Wednesday, May 14, 2008

Karangan Kokurikulum Lagi

Aktiviti kokurikulum memberikan seribu kebaikan kepada pelajar tetapi pelajar memberikan seribu alasan untuk menyertainya.
Huraikan perkara di atas.

Kokurikulum merupakan satu aktiviti luar kelas yang melibatkan aktiviti persatuan, pakaian seragam dan sukan. Kegiatan ini telah diberi penekanan oleh kerajaan untuk memastikan semua pelajar memberi perhatian yang serius terhadap hal ini. Cuma pembabitan pelajar dalam kegiatan luar kelas ini tidak begitu memberangsangkan terutama daripada aspek keikhlasan hati mereka untuk menjalankan aktiviti tersebut. Jadi, memang ada banyak penyebab yang mendorong pelajar tidak berminat untuk menyertai aktiviti kokurikulum ini.

Aspek masa yang terlalu banyak diberikan untuk menjalani latihan yang melibatkan kokurikulum ini sering dipersoalkan oleh pelajar. Ramai yang menganggap masa yang terlalu panjang itu membazir dan elok dipenuhi dengan pembacaan buku untuk persiapan peperiksaan. Pelajar juga membenci aktiviti luar kelas ini kerana masa petang mereka terpaksa dihabiskan di sekolah padahal mereka sepatutnya sudah boleh kembali ke rumah untuk bersantai. Oleh itu, keengganan pelajar terbabit dalam aktiviti ini banyak bergantung pada faktor masa.

Malah, pertimbangan untuk menyertai kokurikulum ini turut ditentukan oleh sikap pelajar yang menganggap aktiviti ini tidak memberikan sebarang impak positif kepada diri mereka. Pandangan mereka ini dikukuhkan dengan kegagalan mereka peroleh markah dalam peperiksaan yang diadakan oleh pihak sekolah. Tindakan ibu bapa yang menegur kegagalan mereka ini menyebabkan mereka terus melupakan atau menganggap aktiviti ini tidak berguna buat mereka. Justeru, pelajar tidak suka menyertai kokurikulum kerana mereka beranggapan aktiviti ini tidak memberi sebarang manfaat untuk pembangunan masa depan mereka.

Selain itu, penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum ini semakin rendah kerana aktiviti itu agak terhad dan biasanya disertai oleh pelajar-pelajar yang sememangnya berminat dalam aktiviti tersebut. Keadaan ini menyebabkan tujuan atau matlamat aktiviti ini tidak tercapai lantaran segolongan sahaja yang menyertainya. Jadi, keadaan ini menyebabkan ramai pelajar tidak berminat untuk menyertainya.

Keadaan kehidupan semasa yang serba moden terutama dalam alaf globalisasi ini turut menjejaskan minat pelajar. Mereka lebih bermiant untuk lepak bersama-sama rakan di pusat beli belah daripada berkawad atau berlari di padang. Kecanggihan kehidupan yang lebih menarik telah menjadikan pelajar menganggap aktiviti sebegini tidak bersesuaian dengan masa remaja mereka. Oleh itu, pelajar menganggap aktiviti ini membosankan berbeza aktiviti lepak yang lebih dianggap menarik.

Kesimpulannnya, aktiviti kokurikulum harus diberi perubahan imej yang drastik. Kerajaan harus menjadikan aktiviti ini lebih mesra pelajar dengan cuba memahami keperluan pelajar terhadap kokurikulum itu. Pelajar perlu haruslah lebih terbuka dalam tindakan mereka menyertai aktiviti yang positif ini. Mungkin pelajar harus melihat kebaikan aktiviti ini terlebih dahulu daripada terus membuat rumusan untuk menganggapnya sebagai satu aktiviti yang membebankan.

No comments: