikan dalam kempen itu untuk memberi kesedaran yang jitu kepada remaja. Dalam masa yang sama kempen ini turut menjelaskan tindakan undang-undang yang boleh dihadapi oleh remaja yang didapati bersalah terbabit dalam kegiatan lumba haram. Jelaslah, kempen yang begitu mudah tetapi efektif berupaya menghalang gejala sosial ini daripada menular dalam jiwa remaja kita jika dilaksanakan dengan baik.

Kesimpulannya, semua langkah di atas harus dijalankan secara bersistematik jika mahu melihat kejayaan membasmi gejala luma haram ini. Tindakan tegas pihak berkuasa terutama polis dalam penguatkuasaan undang-undang dilihat sebagai jalan yang paling penting. Kegagalan menangani isu ini boleh menyebabkan remaja kita terjebak dalam pelbagai masalah sosial yang lain terutamana penyalahgunaan dadah dan hubungan sosial yang bebas. Tindakan kita hendaklah berterusan dan bersungguh-sungguh seperti peribahasa “menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan” jika masalah ini hendak diatasi.

Monday, August 11, 2008

Karangan Rasuah. Faktor-faktor penyebab dan langkah-langkah mengatasinya


Fenomena rasuah sering dikaitkan dengan istilah tumbuk rusuk atau makan suap dan konotasi ini membawa maksud yang negatif kepada imej sesebuah masyarakat itu. Semakin tinggi kadar rasuah di sesebuah negara itu maka semakin rendahkan persepsi masyarakat luar terhada kemampuan rakyat negara terbabit untuk melakukan sesuatu terutama dalam aspek ekonomi. Media massaa turut menyiarkan pelbagai kes yang melibatkan pegawai kerajaan berprofil tinggi yang terlibat dalam amalan rasuah ini sebagai bukti betapa masalah ini semakin menular dalam masyarakat kita. Jelaslah, fenomena sosial ini mempunyai pelbagai imlikasi, punca dan langkah yang efektif untuk menanganinya.

Punca yang ketara tentang gejala ini sering dikaitkan dengan masalah ketelusan sistem pentadbiran kerajaan kita. Masyarakat menganggap masaah rasuah ini bermaharajalela kerana kerajaan tidak memiliki satu sistem yang telus terutama dalam aspek pemberian tender dan projek lain yang menyebabkan ramai pekerja awam mengambil kesempatan daripada kelemahan itu untuk mengambil wang secara haram ini. Ketiadaan sistem pemantauan yang berkesan telah menyebabkan ramai kaki tangan awam yang terangsang untuk melakukan jenayah yang keji ini. Jelaslah, masalah ini berleluasa apabila tiadanya satu ketelusan dalam sistem tadbiran awam negara kita.

Selain itu, masalah jenayah kolar putih ini turut merebak lantaran sikap masyarakat kita yang tidak peka dengan polemik masalah ini secara terperinci. Ada kalangan masyarakat yang menganggap masalah ini merupakan asam garam kehidupan yang harus dan telah dialami oleh semua negara di dunia ini. Persepsi sedemikian menyebabkan mereka menganggap tindakan mengambil rasuah dan memberi rasuah itu sudah menjadi satu kebiasaan yang tidak pernah dimalukan oleh sesiapa sahaja. Maka, kurangnya pemahaman masyarakat terhadap masalah rasuah ini menyebabkan masalah ini menular secara pantas dalam masyarakat kita terutama yang tinggal di bandar-bandar besar.

Bukan sahaja kurangnya pemahaman tentang masalah ini yang membawa penularan gejala sosial ini tetapi masalah ini turut mempunyai kaitan dengan penguatkuasaan undang-undang yang dikatakan lemah dalam sistem perundangan negara kita tentang isu rasuah ini. Tindakan mahkamah mengenakan hukuman yang dianggap ringan kepada pesalah-pesalah rasuah berbanding dengan jumlah rasuah yang diambil oleh mereka telah memberikan satu pandangan negatif terhadap keupayaan sistem kehakiman kita untuk menangani isu ini. Hukuman yang ringan ini dikatakan menjadi motivasi kepada pihak-pihak tertentu untuk mengambil risiko melakukan rasuah kerana mereka sedar mereka masih mampu menikmati hasil rasuah yang mereka ambil itu setelah keluar dari penjara. Sesungguhnya, kelemahan dalam sistem kehakiman menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan rasuah di negara ini telah memberi satu pandangan salah tentang rasuah ini kepada masyarakat kita.

Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah rasuah ini? Sudah pasti tindakan awal ialah kerajaan membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani kemelut ini dengan menahan, mendakwa dan menghukum pesalah-pesalah rasuah tanpa mengira kedudukan mereka. Rakyat masih beranggapan bahawa masih ada pihak-pihak tertentu yang mengambil rasuah tetapi mereka tidak di bawa ke muka pengadilan yang menimbulkan rasa tidak ppercaya rakyat akan keikhlasan kerajaan menangani isu ini. Kesungguhan kerajaan mendakwa atau menyeret mereka ini ke mahkamah akan memberi satu peringatan agar mereka tidak mengambil rasuah pada peringkat awalnya. Sesungguhnya, tindakan tegas kerajaan mendakwa semua pihak yang terlibat tanpa memilih bulu akan memberi petanda bahawa pengamal rasuah akan menerima hukuman yang setimpal dan menakutkan mereka untuk melakukan jenayah ini.

Usaha kerajaan untuk menakutkan pesalah rasuah dan masyarakat boleh dicapai menerusi satu kempen iklan yang efektif. Kempen yang dilancarkan itu mestilah menggunakan media massa secara holistik iaitu daripada akhbar hinggalah ke internet untuk memastikan semua khalayak masyarakat menerima kempen tersebut. Semua imej atau aksi yang dipaparkan melalui iklan itu mestilah berupaya meninggalkan kesan atau menjadikan masyarakat berfikir dua kali sebelum mereka menerima rasuah. Jadi, kempen yang begitu mudah tetapi berkesan menjadi satu wahana yang baik dalam peperangan memerangi amalan rasuah ini.

Seterusnya, penerapan konsep keagamaan dan moral hendaklah dilakukan terutama di sektor pendidikan negara seperti dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti. Usaha menerapkan konsep murni sebegini perlu dilakukan pada peringkat awal kehidupan seseorang itu supaya mudah untuk mengawalnya. Semua konsep yang baik dijelaskan kepada pelajar supaya mereka memahami keperluan untuk membebaskan diri dan negara daripada ancaman rasuah ini. Ringkasnya, pendidikan kepada golongan muda berupaya menyekat penularan wabak sosial yang begitu memalukan ini dengan begitu mudah dan berkesan.

Konklusinya, semua faktor dan langkah mengatasi kemelut sosial ini harus diteliti dan dipantau oleh semua pihak dengan berkesan. Perubahan paradigm masyarakat terhadap rasuah perlu berlaku terlibat dahulu jika masalah ini hendak diatasi hingga ke akar umbinya. Kelewatan untuk mengatasi masalah ini mampu menjadikan negara kita satu negara yang begitu sukar untuk dipercayai dan diuruskan pada masa hadapan. Mungkin konsep mencegah daripada mengubatinya lebih berkesan dalam memastikan rasuah terus berkubur dalam tempat yang sepatutnya.

Tuesday, August 05, 2008

Bahasa Canggih Karangan SPM


Tegar
Degil
Keputusan Azman tetap tidak berubah, dia benar-benar tegar.

Waham
Waswas, alasan yang samar-samar
Dia berasa waham untuk mengikut segala nasihat yang diberikan oleh kawannya itu.

Walang
Dukacita, gelisah, bimbang
Sungguh walang hatinya apabila memikirkan nasib dirinya yang sering ditimpa nasib malang.

Terban
Runtuh
Anjung rumahnya terban akibat reput dimakan oleh anai-anai.

Manai
Pucat
Muka Azman menjadi manai apabila dikejar oleh orang gila itu.

Mulus
Jujur
Sikapnya yang mulus itu sering menjadi bahan pujian kawan-kawan sekolahnya.