Friday, November 07, 2008

Karangan Punca-punca Lumba Haram di Malaysia

Gejala lumba haram terus berlaku terutama di bandar besar.

Huraikan punca-punca gejala ini terus berlaku.


Gejala lumba haram atau lebih dikenali dengan istilah mat rempit telah menjadi satu isu yang begitu memeningkan semua pihak. Pihak kerajaan berusaha mengatasi masalah ini dengan memperkenalkan pelbagai tindakan tetapi masih gagal. Begitu juga dengan pihak masyarakat terutamanya ibu bapa yang turut berusaha menghalang anak-anak mereka terjerumus ke lembah hina ini hanya melihat kegagalan sahaja. Media massa dengan keupayaan mereka menyiarkan pelbagai program kesedaran turut menemukan jalan buntu dalam kemelut ini. Oleh itu, punca-punca yang menyebabkan masalah ini timbul harus dikaji secara mendalam untuk memastikan semua langkah yang diambil memang memberi kesan yang positif.

Sebenarnya masalah ini tercetus kerana kegagalan pihak ibu bapa melaksanakan tugas mereka dengan berkesan. Maknanya, ibu bapa tidak berupaya mendidik anak mereka supaya menyedari bahawa lumba haram merupakan aktiviti yang salah di sisi undang-undang. Kegagalan ibu bapa ini mungkin berkaitan dengan ketidakupayaan mereka untuk menjadi ibu bapa atau tidak memahami keperluan emosi anak mereka. Lantaran itu, anak mereka beralih ke arah lumba haram sebagai satu cara untuk memenuhi keperuan emosi mereka sebagai manusia yang perlu disayangi dan difahami perasaannya.

Untuk menyalahkan ibu bapa seratus peratus bukanlah satu jalan penyelesaian yang bijak kerana keadaan dunia yang serba moden terutama era globalisasi ini turut menjadikan masalah lumba haram ini mudah merebak. Penyiaran program barat terutama akiviti lumba haram menimbulkan rasa ingin mencuba di dalam naluri remaja di negara ini. Kehidupan yang serba moden mendedahkan remaja kita dengan pelbagai dugaan nafsu yang sukar untuk ditolak terutama kenikmatan lumba haram. Jelaslah, lumba haram bertambah ekoran bertambah modennya kkehidupan di negara ini terutama di bandar-bandar kosmopolitan.

Selain itu, kegagalan pihak kerajaan turut ketara terutama dalam menyediakan suasana kehidupan yang lebih ceria kepada remaja. Ketiadaan tempat untuk remaja meluangkan masa dengan berkesan turut menjadi faktor penentu merebaknya masalah ini. Begitu juga dengan kegagalan kerajaan untuk menyediakan peluang kerja yang cukup membawa ramai remaja beralih ke arah lumba haram untuk memenuhi masa mereka. Oleh itu, kerajaan turut memikul kesalahan atas munculnya gejala negatif ini.

Sikap masyarakat yang tidak prihatin menjadikan masalah ini berleluasa. Kita tidak menganggap masalah ini masalah sendiri selagi tidak ada ahli keluarga yang terbabit sehingga tidak mahu membuat laporan jika melihat aktiviti umba haram di kawasan mereka. Keadaan ini telah menyebabkan pihak polis sukar untuk menahan mereka yang terbabit dalam aktiviti negatif ini kerana tiadanya kerjasama masyarakat untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa. Jelaslah, sikap masyarakat yang “bagai pucuk melepaskan duri masing-masing” menjadikan kemelut sosial ini berlanjutan sehingga sukar untuk dikawal sekarang.

Konlusinya, masalah lumba haram harus dibanteras segera menerusi kerjasama semua pihak. Remaja juga harus memiliki jati diri yang kukuh supaya tidak mudah terpedaya untuk menyertai aktiviti lumba haram ini. Mereka harus memikirkan pendidikan, kerjaya dan masa depan mereka daripada memikirkan keseronokan sementara sahaja. Mungkin remaja harus merenung diri mereka sekarang. Apakah yang mereka mahukan dalam hidup ini?

5 comments:

Eshvin said...

Terima kasih..
Karangan ini teleah membantu saya dalam peperiksaan saya....!!

shafiqah jefri said...

sangat memberi ispiras..

Anonymous said...

Ia banyak membantu dlm pnulisan sy.

Anonymous said...

Karangan ini banyak membantu dalam penulisan saya

Anonymous said...

Terima kasih