Perlu latihan?

Perlu latihan?

Friday, July 25, 2008

Karangan Faedah-faedah Lawatan Sambil Belajar


Lawatan sambil belajar sering dianjurkan oleh persatuan-persatuan kokurikulum di sekolah.
Huraikan faedah-faedah yang diperoleh daripada kegiatan seumpama itu.

Lawatan sambil belajar merujuk aktiviti luar kelas yang melibatkan pelajar dan guru melawat sesuatu tempat, kawasan, bangunan atau apa-apa yang memberi ilmu pengetahuan. Aktiviti ini menjadi satu aktiviti yang paling dinanti-nantikan oleh pelajar kerana mereka berpeluang untuk meneroka kawasan baru. Kepentingan aktiviti in turut mendapat liputan meluas dalam media massa terutama akhbar dan televisyen negara ini. Sesungghnya, ada pelbagai impak positif yang timbul menerusi aktiviti luar darjah ini terutama kepada pelajar.

Impak positif yang pertama ialah hubungan pelajar dengan guru menjadi lebih intim. Keakraban ini terjalin kerana guru dan pelajar perlu berinteraksi apabila merancang aktiviti seperti ini untuk satu tempoh yang lama. Pada masa yang sama hubungan ini menyebabkan guru lebih memahami pelajarnya dan boleh membantu mereka untuk menjadi seorang manusia yang lebh baik menerusi pemahaman sebegini. Jelaslah, aktiviti lawatan sambil belajar ini mempunyai impak seperti menyelam sambil minum air kepada semua pihak terutama pelajar.

Manfaat kedua yang terjelma menerusi aktiviti ini pula ialah pelajar mempelajari konsep mengurus sesuatu aktiviti dengan lebih efektif. Mereka akan faham kepentingan untuk membuat pemeriksaan demi pemeriksaan tentang sesuatu seperti jadual bas bertolak, jumlah pelajar yang menyertai dan aspek pemakanan. Semua pengalaman ini menyebabkan peajar itu akan berasa lebih yakin dan mampu melihat lebih awal sebarang kemungkinan yang oleh berlaku kerana sudah memiliki pengalaman lalu. Maka, pelajar akan memahami keperluan untuk mengurus dan menyelesaikan sesuatu masalah sebelum masalah itu timbul menerusi pengalaman lawatan sambil belajar ini.

Bukan sahaja pelajar berupaya mempelajari teknk-teknik mengurus tetapi pelajar memperoleh satu pengalaman unik yang tidak boleh diperoleh di mana-mana. Pengalaman ini dikatakan unik kerana bukan semua orang boleh memperoleh peluang yang sama untuk melawat ke sesuatu tempat itu. Pelajar boleh menggunakan pengalaman ini sebagai satu peluang untuk menjadikan hidup mereka lebih baik. Sesungguhnya, pengalaman sebegini hanya boleh terhasil menerusi lawatan sambil belajar.

Malah, lawatan sambil belajar memudahkan proses pembelajaran kerana suasananya yang berbeza daripada suasana di kelas biasa. Kadangkala pelajar lebih mudah menerima sesuatu ilmu itu jika suasananya berbeza sedikit daripada kebiasaannya. Lawatan sambil belajar ini boleh mengatasi masalah kebosanan pelajar terutama terhadap mata pelajaran tertentu yang memerlukkan penumpuan dan perhatian yang tinggi. Jadi, proses belajar menjadi lebih efektif menerusi lawatan sambil belajar ini.

Kesimpulannya, semua faedah yang dinyatakan di atas tadi berupaya membentuk satu rumpun pelajar yang berwibawa di negara ini. Kemampuan untuk mengalami sesuatu pengalaman itu menjadi satu perkara yang penting dalam kehidupan pelajar kerana itulah proses kehidupan yang sebenarya. Kalau semua pelajar kita menyertai aktiviti yang positif ini, sudah pasti negara kita tidak akan mengalami pelbagai gejala sosial yang sering kita dengar di dada-dada akhbar ini. Peribahasa “masa itu emas” boleh digunakan oleh pelajar kita untuk merenung kehidupan mereka dengan sebaik mungkin.

Monday, July 21, 2008

Karangan Pemupukan Nilai-nilai Murni


Pemupukan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar penting bagi melahirkan pelajar yang mempunyai semangat partiotik. Terangkan nilai-nilai murni yang perlu ada pada diri anda sebagai warganegara malaysia

Apakah nilai-nilai murni? Sudah pasti sesuai dengan istilah murni itu, konsep ini dikaitkan dengan tindakan-tindakan positif yang harus dimiliki, dilakukan dan diamalkan oleh seseorang itu. Tindakan positif ini memang semakin berkurangan dalam naluri pelajar terutama dalam alaf yang serba mencabar ini. Kedengaran nada-nada yang serupa juga menerusi paparan berita di dalam media massa yang mengesahkan bahawa konsep nilai-nilai murni sudah lama hilang. Jadi, ada banyak nilai murni yang harus dimiliki oleh semua pelajar di negara ini.

Salah satu nilai murni penting yang harus dimiliki oleh pelajar kita ialah semangat suka membantu sesama insan. Dalam era kemodenan ini semua tindakan menolong dikaitkan dengan konsep menerima pembalasan iaitu buat baik harus dibalas sesuatu yang berbentuk ganjaran kebendaan. Persepsi sebegini harus diubah segera supaya masyarakat pelajar kita memahami bahawa sikap membantu melepasi aspek bangsa, agama, umur, gender dan sosioekonomi seseorang itu. Jadi, pelajar kita perlu mencari dan memahami betapa sikap menolong itu amat penting dalam kehidupan mereka.

Bukan sahaja memiliki sikap menolong ini penting tetapi pelajar harus memupuk nilai saling menghormati terutama terhadap golongan warga emas. Rasa hormat kepada seseorang membuktikan bahawa pelajar itu memahami setiap rakyat di negara ini mempunyai hak mereka masing-masing. Tebalnya rasa hormat ini menyebabkan pelajar tidak mudah melenting apabila ditegur, dimarah dan dikritik oleh orang lain terutama mereka yang sudah berusia. Lantaran itu, sikap menghormati ini memberi satu kelebihan kepada pelajar untuk memahami tindakan orang lain dengan rasionalnya.

Malah, pelajar di negara ini harus menanam nilai rajin dalam diri mereka terutama dengan persaingan globalisasi yang begitu meruncing. Kerajinan pelajar dalam mencari ilmu pengetahuan menjadi aset yang penting untuk mereka memajukan diri dan negara yang memerlukan tenaga muda mereka itu kelak. Keupayaan pelajar untuk melakukan pelbagai perkara dalam satu-satu masa juga membuktikan pelajar telah menggunakan masa muda mereka dengan sebaik mungkin. Jelaslah, pelajar mesti ada sikap rajin jika mereka ingin meneruskan kehidupan yang penuh cabaran ini.

Pelajar di negara ini harus juga ada nilai setia dalam setiap hubungan yang dialami oleh mereka. Perasaan setia ini membantu pelajar untuk memilikii satu perasaan rasa dhargai oleh orang lain terutama dalam hubungan persahabatan mereka. Kesetiaan in boleh dipanjangkan dalam perasaan mereka terhadap negara yang tercinta ini. Maka, rasa setia yang pelajar miliki menyebabkan mereka akan menikmati kehidupan ini dengan lebih baik dan ceria.

Akhirnya, semua nilai murni yang dinyatakan di atas itu harus menjadi sebahagian daripada diri pelajar. Perasaan ingin membantu menjadi asas dalam usaha untuk memupuk nilai-nilai murni yang lain daam diri pelajar kerana sikap inilah yang berupaya mewujudkan nilai-nilai lain tanpa disedari oleh pelajar itu. Pemilikan semua nilai-nilai di atas berupaya melahirkan satu kelompok pelajar yang begitu baik sahsiah dan mampu mengharungi kehidupan yang mencabar ini. Peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya menjadi satu renungan kepada ibu bapa untuk memulakan tugas mendidik mereka sebaik mungkin kepada anak mereka.

Tuesday, July 15, 2008

Karangan Keganasan Rumah Tangga merupakan masalah sosial yang paling kritikal.


Masalah sosial yang paling kritikal dan hangat diperkatakan ialah masalah keganasan rumah tangga. anda bercadang untuk menulis sebuah rencana di akhbar dengan menyentuh punca-punca berlakunya masalah ini dan langkah-langkah mengatasinya. tulis rencana tersebut selengkapnya.

Keganasan rumah tangga ditakrifkan sebagai tindakan ganas yang melibatkan fizikal yang dilakukan oleh suami terhadap isterinya sehingga membawa kemudaratan yang teruk. Tindakan penderaan fizikal ini boleh ditentukan melalui kesan-kesan calar, luka, lebam dan patah yang dialami oleh seseorang isteri itu. Kemelut ini memang serius kerana turut disiarkan oleh media massa menerusi program-program beritanya. Maka, ada pelbagai faktor penyebab yang perlu difahami dan langkah pencegahannya supaya masalah ini mampu dikawal penularannya terutama dalam kalangan pasangan muda negara.

Penularan polemik sosial ini boleh dikatakan berpunca daripada corak pemikiran masyarakat kita terutama kaum lelaki yang menganggap diri mereka sebagai ketua rumah yang mutlak. Konsep ini dijelmakan menerusi semua arahan suami harus dipenuhi dan dilaksanakan dengan segera oleh isteri yang bakal menimbulkan kesan negatif jika gagal dibuat dengan sebaik mungkin. Sikap suami yang terlalu mendesak isteri supaya mematuhi arahannya menyebabkan gejala negatif ini mudah berlaku. Jelaslah, sikap lelaki yang ego menjadi penentu kemelut ini terus berlaku dalam kalangan masyarakat kita.

Polemik ini turut menular kerana meningkatnya tekanan di pejabat yang menyebabkan ada golongan lelaki yang tidak berupaya untuk menahan impak psikologi bebanan ini. Masalah kerja yang dialami itu terus dibawa pulang ke rumah yang menyaksikan ramai yang menjadikan isteri mereka sebagai tempat meluahkan perasaan marah mereka itu. Tindakan mendera yang mungkin pada peringkat awal dilakukan tanpa sedar terus menjadi-jadi seiringan dengan bertambahnya tekanan yang dialami di pejabat. Mungkinkah kaum lelaki harus lebih peka dengan bijak mengawal tekanan pejabat daripada terus menjejaskan pertimbangan mereka?

Selain itu, kemelut sosial ini turut meningkat saban tahun kerana kurangnya pendedahan wanita terhadap hak mereka dalam sesuatu perhubungan itu. Kegagalan wanita untuk memahami hak mereka sebagai pasangan menyebabkan mereka seolah-olah merelakan penderaan yang dialami itu. Keadaan ini pula diburukkan dengan keadaan ketiadaan tempat untuk mengadu masalah ini. Oleh itu, masalah yang memalukan ini terus wujud kerana wanita masih kabur tentang hak mereka dalam kehidupan zaman moden.

Malah, kemelut ini turut dikaitkan dengan pandangan masyarakat yang menganggap masalah rumah tangga sebagai satu masalah peribadi seseorang. Persepsi ini menyebabkan masyarakat terus menyepi diri walaupun mengetahui wujudnya masalah ini dalam kalangan jiran mereka. Keengganan masyarakat untuk melibatkan diri secara serius dalam isu ini turut menyukarkan mangsa untuk mendapatkan nasihat dan panduan menyelesaikan masalah ini. Justeru, masalah ini terus wujud dalam diri seseorang itu seperti api dalam serkam yang secara senyap-senyap memusnahan kehidupan seseorang insan itu.

Kesimpulannya, semua faktor di atas menjadi satu pemangkin yang mewujudkan kemelut sosial ini. Kegagalan individu untuk mengawal perasaan mereka menjadi penentu dalam menyelesaikan masalah yang tidak mengira kaum, umur dan tahap pendidikan ini. Kegagalan untuk membendung polemik ini berupaya untuk membawa kemusnahan institusi keluarga negara. Peribahasa 'sudah habis madu sepah dibuang' menghuraikan betapa mudahnyya kasih sayang antara manusia menghilang.

Wednesday, July 09, 2008

Karangan Permainan tradisional semakin dipinggirkan pada zaman ini.


Permainan tradisional semakin dipinggirkan pada zaman ini.
Pada pendapat anda, perlukan usaha-usaha dilakukan untuk mempertahankan permainan-permainan tradisional?


Apakah definisi permainan tradisional? Sebenarnya menurut Kamus Dewan, permainan tradisional merujuk permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesuatu masyarakat itu untuk satu tempoh yang tertentu seperti dalam kes masyarakat kita permainan gasing, wau dan dam menjadi permainan tradisional. Masyarakat kita masih lagi memainkan permainan ini tetapi semakin lama semakin dipinggirkan terutama oleh masyarakat muda di negara ini yang terlalu mengutamakan permainan moden. Peminggiran permainan tradisional ini turut diketengahkan oleh media massa yang sering menyiarkan rungutan penggiat budaya yang menganggap masyarakat belia di negara ini sudah tidak lagi memandang tinggi permainan budaya sendiri. Oleh itu, ada banyak tindakan yang boleh dilaksanakan untuk memastikan permainan ini terus wujud dalam minda masyarakat kita.

Langkah awal yang boleh dilakukan dalam menangani isu ini ialah kerajaan menyediakan lebih banyak tempat-tempat atau gelanggang untuk memudahkan rakyat memainkan permainan ini. Kewujudan gelanggang ini memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menikmati permainan ini. Kekerapan bermain permainan ini berupaya untuk mewujudkan satu kesedaran yang hakiki terhadap permainan budaya mereka ini. Oleh itu, pembinaan gelanggang yang cukup oleh pihak berwenang mampu memberi nafas baru kepada keseinambungan permainan warisan budaya ini.

Berkaitan dengan pembinaan gelanggang, pihak kerajaan boleh memajukan permainan ini dengan turut menyediakan jurulatih yang terlatih di setiap gelanggang yang telah disediakan itu. Kewujudan jurulatih ini memastikan masyarakat menerima latihan yang tepat tentang sesuatu permainan itu dan berupaya mengajarkan ilmu itu kepada anak-anak mereka pula. Langkah ini memastikan berlakunya keseinambungan dalam memainkan permainan yang semakin dilupakan lantaran tiadanya tunjuk ajar yang tepat tentang permainan tersebut. Jelaslah, permainan warisan budaya ini akan terus dimainkan jika ada jurulatih yang bertauliah untuk mengajar masyarakat kita.

Selain itu, pihak sekolah boleh menjadikan permainan tradisional ni sebagai salah satu bentuk aktiviti kokurikulum yang disertai oleh pelajar. Tindakan ini memastikan pelajar kita terdedah dengan jenis-jenis permainan tradisiona sejak muda lagi dan memahami kepentingan mengekalkan permainan ini. Kesedaran yang dipupuk sejak awal in mampu memberi impak yang mendalam dalam jiwa seseorang pelajar sehinggalah mereka memasuki alam dewasa. Jadi, pihak sekolah wajib menjadikan permainan ini sebagai satu aktiviti sekolah yang penting untuk disertai oleh pelajar.

Malah, permainan tradisional ini boleh dikekalkan jika pihak berkuasa mengadakan promosi yang berkesan tentangnya menerusi media massa. Penayangan iklan yang bersesuaian seperti menjelaskan aspek kepentingan permainan ini boleh menimbulkan kesedaran dalam diri masyarakat. Pemahaman ini kemudiannya akan dijelmakan dalam bentuk masyarakat cuba mengekalkan dan memainkan permainan ini sekerap mungkin dalam hidup mereka. Sesungguhnya, promosi yang sesuai dan kena kepada sasaran memberi satu dimensi baru pada permainan ini untuk terus hidup dan berkembang dalam masyarakat moden kita.

Konklusinya, permainan tradisional boleh dikekalkan jika semua langkah-langkah yang dijelaskan di atas itu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Masalah yang timbul ialah pihak berkuasa tidak mempunyai keinginan politik yang bersungguh-sungguh untuk menjayakan projek sebegini. Kelesuan minat pihak berkuasa dalam aspek ini bakal menyaksikan permainan tradisional ini semakin dilupakan. Peribahan 'tepuk dada tanya selera' sesuai menjadi renungan kita semua kerana jika kita masih leka mungkin permainan ini akan terus terkubur.

Monday, July 07, 2008

Karangan Aktiviti kokurikulum berperanan untuk melahirkan remaja yang berwawasan dan berdisiplin


Aktiviti kokurikulum berperanan untuk melahirkan remaja yang berwawasan dan berdisiplin.Berikan pendapat anda tentang perkara tersebut


Aktiviti kokurikulum merujuk aktiviti yang luar darjah yang melibatkan aktviti yang berpersatuan, lasak dan mungkin kemahiran tertentu. Kegiatan luar darjah ini berupaya untuk memberikan satu pperspektif baru kepada pelajar dalam menjalani kehidupan mereka di sekolah dan luar sekolah. Kelebihan kegiatan ini turut dipaparkan di dalam pelbagai media massa di negara ini yang membuktikan manfaat menyertainya. Jadi, pembabitan pelajar dalam kegiatan ini memang membawa pelbagai impak positif dalam kehidupan mereka.

Sebenarnya, aktiviti kokurikulum memberikan pelajar satu keyakinan diri yang hakiki menerusi pembabitan mereka dalam setiap aktiviti kokurikulum yang dijalankan itu. Keyakinan diri ini timbul kerana setiap kali berjaya melaksanakan sesuatu tugasan itu mereka akan menimba pengalaman yang memberi mereka satu jangkaan awal apabila melakukan aktiviti lain pula. Sudah pasti perasaan ini memudahkan mereka untuk menjalani kehidupan selepas sekolah yang lebih mencabar suasananya. Maka, penglibatan kokurikulum memang memberi manfaat kepada seseorang pelajar itu.

Selain itu, pelajar yang melibatkan diri dalam kokurikulum turut memiliki tahap disiplin diri yang tinggi dalam diri mereka. Pemilikan disiplin yang tinggi ini terhasil kerana semua aktiviti kokurikulum memerlukan seseorang pelajar itu mematuhi beberapa peraturan tertentu yang meliputii pakaian seragam, aktiviti, masa berlatih dan tempoh akhir untuk menyiapkan sesuatu projek itu. Semua aktiviti ini hanya boleh dilakukan jika seseorang pelajar itu mempunyai disiplin yang tinggi kerana masa untuk belajar dan beraktivti hanya boleh diseimbangkan menerusi satu disiplin yang tinggi. Oleh itu, pelajar yang melibatkan diri mereka secara aktif dalam aktiviti ini akan mempunyai satu sikap mementingkan disiplin yang tinggi.

Malah, pembabitan pelajar dalam kokurikulum menghasilkan pelajar yang berhati mulia dan baik. Rasa hormat kepada ibu bapa, guru dan rakan sebaya terhasil kerana setiap aktiviti kokurikulum menekankan aspek menghormati orang lain. Kekerapan melakukan aktivit ini secara tidak langsung akan menerapkan nilai-nilai kesopanan yang jitu dalam diri mereka. Jelaslah, kokurikulum mampu membentuk pelajar menjadi pelajar yang memiliki ciri-ciri sopan yang tinggi.

Mungkin satu impak positif kegiatan kokurikulum yang baik ialah aktiviti ini memberikan pelajar satu sikap bersaing yang tinggi. Sikap persaingan positif ini menyebabkan pelajar tidak gentar untuk menghadapi setiap cabaran yang mendatang. Mereka seolah-olah sudah lali untuk mengharungi kehidupan yang penuh dengan dugaan dalam aspek alam persekolahan atau kehidupan biasa mereka. Justeru,

Konklusinya, pelajar yang melibatkan diri mereka dalam aktiviti kokurikulum akan berjaya memiliki satu personaliti yang berkualiti tinggi. Semua ciri yang diutarakan di dalam hujah ini akan membantu mereka untuk mengharungi kehidupan yang penuh dengan dugaan yang besar ini. Cuma pelajar yang sebegini lebih mudah untuk menyelesaikan masalah mereka itu. Slogan 'pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa” sesuai menjadi pedoman kita dalam aspek ini.

Wednesday, July 02, 2008

Soalan-soalan Karangan Sensasi 2008


Semua pelajar cuba buat soalan-soalan ini. Saya akan menulis semua karangan ini dalam beberapa minggu akan datang. Jadi pastikan anda melayari blog ini berterusan. OK.

Terus belajar.

1.aktiviti kokurikulum berperanan untul melahirkan remaja yang berwawasan dan berdisiplin.Berikan pendapat anda tentang perkara tersebut

2. permain tradisional semakin dipinggirkan pada zaman ini.Pada pendapat anda, perlukan usaha-usaha dilakukan untuk mempertahankan permainan-permainan tradisional?

3. lawatan sambil belajar sering dianjurkan oleh persatuan-persatuan kokurikulum di sekolah. huraikan faedah-faedah yang diperoleh daripada kegiatan seumpama itu.

4. masalah sosial yang paling kritikal dan hangat diperkatakan ialah masalah keganasan rumah tangga. anda bercadang untuk menulis sebuah rencana di akhbar dengan menyentuh punca-punca berlakunya masalah ini dan langkah-langkah mengatasinya. tulis rencana tersebut selengkapnya.

5.kepentingan budaya tradisional dan langkah-langkah mengatasinya

6. penglibatan remaja dalam perlumbaan motosikal secara haram membimbangkan banyak pihak. anda berhasrat untuk menulis satu artikel tentang cara-cara mengatasi gejala tersebut unter tersiar dalam sebuah akhbar templtan. tulis rencana itu selengkapnya.

7. sekolah anda akan menerbitkan majalah tahunan. anda berminat untuk menulis rencana yang bertajuk"kesenian da permainan tradisional: kepengtingannya kepada masyarakat dan negara." tulis rencana itu selengkapnya.

8. kini remaja mengikut trend semasa sama ada dari segi gaya hiduo mahupun cara berpakaian. sekiranya tidak diberi perhatian trend ini akan mempengaruhi budaya hidup mahupun cara berpakaian. sekiranya tidak diberi perhatian trend ini akan mempengaruhi budaya hidup masyarakat malaysia pada masa akan datang. huraikan penyataan ini.

9. institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak. huraikan pendapat and tentang penyataan tersebut.

10. pemupukan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar penting bagi melahirkan pelajar yang mempunyai semangat partiotik. terangkan nilai-nilai murni yang perlu ada pada diri anda sebagai warganegara malaysia


Pastikan anda terus melayari blog in untuk memastikan anda memperoleh maklumat terkini tentang bahasa.

Saya akan cuba untuk memastikan semua karangan ini ditulis dan diselitkan dalam blog ini mulai minggu hadapan.

Terus belajar.

Cikgu azman