Monday, July 21, 2008

Karangan Pemupukan Nilai-nilai Murni


Pemupukan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar penting bagi melahirkan pelajar yang mempunyai semangat partiotik. Terangkan nilai-nilai murni yang perlu ada pada diri anda sebagai warganegara malaysia

Apakah nilai-nilai murni? Sudah pasti sesuai dengan istilah murni itu, konsep ini dikaitkan dengan tindakan-tindakan positif yang harus dimiliki, dilakukan dan diamalkan oleh seseorang itu. Tindakan positif ini memang semakin berkurangan dalam naluri pelajar terutama dalam alaf yang serba mencabar ini. Kedengaran nada-nada yang serupa juga menerusi paparan berita di dalam media massa yang mengesahkan bahawa konsep nilai-nilai murni sudah lama hilang. Jadi, ada banyak nilai murni yang harus dimiliki oleh semua pelajar di negara ini.

Salah satu nilai murni penting yang harus dimiliki oleh pelajar kita ialah semangat suka membantu sesama insan. Dalam era kemodenan ini semua tindakan menolong dikaitkan dengan konsep menerima pembalasan iaitu buat baik harus dibalas sesuatu yang berbentuk ganjaran kebendaan. Persepsi sebegini harus diubah segera supaya masyarakat pelajar kita memahami bahawa sikap membantu melepasi aspek bangsa, agama, umur, gender dan sosioekonomi seseorang itu. Jadi, pelajar kita perlu mencari dan memahami betapa sikap menolong itu amat penting dalam kehidupan mereka.

Bukan sahaja memiliki sikap menolong ini penting tetapi pelajar harus memupuk nilai saling menghormati terutama terhadap golongan warga emas. Rasa hormat kepada seseorang membuktikan bahawa pelajar itu memahami setiap rakyat di negara ini mempunyai hak mereka masing-masing. Tebalnya rasa hormat ini menyebabkan pelajar tidak mudah melenting apabila ditegur, dimarah dan dikritik oleh orang lain terutama mereka yang sudah berusia. Lantaran itu, sikap menghormati ini memberi satu kelebihan kepada pelajar untuk memahami tindakan orang lain dengan rasionalnya.

Malah, pelajar di negara ini harus menanam nilai rajin dalam diri mereka terutama dengan persaingan globalisasi yang begitu meruncing. Kerajinan pelajar dalam mencari ilmu pengetahuan menjadi aset yang penting untuk mereka memajukan diri dan negara yang memerlukan tenaga muda mereka itu kelak. Keupayaan pelajar untuk melakukan pelbagai perkara dalam satu-satu masa juga membuktikan pelajar telah menggunakan masa muda mereka dengan sebaik mungkin. Jelaslah, pelajar mesti ada sikap rajin jika mereka ingin meneruskan kehidupan yang penuh cabaran ini.

Pelajar di negara ini harus juga ada nilai setia dalam setiap hubungan yang dialami oleh mereka. Perasaan setia ini membantu pelajar untuk memilikii satu perasaan rasa dhargai oleh orang lain terutama dalam hubungan persahabatan mereka. Kesetiaan in boleh dipanjangkan dalam perasaan mereka terhadap negara yang tercinta ini. Maka, rasa setia yang pelajar miliki menyebabkan mereka akan menikmati kehidupan ini dengan lebih baik dan ceria.

Akhirnya, semua nilai murni yang dinyatakan di atas itu harus menjadi sebahagian daripada diri pelajar. Perasaan ingin membantu menjadi asas dalam usaha untuk memupuk nilai-nilai murni yang lain daam diri pelajar kerana sikap inilah yang berupaya mewujudkan nilai-nilai lain tanpa disedari oleh pelajar itu. Pemilikan semua nilai-nilai di atas berupaya melahirkan satu kelompok pelajar yang begitu baik sahsiah dan mampu mengharungi kehidupan yang mencabar ini. Peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya menjadi satu renungan kepada ibu bapa untuk memulakan tugas mendidik mereka sebaik mungkin kepada anak mereka.

2 comments:

Anonymous said...

what about pemupukan nilai dalam keluarga??

▲UDY said...

what about nilai murni yang diamalkan oleh rakyat malaysia