Thursday, November 06, 2008

Karangan Peranan Kerajaan Menangani Isu Kenaikan Harga Barang

Kenaikan harga barang telah menyebabkan masyarakat berasa gelisah.

Jelaskan peranan kerajaan dalam menangani masalah ini.


Kenaikan harga barang telah menjadi satu isu yang sering dipaparkan di media massa sehingga menimbulkan satu polemik baru pula. Isu ini telah menyebabkan semua pihak menyuarakan pandangan mereka tentang punca dan cara untuk menyelesaikannya sehingga menjadikan isu ini diluar kawalan pula. Media massa seperti yang dikatakan pada awall tadi telah menggunakan kepincangan kerajaan untuk mengatasinya sebagai bahan berita mereka pula. Jadi, kerajaan memang memiliki peranan yang jelas untuk menangani isu ini secara tuntasnya.

Tindakan kerajaan yang paling mudah ialah memastikan semua barang yang penting kepada masyarakat dijadikan barang kawalan. Tindakan ini memastikan kenaikan barang yang dimaksudkan barang kawaan itu mesti mendapat kelulusan kerajaan dan kegagalan mematuhinya boleh menyebabkan sipelaku ditahan dan dipenjarakan. Buat masa ini hanya segelintir barang sahaja seperti minyak, tepung, dan ayam yang menjadi barang kawalan yang kurang memberikan impak yang diharapkan. Oleh itu, jumlah barang yang harus menjadi barang harga kawalan ini perlu ditambah untuk menangani masalah kenaikan harga barang di negara kita.

Selain itu, kerajaan boleh menubuhkan satu Suruhanjaya Kenaikan Harga Barang yang berfungsi untuk mengawal dan memantau polemik ini secara sistematik. Kewujudan suruhanjaya ini menyebabkan masalah kenaikan barang ini bukannya diketahui apabila musim perayaan hampir tiba sahaja tetapi sepanjang masa diawasi oleh suruhanjaya tersebut. Anggota suruhanjaya ini haruslah mereka yang berkecuali dan mampu melaksanakan tugas mereka dengan penuh wibawa dan telus. Oleh itu, penubuhan suruhanjaya seperti ini menyebabkan peniaga tidak boleh sesuka hati menaikkan harga barang tanpa sekatan.

Malah, kerajaan boleh menggubal satu akta yang boleh mengenakan hukuman yang setimpal kepada pesalah dalam isu ini. Akta ini hendaklah memliki keterangan yang jelas, hukuman yang berat dan aspek-aspek pencegahan yang berkesan untuk menangani masalah kenaikan harga barang di negara kita. Hukuman yang lebih berat dan praktikal menyebabkan peniaga tidak berani untuk melakukan tindakan menipu pengguna sesuka hati terutama dalam aspek harga barang. Sesungguhnya, kewujudan akta yang berkesan menyebabkan peniaga tidak lagi berani melakukan kesalahan kerana bimbang dan takut akan kesannya itu.

Bukan sahaja akta digubal tetapi kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna harus menguatkuasakan peraturan tersebut. Kerajaan harus mengarahkan semua kaki tangan kementerian menjalankan rondaan yang kerap dan menahan peniaga-peniaga yang melakukan kesalahan tanpa sebarang kesilapan lagi. Tindakan yang tegas dan telus ini menyebabkan peniaga tidak berani untuk melakukan kesalahan atau menawarkan rasuah untuk memastikan mereka terlepas daripada tangkapan. Jelaslah, penguatkuasaan turut penting untuk menyelesaikan polemik pengguna yang semakin sukar dikawal ini.

Konklusinya, kerajaan memang mempunyai tanggung jawab untuk memastikan masalah ini tidak berlanjutan dengan melaksanakan semua peranan di atas. Tindakan kerajaan yang tidak telus dan tegas telah memberikan satu imej bahawa kerajaan tidak serius dalam menangani kemelut pengguna ini. Dalam masa yang sama pengguna juga harus bekerjasama dengan membuat laporan atau menjauhi kedai-kedai yang menaikkan harga barang keterlaluan. “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” membuktikan bahawa pengguna dan kerajaan harus bekerjasama dalam menyelesaikan masalah ini.

1 comment:

Nurulhuda said...

Assalamualaikum cikgu. Karangan cikgu ni bagus kualitinya. Karangan cikgu selalu saya jadikan bahan rujukan. Kalau boleh, sudi tidak cikgu siarkan karangan tentang "Kesan-kesan Negatif Akibat Menonton Televisyen Terhadap Remaja". Terima kasih.